Anda di halaman 1dari 2

istem pendidikan negara kini berada di tahap yang membimbangkan apabila data sedia ada tidak

selari dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi berpengetahuan dan berteknologi tinggi
serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, pendedahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di
Dewan Rakyat baru-baru ini amat mengejutkan apabila hampir 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) tidak berminat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, jumlah yang membabitkan ribuan pelajaran lepasan SPM itu adalah suatu isyarat
jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam sistem pendidikan negara ketika ini.

Lebih merungsingkan jelas beliau, keputusan SPM 2022 juga menunjukkan hampir 70,000 pelajar
lepasan SPM tidak layak menerima sijil disebabkan gagal dalam mata pelajaran teras atau tidak hadir
pada hari peperiksaan.

“Angka tersebut memberi satu gambaran besar bagaimana sistem pendidikan negara hari ini, ia
sesuatu yang tidak menggembirakan, membimbangkan dan tentunya kita tidak boleh
menyembunyikan keadaan ini serta menganggap sistem pendidikan berada dalam keadaan baik. Kita
tidak lagi boleh berfikiran begitu dengan data-data sebegini.

“Jika melihat dengan lebih terperinci antara subjek yang paling pelajar (SPM 2022) gagal adalah
matematik moden dan matematik tambahan. Bagaimana kita boleh membayangkan sebuah negara
yang mempunyai kumpulan pekerja lemah dalam matematik tapi bercakap soal menjadi sebuah
negara maju. Ia adalah sesuatu yang mustahil kerana subjek tersebut asas kepada teknologi dan juga
perkembangan dalam kehidupan pada masa depan,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik
di Facebook miliknya hari ini.

Menurut Anuar, hampir 25 peratus calon SPM 2022 gagal dalam mata pelajaran matematik manakala
separuh lagi hanya mendapat keputusan E iaitu mencapai tahap minimum dalam peperiksaan.

“Maksudnya hampir separuh daripada calon SPM gagal (subjek) matematik. Ini suatu angka yang
membebankan kerana kita ingin melahirkan suatu generasi berpengetahuan dan berteknologi seperti
yang diaspirasikan oleh dasar-dasar kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Anuar yang juga pakar dalam bidang pendidikan negara berkata, berdasarkan struktur dibentangkan
oleh Bank Dunia pada tiga minggu lalu, kualiti pendidikan di peringkat pra sekolah negara juga jauh
ketinggalan berbanding negara ASEAN lain bahkan antara tercorot.
“Dari segi bilangan kemasukan kanak-kanak ke pra sekolah sahaja, kita berada di tangga ketujuh (65
peratus). Jauh ketinggalan berbanding Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei yang
mencatatkan jumlah lebih 90 peratus,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan laporan Bank Dunia berkaitan kebergantugan negara terhadap sumber
tenaga separuh mahir yang tinggi berbanding tenaga mahir seperti diamalkan oleh negara maju lain.

Menurut beliau, untuk menjadi sebuah negara maju, Malaysia seharusnya bergantung kepada
sumber tenaga mahir bukan sebaliknya.

“Salah satu syarat utama untuk menjadi tenaga mahir adalah pekerja itu mendapat pendidikan yang
jauh lebih tinggi daripada peringkat sekolah menengah seperti di universiti, kolej atau di institusi
pendidikan lanjutan.

“Jika itu kita tidak mampu lakukan, bagaimana hendak menjadi seperti negara maju yang lain.
Mereka telah pun berjaya meningkatkan bilangan pekerja mahir melepasi atau melebihi daripada
pekerja separuh mahir dan tidak mahir,” katanya.

Jelas beliau, sistem pendidikan negara tidak lagi boleh dibiarkan berada pada status quo seperti
ketika ini untuk berhadapan cabaran lebih besar di masa depan.

Justeru beliau menyarankan supaya kerajaan melaksanakan segera reformasi terhadap sistem
pendidikan negara sekali gus dapat menangani beberapa isu berbangkit membabitkan guru dan
murid di sekolah.

“Jika kita tidak lakukan dan membiarkan apa yang sedang berlaku pada status quo, maka percayalah
perkara ini tidak menjadi semakin baik malah lama-kelamaan ia akan memburuk.

“(Isu) keciciran akan meningkat, bilangan murid tidak boleh membaca akan meningkat, guru akan
lebih banyak bersara awal kerana terbeban, sistem kokurikulum juga akan ketinggalan kerana tidak
lagi meningkatkan kreativiti, inovasi murid bahkan keceriaan serta keseronokan belajar sebaliknya
menjadi membebankan sehingga mereka tidak mahu menyambung belajar selepas SPM dan
sebagainya,” katanya

Anda mungkin juga menyukai