Anda di halaman 1dari 2

Faktor-Faktor Berlakunya Bencana Alam

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan bencana alam yang berlaku di seluruh dunia. Berita-
berita yang menyedihkan hati kita ini terpampang di dada-dada akhbar dan dikongsi bersama-sama oleh
manusia sejagat. Kesannya, bencana alam ini telah meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.
Fenomena ini dibuktikan melalui kejadian tanah runtuh, banjir kilat, jerebu, tsunami, gempa bumi dan
letusan gunung berapi yang sering melanda dunia. Malangnya, tiada jalan penyelesaian untuk
menghalang bencana alam ini daripada berlaku. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi lumrah alam
iaitu apabila tiba saat dan ketikanya, bencana alam ini pasti akan terjadi. Tiada satu kuasapun yang
mampu menangani kuasa alam, namun kejadian bencana alam yang berpunca daripada sikap manusia
itu sendiri perlu diberikan perhatian agar nyawa manusia tidak terancam.

Aktiviti pembalakan memang merupakan antara penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar
ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam
aktiviti pembalakan seharusnya memikirkan kesannya sebelum menebang pokok kerana, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan
dengan anak pokok yang baharu, biasanya akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah
berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang akan meragut nyawa
dan menyebabkan kerosakan harta benda. Oleh itu, langkah yang bijaksana dan efektif perlulah
dijalankan untuk menangani masalah ini daripada berlaku.

Selain itu, terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab yang suka melakukan
pembakaran terbuka. Hal ini nampaknya remeh, kerana yang kelihatan hanyalah asap, namun asap inilah
yang menyebabkan kejadian jerebu yang menyulitkan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-
tumbuhan. Jerebu ini pula boleh menyebabkan pesakit asma mengalami masalah dan menyebabkan
penyakit mereka semakin kronik. Oleh itu, kita seharusnya sedar dan berhati-hati semasa melakukan
sesuatu perkara kerana pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan supaya tidak berlaku
sebarang bencana. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kita untuk mengurangkan pencemaran
alam sekitar dan membantu kita untuk menyelamatkan nyawa manusia sejagat yang tidak berdosa.

Seterusnya, terdapat sesetengah anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab iaitu dengan
membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati. Secara sedar atau tidak, golongan
ini sebenarnya menganiayai masyarakat seperti kata pepatah, “kapak tak boleh membelah kayu, kalau
bukan kayu pula yang menjadi hulunya”. Hal ini demikian kerana, sistem perparitan akan tersumbat oleh
sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat
ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Kejadian ini sudah pastinya akan menyusahkan banyak
pihak yang tidak berdosa. Oleh itu, pihak berkuasa haruslah mengkaji masalah ini hingga ke akar
umbinya.

Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti
pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan
keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya,
sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan
empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang
membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan
berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk
menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini
penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam
tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak haruslah bersama-sama dan berganding bahu dengan
mengamalkan peribahasa “seperti aur dengan tebing” untuk menangani masalah ini. Janganlah kita
mengamalkan peribahasa “seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Jika
perkara ini tidak dilakukan, sudah pastinya semua pihak terpaksa menanggung akibat buruk daripada
sikap kita sendiri. Oleh itu, anggota masyarakat perlulah sedar bahawa tanggungjawab untuk menjaga
alam sekitar tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata. Kita harus sedar bahawa, sebenarnya Allah
menganugerahkan alam ini kepada kita sebagai amanah untuk dijaga. Mahukah kita hidup di dalam
kawasan tanah runtuh, jerebu, banjir dan kemarau? Oleh hal yang demikian, tepuklah dada, tanyalah
selera, sebelum bertindak.

Anda mungkin juga menyukai