Anda di halaman 1dari 7

KURSUS :

UNDANG-UNDANG KELUARGA II (SBSU 3053)

ULASAN ARTIKEL:

PINDAAN AKTA MEMPERBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN


PERCERAIAN) 1976 (AKTA 164) (PINDAAN 2017) DAN IMPLIKASINYA TERHADAP
BIDANG KUASA MAHKAMAH SYARIAH

NAMA PENSYARAH:

PUAN ZAINI YUSNITA BINTI MAT JUSOH

NAMA PELAJAR:

MUHAMMAD YUSRI BIN ZULKEFLI

NO MATRIK:

18BI01102

IJAZAH SARJANA MUDA SYARIAH DENGAN UNDANG-UNDANG

JABATAN UNDANG-UNDANG

FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG

SESI II 2020/2021

SEMESTER 5A
PENDAHULUAN

Artikel ini ditulis oleh Prof Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. Beliau merupakan
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS)
Malaysia.

Pada 21 November 2016, Rang Undang-Undang bagi Akta 164 (Pindaan 2016) telah
dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato’
Seri Azalina Othman Said sebagai bacaan pertama namun bacaan kali kedua yang dijadualkan
pada 6 April 2016 ditangguhkan.

Pada bacaan kali kedua pada 9 Ogos 2017 Rang Undang-Undang Akta 164 telah
diluluskan oleh Dewan Rakyat dan seterusnya oleh Dewan Negara pada 21 Ogos 2017. Enam
pindaan yang dilakukan adalah ke atas Seksyen 3(3), Seksyen 12(1), Seksyen 51(1), Seksyen 51A,
Seksyen 76, dan Seksyen 95.

Pada awalnya terdapat 7 klausa yang dibentangkan untuk dipinda di mana pada klausa
7, YB Dato’ Seri Azalina mencadangkan untuk mewujudkan satu seksyen baru iaitu seksyen 88A
mengenai status kepada anak yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam. Sub seksyen ini
menyatakan bahawa anak tersebut hendaklah kekal dengan agama asal sebelum pertukaran
agama berlaku melainkan kedua-dua ibu dan bapanya bersetuju dengan penukaran agama anak
tersebut serta dengan persetujuannya jika dia sudah berumur 18 tahun.

Berikutan itu, timbul satu polemik dan cadangan itu mendapat bantahan dari mufti,
ulama, pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGI), dan pihak pembangkang. Oleh sebab itu
kerajaan menarik balik RUU tersebut dan mencadangkan RUU yang baru untuk bacaan kedua
dan ketiga dengan mengeluarkan seksyen 88A dan mengurangkan 7 klausa menjadi 6 klausa
cadangan pindaan.

Pindaan ini dicadangkan dan dilakukan untuk menyelesaikan beberapa isu yang tidak
berkesudahan dan pindaan ini dirangka berdasarkan tiga prinsip iaitu:
1. Sebarang isu berbangkit dari penceraian yang perkahwinannya didaftarkan di bawah
Akta 164 hendaklah diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu dan tuntutan hak
jagaan anak dapat terpelihara dan terjamin.
2. Dapat menyelesaikan isu perkahwinan mengikut Akta 164 dengan memberi peluang
kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkahwinan mereka di Mahkamah Sivil.
3. Pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta
pertindihan peruntukan undang-undang yang sedia ada dapat diselesaikan.

ISU-ISU YANG BERBANGKIT SEBELUM PINDAAN AKTA 164

Sebelum pindaan Akta 164, terdapat percanggahan dan pertindihan bidangkuasa di


antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam perkara yang berbangkit dari
pembubaran perkahwinan. Isu yang sering terjadi adalah apabila salah seorang pasangan
memeluk agama Islam. Walaupun pembubaran perkahwinan diselesaikan di mahkamah sivil
tetapi sering kali timbul masalah apabila hal-hal yang berbangkit daripada pembubaran
perkahwinan sering diserahkan kepada mahkamah syariah. Oleh itu, pertindihan bidangkuasa
sering berlaku.

Disebabkan itu Seksyen 3(3) dipinda bagi memberikan bidangkuasa eksklusif kepada
Mahkamah Sivil berkenaan dengan pembubaran perkahwinan dan semua perkara yang
berbangkit daripadanya, jika salah seorang daripada pasangan memeluk agama Islam. Hal ini
kerana platform platform yang betul untuk mengendalikan kes ini ialah di mahkamah sivil
kerana perkahwinan asal didaftarkan di bawah undang-undang sivil (Akta 164). Oleh itu,
perkara yang berbangkit dari pembubaran perkahwinan ini juga seharusnya diselesaikan di
mahkamah sivil.

Sebelum pindaan Seksyen 12(1) yang memberikan hak setara di antara ibu dan ayah
berkenaan dengan perkahwinan anak di bawah umur 21 tahun, hanya kebenaran bapa sahaja
yang diperlukan untuk anak di bawah umur 21 tahun berkahwin.
Isu timbul apabila salah satu pasangan memeluk Islam dan mengikut Akta 164 hanya
membenarkan pihak yang tidak memeluk agama Islam untuk memohon petisyen perceraian.
Mahkamah Syariah boleh memisahkan mereka tanpa mengeluarkan sijil perceraian kerana
hanya mahkamah sivil berhak membubarkan perkahwinan disebabkan perkahwinannya
didaftarkan bawah Akta 164. Selagi pihak yang bukan Islam tidak memfailkan petisyen
perceraian di bawah Akta 164, selagi itulah perkahwinan mereka tergantung. Oleh itu, pindaan
Seksyen 51(1) memberikan hak dan kuasa tindakan kepada pihak yang memeluk agama Islam
untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan terhadap pasangannya yang bukan
Islam di Mahkamah Sivil.

Sebelum pindaan dilakukan, pembahagian harta pusaka muallaf akan diuruskan oleh
Mahkamah Syariah. Ianya akan menafikan langsung hak perwarisan pusaka oleh pihak yang
tidak memeluk agama Islam. Ini menggambarkan ketidakadilan berlaku ke atas pihak yang tidak
memeluk Islam kerana tidak berhak mendapat sebarang harta pusaka muallaf walaupun
mereka berkahwin di bawah Akta 164. Oleh itu Seksyen 51A dipinda dengan memasukkan
peruntukan baru bagi seseorang mualaf. Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat
membubarkan perkahwinan sivilnya, maka pembahagian harta pusaka muallaf tersebut adalah
tertakluk kepada pembahagian oleh Mahkamah Sivil kepada pihak-pihak yang berkaitan kerana
perlu difahami bahawa harta yang diperoleh dalam kes pemelukan Islam oleh salah satu pihak
ini berpunca dari semasa perkahwinan mereka dalam undang-undang Sivil.

Sebelum pindaan, tuntutan sampingan berkenaan pembubaran perkahwinan seperti


harta sepencarian mengalami pertindihan bidangkuasa mahkamah. Seperti dalam kes Tan Sung
Mooi v Too Miew Kim, Mahkamah Agung memutuskan bahawa mahkamah sivil berhak
mendengar dan menentukan tuntutan sampingan lain walaupun sudah ternyata responden
telah memeluk Islam. Hal ini disebabkan kedua-dua pihak adalah bukan Islam semasa
perkahwinan dan perkahwinan itu didaftarkan di bawah Akta 164 oleh itu hal-hal berbangkit
mengenai pembubaran adalah di bawah bidangkuasa mahkamah sivil.
Pada 2017, pindaan dibuat ke atas Seksyen 76 berkenaan dengan pembahagian asset
yang diperolehi semasa perkahwinan selepas daripada pembubaran perkahwinan mestilah
diputuskan Mahkamah Sivil.

Antara isu lain yang timbul sebelum pindaan ialah terdapat pihak yang memeluk agama
Islam tetapi tidak bertanggungjawab kerana menggunakan seksyen 51 Akta 164 untuk
mengelak dari membayar nafkah. Dalam kes Letchumy lwn Ramadason pada awalnya
Pesuruhjaya Kehakiman mengarahkan responden membayar nafkah Rm200 sebulan kepada
plaintif namun responden bertindak memohon perintah supaya diketepikan perintah tersebut
kerana Akta 164 tidak terpakai ke atasnya sebagai seorang Islam dan Mahkamah Tinggi
menerimanya.

KONFLIK BIDANGKUASA DI ANTARA DUA MAHKAMAH DALAM HAK PENJAGAAN ANAK

Dalam isu hak penjagaan anak pula, ianya diperuntukkan di dalam kedua-dua undang-
undang sivil dan syariah. Sebagai contoh, hak penjagaan anak dalam sivil diperuntukkan di
dalam Seksyen 88(1) Akta 164 dan seksyen 3 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 manakala di
bawah undang-undang Syariah seksyen 82(1) Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003
ada memperuntukkan mengenai penjagaan anak.

Namun begitu, jika diteliti kedua-dua peruntukan tersebut juga termasuk pendapat para
fuqaha dalam undang-undang Islam, kedua-dua undang-undang Islam dan Sivil meletakkan
syarat kebajikan kanak-kanak merupakan kriteria utama dalam penentuan hak penjagaan
kanak-kanak dan bukannya melihat kepada siapa yang berhak.

Terdapat banyak kes tuntutan hak penjagaan anak yang melibatkan pasangan yang
berbeza agama yang dibuat di kedua-dua mahkamah. Hal ini kerana pihak yang memeluk
agama Islam menuntut di mahkamah Syariah manakala pihak yang tidak memeluk Islam
menuntut hak penjagaan di bawah mahkamah sivil. Perkara yang lazim berlaku ialah apabila
salah satu pihak memeluk Islam, dia akan menukar agama anak-anaknya kepada Islam di
Mahkamah Syariah.
Sebagai contoh, dalam kes Ridhuan Abdullah lwn Indhira Gandhi konflik timbul apabila
suami yang asalnya beragama Hindu memeluk Islam dan menukar agama tiga anaknya kepada
Islam. Indhira Gandhi membuat permohonan untuk membatalkan sijil pengislaman anaknya di
Mahkamah Tinggi Ipoh. Namun apabila Ridhuan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan,
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Ridhuan yang memutuskan hanya Mahkamah
Syariah yang mempunyai bidangkuasa eksklusif dalam memutuskan pertikaian mengenai
pengislaman seseorang.

Terdapat juga pendekatan Mahkamah Sivil yang memberi hak kepada kedua ibubapa
walaupun berlainan agama. Dalam kes Sharmala a/p Sathiyaseelan lwn Dr. Jeyaganesh a/l C.
Mogarajah, mahkamah memberi hak penjagaan bersama anak-anak kepada kedua-dua ibu dan
bapa. Hakim mengiktiraf bahawa anak-anak tersebut adalah muallaf mengikut agama bapanya
tetapi ibunya mempunyai hak menjaga dan mengawal anak-anaknya dalam penjagaan seharian
dan bertanggungjawab menjaga mereka.

Namun begitu, keputusan mahkamah tersebut tidak bersamaan dengan keputusan


mahkamah sivil dalam kes Chang Ah Mee di mana hakim memutuskan hak penjagaan ke atas
ibu dan bukannya bapanya yang telah memeluk Islam dan si bapa tidak berhak memaksa anak
itu ke sekolah agama. Dalam kes Subashini lwn Saravanan pula anak lelaki sulung mereka telah
bertukar agama kepada Islam mengikut jejak ayahnya dan Mahkamah Rayuan memutuskan
bahawa mahkamah sivil tidak berhak untuk memutuskan sesuatu yang bercanggah dengan
perintah Mahkamah Syariah. Prosiding pihak suami mengenai pertukaran agama anak lelaki
sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah dikekalkan.

Dalam kes Viran lwn Deepa, Viran telah memeluk Islam dan menukar agama kedua-dua
anaknya kepada Islam tanpa pengetahuan Deepa. Deepa memohon hak penjagaan anak di
Mahkamah Tinggi Seremban dan keputusan mahkamah memihak kepadanya. Viran yang tidak
berpuas hati telah melarikan anak-anaknya dan memohon di Mahkamah Rayuan. Mahkamah
Rayuan menolak permohonan tersebut. Kes dibawa ke Mahkamah Persekutuan namuan
Mahkamah Persekutuan tetap dengan keputusan bahawa hak penjagaan anak diberikan
kepada Deepa.
Kesemua konflik dan pertindihan bidangkuasa ini mendorong kepada keputusan
mahkamah yang tidak konsisten antara satu sama lain. Hal ini menimbulkan kekeliruan dan
memberi gambaran seolah-olah undang-undang yang diperuntukkan adalah tidak jelas dan
berubah-ubah. Pertindihan bidangkuasa antara dua mahkamah ini dalam tuntutan hak
penjagaan anak dapat dielakkan dengan adanya Pindaan Akta 164 (2017) yang memberi bidang
kuasa eksklusif hanya kepada Mahkamah Sivil.

RUMUSAN

Pindaan Akta 164 (2017) adalah berperlembagaan dan menepati tatacara perundangan.
Pindaan-pindaan ataupun peruntukan baru tersebut amatlah diperlukan terutamanya di dalam
menyelesaikan konflik pertindihan bidangkuasa antara mahkamah sivil dan syariah.
‘Perkahwinan tergantung’ yang berlaku jika salah seorang pihak suami isteri memeluk Islam
juga dapat diselesaikan melalui pindaan Seksyen 51(1). Pembahagian harta pusaka juga dilihat
lebih adil kepada pihak yang tidak memeluk agama Islam melalui pindaan ini.

Namun begitu, pelaksanaan peruntukan pindaan ini seharusnya perlu diusahakan


mengikut jalan yang terbaik. Proses rundingan dan kerjasama di antara kedua-dua institusi
mahkamah adalah amat diharapkan supaya pindaan ini bukan sahaja sekadar ‘melepaskan
batok di tangga’. Prinsip asal dan tujuan utama pindaan ini harus dicapai secara baik dan betul.

Anda mungkin juga menyukai