Anda di halaman 1dari 5

BAHAGIAN EMPAT: NILAI ESTETIKA SENI TAMPAK MELALUI TUDUNG MANTO

Oleh: Hadenan bin Towpek, PHD (UiTM, Sarawak)

Di tengah-tengah keghairahan terhadap arus kebangkitan Islam, umat Islam telah cuba
merangka pemikiran yang menjalinkan hubungan harmonis antara agama dan kesenian. Dalam
sejarah tamdun Islam sendiri, perkembangan kesenian selalunya terjadi seiring dengan
kesuburan ilmu falsafah dan ilmu kerohanian. Hal ini menunjukkan bahawa karya seni tidak
terhasil begitu sahaja tanpa diilhami oleh kesedaran seniman terhadap diri serta alam semesta
yang wujud di luar dirinya. Oleh itu, bagi orang Islam, kesenian Islam berkait rapat tentang
kepercayaan dan agama.

Seiring dengan itu, kita boleh rujuk pengertian seni Islam secara umum. Umpamanya, Sidi
Gazalba dalam bukunya bertajuk Pandangan Islam Tentang Kesenian merumuskan seni Islam
sebagai usaha untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu yang menyenangkan dan
mententeramkan jiwa manusia dengan menggunakan lima pancaindera. Sementara karya seni
pula merujuk kepada ciptaan yang membawa maksud mengadakan sesuatu yang sebelumnya
tidak wujud sama ada secara kreatif ataupun dengan menggunakan kelebihan serta minat
masing-masing. Ciptaan boleh berbentuk lukisan, lagu, bangunan, taman, ukiran, pakaian dan
sebagainya, yang mempunyai bentuk tersendiri yang akan menghasilkan kesenangan kepada
manusia. Kesenangan merupakan suatu nilai estetika, iaitu kesenangan yang lahir atas nilai
keindahan sesuatu karya atau hasil seni tersebut.

Sidi Gazalba juga turut merumuskan bahawa nilai estetika merupakan elemen asas dalam
menilai sesuatu hasil seni sama ada dari sudut kehalusan, keindahan dan kecantikannya.
Selain nilai estetika, nilai etika juga dikaitan dengan hasil seni, dimana ia dianggap sebagai
elemen asas dalam setiap perkara yang berkaitan dengan Islam. Umpamanya, seni fesyen
yang dihasilkan mestilah menutup aurat dan ia tidak menimbulkan fitnah. Oleh itu, seni dalam
Islam merupakan ciptaan gabungan antara nilai estetika dengan nilai etika Islam yang
bertepatan dengan intisari al-Quran dan al-Sunnah.

Berasaskan dengan pemahaman ini kita boleh kaitkan pengwujudan Tudung Manto di kalangan
umat Islam Melayu Nusantara mempunyai tahap pencapaian yang tersendiri. Tudung Manto itu
sendiri adalah suatu perlambangan status sosial dalam masyarakat setempat. Pengrajin
Tudung Manto pula sangat memelihara dan mengawal pencorakkan seni Tudung Manto
daripada terjerumus kepada elemen-elemen yang bertentangan dengan syariat Islam;
umpamanya, mencorak rekaan seni tampak yang mengandungi unsur khurafat, tahyul,
penyembahan berhala, pelukisan figur-figur yang dilarang, selain daripada berwaspada dengan
elemen-elemen yang bertentangan dengan akhlak dan budaya timur seperti simbol lucah dan
gambaran keganasan.

Dari aspek pemakaian pula, kita boleh lihat bagaimana Tudung Manto ini dipakai di bahagian
atas seseorang perempuan sama ada di kepala mahupun di bahu. Sekaligus ia memberi
petunjuk bahawa Tudung Manto itu sendiri merupakan suatu jenis pakaian yang mulia dan
hebat. Tambahan pula, pemakaian Tudung Manto disesuaikan dengan majlis-majlis pertemuan
atau perkumpulan yang berprestij atau bersejarah seperti majlis perkahwinan, majlis keraian
kerajaan, dan sambutan hari-hari besar Islam. Dengan memakai Tudung Manto dalam majlis-
majlis ini akan melengkapkan kemeriahan dan kegembiraan majlis tersebut, dengan
kebanggaan terhadap buah tangan budaya sendiri.

Mungkin atas sebab inilah pencorakan Tudung Manto hendaklah memelihara nilai estetika yang
tinggi dan nilai etika yang mantap. Dua nilai ini menjadi ciri khusus Tudung Manto yang dijana
menerusi rangkuman idea-idea, kemampuan imaginasi, pengetahuan, pendidikan, pengalaman
dan tenaga pengrajin Tudung Manto. Pengrajin inilah merupakan manusia yang sarat seni yang
amat sensitif terhadap apa yang wujud dan apa yang belaku di sekitar mereka. Mereka juga
menggunakan daya kreatif seni yang ada sebagai bantuan untuk memeriahkan kebesaran Allah
dan mengajak manusia ke jalan yang lurus menuju-Nya. Lebih jauh lagi, dengan berbekalkan
pesanan junjungan Nabi SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu
indah”, memberi penuh makna dan dorongan motivasi menguatkan keazaman mereka yang
berbakat seni tampak ini supaya melaksanakan anugerah itu untuk khidmat keagamaan.

Seiring dengan itu, Tudung Manto sebagai sejenis pakaian luar, juga merupakan satu bentuk
kebudayaan manusia yang dibenarkan, bahkan dituntut oleh syariat Islam, agar manusia
kelihatan sopan dan cantik, berbeza dengan jenis haiwan yag tidak berakal. Dalam sebuah
hadis yang tercatat dalam Kitab al-Muwatta’ karya Imam Malik, dimana Nabi SAW pernah
menegur seorang lelaki yang datang kepada baginda dengan janggut dan rambutnya yang tidak
terurus. Baginda bersabda, yang bermaksud: “(Bukankah berperawakkan kemas itu lebih baik
bagi seseorang) daripada datang dengan rambut terbiar seumpama syaitan.”
Daripada hadis ini boleh diambil pengiktibaran supaya menyiapkan diri sama ada lelaki
mahupun perempuan, supaya berperawakkan yang kemas ketika bersama dengan anggota
masyarakat, apatah lagi hadir dalam majlis-majlis keraian. Selain itu, kita juga hendaklah
mengelakkan diri daripada berkeadaan yang kusut, tidak terurus dan tidak kemas; sehingga ke
satu tahap diumpamakan seperti makhluk yang dilaknat Tuhan iaitu syaitan.

Justeru, seni pakaian dalam Islam dari sudut estetikanya diserahkan kepada kebijaksanaan
umat Islam sendiri menggubahnya sesuai dengan adat dan tradisi serta keadaan setempat
berdasarkan sesuatu motif tertentu. Bagi Tudung Manto, motif yang paling menonjol dan
popular ialah penggunaan sumber alam semulajadi yang menjadi sumber inspirasi zaman
berzaman. Kesempurnaan ciptaan Allah ini perlu dihayati dan dipersembahkan menerusi
pelbagai persepsi serta pendekatan sesuai dengan kepekaan dan kepakaran mereka. Mereka
ini menjalankan peranan untuk memanfaatkan alam semulajadi, menghubungkan dan
merenung segala ciptaan-Nya bagi mengangkat martabat manusia menjadi umat yang
bertaqwa.

Alam semulajadi juga mampu mendorong kegiatan seni Tudung Manto yang berasaskan flora
yang pelbagai seperti ukiran atau pola berbentuk pucuk rebung, labu, bunga cengkih, dan lain-
lain lagi. Dalam hal ini, seni Tudung Manto ini boleh ditanggapi dengan beberapa ciri khusus
dengan mengadaptasikan ciri-ciri pernyataan tauhid dalam kesenian Islam yang dirumuskan
oleh Norain Ishak dalam bukunya Pengantar Seni Islam, seperti berikut:

1) Abstraksi atau kemujaradan. Ini merujuk kepada seni Islam yang menolak gambaran atau
peniruan figur atau alam semulajadi secara tepat. Seni Tudung Manto mengaplikasikan
peniruan sumber flora yang diubahsuai, digayakan dan tidak ditiru secara menyeluruh. Ia hanya
mengambil bentuk seumpama flora sama ada bentuk daun, bunga atau batang.

2) Struktur Modular. Ini merujuk kepada karya seni Islam yang mengandungi banyak bahagian
atau modul yang digabungkan untuk menghasilkan rekaan yang lebih menyeluruh. Seni Tudung
Manto juga bercirikan stuktur modul utama dimana ia mempunyai sesuatu bahagian asas, yang
kemudian bergabung mementuk corak Tudung Manto yang lengkap.
3) Gabungan Berturutan/Kombinasi Berterusan. Ciri ini merupakan penerusan daripada ciri
struktur modular. Tudung Manto juga dibentuk dengan gabungan struktur modular secara
berkombinasi berterusan yang membentuk satu corak yang domain.

4) Perulangan. Ciri ini menjelaskan sesuatu corak atau kombinasi campuran yang diulang-
ulang. Bagi Tudong Manto, ciri perulangan lazimnya terletak di tepian keliling kain Tudung
Manto.

5) Dinamisme. Ciri ini melambangkan sesuatu corak atau kombinasi keseluruhan yang
bersifat lengkap, kukuh dan padat. Hal ini juga berlaku pada Tudung Manto yang bersifat
dinamisme dimana ia memiliki corak atau gabungan keseluruhan yang lengkap.

6) Intrikasi atau kerumitan. Ciri ini menjelaskan corak penuh seni tampak yang ada pada
Tudung Manto yang bersifat intrikasi atau kerumitan, iaitu padat dengan corak atau bentuk yang
halus dan detail sehingga menimbulkan kerumitan dan kesukaran untuk memahami corak ini,
kecuali pengrajin-pengrajin Tudong Manto yang sudah mahir dan berpengalaman.

7) Padat. Ciri ini lazim terdapat pada karya seni Islam yang menzahirkan bentuk yang padat
dengan pelbagai corak sehingga tidak ada ruang-ruang atau bahagian-bahagian tertentu yang
dibiar kosong mahupun cacat. Setiap ruang-ruang kecilnya penuh dengan aneka bentuk hiasan
sehingga ia kelihatan penuh serta hasil kerja yang halus. Ciri ini juga terdapat pada Tudung
Manto sehingga nilaiannya lebih tinggi.

8) Beranyam. Corak ini, sebagaimana yang terdapat pada Tudung Manto, difahami sebagai
bentuk corak yang dijalinkan atau dihubungkan antara satu sama lain, sehingga bentuk
permukaannya kelihatan naik turun seperti bentuk anyaman dan berombak.

Selanjutnya, dari sudut fungsi hiasan flora dalam seni tampak Tudung Manto pula boleh
dirumuskan seperti berikut:

1) Ia berfungsi untuk mengukuhkan penghayatan umat Islam terhadap Allah dalam apa jua
suasana dan di mana jua berada. Corak hiasan fauna pada Tudung Manto mengispirasikan
banyak orang sama ada pengrajin, pemakai, penyelidik dan masyarakat umum untuk
mengaitkan sesuatu corak fauna itu menjadi lambing dakwah Islamiyyah.
2) Sesuatu kain asas Tudung Manto menjadi berubah penampilannya dengan wujudnya
hiasan corak fauna. Dengan adanya perubahan ini, ia telah menjadi hiasan yang bertambah
indah, mulia, suci dan murni.

3) Pengwujudan corak fauna pada Tudung Manto juga berfungsi untuk melindungi permukaan
dan struktur asal kain bagi mengurangi kesannya kepada pemerhati. Dengan adanya corak
fauna ini dapat menarik perhatian dan tumpuan pemerhati untuk mengfokuskan kepada corak
fauna tersebut, bukannya kepada jenis kainnya.

4) Fungsi hiasan fauna pada Tudung Manto juga adalah untuk pengindahan, kecantikan dan
perhiasan pada keseluruhan karya seni Tudung Manto. Ia juga boleh diinterpretasikan sebagai
nilai keindahan Tudung Manto bukan bergantung kepada bentuk atau saiznya, tetapi lebih
penting adalah pada butiran penciptaannya.

Sebagai kesimpulannya, nilai estetika seni tampak Tudung Manto memang tidak dapat
dinafikan bahkan ia mempunyai nilaian yang tinggi dan tersendiri. Ia juga masih memelihara
nilai etika dalam pemilihan bentuk atau corak fauna. Bahkan ia menjadi jambatan dakwah
Islamiyah yang mencirikan intisari keIslaman dalam hasil seni Tudung Manto ini, seiring dengan
daya inspirasi dan motivasi yang terkandung dalam ciri-ciri khusus dan fungsi-fungsi hiasannya.
Justeru, generasi baru wajar diberikan pendedahan dan pendidikan lebih banyak lagi mengenai
seni tampak Tudung Manto ini, dan aspek estetikanya ini hanyalah permulaannya. Mudah-
mudahan langkah awal ini memberi sumbangan dan rangsangan kepada generasi muda dan
para pemerhati untuk meneruskan perjuangan mengangkat seni tampak Islam walau di mana
berada.

Rujukan:
Norain Ishak (2008), Pengantar Seni Islam. Melaka: Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
(CITU) UiTM Kampus Melaka.
Sidi Gazalba (1977), Pandangan Islam Tentang Kesenian. Jakarta: Bulan Bintang.

Anda mungkin juga menyukai