Anda di halaman 1dari 2

TEKS PIDATO

SK ABANG MAN

Assalamualaikum Warahmatulllahi Wabarakatuh, sambutlah salam sejahtera,


semarak kasih, sekalung budi Tuan Pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif
lagi bijak sana, penjaga masa yang setia pada saat dan ketikanya, seterusnya para
hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan. Tajuk pidato saya ialah
“Keluarga Harmoni, Masyarakat Berkualiti”

Keluarga harmoni adalah apabila ibu, ayah dan adik beradik hidup dalam
keadaan penuh ceria, bersulamkan rasa kasih dan sayang. Masyarakat berkualiti
pula, merujuk kepada komuniti manusia yang sihat fikirannya, erat ukhuwwahnya
dan matang tindakannya. Tuntasnya, keluarga harmoni masyarakat berkualiti
berkehendakkan kita untuk mentafsir daripada hati kepada hati tentang harga yang
dimiliki oleh keluarga dalam melahirkan masyarakat yang berkualiti.

Hadirin sekalian,

Sudah sekian lama kita didendangkan dengan pelbagai konsep keluarga harmoni.
Keluarga sakinah, baiti jannati, rumahku syurgaku dan syurga di bawah telapak kaki
ibu! Namakan apa sahaja konsep keluarga harmoni. Saya pasti, kita semua sudah
mendengarnya. Namun persoalannya, berapa ramai daripada kita yang benar-benar
faham dan menterjemahkannya dalam kehidupan? Jika benar kita memahaminya,
mengapa setiap 15 minit, satu pasangan islam bercerai di Malaysia! Jika benar kita
memahaminya, mengapa setiap 5 hari, seorang bayi kecil dibuang tanpa rasa
berdosa! Dan, jika benar kita memahaminya, mengapa setiap hari, dua orang remaja
kita lari dari rumah? Tepuk dada tanyalah iman.

Warga dewan yang budiaman,

Agama mengajar kita betapa baik buruknya seseorang manusia dan bangsa adalah
bergantung kepada warna hatinya. Dan warna hati ini, ditentukan menerusi didikan
ibu bapa dan keluarga. Maka, lakarkanlah hati ini dengan nilai murni, corakkan
dengan budi pekerti, dan warnakan dengan sahsiah terpuji. Kemuliaan hati ini,
mungkin tidak boleh kita baca, tetapi boleh kita rasa dengan jiwa.
Ingatlah, menikmati sebuah kebahagiaan tidaklah begitu mahal, kerana harganya
cumalah kasih sayang, masa bersama dan kesudian berkongsi rasa. Saya yakin kita
semua mampu membayarnya.

Saudara dan saudari,

Tuhan merakamkan kisah keluarga Imran dalam kitab suci Al-Quran. Kenapa?

Kerana keluarga Imran adalah keluarga contoh yang merasa risau akan zuriat
mereka. Bukan risau soal makan, minum dan tempat berteduh. Bukan juga soal
pakaian dan hiburan. Tapi keluarga Imran risaukan nasib zuriatnya, andai mereka
gagal dibentuk menjadi sebenar-benar insan.

Dalam kitab sejarah Ennels, karya Tesites, kisah masyarakat Rom Purba telah
dinukilkan. Pada tahun ke seratus, hidup atau mati seorang anak kecil, bergantung
pada belas ihsan seorang ayah. Waktu itu rasa hormat pada orang tua, juga telah
mati. Tidak hairanlah, anak muda berpaling tadah saat Juliyes Sizer menyeberangi
Rubikon untuk menjajah. Sebuah kerajaan akhirnya rebah.

Lalu yang runtuh, yang rosak itu apa? Istitusi keluarga,

Yang lebur, yang hancur yang terkubur itu apa? Sahsiah rakyatnya,

Dan yang goyah, yang parah, yang rebah dan musnah itu apa? Sebuah empayar
dan negara.

Betapa keluarga bukan hanya soal pengorbanan kita sesama saudara, tetapi soal
tanggungjawab kita, untuk membina sebuah masyarakat, dan negara yang
berkualiti. Maka sama-samalah kita cari makna harmoni kerana jelaslah, hanya
keluarga harmoni akan menjadi penentu masyarakat yang berkualiti.

Sebelum mengakhiri pidato ini,

Saya menyeru kepada anda semua, untuk sama-sama kita mencari makna harmoni
dan sama-sama kita menjalankan dasar keluarga negara. Marilah kita bangunkan
negara dan membangunkan keluarga kita. Keluarga Harmoni Masyarakat Berkualiti.
Sekian..

Anda mungkin juga menyukai