Anda di halaman 1dari 7

PERUTUSAN

TUAN SUTEKNO AHMAD BELON

KETUA PENGARAH
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

SEMPENA
PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2022

“LEBIH BAIK CEGAH”

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN
SALAM SEJAHTERA.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat


Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah kurnia dan inayahNya jua
kita dapat terus mengharungi kehidupan dalam sebuah negara
yang harmoni dan bersatu padu.

2. Penularan virus COVID-19 yang melanda seluruh dunia ternyata


telah memberikan kesan kepada kehidupan harian kita. Pada ketika
ini beberapa negara di dunia telah mengisytiharkan COVID-19
sebagai endemik yang bermaksud penyakit ini adalah wujud secara
berterusan dan merebak dalam kawasan atau wilayah tertentu
sahaja dan tidak hilang sepenuhnya. Walau bagaimanapun,
pematuhan terhadap SOP yang berkuat kuasa masih perlu
diteruskan dari semasa ke semasa.

3. Konsep dan inovasi yang digunakan dalam berhadapan dan


menangani virus COVID-19 boleh diaplikasikan dalam usaha
menangani permasalahan dadah dalam negara. Untuk itu, AADK
telah mengambil langkah dengan menambah baik saluran-saluran
perkhidmatan kepada rakyat dalam situasi penularan Covid-19 yang
telah membataskan akses perkhidmatan yang disediakan. Kempen-
kempen pendidikan pencegahan bagi memberikan kesedaran
kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah telah
dipelbagaikan platform penyampaiannya agar sesuai dengan
kumpulan sasaran dan situasi semasa.

4. Selain itu, usaha-usaha untuk mengekang permasalahan dadah


yang dilaksanakan oleh setiap Kementerian, Jabatan/Agensi,
Badan Bukan Kerajaan, pemimpin tempatan dan orang awam perlu
dilakukan secara berterusan dan hendaklah seiring dengan polisi
serta komitmen yang telah dinyatakan secara jelas melalui Dasar
Dadah Negara dan peruntukan akta-akta berkaitan dadah.

5. Justeru penularan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat hanya


akan mampu dibendung dari menjadi tidak terkawal dengan adanya
usaha kolaboratif yang digerakkan secara bersepadu dengan
mengoptimumkan modal sosial masing-masing. Kita perlu bersama-
sama memutuskan rantaian penyalahgunaan dadah sebelum ia
berada di dalam keluarga kita.

6. Dalam hal ini, masyarakat boleh memainkan peranan bersama-


sama dengan pihak kerajaan dalam memastikan persekitaran
tempat tinggal, institusi pendidikan dan tempat kerja bebas daripada
sebarang masalah berkaitan dadah, sama ada dari aspek
penawaran mahupun permintaan terhadap dadah.

7. Dalam masa yang sama, institusi kekeluargaan perlu


diperkukuhkan dengan meningkatkan nilai-nilai murni serta cakna
terhadap perkembangan dan perubahan tingkah laku ahli keluarga.
Saya percaya bahawa benteng pertahanan diri yang kuat adalah
bermula dari rumah dan ini menuntut pengorbanan serta usaha
berterusan ibubapa dalam memastikan benteng ini dapat dibina
dengan baik. Saya juga yakin bahawa benteng yang dibina dengan
didikan ibubapa yang sempurna, ditambah dengan ilmu berguna
yang diperolehi daripada warga pendidik, akan dapat membantu
melahirkan anak bangsa yang berkualiti.

8. Ibubapa juga perlu menjadi sahabat kepada anak-anak terutama


ketika usia anak masih muda dan apabila ia dipraktikkan, anak-
anak akan sentiasa menjadikan ibubapa sebagai tempat rujukan.
Oleh yang demikian, jadilah pendengar dan pembimbing yang baik,
insyaallah hasilnya juga akan baik.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi,

9. Trend penyalahgunaan dadah didapati telah berubah daripada


dadah yang berasaskan tumbuhan seperti ganja dan heroin kepada
dadah jenis sintetik. Dadah sintetik ini merupakan bahan terlarang
yang dihasilkan sepenuhnya di makmal haram dan terdiri dari 100%
bahan kimia serta tindak balasnya ke atas anggota tubuh badan
amat berbahaya.

10. Dadah-dadah sintetik ini didapati memberikan kesan yang lebih


teruk kepada penggunanya sehingga mengakibatkan kerosakan
yang kekal pada otak dan menyumbang kepada permasalahan
mental.

11. Baru-baru ini beberapa kes jenayah yang berlaku melibatkan


penyalah guna dadah yang mengalami masalah mental
sememangnya mengejutkan kita. Penyalahgunaan dadah mampu
menyebabkan kecelaruan pemikiran dan tidak mampu membuat
pertimbangan yang wajar sehingga berlakunya tingkah laku yang
tidak terkawal.

12. Selain itu, kewujudan dadah-dadah baharu yang dikenali sebagai


New Psychoactive Substances (NPS) juga memerlukan tindakan-
tindakan yang lebih proaktif dan berbeza daripada apa yang telah
kita lakukan selama ini.

13. Pelbagai strategi digunakan oleh dalang untuk mengedar serta


menjual dadah sintetik ini. Ada yang membungkus menggunakan
label produk makanan termasuk makanan kegemaran kanak-kanak
bagi mengaburi pihak berkuasa. Sasaran utama adalah golongan
remaja dan belia malahan akhir-akhir ini turut membabitkan murid
sekolah.

14. Justeru, AADK amat menyokong dan menghargai tindakan-tindakan


drastik yang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia diseluruh
negara untuk mengesan dan menggempur tempat dan makmal-
makmal pemprosesan dadah dalam negara sebelum ia berada
dalam pasaran. Dalam hal ini, marilah kita bersama-sama
menyokong usaha-usaha pihak PDRM ini dengan memberikan
maklumat berkaitan kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah
jika ada di kawasan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi,

15. Saban tahun AADK menganjurkan sambutan Peringatan Hari


Antidadah Kebangsaan sejak kali pertama Hari Antidadah peringkat
Kebangsaan diadakan pada 19 Februari 1983. Ketika itu telah
diisytiharkan bahawa “Dadah Musuh Nombor 1 Negara” dan
sehingga kini “Dadah Masih Musuh No. 1 Negara”. Ini bermakna
dengan sambutan peringatan pada tahun ini, untuk kali ke 39 kita
semua terus diperingatkan bahawa “Dadah Masih Musuh Nombor 1
Negara”. Musuh ini perlu ditewaskan dan ia hanya boleh
ditewaskan dengan cara kita sebagai satu Keluarga Malaysia
bersama-sama melawannya.
16. Kita masih mengekalkan tema “Lebih Baik Cegah” bagi sambutan
peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun 2022 ini. Pepatah
“Mencegah lebih baik dari merawat” memerlukan pemerkasaan
tindakan awalan yang seharusnya dilakukan oleh ibu bapa atau
penjaga dan komuniti bermula dari unit keluarga kecil sehinggalah
kepada tanggungjawab komuniti. Menjadi harapan saya agar
sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2022 tahun ini
dapat dihayati serta diterjemahkan selari dengan semangat
Keluarga Malaysia.

17. Pencegahan juga adalah satu strategi jangka masa panjang yang
mana hasilnya akan dinikmati oleh generasi akan datang. Di
kesempatan ini, saya menyeru kepada semua pihak sama ada
individu mahupun organisasi supaya bangun bersama kerajaan
untuk menangani permasalahan dadah ini. Saya percaya jika setiap
lapisan masyarakat melaksanakan tanggungjawab ini sebagai satu
jihad, nescaya pembentukan Keluarga Malaysia yang sihat dan
bebas dadah yang didirikan atas teras keterangkuman,
kebersamaan dan kesyukuran dapat dinikmati bersama.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya kasihi,

18. Pusat Gerakan Hotline AADK yang telah dilancarkan pada tahun
2018 perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Pusat Gerakan Hotline ini
yang beroperasi 24 jam merupakan salah satu saluran
penyampaian perkhidmatan AADK. Pusat Gerakan Hotline AADK
ini mempunyai dua fungsi iaitu menerima aduan orang awam
berkaitan penyalahgunaan dadah dan memberi khidmat nasihat
berkaitan rawatan dan fasiliti perkhidmatan AADK.

19. AADK juga menyediakan pelbagai maklumat di laman web rasmi


iaitu www.adk.gov.my termasuk maklumat mengenai dadah dan
penagihan serta jenis perkhidmatan yang disediakan oleh AADK.
AADK turut menggunakan platform media sosial seperti Facebook,
Twitter, Instagram termasuk channel AADK TV di Youtube dalam
menyebarluaskan maklumat-maklumat berkaitan pendidikan
pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah dan juga
penguatkuasaan undang-undang berkaitan penagihan dadah.

20. Justeru, saya menyeru orang ramai untuk memanfaatkan Pusat


Gerakan Hotline AADK dan juga maklumat-maklumat yang
disediakan dalam platform media sosial AADK dalam usaha kita
melawan Musuh Nombor 1 Negara ini.

21. Di kesempatan ini saya mewakili Agensi Antidadah Kebangsaan


merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah
kepada semua pihak yang telah bersama-sama menangani
permasalahan dadah. Semoga usaha kita akan terus mendapat
sokongan masyarakat dan beroleh keberkatan Allah Subhanahu
Wa Ta’ala. Akhir kata daripada saya dan warga AADK, Selamat
Menyambut Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan kepada
seluruh warga Malaysia yang kami kasihi.

Salam Lebih Baik Cegah.


Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai