Anda di halaman 1dari 5

KURSUS:

SKAG1043 BIOGEOGRAFI

SEMESTER 2 SESI 2022/2023

TUGASAN:

RENCANA 2

SOALAN 1: 

PENGARUH IKLIM TERHADAP KESEIMBANGAN EKOSISTEM. BINCANGKAN.

NAMA PENSYARAH:

 DR. FRANKIE MARCUS ATTA

NAMA :

HALIMATUN SAADIAH SHAFIE

NOMBOR MATRIK:

A193117
Pengaruh Iklim terhadap Keseimbangan Ekosistem. Bincangkan.

Oleh: Halimatun Saadiah Shafie

Dalam konteks definisi, iklim dapat ditakrifkan sebagai cuaca purata yang
memiliki tempoh masa bermula dari bulan sehingga ke ribuan atau jutaan tahun.
Tempoh yang biasa diguna pakai bagi mengukur iklim sesuatu tempat adalah 30 tahun
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO).
Unsur-unsur iklim yang biasa adalah seperti suhu, kerpasan, kelembapan udara, dan
angin. Secara amnya, kesemua unsur-unsur ini memiliki pengaruh yang signifikan
terhadap keseimbangan sesebuah ekosistem di mana pengaruh iklim ini bukan sahaja
memberikan kesan yang positif sebaliknya ia juga turut membawa pengaruh negatif
yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem berkenaan.

Gambar 1: Kebakaran dahsyat yang berlaku di sebuah hutan

Pengaruh iklim yang utama dapat dilihat melalui perubahan suhu yang
mendorong kepada peningkatan suhu global. Keadaan suhu yang sangat tinggi telah
mengakibatkan sesetengah spesies haiwan atau tumbuhan tidak dapat menyesuaikan
diri mereka dengan keadaan tersebut. Kesannya, mereka mungkin akan mengalami
kematian dan lama-kelamaan, spesies ini akan diancam kepupusan. Akibatnya, hal ini
akan mengganggu keseimbangan ekosistem di kawasan yang berkenaan. Selain itu,
peningkatan suhu juga turut menggalakan berlakunya kejadian kemarau. Apabila
kemarau berlaku, kawasan persekitaran akan menjadi kering-kontang dan hal ini
mendorong kepada berlakunya kebakaran hutan. Kebakaran hutan merupakan satu
gangguan alam yang berlaku secara semula jadi dan memberikan impak yang negatif
terhadap ekosistem. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila hutan mengalami
kebakaran yang dahsyat, ia akan mengakibatkan kawasan hutan tersebut mengalami
kemusnahan secara besar-besaran. Kesannya, hal ini akan merosakkan ekosistem yang
terdapat di kawasan berkenaan di samping menjejaskan keseimbangan ekosistem
tersebut. Oleh itu, jelaslah bahawa perubahan suhu yang berlaku mampu memberikan
pengaruh negatif terhadap keseimbangan ekosistem.

Gambar 2: Cahaya matahari dan tumbuhan

Selain itu, cahaya matahari juga mampu mempengaruhi keseimbangan


sesebuah ekosistem melalui proses fotosintesis tumbuhan. Jika dilihat dari sudut
biologi, cahaya matahari merupakan antara elemen utama yang berperanan penting
dalam menggerakkan proses fotosintesis bagi menghasilkan oksigen serta glukosa.
Jadi, setiap tumbuhan sangat bergantung harap dengan kehadiran matahari bagi
membolehkan mereka menjalankan proses fizikal berkenaan. Dalam proses ini,
oksigen yang terhasil akan digunakan secara meluas oleh komponen biotik seperti
haiwan dan mikroorgansima untuk bernafas bagi memastikan kemandirian spesies
mereka. Kesannya, interaksi yang berlaku ini berjaya mewujudkan keseimbangan
dalam ekosistem berkenaan.
Gambar 3: Tumbuhan yang disebarkan oleh angin kencang

Selain itu, angin kencang juga merupakan antara pengaruh iklim yang dikaji
mampu memberikan kesan yang ketara terhadap keseimbangan ekosistem. Secara
amnya, angin kencang merupakan antara agen pembawa yang mampu memindahkan
biji benih atau spora tumbuhan dari satu lokasi ke lokasi lain. Hal ini membolehkan
komposisi tumbuhan tersebar secara meluas di pelbagai kawasan. Kesannya, hal ini
berjaya mewujudkan kepelbagaian ekosistem di samping mewujudkan keseimbangan
dalam ekosistem berkenaan melalui penyebaran spesies tumbuhan yang telah berlaku.
Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa angin kencang berperanan penting dalam
menyeimbangkan sesebuah ekosistem.

Selain itu, kelembapan udara juga turut memberikan pengaruh terhadap


keseimbangan sesebuah ekosistem. Dalam konteks definisi, kelembapan udara
merujuk kepada kandungan wap air yang terkandung dalam udara. Kelembapan udara
yang tinggi cenderung memberikan keadaan yang lembap terhadap sesebuah
ekosistem. Kesannya, hal ini telah menjejaskan proses transpirasi dan penyejatan air
daripada tumbuhan serta permukaan tanah yang terdapat dalam ekosistem berkenaan.
Namun begitu, jika dilihat dari perspektif yang berbeza, kelembapan udara yang
tinggi mempunyai manfaatnya yang tersendiri terhadap persekitaran fizikal di mana ia
memainkan peranan penting dalam menyederhanakan suhu. Implikasinya, hal ini
memberikan keadaan yang selesa buat pelbagai hidupan terutamanya haiwan dan
tumbuhan untuk berinteraksi. Kedua-dua keadaan yang berlaku ini telah berjaya
membentuk keseimbangan dalam sesebuah ekosistem melalui interaksi serta proses
yang wujud dalam ekosistem berkenaan.
Gambar 4: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands

Akhir sekali, hujan lebat. Hujan lebat merupakan antara unsur iklim yang
mampu mempengaruhi keseimbangan sesebuah ekosistem secara signifikan. Hujan
lebat yang turun secara berlebihan terutamanya di ekosistem tanah tinggi telah
mempercepatkan proses resapan air ke dalam tanah dan hal ini mengakibatkan tanah
menjadi berat dan tidak stabil. Kesannya, hal ini mendorong kepada berlakunya
pergerakan jisim di kawasan berkenaan sehingga mencetuskan kejadian tanah runtuh
atau runtuhan cerun, misalnya seperti yang berlaku di Cameron Highlands. Kejadian
tanah runtuh yang berlaku ini telah memusnahkan habitat hidupan yang terdapat di
sekitar kawasan berkenaan seterusnya mendorong kepada berlakunya
ketidakseimbangan dalam ekosistem tersebut. Jadi, secara ringkasnya, hujan lebat
merupakan antara pengaruh iklim yang memberikan impak negatif terhadap
keseimbangan sesebuah ekosistem.

Kesimpulannya, kesemua pengaruh iklim ini saling berkaitan dan memainkan


peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Perubahan yang
berlaku terhadap kelembapan udara, angin, hujan dan suhu secara jelasnya boleh
mengganggu keseimbangan ekosistem dan menjejaskan interaksi antara organisma
yang hidup dalam ekosistem berkenaan. Oleh itu, pemahaman dan pengurusan yang
baik tentang faktor iklim ini adalah penting bagi mengekalkan kelestarian sesebuah
ekosistem.

RUJUKAN

Laman Web Rasmi Jabatan Meterologi Malaysia. 2021. Iklim Malaysia.


https://m.met.gov.my/pendidikan/iklim/iklimmalaysia [4 Julai 2023].

Anda mungkin juga menyukai