Anda di halaman 1dari 4

DISIPLIN ASAS KEJAYAAN AKADEMIK

OLEH: Hamidah Hashim


(Laman Sesawang Asal: http://aniza3046.blogspot.my/2011/01/disiplin-asas-kejayaan-akademik.html)
Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri
seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah
dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk
menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik.
Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda
pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar
prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan
modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi
gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada
hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin
Asas Kejayaan Akademik".

Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa.
Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi
masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak
memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk
ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap
pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada
era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh
ketat amalan hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu
daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut
sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin,
secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup
mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut
dengan gejala-gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa
masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang
sebenarnya.

Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin
mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di
kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air
serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya
memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula,
disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar
menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani
dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih
kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan
disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi
banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur
dan berdisiplin, pelajar pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat
yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi
tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.
Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala
sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin,
pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar.
Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-
rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang
amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu
melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya
tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari
ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang
akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri
mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak
melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali
lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan
akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.

Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin
juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir
negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju
yang jelas. Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah
orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini
memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih
kejayaan. Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju
adalah amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan
Tingkatan Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk
mencapai wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk
menentukan matlamat hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan
hidup semata-mata tanpa memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha,
sememangnya disiplin amat penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar
wawasan tersebut. Tahap disiplin yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.

Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa
memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang
kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk
melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan
bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali
lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari
ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli,
pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi
cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang
enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan
seseorang kembali ke pangkal jalan.

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN


Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat
dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di
negara ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun,
Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi
kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah
komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk
mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .
Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian,
disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya
mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah
yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat
melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah
dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan
pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan
awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung.
Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau
yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai kejayaan
persis kata tokoh terkemuka, Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang
nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang. Jelaslah bahawa
disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam
kehidupan.
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga
sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa
memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna
kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan
membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan
dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga
mestilah berupaya menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi
anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan
sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan
anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah
keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan sifat-sifat mahmudah dan menghindari
segala unsur mazmumah..
Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada
mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada
mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan
amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja.
Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti
terhadap bidang tugas yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa
harapkan pagar, pagar makan padi. Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara
bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau,
tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan
transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan
hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan
disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.
Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara
berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang
semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan
memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan.
Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi
semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai
menganggapnya mustahil. Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian
menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor
kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak
dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan
sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak
mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai
peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan
nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
Di samping itu, sebagai pengguna mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika berbelanja.
Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja
dengan hanya mengakses maklumat hanya di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata
kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan hawa nafsu dan bukannya
keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat
dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri
daripada berhutang dengan bank atau lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut
keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu
dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi
kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat
sebelum kena, berjimat sebelum habis.
Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin
kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di
seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang
dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang berdidiplin dan memiliki minda yang
positif ialah orang yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan
tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif
dasawarsa ini. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan langkah sederap untuk
mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

Anda mungkin juga menyukai