Anda di halaman 1dari 3

Bismillahirrahmanirrahim assalamualaikumwarahmatullahiwabaratuh, salam sayang buat sekolahku

saya titipkan buat anda semua. Yang berusaha tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif
lagi bijaksana, tidak lupa juga kepada penjaga masa yang tidak pernah alpa akan detik jamnya.
Seterusnya, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian. Berdirinya saya di sini bukanlah untuk
membuang masa hadirin, tetapi untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk keseimbangan
ekosistem alam tanggungjawab bersama.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, izinkan saya menerangkan sedikit sebanyak
tajuk syarahan saya pada hari ini. Jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita
dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan 'tanggungjawab bersama'. Saya
akan pecahkan tajuk saya ini kepada tiga kompenan utama. Yang pertama akan saya kupaskan punca-
punca kemusnahan ekosistem alam, keduanya kesan-kesan kemusnahan ekosistem alam dan
seterusnya mencari jalan alternatif dalam melestarikan ekosistem alam. Semuanya tidak lain dan
tidak bukan bertunjangkan tema keseimbangan ekosistem alam tanggungjawab bersama.

Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

Kompenan saya yang pertama adalah punca-punca kemusnahan ekosistem alam. Kemusnahan
terhadap ekosistem alam terjadi angkara perbuatan manusia yang tidak mematuhi peraturan atau
rang undang-undang mahupun kaedah yang selamat dalam aktiviti kehidupan seharian. Tindakan
tersebut itu dikaitkan dengan sikap ingin mengaut keuntungan maksimum dan mengurangkan
bebanan kos yang ditanggung. Peraturan soal kebersihan dan menjaga alam sekitar ada dibincangkan
dalam kitab-kitab feqah yang menandakan amalan ini penting dalam ajaran islam. Pemimpin
tersohor India, Mahatma Gandhi pernah berpesan bahawa dunia hari ini hanya mencukupi untuk
orang biasa tetapi tidak kepada orang yang tamak dan haloba. Kata-kata yang terlalu besar ertinya ini
membuatkan saya cukup terpanggil mengajak saudara dan saudari sama-sama memikirkan keadaan
ekosistem alam pada hari ini.

Terdapat segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan yang merobek
keindahan alam sekitar seperti membuang sampah, sisa toksik dan agen pencemar alam secara tidak
mematuhi piawaian yang ditetap pihak kerajaan sekaligus menyebabkan keindahan alam sekitar
tercabul. Tindakan buruk itu bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, bahkan satu perbuatan
berdosa di sisi agama. Ajaran Islam menegah umatnya melakukan perbuatan yang diketahui
mendatangkan kesan buruk, tidak kiralah kecil atau besar sesuatu kesalahan itu. Individu yang tidak
bertanggungjawab melakukan sesuatu berdasarkan mana yang lebih mudah dan menguntungkan
mereka. Soal keburukan dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak lain atau masyarakat
tidak pula dikisahkan. Hal ini umpama jari-jari liar yang rakus menerkam mangsanya. Batu dilontar ke
depan, tangan disorok ke belakang. Yang konon-kononnya terlalu sarat, terlalu berat untuk difikirkan
bersama. Menyesakkan nafas orang yang melihat. Manusia…oh, manusia….

Sidang hadirin yang berwaswasan sekalian,

Kita terus meneroka dengan komponen kedua saya iaitu kesan-kesan kemusnahan ekosistem alam.
Dipetik dari Malaysia Today, para akademik mendapati bahawa dua pertiga daripada ekosistem
seimbang yang dikaji, telah mengalami kerosakan di tangan manusia sepanjang setengah abad yang
lalu. Wilayah tanah kering di dunia, yang mewakili 41 peratus permukaan tanah di bumi, telah begitu
teruk dimusnahkan, namun, di sini jugalah populasi manusia telah berkembang dengan begitu
pesatnya sejak tahun 1990-an. Sepanjang 50 tahun yang lalu, manusia telah mengubah ekosistem
dengan pantas dan meluas berbanding mana-mana waktu dalam sejarah manusia, kebanyakannya
bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk makanan, air bersih, kayu balak serta keperluan
yang lain. Akibatnya, hanya kini, kian nampak jelas. Lebih kurang 15 dari 24 ekosistem yang utama
bagi kehidupan atas bumi telah mengalami kerosakan yang serius. Sebuah ekosistem ditakrifkan
sebagai sebuah kompleks yang dinamik mengandungi tumbuh-tumbuhan, binatang dan
mikroorganisma yang membentuk unit fungsi bersama persekitaran benda bukan hidup yang dapat
wujud bersama.

Sidang hadirin yang bervisi,

Sudah banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah
pencemaran. Isu pencemaran alam merupakan masalah peringkat global yang turut melanda negara
seluruh dunia. Mungkin sesebuah negara itu telah, sedang dan akan mengalami krisis ini. Kegagalan
sesebuah negara menangani alam sekitar turut melepasi sempadan negara apabila kesannya turut
dirasai di negara lain. Maka, sudah tentulah isu alam sekitar sering menjadi duri dalam daging
hubungan dua negara yang berjiran. Sedekad lalu, masyarakat dunia heboh dengan masalah
penipisan lapisan ozon. Kejadian itu selalu menjadi igauan ngeri bagi generasi kini dan akan datang.
Generasi kini merupakan pencetus generasi akan datang. Lapisan ozon yang melindungi bumi
daripada sinaran ultra-lembayung (UV) disebabkan pelepasan gas-gas berbahaya secara tidak
terkawal. Melepaskan unsur pencemaran sememangnya tidak dapat dielakkan. Aktiviti harian
manusia sudah pasti tidak lepas daripada menghasilkan bahan buangan. Kita makan dan
menghasilkan najis, bekas pembalut makanan menjadi sampah, menhidupkan enjin melepaskan asap
dan sebagainya.

Namun, apakah tindakan kita? Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan misteri. Kita teruskan
dengan komponen ketiga saya iaitu kempen melestari alam sekitar. Sebenarnya, kempen ini
bukannya bertujuan menyusahkan, membebankan mahupun melecehkan hadirin sekalian tetapi
bertujuan mencari alternatif meminimumkan kesan daripada aktiviti tersebut. Sebenarnya krisis
alam sekitar bukannya suatu isu yang boleh dianggap remeh. Di peringkat global, pelbagai
perbincangan khusus yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi negara seluruh dunia. Deklarasi
demi deklarasi telah dibuat mengenai tatacara dan usaha mengatasi masalah ini. Memang tidak
dinafikan, semua pihak sedar kepentingan menjaga alam sekitar.

Ramai yang beranggapan bahawa pencemaran secara besar-besaran sahaja boleh mencemarkan
alam sekitar. Namun, hakikatnya memang berbeza seperti yang difikirkan. Saya bawakan contoh
membuang puntung rokok dan kertas pembalut gula-gula juga perbuatan mencemarkan alam sekitar.
Biarpun kecil, tetapi sekiranya jumlahnya berlipat kali ganda tetap mencemarkan alam sekitar.
Acapkali kita lihat tempat-tempat seperti perhentian bas, tandas awam dan sebagainya kelihatan
agak kotor disebabkan benda-benda kecil ini. Sebenarnya, setiap antara kita mempunyai peranan
untuk melestarikan ekosistem alam biarpun perkara itu dianggap remeh. Jangan disebabkan benda
remeh ini, kelak membawa binasa kepada seluruh komuniti masyarakat.
Hadirin sekalin, sidang penonton penuh santun,

Harus dikejut mana yang lena,

Harus ditegur mana yang alpa,

Sebelum manusia ditimpa bencana,

Sebelum alam mulai bicara

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan. Asimilasi ini bagai isi dengan kuku, bagai
irama dengan lagu, bagai aur dengan tebing. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan
diterokai untuk pembangunan sudah pastilah haiwan-haiwan akan pupus. Tidak hairanlah hadirin
sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah
bersama kita. Bahkan jangan terkejut sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang panda itu, pokok
yg tumbuh melilit di tepi pagar. Seterusnya, ledakan bom jangka ketiga ini umpama ledakan bom
jangka pada generasi mendatang.

Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan
menanamkan sikap mencintai alam sekitar. Ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Jadi, anda
bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin inilah luahan rasa sebatang pokok meranti
ataupun rintihan seekor semut api merah. Konklusinya, manusia yang mengancam Manusia
sendirilah turut terancam. Persoalannya, untuk mengejar sesuatu kemajuan. Haruskah alam menjadi
taruhan? Timbang-timbangkan agar bom jangka ini tidak terus-terusan meledak seperti ledakan
tsunami di Acheh, gempa bumi di Pakistan dan Wilma di Amerika. Tepuk dada tanyalah minda, tepuk
dahi fikirlah sendiri. “keseimbangan ekosistem alam tanggungjawab bersama”, Wabillahitaufik wal
hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh.

Anda mungkin juga menyukai