Anda di halaman 1dari 5

Kerana Empati

Layangan buku lima padu hinggap tepat pada pipi Ikhwan. Ikhwan
mengerang menahan kesakitan, tangannya naik mengusap pipi. Pedih.
Walaupun matanya menekur lantai tandas, tetap dia dapat rasakan cerlungan
tajam Amin.

Buku latihan yang berada di tangan Amin dikilas sekali lagi. Memang bengang
dibuatnya apabila bukunya langsung tak terisi dengan jawapan, tetapi diselitkan
dengan nota formula.

“Aku tak minta kau ajar akulah! Siapkan kerja tu dan letak atas meja aku.
Jangan sampai tertangkap.” Keras Amin memberikan arahan sambil
menghempaskan buku tadi ke muka Ikhwan.

Asyik diam tak berkutik, akhirnya Ikhwan melepaskan keluhan berat setelah
memastikan ketiadaan Amin. Tidak memikirkan kebersihan lagi, Ikhwan
bersandar pada dinding dan mendudukkan dirinya.

Dia sebenarnya sudah lali dibuli oleh Amin, dan ini bukan kali pertama perkara
sebegini berlaku. Bukan sahaja kepadanya malahan kepada pelajar lain yang
dianggap lemah oleh Amin. Siapa saja yang tidak gerun apabila terlihat susuk
tubuh Amin dan tinggi dan tegap? Tambahan pula wajahnya yang sentiasa
dipamer beku.

Buat kali ini, Ikhwan bertekad untuk tidak melunaskan kehendak Amin.
Bukannya apa, cuma dia berharap Amin akan sedar bahawa dia tidak boleh
sesenang hati menindas orang lain. Malangnya, apalah yang mampu dilakukan
oleh Ikhwan, yang hidupnya juga tidaklah senang mana.
Hari bersilih ganti. Sesi persekolahan pun berjalan seperti biasa. Namun,
waktu rehat pada hari itu menjadi agak kecoh seusai pengumuman yang
kedengaran melalui corong pembesar suara sekolah.

Dalam kekecohan itu, Amin sudah seperti cacing kepanasan apabila namanya
dipanggil ke bilik disiplin. Rakan sekelasnya sudah mula berbisik sesama
sendiri kerana masing-masing sudah maklum tentang Amin yang suka membuli.

Tidak berfikir panjang, Amin terus menyandang beg sekolahnya dan


menyelinap keluar dari kelas. Dia perlu larikan diri.

Sepanjang perjalanan, mulutnya lancar sahaja menyumpah seranah seiring


dengan kakinya yang laju melangkah entah ke mana. Dalam rasa amarah,
terselit rasa takut di lubuk hati Amin. Sejujurnya, dia takut jika ibu bapanya
tahu tentang hal ini.

Ibu bapa Amin sentiasa memenuhi segala keperluannya. Namun, Amin pula
merasakan sebaliknya. Dia tidak pernah berasa cukup dengan apa yang
dimilikinya, tidak tanpa masa dan perhatian daripada ibu bapanya.

Sekalipun begitu, Amin tidak pernah meluahkannya. Dia sudah remaja


menginjak dewasa dan ini adalah perkara remeh, katanya selalu pada diri
sendiri.

Jauh berjalan, Amin berhenti di suatu lorong untuk berehat. Telefon pintar yang
diseludup ke sekolah dikeluarkan dari kocek. Tidak berapa lama bermain, dia
mematikan kembali telefon pintarnya. Bosan.

Habis dipunggah isi beg sekolahnya bagi mencari jika ada sesuatu yang boleh
dilakukan. Hampa, Amin menendang beg sekolahnya kerana hanya berisi buku.
Perasaan mula bercampur-baur dalam hati. Tiba-tiba sahaja Amin menjerit
sekuat hati, sebelum matanya tertancap pada beberapa tin cat semburan di tepi
longkang. Amin tersengih nakal. Laju dia mencapai tin-tin cat tersebut.

Terkekeh-kekeh Amin ketawa, seronok menyembur cat pada dinding sesuka


hatinya. Tanpa Amin sedari, muncul empat orang lelaki dewasa dari arah
bertentangan. Mereka semua berwajah bengis dan masing-masing memegang
batang kayu.

“Hoi, apa kau buat tu!” lenting seorang daripada mereka apabila melihat
dinding dipenuhi dengan cat merah. Melihatkan senjata yang berada di tangan
mereka membuatkan Amin kecut perut.

Baru selangkah Amin menapak ke belakang, dia dapati tubuhnya sudah terjatuh
ke dalam longkang. Amin menjerit kesakitan apabila pinggulnya terhentak pada
dinding longkang.

Langsung tidak sempat berdiri semula, tangan Amin ditarik keluar dari
longkang dan kolar bajunya dipegang. Sekelip mata sahaja empat orang lelaki
tadi sudah mengelilingi Amin.

“Kau tahu tak apa kau buat ni salah, budak? Memang silap besar kau buat onar
dalam kawasan kami!” Lelaki yang berdiri betul-betul di hadapannya bersuara
keras. Selepas saling bertukar isyarat antara mereka, mereka semua
menghampiri Amin. Amin meronta-ronta minta dilepaskan, namun semakin
kuat pula cengkaman pada kolarnya.

Buat pertama kali, Amin terfikirkan perasaan pelajar-pelajar yang pernah


dibulinya. Wajah penuh ketakutan, rayuan minta dilepaskan dan segala
kesakitan yang ditanggung. Rasa menyesal mula menjalar dalam hati Amin.
Memang mustahil bagi kudrat seorang remaja untuk menentang empat orang
lelaki dewasa. Amin mengalah. Matanya dipejam rapat sejurus melihat batang
kayu dihayun ke arah badannya.

Tepat pada masanya, kedengaran siren kereta polis yang bergema di sepanjang
lorong itu. Semua lelaki tadi cepat-cepat mencabut lari dan gelabah
meninggalkan Amin berseorangan. Amin terduduk lega menyedari dirinya tidak
sempat diapa-apakan. Air mata menitis dari tubir matanya, penuh rasa kesal dan
syukur.

Polis mendekati Amin dan membantunya untuk berdiri. Nampaknya pinggul


Amin masih terasa sakit akibat jatuh tadi. Amin dibawa ke hospital terlebih
dahulu untuk pemeriksaan dan rawatan. Kemudian, barulah dia diminta ke balai
polis untuk disoal siasat.

Seperti ditiup angin, laju sahaja khabar berkenaan pelajar sekolah cuba
dicederakan oleh samseng tersebar melata ke seluruh kawasan itu. Isu hangat
tersebut juga telah menjadi bualan mulut para pelajar di sekolah Amin.

Isu itu juga turut sampai ke pengetahuan abang Ikhwan, Syahmi. Pulang sahaja
dari sekolah pada hari itu, Syahmi terus bertanyakan Ikhwan tentang hal itu.

“Ikhwan, kau kenal ke budak yang dikejar samseng tu?” Syahmi bertanya ingin
tahu. Ikhwan sekadar mengangguk dan terus menapak pergi ke biliknya. Dia
tidak mahu mengulas lanjut memandangkan dia tidak tahu akar umbi hal
tersebut.

“Lagi satu abang nak tanya, Ikhwan ada guna telefon abang ke untuk hubungi
999 semalam?” Pertanyaan itu dibiar tidak berjawab. Ikhwan hanya tersenyum
sendiri dan bersiap-siap untuk ke suatu tempat. Sebelum keluar, Ikhwan
meminta izin Syahmi terlebih dahulu; dia ingin melawat Amin.
Setibanya Ikhwan di rumah Amin, Amin terkejut dengan kehadiran salah
seorang mangsa bulinya. Rasa gelisah mula terbit dalam hati Amin. Adakah
Ikhwan mahu mengambil tindakan atas kesalahannya? Atau mahu laporkan kes
bulinya kepada polis?

Namun, sangkaan Amin meleset apabila Ikhwan bertanyakan khabarnya dengan


senyuman ikhlas meniti di bibir. Ikhwan menzahirkan rasa khuatirnya dan
berpesan pada Amin untuk menjaga diri.

Biarpun ragu-ragu dengan tingkah Ikhwan yang terlalu baik terhadap dirinya,
Amin tetap berterima kasih. Dia juga memohon maaf di atas perlakuannya
kepada Ikhwan selama ini. Ikhwan hanya tersenyum dan mengangguk tanda
memaafkan.

Sebagai seseorang yang turut menjadi mangsa buli, Ikhwan faham akan
perasaan apabila diancam dan disakiti. Kerana pengalaman, dia tidak mahu
sesiapa pun mengalami situasi yang serupa, biarpun orang itu ialah Amin.

Ikhwan percaya, ruang perubahan sentiasa terbuka bagi sesiapa saja yang
menghendakinya. Tiada manusia yang terlepas dari kekhilafan, dan tiada siapa
yang layak dihukum tanpa diberi peluang untuk meminta maaf.

Anda mungkin juga menyukai