Anda di halaman 1dari 19

‫ه‬1247 ; 17

RIWAYAT HIDUP
AL-SHAYKH ABD AL-SAMAD AL-FALIMBANI
1116-1247H / 1704-1832M

No. 9 Jalan UP 2A Prima Ukay, Saujana Melawati, 53100 Kuala Lumpur


GPS: 3.217881N 101.758629E
www.baalawi-kl.com
© Ba'Alawi Kuala Lumpur

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana


bahagian daripada terbitan ini sama ada ilustrasi dan isi kandungannya dalam
apa jua bentuk dan cara, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanikal,
rakaman, dan sebagainya sebelum mendapat izin bertulis daripada pemilik
hak cipta terlebih dahulu.

Diambil daripada tulisan Shaykh Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Ustadh


Shauqi al-Yarmouki, dan beberapa sumber rujukan lain.

Diterbitkan oleh:

BA’ALAWI KUALA LUMPUR


No 9, Jalan UP2A,
Prima Ukay Saujana Melawati
53100 Kuala Lumpur
Tel +603 4108 5888
http://www.baalawi-kl.com
http://www.facebook.com/BaAlawiKL

‫نورالزمان عبدالقدر‬
Direkabentuk oleh:

Tel: +60194706277
Emel: noorulzaman@outlook.com
http://www.facebook.com/KotaKataEvents
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

!
RIWAYAT HIDUP
SHAYKH ABD AL-SAMAD AL-FALIMBANI r
Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani  dilahirkan pada 1116H/1704M,
di Palembang. Tentang nama lengkap Shaykh al-Falimbani, sejauh
yang tercatat dalam sejarah, ada tiga versi nama. Pertama, seperti yang
disebut dalam Ensiklopedia Islam, nama lengkap beliau ialah Abd
al-Samad al-Jawi al-Falimbani. Versi kedua, merujuk pada sumber-
sumber Melayu, sebagaimana dikutip Azyumardi Azra dalam bukunya
Jaringan Ulama’ Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII
dan XVIII, ulama’ besar ini memiliki nama asli Abd al-Samad bin
Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Sementara versi terakhir, bahawa bila
merujuk pada sumber-sumber Arab, maka nama beliau ialah Sayyid
Abd al-Samad bin Abd al-Rahman al-Jawi.
Daripada silsilah, nasab Shaykh al-Falimbani berketurunan Arab,
iaitu daripada sebelah ayahnya yang bernama Shaykh Abdul Jalil bin
Shaykh Abdul Wahhab bin Shaykh Ahmad al-Mahdani. Ayah Shaykh
al-Falimbani adalah ulama’ berasal dari Yaman yang diangkat menjadi
Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18M. Sementara ibunya, Radin
Ranti, adalah wanita Palembang yang merupakan isteri kedua Shaykh
Abdul Jalil, setelah sebelumnya sempat menikahi Wan Zainab, puteri
Dato' Sri Maharaja Dewa di Kedah.
Shaykh Abdul Jalil adalah ulama’ besar sufi yang menjadi guru agama
di Palembang. Beliau seperti orang Arab yang lain datang ke Nusantara
untuk menyebarkan Islam. Dalam pengembaraannya ke Palembang,
putera mahkota Kedah, Tengku Muhammad Jiwa, bertemu dengan
Shaykh Abdul Jalil dan berguru padanya, bahkan mengikutinya
mengembara ke pelbagai negeri sampai ke India.

3
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Ketika salah satu perjalanan mereka, Tengku Muhammad Jiwa


mendapat khabar bahawa Sultan Kedah telah mangkat. Tengku
Muhammad Jiwa lalu mengajak gurunya itu pulang bersamanya
ke negeri Kedah. Beliau dinobatkan menjadi sultan pada tahun
1112H/1700M dan Shaykh Abdul Jalil diangkat menjadi mufti Kedah
dan dinikahkan dengan Wan Zainab. Tiga tahun kemudian Shaykh
Abdul Jalill kembali ke Palembang kerana permintaan beberapa
muridnya yang rindu padanya. Di Palembang beliau menikah dengan
Radin Ranti dan memperoleh putera, Abd al-Samad.

Shaykh Abd Al-Samad Al-Falimbani Semasa Kecil


Seperti lazimnya anak-anak kecil di masa itu, Shaykh al-Falimbani
menerima pengajaran agama daripada orang tuanya sendiri iaitu
Shaykh Abdul Jalil, selain beberapa guru di kampungnya yang sempat
membimbingnya. Minatnya terhadap ilmu-ilmu keagamaan telah
terlihat sejak usia muda.
Selain di kampung halamannya, Shaykh al-Falimbani juga mendapatkan
pendidikan agama di daerah Kedah dan Pattani (Selatan Thailand).
Beliau sempat berkawan dengan Shaykh Daud bin Abdullah al-Fattani
ketika belajar agama di Pondok Pauhbuk, Mayur, Pattani. Beliau
nampak hebat sejak berada di pondok lagi sebab itu beliau menjadi
'kepala telaah' (tutor).
Merasa kurang puas dengan ilmu yang dicapainya, orang tua Shaykh
al-Falimbani kemudian menghantar anaknya itu ke tanah Makkah
dan Madinah (30 tahun di Makkah, 5 tahun di Madinah). Di Makkah,
beliau menjadi kawan seperguruan menuntut ilmu dengan ulama’
Nusantara lainnya. Misalnya, Muhammad Arshad Al-Banjari, Abdul
Wahhab Bugis, Abdul Rahman Al-Batawi, dan Daud Al-Fatani.
Meskipun beliau menetap di Makkah, namun, beliau tidak melupakan
negeri tanah tumpah darahnya. Shaykh al-Falimbani tetap memberikan
perhatian besar pada perkembangan sosial, politik, dan keagamaan di
Nusantara.
4
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Shaykh Abd Al-Samad Al-Falimbani Semasa Di Makkah Dan


Madinah
Di Makkah dan Madinah, Shaykh al-Falimbani banyak mempelajari
pelbagai disiplin ilmu daripada ulama’-ulama’ besar masa itu serta para
ulama’ yang berkunjung ke sana. Shaykh al-Falimbani mempunyai
kecenderungan pada tasawuf. Di samping belajar ilmu tasawuf di
Masjid al-Haram beliau juga mencari guru lain dan membaca kitab-
kitab tasawwuf yang tidak diajarkan di sana.
Shaykh al-Falimbani memantapkan keilmuannya di Haramayn
dan mencurahkan waktunya untuk menulis dan mengajar. Tulisan-
tulisannya tidak hanya menyebarkan ajaran-ajaran sufisme tetapi juga
mengajak kaum Muslimin melancarkan jihad melawan kolonialis
Eropah.
Shaykh al-Falimbani berperanan aktif dalam memecahkan dua
persoalan pokok yang saat itu dihadapi bangsa dan tanah airnya,
baik di kesultanan Palembang mahupun di kepulauan Nusantara
pada umumnya, iaitu yang berkaitan dengan dakwah Islamiyah dan
kolonialisme Barat.
Mengenai dakwah Islam, beliau mengingatkan agar tidak tersesat oleh
pelbagai fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam seperti
ajaran tasawwuf yang mengabaikan syariat.
Mengenai kolonialisme Barat, Shaykh al-Falimbani menulis kitab
dalam bahasa Arab untuk meniup semangat jihad umat Islam sedunia.
Tulisannya ini sangat berpengaruh pada perjuangan umat Islam dalam
melawan penjajahan Belanda, baik di Palembang mahupun di daerah-
daerah lainnya.

5
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Karya Shaykh Abd Al-Samad Al-Falimbani


11. Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauhid, ditulis pada
1178H/1764M di Makkah dalam bahasa Melayu, memuat
masalah tauhid yang ditulisnya atas permintaan pelajar
Indonesia yang belum menguasai bahasa Arab. Ini adalah karya
pertama Shaykh Abdul al-Samad al-Falimbani. Ia dikarang di
Makkah atas desakan seorang sahabat yang bersama beliau
mengikuti syarahan Ahmad bin Abdul Mun'im al-Damanhuri
iaitu seorang ulama’ Mesir yang mengunjungi Makkah pada
tahun 1763M. Karya ini adalah untuk mereka yang tidak
menguasai bahasa Arab.
22. Hidayah al-Salikin Fi Suluk Maslak al-Muttaqin adalah
sebuah adaptasi daripada karangan Imam al-Ghazali, Bidayatul
Hidayah. Ia mengandungi perbahasan usuluddin, syariat, dan
tasawwuf. Ia selesai ditulis di Makkah pada tahun 1778M. Ia
juga mempunyai pengaruh yang besar di Nusantara dan buku
ini telah dicetak berkali-kali di Makkah, Bombay, Kaherah, dan
lain-lain. Mengenai Hidayah al-Salikin yang ditulisnya dalam
bahasa Melayu pada 1192H/1778M, sering disebut sebagai
terjemahan daripada Bidayah al-Hidayah karya Imam Al-
Ghazali, tetapi di samping menterjemahkannya, Shaykh Al-
Falimbani juga membahas berbagai masalah yang dianggapnya
penting di dalam buku itu dengan mengutip pendapat Imam
Al-Ghazali daripada kitab-kitab lain dan para sufi yang lainnya.
Di sini ia menyajikan suatu sistem ajaran tasawwuf yang
memusatkan perhatian pada cara pencapaian ma'rifah kesufian
melalui pembersihan batin dan penghayatan ibadah menurut
syariat Islam.
33. Sayr al-Salikin ila Ibadat Rabb al-Alamin merupakan
karya terbesar Shaykh Abdul al-Samad. Ia siap di Taif pada
tahun 1778M. Kitab ini didasarkan kepada kitab Lubab Ihya'
Ulumiddin. Ia dicetak berkali-kali termasuk di Pulau Pinang.
Sayr al-Salikin ditulis olehnya di dua kota, iaitu Makkah dan
6
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Ta'if, dari 1779M hingga 1788M. Kitab ini selain mengandungi


terjemahan Lubab Ihya' Ulum al-Din karya Imam Al-Ghazali,
juga memuatkan beberapa masalah lain yang diambil dari kitab-
kitab lain.
44. Tuhfat al-Raghibin fi Bayan Haqiqat Iman al-Mukminin
dikarang pada tahun 1774M. Mengandungi suatu fragmen
mengenai perang sabil. Sebuah naskhah berada di Perpustakaan
Nasional Jakarta, dan sebuah lagi berada di Perpustakaan
Leningrad.
55. Al-'Urwah al-Wusqa wa Silsilah Ulil-Ittiqa', ditulis dalam
bahasa Arab, menyentuh wirid-wirid yang perlu dibaca pada
waktu-waktu tertentu.
66. Ratib Abd al-Samad, seumpama buku saku yang berisi zikir,
puji-pujian dan doa yang dilakukan setelah solat Isya. Pada
dasarnya isi kitab ini hampir sama dengan yang terdapat pada
Ratib Samman.
77. Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-'Alamin, berisi ringkasan
ajaran tauhid yang disampaikan oleh Shaykh Muhammad al-
Samman di Madinah.

7
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Pemikiran Tasawwuf Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani


Dua karya besar Shaykh Al-Falimbani, Sayr al-Salikin ila 'Ibadah
Rabb al-'Alamin dan Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin
dianggap sebagai contoh yang menunjukkan para ulama’ abad ke-
18 kembali kepada tasawwuf Sunni Al-Ghazali dan meninggalkan
wahdatul wujud Ibn al-'Arabi yang sangat dominan di Aceh pada abad
sebelumnya.
Berkaitan dengan ajaran tasawwufnya, Shaykh Al-Falimbani dinilai
mengambil jalan tengah antara doktrin tasawwuf Imam Al-Ghazali
dan ajaran wahdatul wujud Ibnu 'Arabi. Pendekatan tasawwufnya lebih
menekankan penyucian fikiran dan perilaku moral. Beliau juga cuba
menyelaraskan aspek syariat dan tasawwuf. Tauhid sebagai salah satu
maqam tertinggi dan tujuan yang ingin dicapai seorang sufi menjadi
perhatian penting Shaykh Al-Falimbani.
Lembaran akhir kitab Sairus Salikin telah diselesaikan di Taif pada
tahun 1203H. Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani adalah seorang
ulama’ sufi yang agung di Nusantara. Beliau sangat anti terhadap
penjajah dan telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk
berjuang demi ketinggian Islam semata-mata. Dua karya Shaykh Abd
al-Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayatus Salikin
dan Sairus Salikin. Nama lain untuk Hidayatus Salikin ialah as-Salikin,
diselesaikan tahun 1192H/1778M, yang merupakan terjemahan
kitab Bidayatul Hidayah karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-
tambahannya yang cukup banyak.

8
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Pulang Ke Nusantara Buat Kali Pertama


Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa
setelah belajar di Makkah, Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani tidak
pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya
terhadap penjajah Belanda. Sebagaimana disebutkan bahawa yang
sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti
bertulis bahawa Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani pulang buat kali
pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu
Shaykh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Shaykh Abdul
Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Shaykh Daud bin Abdullah al-
Fathani, dan Shaykh Abdur Rahman al-Masri.
Diceritakan oleh Shaykh Abdur Rahman Siddiq al-Banjari dalam
Shajaratul Arshadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke
Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan
kerana Shaykh Abd al-Samad dan Shaykh Muhammad Arshad
Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi
mahaguru.
Di Mesir adalah sukar mencari ulama’ yang lebih tinggi pengetahuannya
daripada ulama’-ulama’ yang berasal dari Jawi itu. Tetapi gurunya tidak
melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke
Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-
peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu
pengetahuan perbandingan pula.
Shaykh Abd al-Samad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir
tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-
lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah
tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman
dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi
perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah
Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

9
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Makkah mahupun


Madinah. Setelah diizinkan oleh Shaykh Muhammad bin Abdul
Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari
Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air.
Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka
kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat
terus ke Singapura. Shaykh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun
telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang
tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-
temannya ke Singapura.
Shaykh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja,
tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar
sampai ke Betawi. Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani dan Shaykh
Muhammad Arshad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).
Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di
Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu
telah lama didirikan, menurut Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani, dan
Shaykh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah
arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.
Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka
melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang
dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh
mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan
yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit
salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.
Dengan tangkas Shaykh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari
maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke
arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-
tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Ka’abatullah ke arah
lurus tangan Shaykh Muhammad Arshad itu. Suasana tenang kembali,
tiada siapa berani membantah. Khalayak ramai maklum bahawa
orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza
dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Qutub
10
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Shaykh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu.


Mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan
dibuat garis merah sebagai tandanya.
Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa
penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Shaykh Abd al-Samad
al-Falimbani, Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari, dan Shaykh
Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan.
Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di
atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan
yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi
pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah
mereka dibebaskan begitu saja. Setelah peristiwa itu barulah mereka
kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Shaykh Abd al-Samad
al-Falimbani pulang ke Palembang, Shaykh Muhammad Arshad al-
Banjari pulang ke Banjar, kemudian Shaykh Abdul Wahab Bugis juga
ke Banjar mengikut Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari.
Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Shaykh Abd al-
Samad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya
kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu,
beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir
telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa
sedikit pun bagi Sultan. Maka beliau rasa tidak rela untuk menetap di
Palembang walaupun beliau lahir di negeri itu. Shaykh Abd al-Samad
mengambil keputusan meninggalkan Palembang dan kembali ke
Makkah semula.
Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal
Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat
perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya.
Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai
membuat perahu, namun beliau merekabentuk perahu itu sendiri
untuk membawanya ke Makkah.

11
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Pulang Ke Nusantara Buat Kali Kedua


Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka
berangkatlah Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani dari Palembang
menuju Makkah dengan beberapa orang muridnya. Selama di
Makkah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab di
dalam beberapa bidang pengetahuan keIslaman, terutamanya tentang
tasawwuf, fiqh, usuluddin, dan lain-lain. Untuk menunjukkan sikap
antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku
yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin
fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujahidin fi Sabilillah.
Kepulangan Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani kali ini tidak ke
Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Shaykh Wan Abdul
Qadir bin Shaykh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti
Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Shaykh Wan Abdullah
adalah pembesar Kedah dengan gelaran Seri Maharaja Putera Dewa.
Meskipun Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani lama menetap di
Makkah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus.
Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Shaykh Abd al-
Samad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin
di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang
berhasrat mendalami ilmu tasawwuf terutama di sektor Tarekat
Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah, dan Tarekat Khalwatiyah menerima
ilmu daripada beliau. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di
Tanah Jawi dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari
Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara
yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut
Hindia Belanda).
Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan
Hamengkubuwono I, Sultan Mataram, dan kepada Susuhunan Prabu
Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat
tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772M).

12
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Perjuangan dan Jihad Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani


Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani telah lama berhajat untuk turut
serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah.
Setelah dipertimbangkan, beliau membuat keputusan membantu umat
Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama
Buddha.
Sebelum perang itu terjadi, Shaykh Wan Abdul Qadir bin Shaykh
Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada
Shaykh Abd al-Samad di Makkah. Surat itu membawa maksud agar
diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Makkah bahawa
umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad
mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka. Dalam
peperangan itu, Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani memegang
peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada
catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima
sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama’’ sufi yang
sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat
setiap siang dan malam.
Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud
dan tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi
ulama’ sufi, termasuk Shaykh Abd al-Samad yang diriwayat ini adalah
orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam
dan tanah air daripada hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.
Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan
jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material
duniawi, pangkat dan kedudukan, dan sebagainya, mereka semata-
mata mencintai Allah dan Rasul daripada segala apa pun juga.

13
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Kepulangan Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani ke Kedah memang


pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masharakat
mengenai hukum-hukum Islam walaupun beliau pernah mengajar
di Makkah. Dipendekkan kisah akhirnya Shaykh Abd al-Samad al-
Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang
bergelar ‘Cermin Makkah’. Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat
kerana tentera Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.
Sementara itu, Shaykh Daud bin Abdullah al-Fattani dan pengikut-
pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu
untuk menyusun semula langkah perjuangan. Pattani telah patah dan
kekuatan lenyap dengan itu Shaykh Abd al-Samad pun berkhalwat di
salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat
di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’
itu. Para pengikut tasawwuf percaya di sanalah beliau menghilang diri
tetapi bagi kalangan bukan tasawwuf, perkara ini adalah mustahil dan
mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-
musuh Islam.
Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam,
dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian
tersebut berlaku pada 1244H bersamaan dengan 1828M. Sungguhpun
demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin,
berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada
1254H/1838M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-
Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat
antara 1244H/1828M atau 1254H/1838M, perlu kepada penyelidikan
lanjut.
Perjuangan beliau dalam medan jihad terserlah dalam peperangan
Pattani dan Kedah menentang Siam pada tahun 1832M. Tercatat
dalam sejarah, peperangan antara Pattani dan Siam berlaku sebanyak
12 kali. Shaykh Daud Fattani dan Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani
meninggalkan Makkah untuk turut serta dalam jihad menentang Siam
pada tahun 1832M.

14
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

Shaykh Abd al-Samad telah dilantik sebagai panglima perang dan


shahid dalam peperangan tersebut. Beliau ditangkap dan disula oleh
tentera Siam, dan kepalanya dipancung dan dibawa ke Bangkok untuk
dipersembahkan kepada Maharaja Siam sebagai bukti kematiannya.
Dikatakan bahawa kuburnya baru sahaja dijumpai oleh pengkaji
sejarah di Pattani iaitu di Mukim Jenung, Chanaa iaitu berhampiran
dengan Pondok Bantrap.
Kesimpulannya, kembalinya Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani untuk
kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya
beliau ke rahmatullah sebagai seorang shuhada’.

Tentang Akhir Hayat Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani


Seperti kelahirannya, akhir hayat Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani
juga memunculkan banyak spekulasi. Quzwain (1985) memperkirakan
hayat Shaykh Al-Falimbani berakhir setelah tahun 1203H (1789M).
Alasannya ialah kerana angka tahun itu termaktub sebagai saat ia
menyelesaikan penulisan karya besarnya Sayr al-Salikin, dan kita
tidak menemukan lagi adanya karyanya yang lain yang berasal dari
masa sesudahnya. Sebagai ulama’ yang dikenal produktif menulis,
bagi Quzwain kekosongan karya itu tidak mungkin terjadi sekiranya
Shaykh Al-Falimbani masih dalam masa hayatnya. Azra (2007) dan
para penulis lain umumnya menyetujui kesimpulan Ini. Azra bahkan
meyakini Shaykh Al-Falimbani menetap di Makkah selamanya dan
tidak pernah kembali ke Nusantara.
Tetapi, dengan semakin banyaknya informasi yang ada sekarang,
kesimpulan itu harus kita nyatakan sebagai keliru. Berikut ini informasi
sekitar sesudah tahun 1203H/1789M yang kita ketahui.
Bradley dalam disertasinya mengenai Pattani (2010) mencatat laporan
Francis Light (kepala koloni BEIC di Pulau Pinang) kepada Governor-
General tentang kedatangan Shaykh Al-Falimbani (ditulis sebagai
Shaick Abdool Samatt) dari Makkah pada tahun 1791M. Shaykh Al-
Falimbani menemui Sultan Kedah, meminta dukungan Sultan untuk
15
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

membantu perjuangan rakyat Pattani setelah serbuan Siam pada tahun


1789M. Sultan mengizinkannya untuk mengajak 400 orang menuju
Pattani. Dalam perjalanan mereka mendapat dukungan spontan
daripada 3,000-4,000 orang rakyat Pattani. Mereka melewati sejumlah
desa di daerah Mardalong dan Ligore, melintasi semenanjung menuju
Singora, dan berhasil menaklukkan benteng pertahanan Siam.
Peristiwa kemenangan 1791M itu dicatatkan oleh Shaykh Al-Falimbani
sebagai "kemenangan Islam dan Kedah yang sangat bersejarah". Beliau
menggubah shair berbahasa Arab yang indah, yang masih dapat kita
lihat pada sehelai panji perang angkatan Langkawi (berwarna merah
jingga, ukuran 178x82 cm) yang sekarang dikoleksi oleh Muzium
Negeri Kedah.
Berikutnya, Al-Ahdal (mufti Zabid) dalam kitab thabaqatnya Al-Nafas
al-Yamani (2012) menceritakan bahwa Shaykh Al-Falimbani pada
tahun 1206H (1791/2M) berkunjung ke Zabid (Yaman) dan mengajar
di sana. Al-Ahdal bersyukur kerana dapat menjadi muridnya. Al-
Ahdal dibimbing membaca Ihya' Ulum al-Din dari awal setiap rubu',
dan mendapatkan ijazah tertulis yang panjang daripada Shaykh Al-
Falimbani.
Ketika mengkaji catatan Al-Ahdal ini, Feener (2015) menyebut tahun
1206H tersebut sebagai sebahagian daripada "the Yemeni years of a
Shaykh from Sumatra". Mungkin pada tahun-tahun Yaman inilah
beliau menikahi Aisyah bint Idrus yang berasal dari Aden. Keturunan
Al-Falimbani yang berada di Palembang berasal dari jalur pernikahan
ini.
Data berikutnya juga berasal daripada, atau terkait dengan, murid
Shaykh Al-Falimbani. Dalam manuskrip Al-Nafahat al-IIahiyat
koleksi Buton, Sya'ban (2017) menemukan kolofon berbahasa Arab
(yang menunjukkan bahwa ia ditulis di Arabia) bahawa yang meminta
menulis manuskrip ini ialah Muhammad Zayn ibn Syams al-Din al-
Jawi, murid Al-'arif Abd al-Samad al-Falimbani . Manuskrip selesai
ditulis pada 29 Dhulqaidah 1225H (26 Disember 1810M). Daripada
16
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

caranya menggambarkan siapa gurunya, dapat kita pastikan bahwa


saat itu Shaykh Al-Falimbani masih hidup (belum wafat).
Sebagai makluman, Muhammad Zayn sendiri juga berasal dari
Palembang. Dalam cerita di sini, diriwayatkan beliau pulang ke
Palembang dan dinikahkan oleh Shaykh Al-Falimbani dengan anak
perempuannya Rukiah (Ruqayyah). Muhammad Zayn sendiri wafat
pada peperangan Palembang melawan Belanda tahun 1819M.
Maklumat selanjutnya terkait dengan kegiatan muridnya yang berasal
dari Mesir, Usman ibn Hasan al-Dimyathi (1782M-1848M). Beliau
berpindah dari Mesir ke Makkah pada tahun 1243H/1827M. Pada
isnad Al-Fadani beliau dicatat menerima hadith daripada Shaykh Al-
Falimbani, dan dapat dipastikan bahawa pada tahun 1827M tersebut
Shaykh Al-Falimbani masih tercatat mengajar di Makkah (lihat Amad
2017).
Data seterusnya mengenai Shaykh Al-Falimbani terdapat dalam
Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Pada 10 Muharram 1244H (22 Julai
1828M), Shaykh Al-Falimbani (yang baru datang dari Makkah)
bermuafakat dengan Tengku Muhammad Saad, Datuk Kema Jaya
Pulau Langkawi, dan para hulubalang untuk menyusun angkatan yang
kuat untuk merebut kembali kota Kuala Kedah yang jatuh ke tangan
Siam. Seterusnya Shaykh Al-Falimbani diberitakan shahid dalam
peperangan Kedah/Pattani melawan Siam yang sayangnya waktunya
tidak tercatat.
Bahawa Shaykh Al-Falimbani wafat sebagai shahid juga tercatat
misalnya dalam manuskrip Al-'Urwat al-Wutsqa koleksi PNM (MSS
2269). Yang diperdebatkan ialah apakah peristiwa shahadatnya itu
terjadi pada perang Kedah/Pattani melawan Siam 1831-1832M,
ataukah 1838-1839M.
Jawapan atas kemusykilan itu ditemukan dalam manuskrip PNM (MSS
3367) yang diberi tajuk "Zikir Shaykh Muhammad al-Samman". Dalam
manuskrip ini terdapat catatan tambahan mengenai agenda haul yang

17
Riwayat Hidup Shaykh Abd al-Samad al-Falimbani 

antara lain mencantumkan “...dan pada malam yang ketujuh belas dari
pada bulan Dhulqaidah iaitu haul Shaykh Abd al-Samad ”. Di hujung
catatan ini, yang ditutup dengan kata “tammat”, tercantum tarikh yang
menunjukkan bila catatan itu dibuat. Iaitu: Hijrat al-Nabiy 1249, atau
kalau dihitung menurut kalendar Masihi, tahun 1833/4.
Maka dapat kita pastikan pada tahun 1833/4M Shaykh Al-Falimbani
sudah meninggal dunia. Ini berarti ia wafat pada akhir perang melawan
Siam 1831-2M, bukan perang 1838-9M. Dihubungkan dengan agenda
haulnya 17 Dhulqaidah, maka tarikh shahadatnya ialah 17 Dhulqaidah
1247H, bersamaan dengan 19 April 1832M. Maka disimpulkan bahawa
masa hayat Shaykh Al-Falimbani menurut kalendar Hijriah ialah pada
tahun 1116-1247H (131 tahun), dan menurut kalendar Masihi pada
tahun1704-1832M (128 tahun). Wa Allahu a'lam.
Al-Fatihah

18
Mari bersama membantu usaha da’wah kami
Sumbangan anda boleh disalurkan ke:

Raudhah Baalawi
Maybank - 5640 9820 7726

No. 9 Jalan UP 2A Prima Ukay, Saujana Melawati, 53100 Kuala Lumpur


GPS: 3.217881N 101.758629E
www.baalawi-kl.com

Anda mungkin juga menyukai