Anda di halaman 1dari 4

Pembangunan Menyebabkan Berlakunya Bencana Alam

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di
seluruh dunia. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-
dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh manusia sejagat. Kesannya,
bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa. Fenomena ini
dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa
bumi dan letupan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada
jalan penyelesaian untuk menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini
demikian kerana sudah menjadi lumrah alam iaitu apabila tiba saat dan
ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang
mampu menghalang kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca
daripada sikap manusia itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia
tidak terancam.


Aktiviti pembalakan memang merupakan salah satu penyumbang ekonomi
negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya
bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak
memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang
dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah
kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini akan
menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa dan
menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, perkara ini membuktikan
bahawa masalah ini menjadi penyebab bencana alam berlaku.


Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang
suka melakukan pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh kerana yang
kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah yang menyebabkan kejadian jerebu
yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Jerebu ini
pula boleh menyebabkan pesakit asma akan mengalami masalah pernaqfasan
dan menyebabkan penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya
sedar dan berhati-hati semasa melakukan sesuatu perkara kerana pandang jauh
dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku sebarang bencana.
Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan
pencemaran alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa
manusia yang tidak berdosa.


Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak
bertanggungjawab iaitu dengan membuang sampah ke dalam longkang dan
sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya
menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, kapak tak boleh membelah kayu,
kalau bukan kayu pula yang menjadi hulunya. Hal ini demikian kerana sistem
perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai
dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan
menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan
menyusahkan banyak pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, perkara ini jelas
membuktikan bahawa sikap angota masyarakat yang tidak bertanggungjawab
menjadi punca becana alam berlaku.


Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku kebiasaannya
disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng
bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan
boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14
buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan
mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini
disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak
mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya
kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna
untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan
kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan
kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang
menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.


Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan
berganding bahu dengan mengamalkan peribahasa seperti aur dengan tebing
untuk menangani masalah ini. Janganlah kita mengamalkan peribahasa seperti
enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jika perkara ini tidak
dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk
daripada sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa
tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan
semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah menganugerahkan
alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam
kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang
demikian, tepuklah dada, tanyalah selera sebelum bertindak agar kita tidak
ditimpa oleh bencana alam akibat tindakan kita sendiri yang tidak
bertanggungjawab.

PEMBANGUNAN YANG PESAT TELAH MENYEBABKAN PENCEMARAN
ALAM SEKITAR
Pembangunan dunia yang berkembang dengan pesat telah menyebabkan alam
sekitar tercemar. Pencemaran ini boleh memudaratkan kesihatan. Kilang-kilang
yang mengeluarkan asap telah mencemarkan udara. Selain itu, kenderaan-
kenderaan turut mengeluarkan gas karbon monoksida yang boleh menyebabkan
sistem pernafasan terganggu dan memudaratkan kesihatan manusia.

Sungai-sungai juga turut dicemari. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah
sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS), kedudukan pencemarannya
semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai
dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai
yang masih bersih.
Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian
jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Pencemaran sungai terus
meningkat disebabkan oleh sisa-sisa pembuangan industri dan bahan-bahan
toksik. Ia menyebabkan hidupan akuatik terjejas.

Begitu juga dengan tumpahan minyak oleh kapal-kapal. Hidupan akuatik seperti
ikan merupakan sumber protein yang penting kepada manusia. Jika sumber ini
tercemar, maka manusia akan menghadapi masalah kekurangan sumber protein.
Kekurangan protein dalam badan pula akan menyebabkan kesihatan manusia
terganggu.

Pembuangan sampah-sarap oleh orang ramai dan perbuatan membiarkan
longkang-longkang tersumbat serta bertakung amat membahayakan kesihatan
manusia. Ini akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes, kuman dan bakteria
seterusnya membawa penyakit seperti panyakit taun dan demam denggi.

Oleh sebab alam sekitar yang bersih dan ceria amat penting, maka pelbagai
langkah yang berkesan harus diambil oleh pihak berkuasa. Antaranya ialah
undang-undang harus diperketat supaya sektor industri akan memastikan
kebersihan persekitaran. Kempen-kempen kesedaran juga hendaklah dijalankan
untuk menyedarkan orang ramai tentang kepentingan alam sekitar. Denda atau
hukuman yang setimpal perlu dikenakan kepada pihak yang mencemarkan alam
sekitar tanpa memilih bulu. Ingatlah bahawa kesilapan yang dilakukan oleh
manusia akan ditanggung oleh manusia itu sendiri. Oleh itu setiap individu di
bumi ini perlu menjalankan tanggungjawab bagi menjamin kebersihan alam
sekitar.

Anda mungkin juga menyukai