Anda di halaman 1dari 6

Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau secara akronimnya PBS adalah salah satu cabang

pembentukan kaedah Pengajaran dan Pemudah Cara (PdPc) disamping menilai perkembangan
dan kemajuan murid secara holistik malah ini menunjukkan setiap sekolah berfungsi memainkan
peranan sebagai pusat pentaksiran dalam perkembangan pelajar. Pentaksiran ini bersifat holistik
dengan penilaian dari aspek kognitif, afektif iaitu keberkesanan dan psikomotor selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kurikulum kebangsaan. Bagaimana pula dengan guru?
Guru merupakan aset penting dalam menggerakkan PBS kerana kesemua tahap kemenjadian
murid dianalisis oleh guru mereka sendiri. Guru membuat keputusan berdasarkan maklumat yang
dikumpulkan melalui pelbagai teknik dan bentuk pentaksiran bermula secara formal sehinggalah
kepada yang kurang formal. Namun, wujud juga cabaran yang harus ditempuhi oleh guru
sepanjang pelaksanaan pentaksiran ini sama ada secara dalaman ataupun luaran demi
memenuhi matlamat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Antara cabaran yang dihadapi oleh guru termasuklah kekangan masa. Hal ini kerana
pelaksanaan pentaksiran ini memaksa guru untuk berkorban masa terutama dalam menaakul
segala perkembangan murid khususnya dalam aspek keperibadian murid, kurikulum dan
kokurikulum. Secara amnya waktu guru di sekolah adalah sekitar tujuh pagi sehing pukul empat
petang tetapi kini guru terpaksa mewajibkan diri menghadiri kokurikulum malah berkorban masa
dalam melaksanakan kelas tambahan khususnya pada waktu malam. Guru-guru terpaksa
mengehadkan waktu bersama keluarga dan ini bakal mengakibatkan kerapuhan hubungan dalam
rumah tangga disamping meranapkan institusi kekeluargaan. Malah, pelaksanaan sistem ini
semestinya mengundang kepada kurangnya hasil produktiviti yang cemerlang dalam kalangan
guru kerana guru dipaksa melakukan kerja 24 jam sehari seperti robot. Mereka mungkin
mendapatkan purata rehat sekitar empat hingga enam jam seminggu dan dapat dibuktikan
apabila kebanyakan guru sekarang sering ke hospital atas faktor penyakit yang berpunca
daripada tekanan.

Selain itu, antara cabaran lain yang terpaksa dirempuh termasuklah dalam penyediaan
pelbagai instrumen oleh pihak sekolah atau pihak berwajib kepada guru dalam melaksanakan
pentaksiran ini. Sistem PBS menyatakan instrumen yang diwujudkan di dalam pentaksiran ini
adalah seperti instrumen berkaitan pemerhatian, persembahan, projek, produk, amali, tugasan
bertulis, ujian bertulis dan pelbagai lagi (Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), 2014
m/s 10). Atas faktor kegawatan ekonomi yang melanda negara kita belakangan ini, penyediaan
instrumen oleh pihak sekolah sedikit tergendala hinggakan kebanyakan guru terpaksa berkorban
dari segi kewangan dalam menyediakan instrumen secara sendiri. Hal ini kerana faktor
pengeluaran wang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sedikit perlahan dan kadang-kadang
bertangguh dan ini menyebabkan guru mencari kaedah alternatif lain dengan menyediakannya
sendiri. Sebagai contoh, kebanyakan guru terpaksa menggunakan kertas sendiri dalam
mencetak soalan untuk pelajar malah ada yang terpaksa membeli alatan sendiri untuk murid
dalam melakukan sesuatu projek. Guru menghadapi sedikit kesukaran atas faktor gaji yang
khusus untuk keluarga dan diri mereka sendiri malah penyediaan alatan oleh mereka ini mungkin
menyusahkan guru itu sendiri.

Seterusnya, guru juga menghadapi cabaran melalui kurangnya pengenalan dan


penjelasan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia tentang sistem PBS ini terhadap
mereka. Kesemua komponen PBS seperti Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP),
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikomotor
(PPsi) kurang diberi penekanan dan penjelasan kepada guru ekoran tindakan drastik pihak
Kementerian tanpa memberi tempoh untuk guru-guru dan pihak sekolah memahami sistem PBS
ini. Walaupun PBS dilaksanakan sejajar dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
kebanyakan pendidik menganggap PBS telah dilaksanakan secara mendadak dan membawa
kejutan budaya dalam pentaksiran. Mereka tidak diberikan tunjuk ajar terutama dalam
menyelenggara komponen PBS ini hinggakan setiap sekolah mempunyai variasi kaedah
pentaksiran waima pihak Kementerian menekankan konsep PBS yang selaras dan sama bagi
tiap-tiap sekolah. Kesemua kecelaruan dalam pentaksiran ini menyusahkan guru-guru terutama
apabila melakukan kajian atau pemerhatian di sekolah-sekolah lain yang menjadi penanda aras
bagi mereka. Malah, guru turut berdepan masalah dalam menilai murid atas bilangan murid yang
terlalu ramai dengan nisbah 1:35 dan ini menyukarkan guru menganalisis pelajar secara
keseluruhan.

Di samping itu, dasar pelaksanaan sistem PBS atas talian (online) iaitu dalam Sistem
Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) didapati meningkatkan tahap kerisauan
dan seterusnya meningkatkan bebanan tugas guru di sekolah amnya. Guru perlu merekod setiap
instrumen yang dijalankan di sekolah. Minimum satu ujian dijalankan bagi setiap mata pelajaran
untuk seminggu dan guru perlu memasukkan rekod pentaksiran secara rutin setiap minggu.
Masalah yang timbul adalah guru tiada panduan penggunaan sistem yang digunakan. Guru
terpaksa memahirkan diri menggunakan sistem dan membuat kemasukan rekod secara sendiri.
Guru juga menghadapi masalah akibat capaian internet yang lemah serta kesesakan sistem yang
berlaku hampir setiap waktu. Adakalanya guru terpaksa bangun awal pagi semata-mata untuk
memasukkan rekod pentaksiran dalam SPPBS. Ekoran kesesakan sistem atas talian, guru sering
memasukkan rekod pentaksiran di rumah dan ini mengganggu masa berkualiti guru bersama
keluarga masing-masing. Capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(SPPBS) sering tergendala dan sukar diakses oleh guru adalah disebabkan bilangan pengguna
mencecah 40,000 orang dalam satu-satu masa (Utusan Online, 7 November 2012). Pihak
Kementerian juga diarah kaji PBS secara menyeluruh atas faktor guru sukar masukkan maklumat
pengkalan data (Berita Harian, 12 Februari 2014).

Malah, sistem PBS ini turut membebankan guru dan pihak sekolah khususnya dalam
menyediakan, menyelenggara fail termasuklah sistem fail yang pelbagai. Setiap orang murid
akan mempunyai satu fail perkembangan. Sebagai andaian iaitu sekiranya jumlah murid tahun
dua sekolah tersebut seramai 150 orang, maka 150 fail perlu diwujudkan dan ditambah pula
dengan satu fail showcase bagi setiap kelas dan fail peribadi setiap guru khusus untuk setiap
mata pelajaran yang diajar. Sistem ini memaksa pihak sekolah menyediakan ruangan yang besar
bagi penyimpanan fail yang bertambah seiring dengan pertambahan bilangan pelajar. Bagi guru,
mereka juga menempuh masalah dalam memasukkan eviden ke dalam setiap fail perkembangan
murid. Sebagai contohnya bagi guru yang mengajar 3 kelas seminggu dengan purata 40 orang
murid setiap kelas, maka guru mesti memasukan eviden sebanyak 120 unit dalam 120 fail yang
berbeza setiap minggu. Begitu banyak masa yang terpaksa digunakan guru dalam penyimpanan
maklumat-maklumat ke dalam fail-fail murid. Bebanan tugas serta kekangan masa terpaksa
dilalui kini oleh guru dan ini kian bertambah setiap minggu. Penyelenggaraan ini sangatlah tidak
praktikal dan kurang rasional ekoran jangkamasa yang digunakan dalam menguruskan fail itu
boleh digunakan untuk persediaan tugas pengajaran serta rancangan pengurusan harian (RPH)
di dalam kelas.
Sebagai tambahan, faktor penerimaan ibu bapa tentang konsep dan penerimaan
pelaksanaan sistem PBS ini juga sedikit sebanyak menimbulkan permasalahan dan kerisauan
kepada guru. Hal ini disebabkan guru mendapat rungutan dan komen negatif ibu bapa berkaitan
kemajuan dan kedudukan pencapaian anak-anak di sekolah. Mereka menganggap pembelajaran
tanpa peperiksaan (pelaksanaan PBS) boleh menimbulkan kesan negatif terhadap fokus dan
matlamat murid-murid di sekolah. Selain guru, para ibu bapa juga perlu diberikan pemahaman
yang jelas mengenai perlaksanaan PBS agar tidak timbul kecelaruan dengan membuat
tanggapan negatif terhadap sistem pembelajaran baharu itu (Utusan Online, 22 Oktober 2012).
Pandangan negatif ini ditambah dengan ketiadaan kerjasama daripada pihak masyarakat
umumnya ibu bapa membuatkan guru merasa tertekan dengan perlaksanaan sistem ini ekoran
kurangnya sokongan moral pihak luar (ibu bapa) terhadap anak-anak dalam pelaksanaan PBS
ini. Malah, sewaktu Perjumpaan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) juga jelas dapat dilihat ibu bapa
kurang menunjukkan sokongan dengan guru-guru khususnya bila diutarakan usul PBS ini.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cabaran yang ditempuh oleh guru-guru khususnya


dalam mendidik anak bangsa. PBS mungkin menyusahkan guru tetapi sistem ini mungkin boleh
dibaikpulih dan meringankan beban guru kelak. Diharapkan pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia berusaha dalam menjamin kebajikan guru-guru supaya mereka dapat mengimbangi diri
mereka bukan sahaja untuk sekolah, malah untuk masyarakat, bangsa dan negara disamping
menelusuri pendidikan sepanjang hayat. PBS juga diharapkan dapat membentuk pelajar yang
tergolong dalam golongan minda kelas pertama dan membantu negara “berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah” dengan negara lain khususnya jiran kita iaitu Singapura yang taraf
pendidikannya dianggap masyhur seantero dunia. Hal ini kerana, sekolah yang diurus dengan
berkesan akan membantu perkembangan murid-murid secara holistik dan harmonis dan
seterusya dapat menerapkan nilai-nilai murni dan keperibadian yang utuh dalam kalangan pelajar
bagi melahirkan masyarakat yang bermoral, beretika, dan serba boleh dalam menyumbang
kepada kemajuan negara seperti yang telah dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2005).
Bibliografi
Abd Rahim (2003). Falsafah Budaya Dalam Bidang Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit U.M.

Hajah Noresah Bt. Baharom. (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 –


2025. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2012). Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat


Peringkat Nasional 2012/2013. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Lembaga Peperiksaan. (2014). Informasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Putrajaya:


Kementerian Pendidikan Malaysia.

Michael D. Tovey And Diane R. Lawlor (2008). Training in Australia. Australia: Pearson –
Education Australia.

Mohamed Rashid Navi Bax dan Mohd Nasir Abu Hassan (2003). Lifelong Learning in Malaysia.
International policy seminar co-organised by IIEP, UNESCO and KRIVET.

Noriati A. Rashid dan rakan-rakan, (2010). Siri Pendidikan Guru: Guru dan Cabaran Semasa.
Selangor: Penerbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2005). Buku panduan pengajaran dan pembelajaran nilai
merentas kurikulum KBSR I KBSM. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sufean Hussin (2004). Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa & Pustaka Sdn. Bhd.

Berita Harian, (2007). “Pendidikan sepanjang hayat bina sahsiah diri”, 16 Mei 2007.

Berita Harian, (2014). “Kementerian juga diarah kaji PBS secara menyeluruh”, 12 Februari
2014.
Mohd. Zohadie Bardaie (2002). Majlis Pelancaran Pelan Strategi UPM 2001 – 2010, Etika Kerja
UPM dan Anugerah Fellowship Naib Canselor.
www.upm.edu.my/website/koleksi_ucapan/2002.

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P, diperoleh daripada


www.moe.gov.my/bpk/bsk/bpanduan/ict_in_pnp.pdf pada 25 Ogos 2013

Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, (2010). Guru dan cabaran
semasa, Selangor: Penerbitan Multimedia. Laman Sesawang
eprints.uthm.edu.my/2713/1/22._PKPGB_2008_2.pdf www.mohe.gov.my/psptn/index

Azymie Zulkifly. (2016, Oktober 19). Malaysians Need The Dual Language Programme To
Enhance English Proficiency In Schools, Experts Say. Malaysia Digest. Diperolehi pada
Oktober 2016 daripada http://malaysiandigest.com/frontpage/282-main-tile/637949-
malaysians-need-the-dual-language-programme-to-enhance-english-proficiency-in-
schools-experts-say.html

Anda mungkin juga menyukai