Anda di halaman 1dari 5

SHAH ALAM - Penganjuran program yang melibatkan al-Quran sangat digalakkan dan ia satu cara

untuk memuliakan al-Quran.

Pendakwah, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, umat Islam digalak untuk menjadikan al-Quran
sebagai pedoman hidup dengan apa cara sekalipun.

Menyentuh mengenai penganjuran World #QuranHour, beliau berkata, masyarakat Islam


seharusnya menjadikan program #QuranHour sebagai batu loncatan atau kemuncak kepada amalan
bacaan dan kefahaman al-Quran.

“Jangan pula selepas berakhirnya #QuranHour sudah tidak ada lagi yang membacanya. Pada waktu
sama, ALLAH SWT menciptakan al-Quran sebagai mukjizat yang meskipun wahyu sudah lama
berhenti diturunkan, tetapi al-Quran kekal sehingga hari kiamat. Terlalu banyak jika ingin
dibongkarkan mukjizat al-Quran.

“Mukjizatnya al-Quran ini letaklah apa bahasa percakapan kita sekalipun tetapi apabila membaca al-
Quran pasti akan sama saat menyebut wahyu ALLAH SWT ini,” katanya kepada Sinar Harian
semalam.

Menurutnya, pembaca al-Quran tidak akan berasa bosan walaupun membacanya berulang kali.

“Mana ada buku yang kita akan baca jika tidak faham? Siapa pula yang rajin membaca sebuah buku
yang sama berulang kali? Hanya al-Quran sahaja,” katanya.

Tambahnya, Nabi Muhammad SAW bersabda mengenai kelebihan orang yang menjadikan al-Quran
sebagai bacaan rutin kehidupan sehariannya.

“Nabi SAW bersabda “Bacalah al-Quran kerana ia akan menjadi syafaat kepada orang yang
bersahabat dengannya sewaktu di dunia dahulu”.

"Maknanya kelebihan al-Quran adalah memberi syafaat sehinggalah kita masuk ke dalam syurga.

“Dan sebaik-baik al-Quran ni bukan hanya membaca tetapi tadabbur al-Quran. Maknanya kita
belajar pula terjemahan al-Quran dan ambil faedah isi kebaikan daripada al-Quran. Membaca itu
bagus tetapi pastikan belajar membaca al-Quran dengan bertajwid,” katanya.

Peserta World #QuranHour membaca al-Quran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun lalu.

Beliau berkata, mempelajari ilmu al-Quran itu menjadi kewajipan bagi setiap orang dan sewajarnya
belajar secara berguru.

Dalam pada itu, beliau berkata, isteri Nabi Muhammad SAW pernah berkata kepada sahabat baginda
bahawa akhlak Nabi SAW adalah al-Quran.

“Ini membawa maksud Nabi SAW adalah manifestasi kemuliaan al-Quran. Pada waktu sama,
bolehlah kita nyatakan bahawa siapa yang mengamalkan al-Quran akhlaknya akan jadi seperti Nabi
SAW.

“Itu sebab hari ini jika kita mahu lihat orang Islam sebenar yang mempraktikkan Islam yang betul
adalah dengan panduan al-Quran dan sunnah,” katanya. Diturunkan pada bulan Ramadan
Di samping itu, beliau berkata, al-Quran juga sinonim dengan Ramadan kerana ia diturunkan pada
bulan tersebut.

“ALLAH SWT turunkan al-Quran sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan apabila turun kepada
Nabi SAW barulah secara ansur-ansur.

“Betapa mulianya al-Quran, datang dari tempat yang sangat mulia, turun kepada orang yang sangat
mulia dan sudah tentu orang yang beramal dengan al-Quran insya-ALLAH akan menjadi orang yang
mulia,” katanya.

Dalam pada itu, Bakhtiar Fitri turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa dan masyarakat supaya
membudayakan al-Quran dalam kehidupan.

“Sebagai ibu bapa jadikan bacaan al-Quran ini sebagai aktiviti yang wajib. Programkan waktu untuk
kita dan anak-anak membaca Quran, contohnya selepas solat. Atau mungkin sebelum tidur bacalah
surah al-Mulk bersama-sama. Inilah namanya disiplin bersama al-Quran selain daripada menjaga
adab sebelum, semasa dan selepas membaca al-Quran.

“Rumah yang dibacakan al-Quran menjemput malaikat datang. Pegang konsep itu betul-betul dan
rumah yang tidak baca al-Quran akan menghalau malaikat dan menjemput syaitan,” katanya.

Menurutnya, al-Quran adalah perawat, penyembuh, pelembut hati, pendinding dan pengawal
kepada diri selain pemberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya.

ABDULLAH bin ‘Amr Radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran nanti, ‘Bacalah dan naiklah serta tartilan
sebagaimana engkau di dunia mentartilnya kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang
engkau baca.” (Hadis diriwayatkan Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan)
Berdasarkan hadis itu, ulama menyatakan ada riwayat lain menjelaskan orang itu nanti akan
terus membaca satu demi satu ayat al-Quran sehinggalah dia tiba di syurga tertinggi iaitu Syurga
Firdaus.
Apabila tiba di Syurga Firdaus barulah dikatakan, “Berhentilah, ini adalah kedudukan kamu di
akhir ayat yang kamu baca.”
Itu kehebatan dan kedudukan bagi golongan yang membaca al-Quran sebagai rutin hariannya.
Maka, bacalah al-Quran pada setiap hari walaupun beberapa ayat.
Jangan biarkan waktu kosong dibiarkan tanpa membuat sebarang perkara bermanfaat. Tidak
kira walau di mana kita berada misalnya, ketika sedang menunggu lampu isyarat, gunakan
peluang beberapa minit itu untuk membaca surah mudah yang kita hafal.
Siapa yang mengerjakan satu kebaikan yang diniatkan semata-mata kerana Allah SWT, paling
sedikit dia akan mendapat 10 pahala.
Membaca al-Quran itu bukan dikira selepas membaca keseluruhan ayat atau surah, tetapi setiap
huruf itu ganjarannya 10 pahala.
Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca
satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu
dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif
itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi)
Bagi mereka yang masih kurang lancar atau bacaan seringkali tersangkut-sangkut, jangan
bimbang teruskan membaca al-Quran kerana Nabi SAW memberikan motivasi dengan
menyatakan, golongan itu akan mendapat dua kali pahala berbanding orang yang lancar.
Aisyah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran
dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para
malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan
mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Ulama menyatakan, dua pahala yang diperoleh itu, satu untuk bacaannya manakala satu pahala
lagi kesusahannya ketika membaca.
Jiwa orang yang sering berdamping dengan al-Quran juga akan sentiasa tenang dan lapang.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka
dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah
arRa'd, ayat 28)
Selain itu, rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran akan diberkati selain malaikat turut
memenuhi rumah berkenaan.
Begitu juga seorang Muslim yang baring di tempat tidurnya dengan membaca salah satu surah
al-Quran, Allah SWT akan tugaskan satu malaikat menjaganya dan tidak ada satu bahaya pun
akan mendekatinya sehingga dia terjaga.

Mereka Yang Dijanjikan Syurga Oleh Al-Quran &


Hadis
March 23, 2017ArtikelLeave a comment
DI DALAM kehidupan manusia, mereka diberi dua pilihan oleh Allah SWT iaitu sama
ada ke syurga atau neraka. Al-Quran menggambarkan ahli syurga sebagai orang yang
sentiasa beriman dan beramal salih. Iman atau keyakinan perlu ditanam sebagaimana
pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperolehi dengan berangan-angan tetapi iman
adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan dizahirkan dengan amal dan perbuatan
serta yakin bahawa pada suatu hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah
sebagai jenazah dan bakal berada di alam kubur. Manusia juga perlu yakin akan melalui
saat disoal di dalam kubur dan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar, dan kemudian
melalui titian sirat serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.
Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah di kalangan manusia yang
beriman. Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah, ayat 25: “Dan berilah khabar gembira
kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh
syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu
pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah
diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya
(tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-
pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya
selama-lamanya.”
Manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan
Allah  merupakan di antara ciri bagi penghuni syurga. Semakin matang dan
meningkatnya usia menjadikan mereka semakin salih sehingga ke penghujung hayatnya
digelar wali Allah oleh para malaikat. Allah SWT menyebut: “(Sesungguhnya) orang-
orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda
dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-
orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan
masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh
Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga;
mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang
besar.”(Surah al-Taubah, ayat 20-22). Oleh itu setiap manusia yang ingin berhijrah
kepada sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya perlu ada kemahuan untuk melakukan
perubahan.
Ciri ketiga bagi penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat  dan menjauhkan
dirinya daripada berada kelalaian yang melampau. Rasulullah SAW berpesan, sekiranya
bertemu dengan orang yang kaya, lalu kamu menghormatinya kerana kekayaannya
nescaya dua pertiga daripada agamanya sudah dileburkan disisi Allah. Kerana di dalam
kehidupan ini tidak akan ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain
Allah SWT.
Selain itu orang yang beriman kepada Allah dan ayat-ayat-Nya serta sentiasa hidup
dengan berserah kepada Allah merupakan di antara ciri manusia yang layak menghuni
syurga. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Zukhruf, ayat 68-70 : “(Mereka –
yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan
firmanNya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”.
(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta
mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan
dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama
isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan
kesenangan”.
Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi pelbagai
kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya melahirkan
keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang dinilaikan seumpama
satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan dirinya ikhlas di dalam
beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda bahawa dirinya seperti yang
digambarkan di dalam al-Quran, orang yang sedang bergerak kearah syurga. Surah as-
Saaffaat, ayat 40-43: “Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik, Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat),
serta mereka mendapat penghormatan,”.
Ciri penghuni syurga termasuk di kalangan manusia yang istiqamah dalam beribadah
kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat ayat 30, “Sesungguhnya
orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”,
kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada
mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu
berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah
dijanjikan kepada kamu.”.
Orang-orang yang bertakwa kepada Allah, diusir dari negerinya dan diseksa kerana
berada di jalan Allah juga di antara ciri penghuni syurga. Di dalam firman Allah, surah
Ali-Imran, ayat 195: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan
firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal
dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah
keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana
menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga
yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan
yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid
dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka,
dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah
pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.
Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka yang sanggup
merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata untuk menghidupkan
malamnya untuk sujud kepada Allah. Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-
Nya, orang yang beriman pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam
mengharapkan pertemuannya dengan Allah. Selain itu, manusia yang menginfaqkan
sebahagian hartanya ke jalan Allah dan hidupnya begitu taat kepada Allah dan Rasul
bakal memasuki syurga. Ciri-ciri ahli syurga ini terkandung di dalam surah Ar-Ra’d, ayat
22-24: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka
semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula
menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan
baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -Iaitu Syurga yang kekal yang
mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh
dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-
malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -(Memberi hormat dengan
berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu.
Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”

Anda mungkin juga menyukai