Anda di halaman 1dari 5

KESUSASTERAAN MELAYU SPM

TEKS : Kubentang Sehelai Peta


Drama : ANNA (oleh Kemala)

1. Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala,


a) huraikan pemikirannya (tema). (4m)
b) jelaskan empat persoalan di dalamnya. (16m)

Jawapan contoh

a) Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala, pemikiran yang jelas dipaparkan ialah
pergolakan rumah tangga yang berlaku dalam kehidupan sepasang suami isteri.
Pergolakan (konflik) berlaku antara Zaki dengan isterinya iaitu Anna. Zaki, seorang pemuda
Melayu manakala isterinya, Anna ialah peranakan Inggeris dan Melayu. Pergolakan berlaku
kerana Anna berpendapat bahawa Zaki lebih menyayangi dan memberi tumpuan terhadap
ibunya berbanding dirinya. Bagi Anna, manusia harus hidup dengan kekuatan sendiri dan
bukannya mengharapkan bantuan orang lain. Kesannya, Anna tetap meninggalkan Zaki dan
pulang ke London walaupun cuba dipujuk oleh suami, ibu mertua dan Dr. Chan.

b) Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala, persoalan yang jelas dipaparkan ialah
kasih sayang yang terjalin sesama anggota keluarga. Contohnya, Zaki amat menyayangi
ibunya yang telah banyak berkorban dalam hidupnya. Oleh itu, Zaki memberi banyak
tumpuan dan kasih sayang kepada ibunya. Beliau telah berjumpa dengan Dr. Chan dan
meminta bantuannya untuk membedah mata ibunya yang hampir buta. Zaki juga amat
menyayangi isterinya iaitu Anna. Beliau telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan
rumah tangganya dengan memujuk Anna agar tidak kembali ke pangkuan ayahnya di
London. Namun Anna tidak dapat menilai dan memahami kasih sayang Zaki terhadapnya.

Selain itu, persoalan yang jelas dipaparkan ialah sikap tabah dan sabar dalam
menghadapi dugaan hidup. Contohnya, Mak Munah bersikap tabah dengan bekerja keras
untuk menyara pengajian anaknya di London selama lima tahun. Beliau juga telah
menggadaikan tanahnya di kampung bagi memastikan anaknya dapat menghabiskan
pelajarannya di Universiti Cambridge di London. Zaki juga tetap tabah dan sabar walaupun
Anna menuduh beliau membelakangkan dirinya dan lebih mementingkan ibunya. Zaki tidak
marah dan sebaliknya menasihati Anna agar bertenang serta memikirkan anaknya iaitu Tina.
Seterusnya, drama ini juga memaparkan persoalan tentang sikap mengenang jasa
terhadap pengorbanan yang telah dilakukan oleh seseorang. Contohnya, Zaki mengenang
jasa ibunya yang telah banyak berkorban untuk melihat kejayaannya. Selama lima tahun
Zaki menuntut di Universiti Cambridge, ibunya bekerja keras dan sanggup menggadaikan
tanahnya untuk menampung segala perbelanjaan pengajiannya. Oleh itu, Zaki amat
mengambil berat tentang kebajikan ibunya dan berurusan dengan Dr. Chan untuk
memulihkan penglihatan ibunya yang hampir buta.

Di samping itu, terdapat persoalan tentang sikap simpati terhadap insan yang
bernasib malang. Contohnya, Dr. Chan bersimpati terhadap ibu Zaki yang hampir buta. Oleh
itu, beliau menawarkan diri untuk merawat ibu Zaki kerana dianggapnya sebagai insan
istimewa yang sanggup berkorban untuk masa depan anaknya.

Drama ini juga memaparkan persoalan tentang sikap mementingkan diri sendiri.
Contohnya, Thomas Carpentar memberitahu anaknya (Anna) bahawa masyarakat di Barat
hidup berdasarkan kekuatan sendiri dan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain.
Thomas juga membandingkan cara hidup masyarakat di Timur yang mengamalkan budaya
bekerjasama dan bergotong-royong. Oleh itu, Thomas berpendapat bahawa anaknya tidak
akan dapat menerima kenyataan dan pasti tidak akan sehaluan dengan masyarakat Timur.

Selanjutnya, drama ini menonjolkan persoalan tentang kegagalan memahami


budaya sesuatu bangsa. Contohnya, Anna tidak dapat memahami dan menerima cara hidup
masyarakat di Timur yang lebih mementingkan hubungan kekeluargaan berbanding diri
sendiri. Oleh itu, Anna cemburu melihat hubungan rapat Zaki dengan ibunya dan
menuduhnya lebih memberikan tumpuan serta kasih sayang kepada ibu berbanding dirinya.
Anna juga mengatakan dirinya seperti hidup dalam penjara selama empat tahun dia
berkahwin dengan Zaki. Kegagalan memahami budaya hidup juga menyebabkan Anna
menuduh ibu Zaki memecahkan kasih sayang terhadap dirinya.

Akhir sekali, drama ini juga mengetengahkan persoalan tentang sikap suka
menghasut orang lain. Contohnya, ayah Anna iaitu Thomas Carpentar menyatakan bahawa
anaknya tidak akan mendapat kasih sayang sepenuh daripada suaminya. Oleh itu, Thomas
mengatakan Anna hanya sia-sia mencintai dan berkahwin dengan Zaki. Thomas juga
berpendapat bahawa anaknya mengharapkan sesuatu yang belum pasti kerana Zaki lebih
setia dan sayang akan ibunya berbanding Anna. Kata-kata sebegini telah mendorong Anna
untuk meninggalkan suami dan anaknya lalu kembali kepada ayahnya di London.

[Perhatian : Calon boleh memilih mana-mana empat isi]


2. Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala,
a) huraikan empat nilai murni di dalamnya. (16m)
b) nyatakan kesudahan drama ini. (4m)

Jawapan contoh

a) Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala, nilai murni yang jelas dipaparkan ialah
nilai kasih sayang. Contohnya, Zaki amat menyayangi ibunya yang telah banyak berkorban
dalam hidupnya. Oleh itu, Zaki memberi banyak tumpuan dan kasih sayang kepada ibunya.
Beliau telah berjumpa dengan Dr. Chan dan meminta bantuannya untuk membedah mata
ibunya yang hampir buta. Zaki juga amat menyayangi isterinya iaitu Anna. Beliau telah
berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangganya dengan memujuk Anna
agar tidak kembali ke pangkuan ayahnya di London. Namun Anna tidak dapat menilai dan
memahami kasih sayang Zaki terhadapnya.

Selain itu, nilai murni yang terdapat ialah nilai ketabahan. Contohnya, Mak Munah
bersikap tabah dengan bekerja keras untuk menyara pengajian anaknya di London selama
lima tahun. Beliau juga telah menggadaikan tanahnya di kampung bagi memastikan anaknya
dapat menghabiskan pelajarannya di Universiti Cambridge di London. Zaki juga tetap tabah
dan sabar walaupun Anna menuduh beliau membelakangkan dirinya dan lebih
mementingkan ibunya. Zaki tidak marah dan sebaliknya menasihati Anna agar bertenang
serta memikirkan anaknya iaitu Tina.

Seterusnya, drama ini turut menggambarkan nilai murni iaitu nilai mengenang jasa.
Contohnya, Zaki mengenang jasa ibunya yang telah banyak berkorban untuk melihat
kejayaannya. Selama lima tahun Zaki menuntut di Universiti Cambridge, ibunya bekerja
keras dan sanggup menggadaikan tanahnya untuk menampung segala perbelanjaan
pengajiannya. Oleh itu, Zaki amat mengambil berat tentang kebajikan ibunya dan berurusan
dengan Dr. Chan untuk memulihkan penglihatan ibunya yang hampir buta.

Akhir sekali, nilai murni yang ditonjolkan ialah nilai simpati. Contohnya, Dr. Chan
bersimpati terhadap ibu Zaki yang hampir buta. Oleh itu, beliau menawarkan diri untuk
merawat ibu Zaki kerana dianggapnya sebagai insan istimewa yang sanggup berkorban
untuk masa depan anaknya.

b) Kesudahan drama “Anna” mengisahkan ketegasan dan kedegilan Anna yang tetap
mahu kembali ke London walaupun cuba dipujuk oleh Zaki, Mak Munah, Dr. Chan dan Tina.
Zaki juga berharap Dr. Chan akan membantu melakukan pembedahan terhadap ibunya agar
dapat melihat kembali seperti sediakala. Dr. Chan berjanji akan membantu Mak Munah dan
juga menasihati Zaki agar bersabar menghadapi dugaan hidup setelah Anna kembali ke
London. Beliau juga berharap Zaki akan hidup bahagia bersama ibu dan anaknya.
3. Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala,
a) huraikan tiga perwatakan Zaki. (9m)
b) jelaskan tiga perwatakan Anna. (9m)
c) anda dikehendaki untuk menghasilkan drama sebabak yang berkaitan nasihat Zaki
kepada Anna agar jangan meninggalkannya. Panjang skrip drama anda hendaklah antara 6
hingga 8 dialog. (8m)

Jawapan contoh

a) Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala, Zaki merupakan watak protagonis


(utama). Zaki digambarkan sebagai seorang yang bersikap penyayang. Contohnya, Zaki
amat menyayangi ibunya yang telah banyak berkorban dalam hidupnya. Oleh itu, Zaki
memberi banyak tumpuan dan kasih sayang kepada ibunya. Beliau telah berjumpa dengan
Dr. Chan dan meminta bantuannya untuk membedah mata ibunya yang hampir buta. Zaki
juga amat menyayangi isterinya iaitu Anna. Beliau telah berusaha sedaya upaya untuk
menyelamatkan rumah tangganya dengan memujuk Anna agar tidak kembali ke pangkuan
ayahnya di London. Namun Anna tidak dapat menilai dan memahami kasih sayang Zaki
terhadapnya.

Selain itu, Zaki digambarkan sebagai seorang anak yang mengenang jasa dan
pengorbanan ibunya. Contohnya, Zaki mengenang jasa ibunya yang telah banyak berkorban
untuk melihat kejayaannya. Selama lima tahun Zaki menuntut di Universiti Cambridge,
ibunya bekerja keras dan sanggup menggadaikan tanahnya untuk menampung segala
perbelanjaan pengajiannya. Oleh itu, Zaki amat mengambil berat tentang kebajikan ibunya
dan berurusan dengan Dr. Chan untuk memulihkan penglihatan ibunya yang hampir buta.

Seterusnya, Zaki memiliki jiwa patriotik yang kental. Contohnya, Zaki sayang akan
bangsa dan negaranya. Zaki memberitahu Anna bahawa bangsa dan negaranya yang baru
merdeka sedang berjuang untuk mengisi kemerdekaan walaupun Inggeris telah banyak
meninggalkan parut-parut luka. Zaki juga pulang semula ke Malaysia setelah tamat
pengajian di Universiti Cambridge kerana mahu berkhidmat di tanah air sendiri dan
membangunkan negara tercinta.
b) Berdasarkan drama “Anna”, karya Kemala, Anna memiliki sikap degil atau keras
kepala. Contohnya, Anna tetap mahu balik ke London walaupun banyak kali dipujuk oleh
Zaki dan Dr. Chan. Anna beranggapan bahawa empat tahun perkahwinannya seperti hidup
seksa dan macam penjara. Dia juga menyesal berkahwin dengan Zaki dan tidak mendengar
nasihat ayahnya supaya jangan memilih pemuda dari Timur.

Selain itu, Anna memiliki sifat cemburu. Anna cemburu melihat hubungan rapat Zaki
dengan ibunya iaitu Mak Munah. Anna menuduh Zaki lebih menumpukan perhatian dan
kasih sayang kepada ibunya berbanding dirinya. Anna juga menuduh bahawa ibu Zaki telah
memecahkan kasih sayang Zaki terhadapnya dan dia seperti hidup dalam penjara.

Seterusnya, Anna digambarkan sebagai seorang yang tidak dapat menerima


kenyataan dan asyik menyalahkan orang lain. Contohnya, Anna tidak dapat menerima
kenyataan bahawa ibunya menjadi mangsa kerana ditembak oleh komunis. Bagi Anna,
ibunya yang tidak bersalah telah ditembak oleh komunis kerana mereka mencurigai
bapanya yang berbangsa Inggeris. Anna juga menuduh Zaki sebagai membawa penderitaan
dalam hidupnya kerana lebih mementingkan ibu berbanding dirinya.

Di samping itu, Anna juga digambarkan memiliki sikap penyayang dan sanggup
berkorban. Contohnya, Anna amat menyayangi Zaki dan sanggup meninggalkan
pengajiannya di universiti semata-mata mahu berkahwin dengan Zaki. Demi kasih sayang,
Anna juga sanggup meninggalkan ayah dan tanah airnya (London). Anna juga pernah
memberitahu Dr. Chan bahawa dia memerlukan lebih banyak perhatian dan kasih sayang
Zaki terhadapnya berbanding ibunya.

[Perhatian : Calon boleh memilih mana-mana tiga isi]

Anda mungkin juga menyukai