Anda di halaman 1dari 4

Teks Pidato Nilai Murni

July 22, 2017 – by admin0 

Assalamu’alaikum.W.B.T

Yang dihormti ___________________, Nama ______________________,


yang hormati _______ selaku pengacara majlis, yang kami hormati
___________________, panel hakim yang bijaksana lagi arif, penjaga masa
yang setia dengan jam randiknya, guru-guru seterusnya hadirin hadirat yang
berbahagia sekalian.

Selamat datang saya ucapkan kepada seluruh warga dewan yang hadir disini.
Tajuk pidato saya pada hari ni tidak lain dan tidak bukan adalah berkaitan
Memupuk Amalan Nilai Murni. Ya, tajuk yang tidak asing bagi kita semua
bukan. Sebelum saya mulakan molek kalau kita mengenal takrif nilai murni itu
sendiri.

Nilai murni boleh ditakrifkan sebagai amalan yang baik dalam kehidupan,
umpamanya hormat-menghormati, tolong-menolong, prihatin, bersimpati,
berperikemanusian dan lain-lain lagi.  Namun, pada era dunia tanpa
sempadan ini, amalan murni ini semakin lenyap ditelan zaman.  Persoalan
yang menjadi percaturan minda adalah apakah prakarsa istiqamah yang
boleh dijana untuk menjamin amalan suci in terus diamalkan?

Obligasi untuk memupuk nilai-nilai murni ini tidak harus dipandang enteng


oleh setiap ibu bapa dan haruslah dijulang sampai ke langit.  Ibu bapa harus
mendidik amalan ini sejak anak-anak merah tapak kaki lagi, bak kata
pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya.  Hal ini kerana
secara analoginya, kanak-kanak diibaratkan kain putih dan ibu bapa
merupakan warna yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. 
Misalnya, ibu bapa harus menerapkan ajaran agama yang mantap
dalam atma anak-anak dengan membawa mereka untuk mendekati Tuhan
seperti dengan bersembahyang dan mengikut anutan agama masing-
masing.  Selain itu, mereka haruslah mengajar anak-anak untuk menghormati
orang tua dan menyayangi haiwan.  Mereka mestilah  memberi amaran
kepada kanak-kanak supaya tidak bersikap biadab terhadap sesiapa sahaja
apatah lagi ahli keluarga sendiri.  Malah, mereka harus mendidik kanak-kanak
tentang cara bercakap dengan orang tua dan tingkah laku semasa berada di
rumah orang.  Apabila selalu terdedah kepada pengajaran sedemikian,
kanak-kanak boleh membezakan antara intan dengan kaca dan antara batu
dengan permata. Dalam konteks ini, ibu bapa juga haruslah menjadi teladan
yang terbaik kepada anak-anak dengan bersikap sopan santun kerana
pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bapa borek anak
rintik.  Ikhtisarnya, ibu bapa perlu berpegang kepada prinsip jika menebang
menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai dalam mendidik anak-
anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni  yang disanjungi, bak
rangkap sajak berikut,
Hikayat Melayu disanjungi warisan,

Menjadi wahana penglipur nestapa,

Anak bersopan tonggak wawasan,

Berkat usaha ibu dan bapa.

Sementelahan itu, peranan pendidikan formal dalam memupuk nilai-nilai


murni dalam sukma kanak-kanak tidak harus kita kesampingkan.  Amalan
nilai-nilai murni dalam kehidupan misalnya nilai bertanggungjawab, rasional,
kepercayaan kepada Tuhan, amanah, toleransi, berhemah tinggi,
kesederhanaan, kasih sayang, menyayangi dan menghargai alam sektiar,
hidup bersama secara aman, mematuhi peraturan dan undang-undang wajar
diterapkan dalam subjek Pendidikan Moral,  Pendidikan Sivik Dan
Kewarganegaraan, serta Pendidikan Agama Islam.  Kendatipun, untuk
mencapai misi yang komprehensif dan konkrit, nilai-nilai murni haruslah
diamalkan secara berkesan.  Bertitik tolak daripada itu, pihak sekolah boleh
menganjurkan minggu Budi Bahasa Budaya Kita dan memberi anugerah
Pelajar Sopan kepada pelajar yang bersikap sopan santun, menghormati
guru-guru dan berhemah tinggi sepanjang  berada di sekolah supaya boleh
menjadi suri teladan kepada pelajar lain.  Tambahan pula, para pendidik
harus mementingkan amalan nilai murni dalam proses Pengajaran dan
Pembelajaran (P&P) dengan mengajar murid-murid terutama pelajar sekolah
rendah tentang adab sopan ketika berada di dalam kelas, adab sopan ketika
berkomunikasi dengan guru dan rakan.  Hal ini kerana misi pendidikan negara
kita bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kurikulum
dan kokurikulum, malah juga untuk melahirkan modal insan yang
mengamalkan nilai-nilai murni, bermoral dan bertatasusila, sejajar dengan
prinsip kelima Rukun Negara, yakni Kesopanan dan
Kesusilaan.  Deduksinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan
merupakan senjata yang dominan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
kalangan kanak-kanak. 

Rentetan iu, kerajaan juga sewajarnya memandang serius masalah yang


berkaitan sahsiah kanak-kanak bagai menghela rambut dalam tepung,
rambut jangan putus, tepung jangan berserak.  Pihak kerajaan sepatutnya
bersendel bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan
(NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk
menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah
air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang
dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak
pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami
Prihatin gagal mengurangkan kemelut sosial yang semakin berleluasa
dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Berikutan itu, kempen
Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak
melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu
disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk
nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan
menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan
sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini.  Pihak sekolah pula
haruslah mewajibkan penglibatan murid-murid dalam kempen ini untuk
memastikan keberkesanannya, bak kata pepatah,bulat air kerana
pembuluh, bulat kata kerana muafakat.  Selain itu, kempen tersebut
haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi
idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka
mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek.  Jelaslah
menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua
pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah
mulia.

Di samping itu, peranan media massa, sama ada media cetak dan media
elektronik amat dominan dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam atma
kanak-kanak.  Berdasarkan penyelidikan, dipercayai bahawa kecanggihan
teknologi media seperti televisyen, radio dan internet serta akhbar arus
perdana mampu mempengaruhi akhlak kanak-kanak kerana kanak-kanak
pada era moden ini sememangnya sudah celik teknologi maklumat.  Mereka
akan  tergila-gila kepada media baru.  Oleh hal yang demikian, pihak media
massa bolehlah mengambil kesempatan ini untuk menyiarkan iklan,
dokumentari, drama dan paling penting, siaran kartun yang semestinya
menjadi kegemaran kanak-kanak. Misalnya, iklan tentang seorang kanak-
kanak yang memberi tempat duduk kepada orang tua di dalam komuter yang
kerap disiarkan di TV3 dan iklan kanak-kanak membantu seorang wanita tua
mengangkat barang amat berkesan kepada penonton.  Malahan, drama-
drama seperti Precious Babies, Three Pads, One Mom, Hwang Jin Yi, Next
Stop, Happiness dan lain-lain lagi mengandungi  babak-babak yang
menonjolkan kepentingan nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dan
seterusnya diamalkan oleh kanak-kanak dalam kehidupan seharian.
Jadi, sudah terang lagi bersuluh, bahawa media massa
merupakan wadah yang paling sesuai untuk memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari kanak-kanak. 

Akhirulkalam, semua pihak sewajarnya berganding bahu untuk mengorak


langkah yang afdal bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-
kanak agar memacu pembangunan negara.  Kita sedia maklum bahawa
kekurangan nilai-nilai murni dalam  diri individu akan menyumbang kepada
pelbagai gejala sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat.  Selaras
dengan peribahasa Melayu yang mengatakan tiada keruh yang tidak dapat
dijernihkan, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, bersama-samalah kita
memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak, bak rangkap sajak
yang dipetik daripada sajak Seuntai Kata Untuk Dirasa karya A. Samad Said,

Sekarang singkirkan semua bicara,

Sekarang kumpulkan tenaga raksasa,

Tiba saat berbunga merah,

Serentak kita bersama

Anda mungkin juga menyukai