Anda di halaman 1dari 23

SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN CHUNG HWA

KOTA BHARU, KELANTAN

KERJA LAPANGAN GEOGRAFI TINGKATAN 3


TAHUN 2021

KAJIAN TENTANG KEGIATAN EKONOMI


DI SEKITAR SMJK CHUNG HWA,
KOTA BHARU, KELANTAN.

Nama Murid : CHEN MEI FANG

Tingkatan : 3 RANDA

Tandatangan : ___________________________________________________

BI
KRITERIA SKOR CATATAN
L
1 Perancangan [10m] /10
2 Proses Awal [20m] /20
3 Laporan akhir [58m]
a. Jenis kegiatan ekonomi /10
b. Faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi /12
c. Kepentingan kegiatan ekonomi /12
d. Kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar dan /12
manusia
e. Langkah-langkah mengurangkan kesan kegiatan /12
ekonomi terhadap alam sekitar dan manusia

4 Pembentangan [10m] /10


5 Penilaian Umum [ 2m] /2
Jumlah Keseluruhan

Tandatangan Guru Penilai :

…………………………
WONG LAI FENG
SENARAI KANDUNGAN
Bil Kandungan Halaman
1 Penghargaan
2 Pendahuluan
3 Ojektif Kajian
4 Kawasan Kajian
5 Kaedah Kajian
6 Hasil Kajian
 Jenis kegiatan ekonomi
 Faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi
 Kepentingan kegiatan ekonomi
 Kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar dan
manusia
 Langkah-langkah mengurangkan kesan kegiatan
ekonomi terhadap alam sekitar dan manusia
7 Kesimpulan
8 Rujukan
1.0 PENGHARGAAN
Bersyukur kerana akhirnya dapat juga saya menyiapkan tugasan yang
diamanahkan dalam masa yang diperuntukkkan. Dalam usaha saya
menyiapkan tugasan ini, terdapat banyak pihak yang menghulurkan bantuan
kepada saya. Bantuan yang diberikan oleh mereka amat saya hargai kerana
bantuan merekalah baru saya dapat menyiapkan kerja lapangan saya ini. Oleh
itu, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapakn ribuan terima kasih
kepada mereka yang sudi membantu saya sepanjang pelaksanaan kerja
lapangan.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat kedua-dua ibu
bapa saya, iaitu Encik Chen Tong Seng dan Puan Ong Siew Chen atas
sumbangan wang serta sokongan moral yang diberikan. Jutaan terima kasih
ditujukan kepada mereka kerana sudi membawa saya mengelilingi sekitar
kawasan kajian untuk memudahkan kajian dilaksanakan dengan seelok-
eloknya. Sekalung budi juga kepada guru Geografi saya, iaitu Cikgu Wong Lai
Feng yang tidak jemu memberi bimbangan dan dorongan kepada saya dan
rakan-rakan untuk meniapkan kerja lapangan mengikut piawaian yang
ditetapakan. Tidak lupa juga penghargaan kepada rakan-rakan saya yang
menyumbang idea dan memberi motivasi kepada saya walupun secara jarak
jauh akibat pandemik wabak Covid-19.

2.0 PENDAHULUAN
Saya telah dimaklumkan oleh guru Geografi saya, iaitu Cikgu Wong Lai
Feng bahawa kajian lapangan adalah wajib bagi setiap murid. Pada kali ini,
pelajar telah diberi kebebasan dan kebenaran oleh guru untuk memilih
kawasan kajian masing-masing untuk menyiapkan kerja lapangan.
Saya Chen Mei Fang dari Tingkatan 3 Randa telah menjalankan kajian
tentang kegiatan ekonomi di sekitar SMJK Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.
Saya memilih kawasan ini memandangkan kawasan ini terletak berhampiran
dengan sekolah dan tempat tinggal saya. Hal ini telah memudahkan usaha saya
untuk mengumpul semua maklumat yang diperlukan untuk menyiapkan kerja
lapangan ini dengan sempurna. Saya juga dapat menjimatkan masa saya
kerana tidak perlu berulang-alik dari rumah saya ke satu tempat yang jauh.
Selain itu, kawasan tersebut juga mempunyai ciri-ciri yang kesesuaian dengan
tajuk yang diberikan, iaitu terdapat pelbagai kegiatan ekonomi. Tempoh yang
diberikan untuk menyiapkan kerja kursus ini ialah selama tiga minggu.
Pengumpulan maklumat dilakukan pada masa lapang manakala penulisan
laporan pula diadakan pada waktu pengajaran dan pembelajaran Geografi di
rumah.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kawasan kajian saya terletak di sekitar SMJK Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan.
Kajian ini berkaitan kegiatan ekonomi dan merangkumi objektif-objektif yang
berikut:
1. Mengenal pasti jenis kegiatan ekonomi di sekitar SMJK Chung Hwa.
2. Menjelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di
kawasan kajian.
3. Menjelaskan kepentingan kegiatan ekonomi di kawasan kajian.
4. Menghuraikan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar dan manusia
di kawasan kajian.
5. Mencadangkan langkah-langkah untuk mengatasi kesan kegiatan ekonomi
terhadap alam sekitar dan manusia di kawasan kajian saya.

4.0 KAWASAN KAJIAN


Kawasan kajian saya ialah di sekitar SMJK Chung Hwa, Kota Bharu,
Kelantan. Kawasan tersebut terletak di bahagian utara Daerah Kota Bharu.
Jarak kawasan kajian dari pusat bandar Kota Bharu ialah 1.5 km. Secara
umumnya, keluasan kawasan kajian saya adalah lebih kurang 1 km persegi.
Kawasan ini terletak di pinggir Bandar Kota Bharu. Kawasan kajian dalam foto
satelit tersebut menunjukkan terdapat ciri pandang darat fizikal dan pandang
darat budaya . Ciri pandang darat fizikal yang terdapat di kawasan kajian saya
tertumpu di bahagian barat laut dan bahagian utara, iaitu sungai dan
tumbuhan semula jadi. Kebanyakan daripada kawasan kajian saya terdiri
daripada ciri pandang darat budaya, iaitu sekolah, jambatan yang dibina untuk
menyeberangi Sungai Keladi, petempatan, pejabat pos, klinik dan kilang.
Sebahagian besar daripada kawasan kajian saya terdiri daripada tanah
pamah. Bentuk muka buminya adalah rata dan luas, sesuai untuk pembinaan
jalan pengangkutan dan petempatan kerana kos pembinaannya lebih rendah .
Kawasan ini dahulunya merupakan kawasan belukar dengan sedikit sahaja
petempatan dan bangunan kedai. Namun kini, ia semakin maju dan
berkembang pesat. Apabila wujudnya perkembangan di kawasan tersebut,
pelbagai kegiatan ekonomi seperti pembinaan kawasan perumahan,
perkilangan, perniagaan dan punubuhan institusi pendidikan giat
dilakasanakan. Keadaan tersebut juga akan mendorong ramai orang untuk
berhijrah ke kewasan kajian.
Kebanyakan daripada kawasan kajian saya merupakan kawasan
perumahan penduduk dan premis-premis perniagaan. Terdapat banyak kedai
runcit yang menjual barang keperluan kepada penduduk sekitar, terutamanya
di sepanjang Jalan Wakaf Mek Zainab dan Jalan Kelochor. Selain itu, terdapat
juga dua buah kilang yang berada di bahagian utara kawasan kajian saya. Pada
bahagian tengah kawasan kajian saya pula terdapat banyak institusi pendidikan
seperti sekolah, iaitu di sepanjang Jalan Raya Atas Banggol di sepanjang Jalan
Kelochor. Seterusnya, terdapat juga kawasan pembinaan di bahagian timur
kawasan kajian saya, iaitu di sepanjang Jalan Wakaf Mek Zainab. Jenis
pembinaan yang terdapat di kawasan tersebut ialah pembinaan bangunan
kedai dan pembinaan rumah.

Kawasan kajian di sekitar SMJK Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan


5.0 KAEDAH KAJIAN
Selain mendengar taklimat dan penerangan daripada guru Geografi dan
membuat catatan hasil penerangan guru, saya juga telah menggunakan 3
kaedah lain membantu saya mencatat maklumat yang diperlukan untuk kerja
lapangan saya.

5.1 Rujukan buku teks dan buku rujukan


Saya telah merujuk buku teks Geografi Tingkatan 3 untuk mendapatkan
maklumat tentang jenis kegiatan ekonomi yang terdapat di negara
Malaysia, iaitu pada muka surat 116 dan 117. Selain itu, saya juga telah
merujuk buku teks muka surat 124 hingga 130 untuk mengumpul
maklumat tentang faktor dan kepentingan yang mempengaruhi kegiatan
ekonomi di kawasan kajian saya.
Seterusnya, saya juga telah merujuk contoh kerja lapangan yang
terdapat dalam buku teks Tingkatan 5.
Di samping itu, saya juga telah menggunakan sebuah buku rujukan untuk
mendapatkan maklumat tambahan.

5.2 Rujukan Internet


Saya melayari google map untuk mendapatkan peta satelit kawasan
kajian saya, iaitu di sekitar SMJK Chung Hwa. Saya juga dapat
memperoleh maklumat tentang kedudukan kampung saya.
Selain itu, saya turut melayari internet untuk mendapatkan maklumat
tambahan tentang takrifan kegiatan ekonomi dan kesannya terhadap
alam sekitar dan manusia secara umum..

5.3 Pemerhatian
Saya telah membuat pemerhatian di jalan-jalan sekitar SMJK Chung Hwa
dan telah mencatat jenis-jenis kegiatan ekonomi yang wujud di kawasan
tersebut. Selain itu, saya juga telah merekod beberapa kesan kegiatan
ekonomi terhadap alam sekitar dan manusia di kawasan kajian saya.
Beberapa keping foto telah diambil untuk dijadikan bukti dan lampiran.
6.0 HASIL KAJIAN
6.1 Jenis kegiatan ekonomi
Menurut Wikikamus, kegiatan ekonomi boleh ditakrifkan sebagai usaha
atau kerja yang berkaitan dengan hal ehwal ekonomi. Merujuk buku teks
pula, kegiatan ekonomi boleh ditakrifkan sebagai kegiatan manusia yang
mendatangkan nilai dan pendapatan. Ia mempu memberi kesan
terhadap pertumbuhan dan pengucupan ekonomi negara dan kehidupan
rakyat. Di Malaysia, kegiatan ekonomi dibahagikan kepada tiga sektor,
iaitu primer, sekunder dan tertier. Sektor primer merupakan kegiatan
yang mengeluarkan bahan mentah terus daripada sumber semula jadi
seperti hutan, tanih, air dan mineral. Sektor primer terdiri daripada
sektor pertanian, pembalakan, perikanan, perlombongan dan
penternakan. Seterusnya, sektor sekunder merupakan kegiatan yang
menukarkan bahan mentah kepada pengguna. Contohnya kegiatan
ekonomi sektor sekunder ialah sektor pembuatan atau perindustrian
dan pembinaan. Sektor tertier pula merupakan kegiatan yang
menyediakan atau menawarkan pelbagai perkhidmatan. Sektor tersebut
terdiri daripada pelancongan, perniagaan, perdagangan, kewangan,
pengangkutan dan pendidikan. Kegiatan ekonomi sektor tertier
memainkan peranan yang amat penting terhadap pembangunan negara
kerana mampu menjana pendapatan negara.

Melalui pemerhatian saya, didapati bahawa kawasan kajian saya hanya


terdapat kegiatan ekonomi sektor sekunder dan sektor tertier sahaja.
Sektor sekunder di kawasan kajian ialah kegiatan pembinaan dan
pembuatan manakala sektor tertier pula melibatkan kegiatan pendidikan
dan perniagaan. Sebahagian besar daripada kawasan kajian saya terdiri
daripada kegitan ekonomi sektor tertier.
Antara kegiatan ekonomi sektor tertier yang dijalankan di kawasan
kajian saya ialah sektor pendidikan. Jenis pendidikan di kawasan ini ialah
seperti sekolah, pusat tuisyen dan tadika. Sebagai contohnya, terdapat
beberapa sekolah kerajaan seperti SMJK Chung Hwa dan Islamic Primary
School An-nir yang terletak di sepanjang Jalan Raya Atas Banggol serta
SJKC Chung Hwa dan SMJK Chung Cheng yang terletak di sepanjang Jalan
Kelochor. Terdapat juga pusat tuisyen seperti Pusat Tuisyen Primer
Gemilang dan V Maths Tuition Centre serta tadika seperti Tadika Chung
Hwa. Hal ini telah membolehkan penduduk sekitar berpeluang untuk
dididik dan menuntut ilmu pengetahuan semasa belajar di sekolah,
tadika atau pusat tuisyen. Seterusnya, kegiatan ekonomi sektor tertier
yang terdapat di kawasan kajian saya ialah perniagaan. Terdapat banyak
jenis perniagaan di kawasan kajian seperti kedai buku, kedai runcit,
butik, restoran, dan sebagainya. Terdapat beberapa kedai runcit seperti
Theong Huat Trading dan Wee Ideal Mini Market di kawasan tersebut
yang bertujuan untuk memudahkan penduduk bagi mendapatkan
keperluan harian dalam masa sang singkat. Terdapat juga banyak
perniagaan makanan di sekitar SMJK Chung Hwa seperti Lock Café dan
Restoran Khas Kelochor Mini Food Court yang bertujuan untuk
memudahkan pelajar dan penduduk makan dan membeli makanan.
Contoh kedai buku di kawasan kajian saya ialah Sukses KB manakala
contoh butik ialah Butik & Kafe Celine House.
Terdapat juga kegiatan ekonomi sektor sekunder di kawasan kajian saya,
iaitu kegiatan pembinaan kawasan petempatan dan pembinaan rumah.
Permintaan yang tinggi daripada penduduk setempat terhadap kawasan
perumahan telah menarik minat pemaju perumahan untuk membina
lebih banyak kawasan petempatan di kawasan kajian. Pembinaan
bangunan kedai turut dijalankan. Kegiatan ekonomi sektor sekunder
yang lain yang terdapat di kawasan kajian saya ialah aktiviti pembuatan.
Terdapat beberapa buah kilang di kawasan kajian saya, iaitu Kilang Air
Batu dan Kilang Mancis.

6.2 Faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi dikawasan kajian


6.2.1 Bentuk muka bumi
Sebahagian besar daripada kawasan kajian saya terdiri daripada
tanah pamah, iaitu kawasan yang rendah dan rata. Kawasan tanah
pamah yang rendah dan datar telah menggalakkkan pembinaan
jalan raya di kawasan kajian saya kerana kos pembinaannya lebih
rendah berbanding dengan kawasan tanah tinggi. Selain itu, kerja
pembinaan jalan raya juga dapat dijalankan dengan mudah.
Contoh jalan raya yang terdapat di kawasan kajian saya ialah Jalan
Wakaf Mek Zainab, Jalan Atas Banggol, Jalan Kelochor, Jalan
Merbau dan Jalan Atas Paloh. Selain itu, kawasan tanah pamah
juga mampu menggalakkan pertumbuhan kegiatan ekonomi
sektor sekunder dan tertier seperti sektor pembinaan,
pembuatan, pendidikan dan perniaagaan kerana kawasan tanah
pamah dapat memudahkan pembinaan kilang, sekolah, bangunan
kedai dan sebagainya. Di samping itu, kawasan tanah pamah juga
berpotensi menjadi tumpuan penduduk kerana terdapat fungsi
bandar yang lengkap dan peluang pekerjaan yang luas di kawasan
tanah pamah. Hal ini telah mendorong pemaju perumahan untuk
membina lebih banyak tempat kediaman di kawasan tanah
pamah. Sebagai contohnya, Apartmen Bunga Raya dan
Kondominium Paloh Garden dididirikan di kawasan tanah pamah
kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada orang luar kajian
yang ingin berhijarah ke sana.

6.2.2 Kemudahan infrastruktur


Kemudahan infrastuktur juga merupakan salah satu faktor yang
mempengaruhi kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.
Kewujudan jaringan pengangkutan yang sempurna dan baik
seperti jalan raya dapat memudahkan proses pengangkutan
barangan siap dari kilang ke pasaran. Sebagai contohnya, lori yang
mengangkut kotak mancis dari Kilang Mancis kebiasaannya akan
melalui Jalan Atas Banggol dan Jalan Atas Paloh untuk menghantar
stok ke pasaran yang lebih luas dalam masa yang singkat. Hal ini
secara tidak langsung akan menggalakkan aktiviti perkilangan di
kawasan tersebut akibat kewujudan jaringan pengangkutan jalan
raya yang mampu mempercepatkan proses pengangkutan
barangan siap. Selain itu, jalan raya yang dibina juga dapat
digunakan sebagai laluan untuk menghubungkan kawasan kajian
dengan kawasan lain. Sebagai contohnya, pelajar dan warga SMJK
Chung Hwa yang tinggal di luar kawasan kajian boleh pergi ke
sekolah dengan mudah dan cepat melalui Jalan Atas Banggol. Hal
ini akan menggalakkan penubuhan institusi pendidikan di kawasan
tersebut. Pada masa yang sama, aktiviti perniagaan juga akan
dirancakkan apabila pembeli dari luar kawasan kajian berkunjung
ke kedai-kedai runcit di sekitar kawasan kajian dengan
menggunakan kemudahan jalan raya.
Seterusnya, kewujudan kemudahan utiliti di sesuatu kawasan
juga akan merancakkan aktiviti perniagaan seperti perniagaan
runcit dan perniagaan makanan. Dengan bekalan elektrik dan
bekalan air yang mencukupi, premis perniagaan dapat beroperasi
dengan lancar. Peniaga-peniaga juga akan terdorong untuk
menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan tersebut. Selain itu,
bekalan air dan elektrik yang sentiasa berada dalam tahap
optimum juga dapat mendorong orang luar untuk berhijirah ke
kawasan kajian kerana kemudahan utiliti boleh memudahkan
kehidupan seharian penduduk. Kesannya, aktiviti pembinaan
rumah kediaman akan giat dijalankan untuk memenuhi
permintaan yang tinggi daripada penduduk.
Kemajuan telekomunikasi juga mampu mengalakkan
pertumbuhan kegiatan ekonomi. Contohnya, kewujudan
telekomunikasi dapat memudahkan peniaga untuk menjalankan
perniagaan secara atas talian.

6.2.3 Pasaran
Kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan juga dipengaruhi oleh saiz
pasaran. Saiz pasaran pula bergantung kepada kuasa beli
penduduk dan permintaaan daripada penduduk. Apabila kawasan
tersebut mempunyai penduduk yang ramai, permintaaan
terhadap barangan yang dijual akan meningkat. Maka, peniaga
akan berpeluang untuk meluaskan pasaran mereka dan hal ini
secara tidak langusng akan membolehkan aktiviti perniagaan
seperti perniagaan peruncitan dan perniagaan makanan
dirancakkan dalam jangka masa yang pendek. Sebagai contohnya,
kawasan di sepanjang Jalan Kelochor kebanyakannya terdiri
daripada kawasan perumahan dan berpenduduk padat. Untuk
memenuhi keperluan penduduk yang tinggi, peniaga haruslah
menyediakan pasaran yang lebih luas kepada penduduk sekitar.
Contoh kedai sebeneka, kedai runcit dan pasar yang terdapat di
kawasan tersebut ialah kedai 7-Eleven, Wee Ideal Mini Market
dan Pasar Kubang Pasu. Kedai-kedai dan pasar ini berperanan
untuk menjual dan mebekalkan barangan kepada penduduk di
kawasan kajian. Barangan dan produk di kedai dan pasar yang
terdapat di kawasan kajian telah dijual dengan laris kerana
terdapat banyak penduduk di kawasan sekitarnya yang
berkunjung untuk membeli barang yang diperlukan.

6.2.4 Buruh
Kewujudan buruh juga telah menjadi faktor yang memperngaruhi
kegiatan ekonomi di kawasan kajian saya. Kawasan kajian saya
mempunyai ramai penduduk yang kebanyakannya merupakan
buruh sama ada buruh tidak mahir atau buruh mahir. Buruh tidak
mahir terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran produk.
Contohnya, terdapat banyak buruh yang bekerja sebagai pekerja
kilang di KIlang Mancis dan Kilang Air Batu. Selain itu, terdapat
juga banyak buruh mahir yang berpenduduk di kawasan saya.
Contohnya, terdapat beberapa orang buruh mahir, iaitu guru yang
mengajar di sekolah dan pusat tuisyen berpenduduk di kawasan
kajian.

6.2.5 Keperluan penduduk


Kegiatan ekonomi di kawasan kajian saya juga dipengaruhi oleh
keperluan dan permintaan penduduk. Sebagai contohnya,
terdapat beberapa pusat tuisyen yang didirikan atas permintaan
penduduk sekitar untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-
anak mereka. Terdapat juga banyak premis perniagaan yang dapat
memudahkan penduduk sekitar untuk mendapatkan keperluan
harian di kawasan kawasan. Pada masa yang sama, aktiviti
perniagaan makanan juga giat dijalankan untuk memebekalkan
makanan kepada penduduk sekitar.

6.3 Kepentingan kegiatan ekonomi di kawasan kajian


6.3.1 Mewujudkan peluang pekerjaan
Perkembangan kegiatan ekonomi dapat mewujudkan banyak
peluang kepada penduduk setempat dan sekaligus mengurangkan
kadar pengangguran. Ramai tenaga buruh yang amat diperlukan
oleh para pengusaha dan pihak majikan terutama dalam sektor
perkilangan dan pembinaan untuk memastikan kerja dapat
dilaksanakan dengan teratur. Oleh itu, penduduk di kawasan
kajian boleh melibatkan diri dalam sektor pembinaan sebagai
buruh binaan. Mereka juga boleh bekerja sebagai pekerja kilang
dan menerima upah daripada majikan.
Juga didapati bahawa ramai penduduk sekitar yang aktif
melibatkan diri dalam sektor tertier, iaitu dalam sektor pendidikan
dan peniagaan. Penduduk sekitar dapat memajukan perniagaan
mereka serta memasarkan barangan dan produk mereka kepada
penduduk setempat atau kepada pembeli dari luar kawasan
mereka. Selain itu, penduduk yang berpelajaran tinggi juga
berpeluang untuk melibatkan diri dalam sektor pendidikan
sebagai seorang guru sekolah atau guru tuisyen. Mereka yang
mempunyai pekerjaan tetap akan mempunyai sumber
pendapatan sama ada makan gaji atau mendapatkan keuntungan
daripada hasil jualan. Secara tidak langsung, taraf hidup penduduk
di kawasan kajian dapat ditingkatkan akibat berlakunya
peningkatan pendapatan isi rumah mereka.

6.3.2 Peningkatan taraf hidup


Penduduk dapat meningkatkan taraf hidup mereka apabila
mereka melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi kerana kegiatan
ekonomi di kawasan ini menawarkan pendapatan yang lumayan
kepada penduduk, terutamanya sektor perkhidmatan.
Pendapatan yang diperoleh oleh penduduk sekitar daripada
penglibatan kegiatan ekonomi bukan sahaja akan membolehkan
mereka menikmati taraf hidup yang tinggi, bahkan juga akan
meningkatkan kuasa beli mereka. Dengan kuasa beli yang tinggi,
penduduk sekitar mampu meikmati keperluan asas seperti
makanan, pakaian dan barangan keperluan rumah. Selain itu,
mereka yang juga mampu membeli rumah atau tempat tinggal
yang lebih selesa dan selamat serta membayar bil bekalan elektrik
dan air. Pada masa yang sama, penduduk sekitar juga dapat
mendapatkan rawatan kesihatan yang lebih baik dan secara tidak
langsung menjamin kesihatan mereka. Di samping itu, penduduk
sekitar juga dapat meningkatkan tahap pendidikan mereka apabila
mempunyai sumber pendapatan yang lumayan. Contohnya, ibu
bapa yang menerima gaji yang banyak mampu membayar yuran
persekolahan dan yuran tuisyen anak-anak mereka.

6.3.3 Peningkatan insfrastruktur


Kemajuan kegiatan ekonomi juga akan mendorong pembangunan
infrastrutur yang moden dan efisen. Contohnya, apabila sesuatu
kawasan mempunyai kilang yang banyak, pihak kerajaan akan
membina jalan raya yang lebih banyak dan lebih sempurna kerana
jalan raya sangat diperlukan untuk mempercepat pengangkutan
barangan dari kilang ke pasaran. Dengan peningkatan kemudahan
jalan raya di sesebuah kawasan, darjah ketersampaian penduduk
ke sesuatu kawasan dapat ditingkatkan. Pada masa yang sama,
jalan raya juga dapat menghubungkan kawasan kajian dengan
kawasan lain dan sekaligus memudahkan pergerakan penduduk
sekitar ke luar kawasan kajian. Misalnya, Jalan Wakaf Mek Zainab
dan Jalan Kelochor telah digunakan sebagai laluan utama untuk
penduduk sekitar ke pusat bandar atau ke luar kawasan kajian.
Selain itu, kemudahan utiliti seperti bekalan air bersih, bekalan
elektrik yang mencukupi dan berterusan serta gas akan disediakan
oleh pihak kerajaan untuk memenuhi permintaan penduduk dan
peniaga yang berjual beli di kawasan tersebut. Kemudahan sistem
perhubungan dan telkomunikasi seperti Internet dan
perkhidmatan pos juga akan disediakan ekoran perkembangan
kegiatan ekonomi.

6.3.4 Memenuhi permintaan kawasan perumahan


Kegiatan pembinaan yang dijalankan di kawasan tersebut dapat
memenuhi permintaan kawasan kediaman di kawasan kajian.
Penduduk setempat dan kawasan sekitarnya dapat memiliki
kediaman sendiri akibat perkembangan tersebut. Mereka tidak
perlu lagi membeli atau memiliki kawasan kediaman sendiri yang
terletak di lokasi yang jauh dari tempat kerja mereka. Keadaan ini
dapat mengurangkan kos sara hidup yang tinggi sebelum ini dan
juga menjimatkan masa.

6.3.5 Proses pembandaran


Proses pembandaran ialah perubahan sesuatu petempatan luar
bandar menjadi bandar hasil daripada perkembangan kegiatan
ekonomi. Kepelbagaian kegiatan ekonomi di kawasan kajian saya
telah menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas. Hal ini akan
menggalakkan penhijrahan penduduk luar bandar ke bandar
untuk mendapatkan pekerjaan. Apabila ramai orang berhijrah ke
kawasan tersebut, saiz bandar dapat diperluas. Kawasan tersebut
juga akan dilengkapi dengan fungsi bandar untuk memenuhi
keperluan penduduk. Lama-kelamaan, kawasan tersebut
berkembang menjadi bandar yang maju.

6.4 Kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar dan manusia di kawasan
kajian
6.4.1 Kesesakan lalu lintas
Setelah kegiatan ekonomi seperti kegiatan pendidikan, peniagaan
dan perkilangan pesat berkembang, kesesakan lalu lintas secara
tidak langsung telah menjadi antara masalah yang kerap dihadapi
oleh penduduk sekitar. Di kawasan kajian saya, kesesakan lalu
lintas kebiasaannya berlaku di dua batang jalan raya, iaitu Jalan
Kelochor dan Jalan Atas Banggol. Waktu puncak kesesakan lalu
lintas pertama adalah dari pukul 6.30 pagi hingga 7.15 pagi kerana
terdapat banyak ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke
sekolah. Waktu puncak kesesakan lalu lintas kedua pula bermula
dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, iaitu waktu tamat
persekolahan. Pada waktu puncak, jumlah pengguna jalan raya
akan bertambah berkali ganda kerana kedua-dua jalan raya itu
merupakan laluan utama yang digunakan oleh majoriti. Didapati
juga bahawa kesesakan lalu lintas lazimnya akan berlanjutan
selama 1 jam ketika waktu puncak. Melalui pemerhatian saya,
masalah kesesakan lalu lintas disebabkan oleh pengguna jalan
raya yang enggan menggunakan jalan alternatif. Contohnya, ibu
bapa dan warga SMJK Chung Hwa sepatutunya menggunakan
jalan alternatif, iaitu Jalan Atas Paloh untuk pergi ke sekolah.
Namun, mereka enggan mengguna jalan tersebut kerana jalan
tersebut lebih sempit dan lebih jauh jaraknya dengan sekolah jika
dibandingkan dengan Jalan Atas Banggol. Kesesakan lalu lintas
juga berpunca daripada jalan raya yang sempit. Contohnya, Jalan
Atas Banggol tidak mampu menampung pengguna jalan raya yang
banyak terutama pada waktu puncak kesesakan lalu lintas.
Kenderaan berat seperti lori dan bas sekolah juga akan lebih sukar
untuk melalui jalan tersebut yang tidak cukup lebar. Di samping
itu, kesesakan jalan raya juga disebabkan oleh kenderaan di
sebelah bahu jalan raya yang akan menghalang laluan jalan raya.
Contohnya, ketiadaan kawasan parkir kereta akan mendorong ibu
bapa pelajar SJKC Chung Hwa untuk meletakkkan kenderaan
mereka secara sesuka hati sementara menunggu anak mereka
pada tamat waktu persekolahan sehingga mengganggu aliran
trafik di Jalan Kelochor.

6.4.2 Pencemaran
Pencemaran seperti pencemaran darat, pencemaran bau,
pencemaran bunyi, pencemran air dan pencemaran udara juga
merupakan kesan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.
Pencemaran darat dan pencemaran bau adalah disebabkan oleh
pembuangan sampah sarap oleh penduduk sekitar dan peniaga-
peniaga di kawasan tersebut. Melalui pemerhatian saya,
pembuangan sampah sarap adalah disebabkan oleh sikap
penduduk dan peniaga sekitar yang tidak bertanggungjawab dan
tidak mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan alam
sekitar. Selain itu, kekurangan tong sampah di kawasan tersebut
juga telah menjadi punca pembuangan sampah sarap. Apabila
tong sampah di sesuatu kawasan tidak mencukupi, mereka yang
mementingkan diri sendiri akan membuang sampah mereka
secara merata-rata sekiranya semua tong sampah di kawasan
tersebut sudah penuh. Terdapat juga mereka yang malas mencari
tempat pembuangan lain sehingga sanggup melonggokkan
sampah mereka di sekitar tong sampah walaupun tong sampah itu
telah penuh dengan sampah orang lain. Pencemaran bau turut
berlaku akibat longgokan sampah sarap yang kotor dan tidak
diurus dengan baik.
Pencemaran air turut berlaku apabila pekerja kilang dan peniaga
sekitar membuang sampah sarap dan sisa domestik mereka ke
dalam sungai, iaitu Sungai Keladi. Sungai tersebut tidak lagi jernih
seperti dahulu. Sebaliknya, sungai tersebut kini penuh dengan
sampah dan kelihatan kekuningan akibat aliran air hujan yang
membawa larutan tanah ke dalam sungai.
Di samping itu, pencemaran bunyi dan udara juga merupakan
masalah yang kerap dihadapi di kawasan tersebut. Melalui
pemerhatian saya, didapati bahawa banyak peniaga dan
penduduk sekitar yang menjalankan pembakaran secara terbuka
di kawasan tersebut. Asap yang dikeluarkan semasa pembakaran
sisa domestik dan sampah sarap akan menyebabkan kualiti udara
kawasan tersebut terjejas. Selain itu, saya juga dapat perhatikan
bahawa banyak kenderaan seperti lori yang mengangkut barangan
siap dan bas sekolah yang melalui kawasan tersebut. Kenderaan
berat seperti lori mengangkut barangan siap lebih gemar
menggunakan minyak diesel yang murah harganya. Kenderaan
yang menggunakan minyak diesel akan melepaskan asap yang
lebih banyak berbanding dengan minyak petrol. Apabila
berlakunya peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya,
pengeluaran asap dari eksos kenderaan akan meningkat. Asap dan
gas rumah hijau yang dibebaskan oleh kenderaan bermotor yang
menggunakan bahan api fosil akan mencemarkan udara dan
mengakibatkan berlakunya pemanasan global dan penapisan
lapisan ozon. Cuaca kawasan tersebut juga akan meningkat dan
hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan tahap keselesaan
penduduk terjejas. Pada masa yang sama, kenderaan yang melalui
kawasan tersebut juga akan mengeluarkan bunyi yang bising
sehingga menggangu ketenteraman penduduk sekitar. Contohnya,
pemandu-pemandu yang tidak mempunyai kesabaran yang tinggi
akan membunyikan hon mereka apabila terperangkap dalam
kesesakan lalu lintas. Hal ini akan menyebabkan berlakunya
pencemaran bunyi di kawasan tersebut.

6.4.3 Kes jenayah


Apabila sesebuah kawasan berpenduduk padat, aktiviti
perniaagaan akan giat dijalankan untuk memenuhi permintaan
penduduk yang memerlukan barangan keperluan harian.
Perkembangan dalam sektor perniagaan secara tidak langsung
akan meningkatkan risiko berlakunya kes jenayah di sesebuah
kawasan. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila sesuatu kedai
dikunjungi oleh banyak pembeli sama ada penduduk sekitar atau
penduduk dari luar kawasan kajian dalam satu masa yang sama,
pencuri akan mengambil kesempatan untuk mencuri dan meragut
pembeli. Mangsa ragut tidak akan berperasaan bahawa mereka
diragut apabila terdapat ramai orang yang berkumpul di kawasan
tersebut.
Selain itu, apabila terdapat banyak institusi pendidikan seperti
pusat tuisyen dan sekolah yang didirikan di sesebuah kawasan, kes
penculikan juga akan berlaku kerana terdapat banyak pelajar yang
terdiri daripada kanak-kanak atau remaja di kawasan tersebut.
Mereka yang sedang menunggu ibu bapa di luar kawasan sekolah
selepas tamat waktu persekolahan telah menjadi sasaran
penculik. Didapati bahawa pelajar sekolah rendah lebih mudah
diculik kerana mereka lebih mudah terpedaya oleh kata-kata
manis penculik.

6.4.4 Masalah kesihatan


Menurut kata-kata bapa saya, Chen Tong Seng, didapati bahawa
terdapat beberapa wabak penyakit yang pernah disebarkan di
kawasan tersebut. Contoh wabak penyakit yang pernah
disebarkan ialah demam denggi dan penyakit Chikungunya.
Penyakit-penyakit ini adalah disebabkan oleh peniaga dan
penduduk sekitar yang tidak melaksanakan bertanggungjawab
mereka dalam usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk
Aedes dengan membuang bekas yang menakung air.
Longgokan sampah sarap di kawasan tersebut juga telah menjadi
tempat pmebiakan pembawa penyakit lain seperti tikus dan lalat
yang akan menyebabkan berlakunya keracunan makanan.
Selain itu, pencemaran udara yang diakibatkan oleh asap
kenderaan juga akan mendatangkan pelbagai penyakit seperti
asma dan barah paru-paru kepada penduduk sekitar.

6.4.5 Perubahan landskap


Kegiatan ekonomi juga akan mengubah landskap sesuatu
kawasan.
Dahulu, kawasan kajian saya diliputi tumbuhan semula jadi. Kini,
benyak kawasan hijau di kawasan kajian telah dibersihkan untuk
pembinaan bangunan-bangunan perniagaan dan rumah kediaman
atas permintaan penduduk sekitar.
Masalah kesesakan jalan raya di Jalan Atas Pencemaran udara yang disebabkan
Banggol oleh pembakaran secara terbuka

Pencemaran air ( sungai yang penuh


Pencemaran darat dan bau yang disebabkan oleh dengan sampah dan sisa industri )
pembuangan sampah sarap secara longgokan
6.5 Langkah-langkah mengurangkan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam
sekitar dan manusia di kawasan kajian

6.5.1 Mengubah laluan dua hala kepada laluan sehala


Kesesakan lalu lintas di Jalan Atas Banggol dan Jalan Kelochor
boleh diatasi melalui peubahan jalan dua hala kepada jalan sehala.
Apabila jalan dua data diubah kepada jalan sehala, jalan raya akan
menjadi lebih lebar. Dengan jalan raya yang lebar, aliran trafik
akan menjadi lebih lancar kerana laluan jalan raya telah ditambah.
Oleh itu, kenderaan dapat melalui jalan raya dengan cepat dan
secara tidak langsung mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Dengan itu, pihak sekolah SMJK Chung Hwa dan SJKC Chung Hwa
sepatutnya memainkan peranan mereka dengan menulis surat
permohonan kepada Jabatan Kerja Raya untuk membina jalan
sehala di Jalan Atas Banggol dan Jalan Kelochor.

6.5.2 Menggunakan jalan alternatif


Jalan alternatif perlu digunakan untuk mengatasi masalah
kesesakan lalu lintas. Sebagai contohnya, warga SMJK Chung Hwa
sepatutnya menggunakan Jalan Atas Paloh sebagai jalan alternatif
untuk sampai ke sekolah. Jalan tersebut dihubungkan dengan
Jalan Mek Wakaf Zainab tetapi tidak melalui Jalan Atas Banggol
yang merupakan laluan utama bagi majoriti. Hal ini dapat
mengurangkan jumlah kenderaan di jalan utama dan secara tidak
langsung mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Jalan Atas
Paloh juga sepatutnya dilebarkan untuk menampung lebih banyak
kenderaan.

6.5.3 Menyediakan dan menambah tempat parkir kenderaan


Pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya sepatutnya
menyediakan ruang parkir kepada penduduk sekitar dan
pengguna jalan raya di kawasan tersebut. Contohnya, setelah
jalan raya dilebarkan, pihak berkuasa boleh menyediakan tempat
letak kereta di tepi Jalan Kelochor supaya ibu bapa mempunyai
tempat untuk meletakkan kenderaan mereka sementara
menunggu anak-anak mereka yang berada di dalam sekolah. Pihak
berkuasa juga hendaklah mengecat garisan parkir pada tempat
letak kereta supaya ibu bapa tidak meletakkan kenderaan mereka
secara seseuka hati sehingga menghalang aliran trafik.

6.5.4 Meyediakan lebih banyak tong sampah


Untuk mengatasi masalah sisa domestik yang semakin bertambah,
pihak MPKB haruslah menyediakan lebih banyak tong sampah di
kawasan tersebut. Apabila tong sampah di sesuatu kawasan
bertambah, masalah pencemaran darat dan bau dapat diatasi. Hal
ini dikatakan demikian kerana penduduk dan peniaga dapat
mengurus sisa domestik dan sampah sarap mereka dengan baik
apabila wujudnya banyak tempat pembuangan sampah. Kesihatan
penduduk sekitar juga akan terjamin apabila persekitarannya
bersih dan bebas daripada wabak penyakit. Pihak MPKB juga
sepatutnya kerap mengutip sampah sarap di kawasan tersebut,
iaitu mengikut jadual yang telah ditetapkan untuk mengatasi
masalah pencemaran bau.

6.5.3 Kempen kesedaran alam sekitar


Kempen Kesedaran Penjagaan Alam Sekitar haruslah diadakan
secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan
penduduk sekitar untuk menjaga alam sekitar. Kempen kesedaran
boleh diadakan melalui media massa seperti surat khabar,
televisyen dan radio. Sekolah di kawasan tersebut, iaitu SMJK
Chung Hwa dan SJKC Chung Hwa juga mestilah mengadakan
ceramah penjagaan alam sekitar untuk melahirkan generasi muda
yang lebih cakna terhadap alam sekitar.
Penduduk sekitar yang terlibat secara langsung atau tidak
langsung dengan kegiatan ekonomi perlulah diberi penerangan
tentang kesan terhadap alam sekitar yang berpunca dari kegiatan
ekonomi yang dijalankan oleh mereka dan kaedah-kaedah
bersesuaian untuk mengawalnya. Contohnya, pekerja kilang
haruslah diberi penerangan tentang kesan pembuangan sisa
industri ke dalam sungai yang akan menyebabkan pencemaran air.

6.5.6 Pendidikan alam sekitar


Pendidikan alam sekitar boleh disampaikan secara formal di
sekolah melalui subjek Geografi dan Sains yang diwajibkan belajar
oleh murid-murid. Cara dan kepentingan penjagaan alam sekitar
haruslah dimasukkan dalam sukatan pembelajaran untuk
meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid untuk menjaga
kebersihan alam sekitar. Melalui kaedah ini, murid-murid juga
akan terdorong untuk menghasilkan produk teknogi hijau untuk
mengatasi masalah alam sekitar yang disebabkan oleh kegiatan
ekonomi pada masa hadapan.

6.5.7 Penguatkuasaan undang-undang


Penggubalan akta dan undang-undang dapat memastikan sisa
domestik di kawasan tersebut diurus dengan sistematik. Selain itu,
pihak berkuasa tempatan juga haruslah mengenakan denda dan
hukuman yang lebih berat kepada penjenayah dan mereka yang
tidak menguruskan sisa domestik dan sampah sarap mereka
dengan baik supaya pesalah berasa takut untuk mengulangi
kesilapan mereka pada masa hadapan.

6.5.8 Rondaan polis


Meminta bantuan pihak polis mengadakan rondaan pada waktu
tamat persekolahan untuk mengatasi kes penculikan di kawasan
sekolah. Selain itu, pihak polis juga boleh meronda di kawasan
permis-premis perniagaan untuk menangani kes pencurian dan
kes ragut. Kamera litar tertutup juga sepatutnya dipasang untuk
menangkap mereka yang melakukan jenayah dan membuang
sampah secara merata-rata.

6.5.9 Pemasangan penapis asap


Pemasangan alat penapis asap pada eksos kenderaan
terutamanya lori dan bas dapat mengurangkan pelepasan asap
hitam oleh kenderaan tersebut kerana penapis asap akan menapis
dan mengurangkan kadar asap serta gas rumah hijau yang
dibebaskan ke udara oleh kenderaan yang menggunakan minyak
diesel sebagai bahan bakar. Hal ini dapat mengurangkan
pencemaran udara di kawasan tersebut.

7.0 KESIMPULAN
Melalui kajian yang saya jalankan ini, saya dapati bahawa kawasan kajian
saya ini mempunyai potensi dalam pelbagai kegiatan pertanian yang
melibatkan sektor sekunder dan sektor tertier. Kegiatan ekonomi yang
dijalankan termasuklah aktiviti pembuatan, pembinaan, perniagaan dan
Pendidikan. Potensi tersebut telah memberikan banyak manfaat kepada
penduduk setempat seperti membuka peluang pekerjaan, memajukan dan
meningkatkan kemudahan infrastruktur dan mengatasi masalah permintaan
kawasan kediaman dan meningkatkan taraf hidup penduduk. Namun, kegiatan
tersebut secara tidak langsung turut memberikan kesan negatif terhadap alam
sekitar dan manusia seperti pencemaran, kes jenayah, kesesakan lalu lintas,
masalah kesihat kepada penduduk sekitar dan perubahan landskap. Kesan
yang berlaku dapat dikurangkan sekiranya semua pihak dapat bekerjasama
dalam menyelesaikan masalah yang wujud. Antaranya, masalah kesesakan lalu
lintas akibat kepesatan aktiviti pendidikan, perniagaan dan pembuatan dapat
dikawal dengan mengubah laluan dua hala kepada laluan sehala,
menggunakan jalan alternatif serta menyediakan dan menambah tempat
parkir kenderaan. Masalah pencemaran masalah kesihatan penduduk turut
dapat diatasi dengan meyediakan lebih banyak tong sampah di kawasan
sekitar, kempen kesedaran alam sekitar, pendidikan alam sekitar, pemasangan
penapis asap pada eksos kenderaan dan penguatkuasaan undang-undang. Kes
jenayah juga dapat ditangani dengan rondaan polis.
Semasa menjalankan kajian ini, terdapat beberapa nilai murni yang
dapat saya pelajari. Antara nilai yang dapat saya pelajari ialah nilai menghargai.
Contohnya, kita hendaklah menjaga alam sekitar dan memastikan kegiatan
ekonomi yang dijalankan tidak menjejaskan alam sekitar. Pada masa yang
sama, saya juga dapat memupuk niali patriotisme sepanjang pelaksaan kerja
lapangan. Sebagai contohnya, kita haruslah bersyukur kerana berpeluang
untuk hidup dalam negara yang berkembang pesat. Kita juga hendaklah
mengetahui dan berasa bangga dengan sumbangan kegiatan ekonomi
setempat terhadap pembangunan negara tercinta. Selain itu, saya turut
mempelajari niai bekerjasama melalui kerja lapangan ini. Contohnya, saya
menyedari bahawa betapa pentingnya nilai kerjasama kepada penduduk di
sekitar SMJK Chung Hwa dalam memastikan alam sekitar tidak terjejas akibat
perkembangan kegiatan ekonomi. Kesan negatif kegiatan ekonomi juga dapat
dibendung dengan kerjasama antara penduduk sekitar dan pihak berkuasa
tempatan

Akhir kata, saya berasa bangga dengan kegiatan ekonomi di sekitar


tempat tingal saya yang semakin berkembang. Hal ini turut memberikan saya
keyakinan untuk membuat kerja kursus ini di kawasan tersebut. Saya berharap
agar kawasan yang saya duduki ini semakin berkembang dengan lebih pesat.
Selain itu, saya juga berharap kemajuan kegiatan ekonomi di kawasan sekitar
SMJK Chung Hwa adalah seiring dengan usaha menjaga dan mengekalakan
keindahan alam sekitar agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

8.0 RUJUKAN
Buku teks
 Ahmad Ridzuan Bin Abd Rahman, Rajini Gauri Muthusamy & Pau
Anak Utek.(2018). Geografi Tingkatan 3. Johor Bahru: IMS Books
Trading Sdn. Bhd.
 Kamaruzaman bin Yusoff, Mohamad Khairun Fitri bin Ahmad &
Mohd Nazron bin Zakaria.(2020).Geografi Tingkatan 5. Cheras: Era
Visi Sdn. Bhd

Buku rujukan
 Kang Chai Yeong, Zulkipli Ismail, Ranjanderan Subramaniam,
Chong Yoon Chai (2020). Geografi FOCUS PT3 KSSM Tingkatan
1.2.3.Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Laman Internet
 https://ms.wiktionary.org/wiki/kegiatan_ekonomi
 https://anyflip.com/zkxpf/unrv/basic

Orang sumber
 Chen Tong Seng, 57 tahun, Peniaga
 Ong Siew Chen, 42 tahun, Suri Rumah

9.0 LAMPIRAN

Contoh institusi pendidikan di kawasan kajian


Contoh aktiviti perniagaan

Contoh aktiviti pembuatan


Contoh aktiviti pembinaan

Anda mungkin juga menyukai