Anda di halaman 1dari 19

Difailkan bagi pihak Defendan

Diikrarkan pada:
Difailkan pada:

DALAM MAHKAMAH SESYEN MALAYA DI SEPANG

DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA

GUAMAN SIIVIL NO.: BK-A52NCvC-1-01/2022

ANTARA

CHEOK LING WEE


(No. K/P : 770126-05-5375) …PLAINTIF

DAN

ECO GREEN CITY SDN BHD


[No. Syarikat : 822302-T] …DEFENDAN

AFIDAVIT SOKONGAN
(untuk menyokong permohonan Defendan untuk membatalkan tindakan Plaintif)

Saya, NUR AYUNI BINTI AB RAHIM (No. K/P.: 880724-14-5124), seorang

warganegara Malaysia yang cukup umur dan beralamat pejabat di Lot C-02, Level 2,

SkyPark @ One City, Jalan USJ 25/1, 47650 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan

dengan ini sesungguhnya and seikhlasnya berikrar dan menyatakan seperti berikut:-

1. Saya adalah seorang pengurus undang-undang (‘legal manager’) bagi

Defendan dan saya diberikan kuasa penuh oleh Defendan untuk

mengikrarkan Afidavit ini bagi pihak Defendan.


2. Perkara-perkara yang dideposkan di sini adalah benar berdasarkan

pengetahuan saya dan/atau rekod-rekod Defendan, yang saya mempunyai

akses terhadapnya, melainkan dinyatakan sebaliknya.

3. Saya merujuk kepada kertas-kertas kausa berikut:-

(a) Writ dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 7/1/2022 yang difailkan oleh

Plaintif;

(b) Pembelaan bertarikh 7/2/2022 difailkan oleh Defendan. Untuk

mengelakkan apa-apa keraguan, saya merujuk kepada dan

menerimapakai kandungan-kandungan Pembelaan Defendan bertarikh

7/2/2022 sebagai sebahagian daripada kenyataan-kenyataan saya

dalam Afidavit di sini.

4. Saya dinasihati oleh peguamcara bagi Defendan dan sesungguhnya percaya

bahawa dengan jelasnya ini adalah suatu kes yang wajar dan sesuai untuk

Mahkamah membatalkan seluruh kes Plaintif atas dasar bahawa seluruh

tindakan Plaintif adalah dengan jelasnya tidak boleh dipertahankan

(‘obviously unsustainable’).

5. Saya ingin membawa kepada perhatian Mahkamah yang Mulia ini bahawa

tuntutan Plaintif adalah terlalu lewat dan adalah suatu fikiran semula

untuk memperkayakan diri secara tidak adil. Antara lainnya:-

Page 2 of 19
(i) Keseluruhan guaman Plaintif yang amat lewat di sini adalah suatu

fikiran semula dan/atau untuk singkap kembali (‘hindsight’) untuk

menuntut wang lebihan berkenaan Ganti Rugi Tertentu (‘Liquidated

Ascertained Damages’) (selepas ini dirujuk sebagai “LAD”) yang

didakwa berdasarkan terma-terma yang tidak dinyatakan dalam

Perjanjian Jual Beli bertarikh 20/8/2015 (selepas ini dirujuk sebagai

“SPA tersebut”) yang ditandatangani oleh Plaintif.

(ii) Plaintif telah menandatangani SPA tersebut pada 20/8/2015 dan tidak

pernah membuat apa-apa aduan-aduan mengenai terma-terma dalam

SPA tersebut termasuk tempoh masa yang dipersetujui selama 36

bulan untuk menyerahkan milikan kosong dan telah mengambil milikan

kosong Parcel pada/atau sekitar November 2018 tanpa sebarang

aduan.

(iii) Plaintif hanya memfailkan Guaman di sini pada 7/1/2022 iaitu suatu

kelewatan yang ketara dan keterlaluan untuk suatu tempoh yang

melebihi 6 tahun selepas SPA tersebut telah dilaksanakan dan

melebihi 3 tahun selepas milikan kosong diserahkan kepada Plaintif.

(iv) Seluruh kes Plaintif adalah antara lainnya tidak berasas dan dihalang

oleh had masa di bawah Akta Had Masa 1953 dan/atau laches.

(v) Tuntutan Plaintif adalah juga suatu fikiran semula selepas Plaintif telah

sebelum ini bersetuju dan menerima jumlah LAD daripada Defendan.

Page 3 of 19
(vi) Plaintif adalah diestop daripada memulakan tindakan ini terhadap

Defendan kerana pihak-pihak telah mencapai penyelesaian penuh dan

muktamad berkenaan LAD.

6. Saya sesungguhnya menyatakan bahawa garis masa peristiwa yang relevan

adalah seperti berikut:-

(i) Pada atau sekitar 3/7/2015, Defendan telah memperolehi satu

kelulusan untuk lanjutan masa dari 24 bulan hingga 36 bulan (selepas

ini dirujuk sebagai “Lanjutan Masa tersebut”) untuk menyerahkan

milikan kosong daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar,

Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara sah pada 3/7/2015, iaitu

sebelum SPA tersebut ditandatangani oleh Plaintif pada sekitar Ogos

2015;

Sesalinan surat bertarikh 3/7/2015 yang diisukan oleh Jabatan

Perumahan Negara adalah kini ditunjukkan kepada saya, dilampirkan

di sini dan ditandakan sebagai “Ekshibit A”

(ii) SPA tersebut telah ditandatangani oleh Plaintif dan Defendan pada

20/8/2015 (iaitu setelah Lanjutan Masa tersebut diberikan);

Sesalinan Perjanjian Jual dan Beli bertarikh 20/8/2015 yang

ditandatangani oleh Plaintif adalah kini ditunjukkan kepada saya,

dilampirkan di sini dan ditandakan sebagai “Ekshibit B”

Page 4 of 19
(iii) Milikan kosong Parcel Plaintif telahpun diserahkan melalui “Notice of

Delivery of Vacant Possessions” bertarikh 15/11/2018 (selepas ini

dirujuk sebagai “Notis VP”);

Sesalinan Notis VP bertarikh 15/11/2018 yang diisukan kepada Plaintif

bersama dengan Perakuan Siap dan Pematuhan adalah kini

ditunjukkan kepada saya, dilampirkan di sini dan ditandakan secara

kolektifnya sebagai “Ekshibit C”

7. Saya sesungguhnya percaya bahawa kausa tindakan Plaintif yang didakwa

tersebut adalah berdasarkan dakwaan bahawa lanjutan masa dari 24 bulan

hingga 36 bulan yang diberikan kepada Defendan untuk menyerahkan milikan

kosong Parcel Plaintif adalah kononnya tidak sah. Namun demikian,

berdasarkan nasihat peguamcara Defendan, saya sesungguhnya percaya

bahawa tuntutan Plaintif jelas tidak boleh dipertahankan (‘obviously

unsustainable’) dan seharusnya dibatalkan berdasarkan alasan-alasan

berikut.

A. Terdapat kewujudan Perjanjian Penyelesaian antara pihak-pihak

sebelum tindakan ini difailkan dan prinsip Estoppel adalah terpakai

8. Saya dinasihati oleh peguamcara Defendan dan sesungguhnya percaya

bahawa pada setiap masa yang material, Plaintif adalah terikat oleh Surat

Page 5 of 19
Penyelesaian bertarikh 15/11/2018 yang ditandatangani oleh Plaintif dan

Defendan (“Surat Penyelesaian tersebut”) di mana Plaintif telah bersetuju

untuk menerima jumlah LAD sebanyak RM15,184.22 sebagai penyelesaian

penuh dan muktamad bagi tuntutan Plaintif untuk penyerahan milikan kosong

lewat oleh Defendan.

Sesalinan Surat Penyelesaian tersebut bertarikh 15/11/2018 yang

ditandatangani oleh Plaintif adalah kini ditunjukkan kepada saya, dilampirkan

di sini dan ditandakan secara kolektifnya sebagai “Ekshibit D”

9. Saya sesungguhnya menyatakan bahawa jumlah penyelesaian yang

dipersetujui di bawah Surat Penyelesaian tersebut telahpun dibayar dan

diterima oleh Plaintif sejak dan/atau sekitar November 2018 dan Plaintif

adalah diestop daripada membuat tuntutan di sini yang mana adalah suatu

fikiran semula dan selepas mereka telah menerima LAD untuk suatu jangka

masa yang lama.

10. Oleh yang demikian,  saya sesungguhnya menyatakan bahawa tuntutan

Plaintif untuk LAD lanjut dalam tindakan ini bukan sahaja bercanggah dengan

terma-terma SPA tersebut, tetapi juga tidak konsisten dengan dan/atau

adalah bercanggah dengan terma-terma Surat Penyelesaian tersebut yang

telah dipersetujui oleh Plaintif dan adalah suatu perkayaan secara tidak adil

dan fikiran semula oleh Plaintif. Berdasarkan Surat Penyelesaian tersebut

dan/atau tingkah laku Plaintif sebelum ini, Plaintif adalah, antara lainnya,

Page 6 of 19
diestop daripada membawa tuntutan ini terhadap Defendan di hadapan

Mahkamah yang Mulia ini.

11. Berdasarkan alasan ini sahaja, saya sesungguhnya percaya bahawa tiada

LAD lanjut yang boleh dituntut oleh Plaintif.

B. Cara permulaan prosiding yang salah

12. Tanpa prejudis kepada kenytaan di atas, saya dinasihati oleh peguamcara

Defendan dan sesungguhnya percaya bahawa isu Lanjutan Masa tersebut

adalah “predominantly” dan/atau secara substansialnya suatu isu semakan

kehakiman dan/atau undang-undang awam (‘public law’) dan harus

dibangkitkan melalui proses Semakan Kehakiman dan bukan tindakan Writ.

13. Namun demikian, saya sesungguhnya percaya bahawa langsung tiada apa-

apa cabaran yang dibuat oleh Plaintif berkenaan keesahan Lanjutan Masa

tersebut yang telahpun diluluskan sebelum Plaintif menandatangani SPA

tersebut dan Plaintif juga telah gagal dan/atau tidak pernah memfailkan apa-

apa permohonan untuk Semakan Kehakiman (‘judicial review’) di Mahkamah

untuk mencabar keesahan Lanjutan Masa tersebut.

14. Justeru itu, saya dinasihati oleh peguamcara Defendan dan sesungguhnya

percaya bahawa pemfailan tindakan di sini melalui tindakan Writ adalah salah

dan prosedurnya adalah tidak sah. Plaintif tidak berhak untuk mencabar

Page 7 of 19
Lanjutan Masa tersebut dengan tindakan Writ apabila ia hanya boleh

dilakukan melalui Semakan Kehakiman.

C. Plaintif mengetahui dan telah bersetuju dengan tempoh Lanjutan Masa

tersebut

15. Tanpa prejudis kepada kenyataan di atas dan berdasarkan nasihat

peguamcara Defendan, saya sesungguhnya percaya bahawa dengan

menandatangani dan memasuki SPA tersebut, Plaintif antara lainnya telah

bersetujui dengan tempoh masa untuk penyerahan milikan kosong yang jelas

dinyatakan dalam Klausa 22 (1) SPA tersebut seperti berikut (dalam bahasa

asalnya):

“22. Time for delivery of vacant possession

(1) Vacant possession of the said Building shall be delivered to the

Purchaser in the manner stipulated in clause 23 within thirty six (36)

calendar months from the date of this Agreement.”

16. Saya sesungguhnya menyatakan bahawa Plaintif tidak pernah membantah

tempoh masa penyerahan milikan kosong pada setiap masa yang material

dan hanya membangkitkan ini sebagai isu secara sangat lewat untuk pertama

kalinya, dengan memulakan tindakan ini terhadap Defendan.

Page 8 of 19
17. Semasa Plaintif menandatangani SPA tersebut, salah satu balasan

(‘consideration’) yang mustahak/terpenting selain daripada harga belian

adalah bilakah bangunan tersebut akan diserahkan di bawah SPA tersebut.

Plaintif adalah sekarang diestop daripada membuat alegasi bahawa tempoh

36 bulan untuk penyerahan milikan kosong yang dinyatakan dalam SPA

tersebut adalah tidak sah untuk tujuan menuntut LAD lanjut daripada

Defendan.

18. Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, saya dinasihati oleh peguamcara

Defendan dan sesungguhnya percaya bahawa tuntutan Plaintif di sini adalah

remeh dan menyusahkan memandangkan semasa SPA tersebut

ditandatangani, Plaintif mempunyai pengetahuan penuh berkenaan Lanjutan

Masa tersebut yang dinyatakan dalam SPA tersebut yang dengan jelasnya

memperuntukkan tempoh 36 bulan untuk menyerahkan milikan kosong.

19. Yang lebih penting, ia adalah mustahil untuk Defendan menyelesaikan Projek

tersebut dalam tempoh masa 24 bulan yang biasa disebabkan oleh keadaan

yang luar biasa dalam pembangunan Projek tersebut yang mencabar dan

sebab-sebab yang berikut bagi lanjutan masa:-

(a) Keseluruhan pembangunan tersebut merupakan pembangunan

‘Township” melingkungi tanah seluas 465 ekar dan Projek tersebut

merupakan Fasa 1 2 pembangunan di CybersouthCyberSouth;

Page 9 of 19
(b) Tanah Projek tersebut adalah tanah perlombongan. Disebabkan keluasan

pembangunan yang besar ini, kerja-kerja tanah dan menambahbaik tanah

memerlukan masa selama 1 ½ tahun;

(c) Pembinaan jalan utama masuk dan keluar ke tapak yang baru adalah 6

kilometer dan kerja-kerja pembinaan penaikkan taraf jalan sedia ada

melingkungi perlebaran jalan dan pemasangan lampu isyarat. Masa yang

panjang diperlukan untuk menyiapkan kerja-kerja sedemikian selama kira-

kira 2 ½ tahun;

(d) Pembinaan loji rawatan kumbahan tertutup sepusat perlu disediakan bagi

pembangunan keseluruhan dan kerja-kerja pembetungan paip retikulasi

sepanjang 10 kilometer juga perlu disiapkan dan disambung terus ke loji

rawatan kumbahan tertutup sepusat. Masa yang panjang diperlukan bagi

menyiapkan kerja tersebut dan dianggarkan memerlukan masa selama 3

tahun;

(e) Selain itu, Defendan juga dikehendaki untuk membina tangki simpanan air

menara untuk menampung kegunaan 19.2 juta air liter sehari bagi

pembangunan keseluruhan dan membina struktur-struktur Pencawang

Pembahagian Utama (PPU), Stesyen Suit Utama dan Pencawang Elektrik

Utama serta kerja-kerja kabel elektrik keseluruhan pembangunan

memandangkan ia merupakan pembangunan “township” baru di kawasan

itu;

(f) Oleh itu, ia amat sukar untuk Defendan menyiapkan keseluruhan Projek

tersebut dalam jangkamasa 24 bulan dan oleh itu, lanjutan masa dari 24

bulan hingga 36 bulan adalah diperlukan untuk menyempurnakan Projek

tersebut;

Page 10 of 19
(g) Permohonan untuk Lanjutan Masa tersebut adalah dibuat sebuah syarikat

bernama “Undersea City Sdn Bhd” (No. Syarikat: 77339-P) (selepas ini

dirujuk sebagai “Pemaju Asal tersebut”) pada atau sekitar 19/3/2015.

(h) Pemaju untuk Projek tersebut kemudiannya ditukar daripada Pemaju Asal

tersebut kepada Defendan yang diberi mandat dan bertanggungjawab

dalam menguruskan hal ehwal pembangunan sehingga siap dibina

(selepas ini dirujuk sebagai “Pertukaran Pemaju Projek tersebut”) dan

Defendan telah memaklumkan Pertukaran Pemaju Projek tersebut kepada

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

pada atau sekitar 27/04/2015.

Sesalinan “Permohonan Lanjutan Tempoh Pembangunan Dari 24 Bulan ke

36 Bulan” bertarikh 19/3/2015 dan sesalinan “Pemakluman Pertukaran

Pemaju Projek” betarikh 27/4/2015 adalah kini ditunjukkan kepada saya,

dilampirkan di sini dan ditandakan secara kolektifnya sebagai “Ekshibit E”

20. Oleh itu, tempoh pembangunan yang lebih lama adalah diperlukan untuk

menyempurnakan Projek tersebut. Defendan tidak akan mengambil

(“undertake”) dan meneruskan dengan pembangunan Projek tersebut jika

tiada Lanjutan Masa yang diluluskan tersebut kerana ia adalah mustahil untuk

Defendan menyempurnakan Projek tersebut dalam tempoh masa 24 bulan

yang biasa, yang mana adalah lebih sesuai untuk pembangunan biasa.

Page 11 of 19
21. Saya selanjutnya menegaskan bahawa Lanjutan Masa tersebut telah

diperolehi sebelum pelaksanaan SPA tersebut dan Plaintif telah bersetujui

dengan Lanjutan Masa tersebut sebelum penandatangani SPA tersebut.

D. Tindakan Plaintif adalah dihalang oleh Had Masa

22. Selanjutnya, tanpa mudarat kepada kenyataan-kenyataan di atas, tempoh

had masa selama 6 tahun di bawah Akta Had Masa 1953 telah tamat

tempoh untuk apa-apa alegasi-alegasi dan/atau apa-apa tuntutan untuk

relif deklarasi-deklarasi yang dipohon oleh Plaintif di sini atas dasar

bahawa pengubahsuaian tempoh masa 36 bulan kepada 24 bulan klausa

22(1) SPA tersebut adalah kononnya tidak sah dan klausa 22(1)

kononnya patut dibaca menurut versi asal Jadual G Peraturan-Peraturan

Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 dan masa untuk

penyerahan milikan kosong adalah kononnya 24 bulan dari tarikh SPA

tersebut

23. Pada dasarnya, Plaintif mendakwa bahawa SPA tersebut sepatutnya

berdasarkan pada borang kontrak yang biasa seperti yang ditetapkan dalam

Jadual G dan masa untuk penyerahan milikan kosong sepatutnya 24 bulan

dari tarikh SPA tersebut yang telah kononnya dimungkiri oleh Defendan. Oleh

yang demikian, kausa tindakan mengenai perlanggaran undang-undang

yang relevan yang didakwa tersebut dan/atau cabaran oleh Plaintif

terhadap keesahan Lanjutan Masa tersebut sepatutnya berbangkit dari

masa Plaintif menandatangani SPA tersebut iaitu pada sekitar Ogos

Page 12 of 19
2015 dan tempoh had masa 6 tahun telah tamat selewat-lewatnya pada

bulan Ogos 2021. Oleh itu, tindakan di sini yang difailkan pada 7/1/2022

adalah dihalang oleh had masa dan Plaintif adalah diestop daripada

memfailkan tindakan secara lewat di sini. 

E. Plaintif adalah diestop dan/atau dihalang oleh prinsip “laches” untuk

memulakan tindakan di sini

24. Secara tambahan dan/atau alternatifnya, Plaintif adalah diestop dan/atau

dihalang oleh prinsip “laches” untuk membangkitkan isu dan/atau memulakan

tindakan di sini memandangkan Plaintif telah bertidur atas hak mereka (‘slept

on their rights’) dan menangguhkan pemfailan guaman di sini untuk terlalu

lama memandangkan kausa tindakan berkenaan pengubahsuaian terhadap

klausa kontrak SPA tersebut yang menyalahi undang-undang yang didakwa

tersebut telah timbul dari tarikh penandatanganani SPA tersebut pada sekitar

Ogos 2015.

25. Sejak Notis VP tersebut diisukan dan Surat Penyelesaian tersebut

dipersetujui oleh Plaintif dan jumlah LAD tersebut telahpun dibayar oleh

Defendan dan diterima oleh Plaintif, pada setiap masa yang material, Plaintif

tidak pernah mempertikaikan jumlah LAD tersebut dan tidak pernah membuat

tuntutan-tuntutan seperti yang dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan.

Page 13 of 19
26. Justeru itu, saya sesungguhnya percaya berdasarkan nasihat peguamcara

Defendan bahawa sejak penyerahan milikan kosong bangunan tersebut

kepada Plaintif pada/atau sekitar November 2018, pihak-pihak telah

mengubah dan/atau mengambil pendirian-pendirian yang berprejudis

terhadap Defendan termasuk tetapi tidak terhad kepada penerimaan bayaran

LAD oleh Plaintif, pengiraan tempoh liabiliti kecacatan dan/atau pembaikan

apa-apa defek oleh Defendan pada bangunan tersebut. Saya sesungguhnya

percaya bahawa kedua-dua pihak telah bertindak berdasarkan terma-terma

SPA tersebut termasuk tempoh penyerahan milikan kosong selama 36 bulan

dan bukan 24 bulan.

27. Ia adalah langsung tidak adil dan tidak saksama sekarang untuk Plaintif

membangkitkan isu ini pada takat yang lewat dan menuntut LAD lanjut

apabila Plaintif telah melalui tingkah laku mereka sendiri mengetepikan apa-

apa tuntutan bagi LAD lanjut dan/atau telah bersetujui kepada yang sama.

F. Apa-apa keputusan Mahkamah atau penyisytiharan bahawa

pengubahsuaian klausa 22(1) SPA tersebut adalah kononnya ultra vires

Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (“HDA 1966”)

yang dirujuk oleh Plaintif tersebut tidak seharusnya terpakai dalam kes

ini dan/atau tidak sepatutnya terpakai secara retrospektif kepada kes ini

28. Saya juga dinasihati oleh peguamcara Defendan dan sesungguhnya percaya

bahawa apa-apa penyisytiharan atau keputusan Mahkamah sebelum ini

Page 14 of 19
bahawa pengubahsuaian klausa-klausa perjanjian jual beli adalah kononnya

ultra vires Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (“HDA

1966”) yang dirujuk oleh Plaintif boleh dibezakan, tidak seharusnya terpakai

dalam kes ini dan/atau tidak sepatutnya terpakai secara retrospektif kepada

kes ini. Terdapat kesusahan, ketidakadilan dan akibat yang mengganggu

yang akan dibawa terhadap Defendan mengenai SPA tersebut yang dimasuki

sejak 2015. Keadaan luar biasa juga harus diambilkira untuk penyisytiharan

atau keputusan Mahkamah tersebut tidak terpakai secara retrospektif. Secara

tambahan, antara lainnya :-

(a) Dalam apa jua keadaan dan tanpa prejudis kepada kenyataan-

kenyataan di atas, pihak Plaintif telah gagal untuk membawa masuk

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan

Tempatan, Menteri berkenaan dan/atau pihak “Controller” sebagai

pihak tindakan ini;

(b) Guaman Plaintif di sini adalah difailkan secara lewat sebagai

percubaan untuk memanfaatkan daripada penyisytiharan atau atau

keputusan Mahkamah tersebut;

(c) Apabila Lanjutan Masa tersebut telah diluluskan dan SPA tersebut

telah ditandantangani oleh Plaintif pada tahun 2015, Lanjutan Masa

tersebut adalah sah di bawah undang-undang dan sah berdasarkan

undang-undang pada masa tersebut apabila pihak-pihak bertindak

sewajarnya berdasarkan undang-undang pada masa material;

Page 15 of 19
(d) Ini juga akan membuka “floodgates” untuk tindakan undang-undang

jika penyisytiharan atau atau keputusan Mahkamah tersebut adalah

terpakai;

(e) Ini juga melibatkan suatu poin undang-undang yang direzabkan untuk

hujahan. Kaunsel Defendan akan berhujah lebih lanjut semasa

hujahan.

G. Isu fi tempahan (‘booking fee’) tersebut yang didakwa tersebut

29. Selain daripada yang dinyatakan dalam Pembelaan, isu "pembayaran fi

tempahan" adalah tidak dapat dipertahankan kerana antara lainnya:-

(i) Bayaran yang telah dibuat dalam Lajur 4 Jadual A.1 yang dilampirkan

dengan Pernyataan Tuntutan oleh Plaintif bukan fi tempahan/ deposit

sepertimana yang didakwa tetapi adalah sebahagian bayaran

sebanyak 10% daripada harga bayaran yang mana akan dibayar

setelah SPA tersebut ditandatangani;

(ii) Berdasarkan “Registration Form” bertarikh 6/6/2015 yang

ditandatangani oleh Plaintif, Plaintif telah bersetuju dan mengaku janji

(‘undertake’) untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli tersebut

dalam masa 21 hari;

Page 16 of 19
Sesalinan “Registration Form” bertarikh 6/6/2015 yang ditandatangani

oleh Plaintif adalah kini ditunjukkan kepada saya, dilampirkan di sini

dan ditandakan secara kolektifnya sebagai “Ekshibit F”

(iii) Namun demikian, Plaintif tidak menandatangani SPA tersebut dalam

tempoh masa 21 hari tersebut dan Plaintif telah lewat dalam

menandatangani SPA tersebut sehingga 20/8/2015. Defendan tidak

harus dipersalahkan dan/atau seharusnya tidak menanggung apa-apa

liabiliti termasuk bayaran apa-apa jumlah LAD yang berlebihan yang

disebabkan oleh kelewatan Plaintif untuk menandatangani SPA

tersebut;

(iv) Oleh yang demikian, bayaran yang dikutip daripada Plaintif adalah

selaras terma-terma kontrak statutori jualan dan dakwaan-dakwaan

bahawa kutipan tersebut adalah kononnya salah di bawah undang-

undang yang sedia ada adalah dinafikan dengan setegas-tegasnya;

(v) Secara tambahan, frasa “dari tarikh SPA ini” (‘from the date of this

SPA’) di bawah klausa 22 SPA tersebut adalah terpakai dan

seharusnya dipatuhi. Ia adalah tidak tepat dan/atau adalah salah untuk

frasa tersebut dibaca sebagai kononnya “dari tarikh pembayaran fi

tempahan (‘booking fee’) / simpanan (‘deposit’)”. Plaintif seharusnya

tidak dibenarkan untuk “approbate and reprobate” dengan mendakwa

bahawa Defendan tidak berhak untuk mengubahsuai terma-terma SPA

Page 17 of 19
tersebut dan pada masa yang sama Plaintif menuntut bahawa frasa

“dari tarikh SPA ini” sepatutnya diubahsuai dan digantikan dengan

frasa “dari tarikh bayaran fi tempahan / deposit”;

(vi) Plaintif tidak seharusnya dibenarkan untuk menuntut LAD “dari tarikh

bayaran fi tempahan / deposit” yang tidak dinyatakan dalam SPA

tersebut.

Kesimpulan

30. Saya sesungguhnya menyatakan bahawa berdasarkan alasan-alasan di atas,

tuntutan Plaintif tidak mempunyai sebarang merit dan Plaintif juga tidak

mempunyai apa-apa dasar untuk menuntut relif-relif dalam perenggan 36

Pernyataan Tuntutan, yang mana tidak dapat dipertahankan.

31. Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, saya sesungguhnya

menyatakan bahawa keseluruhan tindakan Plaintif seharusnya dibatalkan

kerana ia tidak mendedahkan suatu kausa tindakan yang munasabah, adalah

remeh atau menyusahkan dan/atau suatu penyalahgunaan proses.

32. Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon untuk suatu perintah seperti yang

dipohon dalam Notis tersebut dengan kos.

Berkenaan dengan afidavit )


Oleh seorang deponen )

Page 18 of 19
NUR AYUNI BINTI AB RAHIM )
Diikrar pada )
Di )
[Melalui Penterjemahan oleh- )
Penterjemahan tidak diperlukan] ) Di hadapan saya,

............……………….............
Pesuruhjaya Sumpah

Afidavit Sokongan ini difailkan oleh Tetuan Justin Voon Chooi & Wing,
Peguamcara bagi Defendan, yang beralamat di d6-5-13A, Bangunan Perdagangan
d6, 801, Jalan Sentul, 51000 Kuala Lumpur.
Tel : 03-27851015/23 & 03-27014451 Faks : 03-27014452
[Ruj: JCW/L1051/01/22 (ECO)(A) – JV/AL/my]

Page 19 of 19

Anda mungkin juga menyukai