Anda di halaman 1dari 4

Malaysia catat lebih 20 juta pelancong antarabangsa tahun lalu

BERNAMA | | 24 Januari 2020

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seramai 20.1 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia sepanjang tahun
lepas dengan jumlah pendapatan pelancongan sebanyak RM66.1 bilion direkodkan bagi tempoh
Januari hingga September 2019.

Perkara itu digariskan dalam Laporan Pencapaian 2019 Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) yang diterajui Datuk Mohamaddin Ketapi, hasil garapan pelbagai usaha kementerian itu
dalam menjadikan negara destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia menjelang 2020.

Menurut laporan yang dimuat naik di portal rasmi kementerian itu baru-baru ini, 2019 turut
menyaksikan Program Pengalaman Homestay Malaysia (Homestay) yang bertujuan memperkasa
ekonomi luar bandar, merekodkan seramai 458,899 pelancong dengan pendapatan pelancongan
sebanyak RM29.7 juta.

Selain itu, bagi kluster Pelancongan Perniagaan, seramai 109,838 delegasi antarabangsa yang
membawa anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.8 bilion dicatat menerusi program Pelancongan
Perniagaan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCeB).

Turut digariskan dalam laporan itu adalah prestasi program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) yang
merekodkan kutipan fi visa sebanyak RM14.1 juta sepanjang tahun lepas.

Pendapatan sektor kebudayaan pula menyaksikan impak ekonomi berjumlah RM585.4 juta yang
merangkumi hasil kluster seni budaya kraf dan seni visual (RM547.9 juta), seni persembahan (RM28.7
juta), warisan budaya (RM4.1 juta) dan lain-lain sebanyak RM4.7 juta.

Sementara itu, prestasi kehadiran pelawat ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan,
Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta acara dan premis
kebudayaan bagi tahun lepas adalah 29.3 juta orang.

Jumlah itu bagi kunjungan pelawat ke Tapak Warisan Dunia UNESCO (19.8 juta), acara kebudayaan
(1.6 juta) dan premis kebudayaan (7.9 juta).
Disyorkan artikel ini:

• Tumpu pelancong domestik rancakkan TMM 2020


• Pelancong guna eNTRI tetap tertakluk peraturan sedia ada
• Kemasukan pelancong masih tertakluk peraturan Imigresen: KDN

Laporan itu turut menyebut sebanyak 1,809 aduan membabitkan pengusaha pelancongan, pemandu
pelancong dan kenderaan persiaran direkodkan menerusi penguatkuasaan Akta Industri Pelancongan
1992 (Akta 482) dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Sepanjang 2019 juga pelbagai usaha pembangunan prasarana demi merapatkan jurang antara wilayah
berjaya dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan di Burlington, Taman Kinabalu,
Sabah; Hutan Paya Laut, Matang di Perak dan pemuliharaan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti,
Negeri Sembilan.

Selain itu, 2019 turut dihiasi berita gembira apabila Malaysia dianugerahkan pelbagai pengiktirafan di
peringkat global antaranya sebagai destinasi nombor satu dalam 10 senarai teratas bagi Halal-Friendly
Holiday Destination 2019 oleh Indeks Penarafan Pelancongan Muslim Global MasterCard-Crescent,
nombor satu antara enam negara dengan penjagaan kesihatan terbaik di dunia serta penyenaraian
seni mempertahankan diri silat di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural
Heritage of Humanity UNESCO.

Menurut laporan setebal 56 muka surat itu, pelbagai program peringkat antarabangsa turut berjaya
dilaksanakan termasuk Sidang Kemuncak Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNWTO).

Turut menjadi tumpuan pada tahu lepas adalah acara pelancongan dan kebudayaan seperti Hari Kraf
Kebangsaan 2019, Pesta Angin Timur, Festival Balik Pulau 2019, Keretapi Sarong 2019 dan Festival Seni
Hidup. - Bernama

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/67218/BERITA/Nasional/Malaysia-catat-


lebih-20-juta-pelancong-antarabangsa-tahun-lalu
Malaysia, Thailand jalin kerjasama terokai
sektor pelancongan
NARATHIWAT: Sektor pelancongan Malaysia mempunyai prospek cerah untuk memberikan
pengalaman lancar dalam kalangan pelancong asing yang memilih negara ini sebagai destinasi
tunggal mereka.

Pesta Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Dua Negara antara Malaysia dan Thailand,
disifatkan inisiatif saling sokong-menyokong dalam bidang pelancongan dan budaya sekali gus
menjadikannya sektor yang berdaya menarik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata Malaysia
meletakkan sasaran menjadi destinasi pelancongan unggul dalam rantau sekali gus dikenali
sebagai negara yang kaya dengan keunikan budaya, warisan dan tarikan semulajadi.

"Festival ini menggabungkan rakan industri dan pihak berkepentingan negara kita, tetapi
membabitkan penyertaan dari negara jiran bersama dan mengenali antara satu sama lain,
berkongsi maklumat mengenai usaha untuk membangunkan pelancongan dan potensi budaya
di kedua-dua negara.

"Menerusi platform ini ia mempromosikan kepelbagaian budaya dan tarikan mempesonakan


yang terdapat di Narathiwat selain memberi peluang menerokai pengalaman berbeza yang
sesuai diperkenalkan di negara kita," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikiann pada majlis Kebudayaan Thailand Malaysia yang juga adalah
lawatan rasmi sekali gus menjadi yang pertama bagi wilayah sempadan negara jiran ini.

Sempena festival itu, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya perlawanan bola sepak, acara tarik
tali, permainan golf serta tarian kebudayaan kedua negara yang turut disaksikan Gabenor
Narathiwat, H E Ekkarat Leesen.

Malaysia dan Thailand, antara negara ASEAN menikmati hubungan diplomatik dan hubungan
dua hala kukuh dalam bidang sukan, pelancongan, budaya dan hubungan serta pembangunan
sosio-ekonomi di kawasan sempadan.

Mohamaddin berkata, hubungan itu diharapkan menjadi asas yang mengukuhkan hubungan
budaya dan pelancongan yang sedia terjalin.

"Dalam mencapai tujuan berkenaan Malaysia akan terus mewujudkan persekitaran kondusif
bagi pembangunan pelancongan dan kebudayaan, termasuk kerjasama antara pihak
berkepentingan industri pelancongan dan penggiat kebudayaan bagi memastikan industri terus
berkembang.

"Menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal dilancarkan mulai Julai ini, kita
menjangkakan ketibaan 30 juta pelancong dengan pulangan pendapatan berjumlah RM100
bilion, pada tahun depan.
Katanya, kedudukan jenama global 'Malaysia Truly Asia' dilihat menjadi daya penyerlah
pelbagai budaya dan masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni.

Sementara itu, Leesen berkata acara dua negara itu menonjolkan keunikan budaya yang hampir
mempunyai persamaan, selain memperkenalkan tempat tarikan yang ada di wilayahnya
antaranya keindahan pantai, alam semulajadi dan lain-lain.

"Ini satu penghormatan kepada kita dan memberikan galakan kepada kedua-dua pihak, kerana
sebelum ini kita mempunyai banyak aktiviti menarik antaranya pesta buah, perahu golek,
perahu panjang dan lain-lain," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/579170/malaysia-thailand-jalin-kerjasama-
terokai-sektor-pelancongan

Anda mungkin juga menyukai