Anda di halaman 1dari 6

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh Tajuk cerita saya pada hari ini ialah Sindiket Pengemis Tumpas.

Cerita ini mengisahkan tentang seorang budak yang bernama Amin. Amin seorang budak yang nakal dan tidak mendengar nasihat kedua ibu bapanya. Jika ditegur, Amin akan merajuk. Segala nasihat yang diberi oleh ibu bapanya bagaikan mencurah air di daun keladi. Pada suatu hari, sedang Amin menaiki basikal di sekitar kawasan rumahnya, tiba-tiba dia bertemu dengan kawan baiknya, Arif. Amin, mari kita pergi ke pekan! kata Arif. Aku tak mahulah. Nanti mak aku marah kata Amin. Alah, sekejap sahaja! Arif memujuk Amin dengan bersungguh sungguh. Amin berasa serba salah. Dia berasa bimbang kalau ibunya marah jika dia pergi ke pekan tanpa keizinan ibunya terlebih dahulu. Amin teringat peristiwa dia dipukul oleh ayahnya kerana dia pergi ke kedai tanpa memberitahu ibu dan ayahnya. Macam mana Amin? tanya Arif lagi. Aku takutlah, nanti ayahku marah kata Amin.

Setelah puas dipujuk, akhirnya Amin bersetuju untuk mengikut Arif ke pekan. Mereka pergi dengan menaiki bas. Sampai di pekan, Amin melihat beberapa orang kanak-kanak sebayanya sedang mengemis di jalanan. Hatinya menjadi sebak apabila melihat keadaan kanak-kanak itu. Timbul rasa kasihan dalam hatinya. Kanak-kanak lelaki itu terus berjalan dari satu tempat ke satu tempat sambil menadah tangan. Arif, cuba kau lihat budak-budak lelaki itu. Mereka meminta sedekah kan? tanya Amin. Ya, kasihan aku melihat kanak-kanak itu jawab Arif. Mereka memang peminta sedekah. Mari kita intip pergerakan mereka. Kita ikut mereka untuk tahu di mana mereka tinggal. Marilah ! ajak Arif tanpa ragu-ragu. Tak mahulah. Aku takut kata Amin. Kamu ni memang penakut. Kita bukan nak buat apa-apa pun. Kita cuma nak tahu ke mana mereka pergi. Dengan berat hati, Amin mengikut Arif dari belakang. Mereka mengintai ke mana kanak-kanak yang mengemis itu pergi. Aku nak baliklah, aku takut! luah Amin.

Dia bimbang jikalau ada perkara yang buruk yang bakal menimpa mereka. Maklumlah, mereka masih kanak-kanak dan belum pandai mempertahankan diri daripada orang jahat. Shhh!!! Kau duduk diam-diam boleh tak! marah Arif pada Amin. Tiba-tiba, mereka melihat sekumpulan kanak-kanak yang

mengemis itu masuk ke dalam sebuah rumah besar yang agak jauh dari jalan raya. Dari jauh kelihatan tiga orang lelaki sedang mengawal kanakkanak yang mengemis itu. Mereka menengking lalu menolak kanakkanak itu tanpa belas kasihan masuk ke dalam rumah besar itu. Amin dan Arif hanya mampu memerhatikan nasib kanak-kanak itu. Tanpa disedari, sewaktu mereka ingin pergi dari situ, seorang lelaki telah menyergah mereka. Amin dan Arif berlari sekuat hati untuk menyelamatkan diri. Namun malang nasib Amin, dia dapat ditangkap oleh lelaki itu. Arif pula bernasib baik kerana sempat melarikan diri. Lepaskan aku! Lepaskan aku! teriak Amin dengan kuat. Amin diseret masuk ke dalam rumah besar itu. Tolonglah, abang. Lepaskan saya! Saya tidak tahu apa-apa rayu Amin meminta simpati. Siapakah budak lelaki yang kamu tangkap ini Jali?tanya kawannya.

Aku nampak budak lelaki ini sedang mengintip di luar rumah ini. Aku rasa dia sedang mengintip kegiatan kita. Lebih baik kita kurung dia di dalam rumah ini bersama-sama dengan budak yang lain arah lelaki tadi. Amin ditinggalkan di dalam bilik yang sempit itu bersama-sama lima orang kanak-kanak lelaki yang lain. Amin melihat seorang daripada kanak-kanak itu luka pada kakinya. Kenapa dengan kaki kamu itu? tanya Amin dengan penuh simpati. Mamat telah dihukum oleh Abang Mazlan kerana ingin melarikan diri jawab budak lelaki yang berdiri tidak jauh dari Amin. Siapakah Abang Mazlan? tanya Amin. Abang Mazlan ketua di sini. Dia sanggup melakukan apa sahaja jika ada di antara kami yang melanggar perintahnya atau mahu melarikan diri. Janganlah kamu bimbang. Saya yakin kawan saya Arif telah melaporkan perkara ini kepada polis pujuk Amin kepada kawan-kawan baharunya. Nasib Amin dan kawan-kawan baharunya sungguh baik. Tidak lama kemudian, kedengaran siren polis di luar rumah. Inspektor Azman

dan anggotanya telah menegpung rumah besar itu. Dalam sekelip mata, abang Mazlan dan konco-konconya telah berjaya ditangkap oleh polis. Terima kasih, Amin, Arif atas bantuan kamu sehingga tertumpasnya sindiket penculikan kanak-kanak untuk dijadikan pengemis ujar Inspektor Azman. Ini semua sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai warganegara yang baik kata Amin. Amin dan Arif gembira dan berharap selepas ini tiada lagi sindiket penculikan kanak-kanak. Berdasarkan cerita di atas. Ada beberapa pengajaran. Pertama, kita mestilah mendengar nasihat ibu bapa. Kedua, kita mestilah meminta keizinan daripada ibu bapa terlebih dahulu sebelum keluar rumah. Ketiga, sebagai seorang warganegara yang baik, kita perlulah melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku perkara yang buruk. Akhir sekali kita mestilah hidup saling bantu membantu antara satu sama lain . Sekian, saya sudahi cerita ini dengan serangkap pantun. Kayuh sampan ke Pulau Redan, Singgah sebentar membeli ikan, Perbuatan baik dijadikan teladan,

Perbuatan buruk kita tinggalkan.

Anda mungkin juga menyukai