Anda di halaman 1dari 9

Mereka Cuba Mensekularkan Kehidupan Kaum Muslimah: Pendirian Islam Menjawab

Gerakan Feminisme Barat

Roselainy Binti Abdul Rahman


Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
roselainy@yahoo.co.uk
1. Pengenalan
Apakah yang telah berlaku di kalangan wanita Muslimah yang dianggap sebagai proses
mensekularkan kehidupan mereka? Sebagai permulaan, marilah kita tentukan apakah yang
dimaksudkan dengan sekularisme? Pentakrifan berikut adalah kesimpulan yang diambil secara
mafhumnya daripada Wikipedia dan National Secular Society.

Secara ringkasnya sekularisme bermaksud pemisahan agama dari urusan kenegaraan. Iaitu
mendirikan kehidupan kosong dari panduan agama. Ia juga meletakkan kekuasaan yang
mutlak adalah ditangan umat manusia. Oleh itu, dasar rasmi dalam perundangan ialah
penggubalan perundangan, u'ruf dan asas perundangan semula jadi. Hak individu diberikan
keutamaan dan tidak boleh dinafikan apabila bertembung dengan hak masyarakat.
Tambahan lagi, kumpulan yang berugama tidak sepatutnya menerima layanan yang lebih
berbanding dengan mereka yang tidak mempercayai agama.

Sejauh manakah sekularisme telah menular di kalangan Muslimah? Apakah faktor-faktor yang
mendorong Muslimah menyokong atau mengikuti pemikiran sekularisme? Oleh itu kita perlu
meninjau keadaan pembangunan wanita Muslimah di dunia dan secara khususnya di Malaysia.
2. Pembangunan Wanita Muslimah
Keadaan semasa menunjukkan bahawa kadar pembangunan wanita adalah berbeza-beza dalam
negara-negara Islam. Statistik yang terkumpul menunjukkan prestasi yang agak merisaukan tentang
nasib Muslimah di beberapa negara. Sebagai contoh, lihatlah petikan berikut daripada Indeks Wanita
2003 (Rajah 1). Ia memberikan data tentang kedudukan wanita dari aspek kesihatan berkaitan dengan
kehamilan dan melahirkan anak: jangka hayat, rawatan oleh staf terlatih, menghidap anemia; peratus
yang boleh membaca dan bilangan yang mendapat kerusi dalam kerajaan. Sepintas lalu, kita boleh
lihat bahawa ada negara Islam yang perlu meningkatkan usaha dalam menambah baik kedudukan
wanita seperti Afghanistan, Chad, Yemen dan lain-lain. Namun kita juga harus menyedari bahawa
keadan di negara-negara tersebut adalah secara menyeluruh dalam keadaan miskin dan kedudukan
semua rakyat perlu dibaiki.
Isu wanita dan hak wanita juga telah menjadi tumpuan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
dalam usaha untuk membina satu dunia yang lebih saksama pasca dua peperangan dunia. Di serata
dunia, penindasan, k.ekerasan dan kekejaman terhadap kaum wanita sering berlaku. Oleh itu,
beberapa persidangan antarabangsa telah diadakan untuk membincangkan faktor-faktor yang
mewujudkan keadaan tersebut, mencadangkan kaedah-kaedah penyelesaian dalam bentuk polisi,
undang-undang dan kaedah perlaksanaannya dalam memberikan wanita hak-hak mereka.Usaha
memajukan wanita ini adalah usaha yang terancang dan tersusun semenjak 45 tahun yang lalu dan
telah tertubuhlah suatu Commission on the Status of Women (CSW) yang mana skretariatnya ialah
Department on the Advancement of Women (DAW). Hasil yang paling penting ialah penggubalan
undang-undang antarabangsa bagi wanita iaitu Convention on the Elimination of all Forms of
Discrimination and Violence against Women (CEDAW) pada tahun 1979 dan telah pun berkuatkuasa
pada tahun 1981. Pada masa ini, ia telah pun ditandatangani dan diguna pakai oleh 188 negara
termasuk Malaysia di bawah PBB.

Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam ‘Seminar Wanita ke arah Penghayatan Islam Kaffah’ dianjurkn oleh Jabatan Agama Islam
Wilayah Pesekutuan, 19/11/09
Rajah 1: Indeks Wanita 2003 – Negara Islam terpilih
Oleh kerana ada negara-negara yang agak lembap dalam melaksanakan CEDAW, satu persidangan di
Beijing pada tahun 1995 telah menjana satu pelan tindak bagi pemerkasaan dan memajukan
kedudukan dan hak wanita seluruh dunia dengan beberapa kategori permasalahan wanita dan kanak-
kanak perempuan telah ditentukan. Maka “Beijing Declaration and Platform for Action” telah
memperkukuhkan lagi peranan CEDAW sebagai undang-undang antarabangsa dan memantapkan lagi
pemikiran tentang apakah masalah dan penyelesaian yang terbaik bagi kaum wanita sedunia merentas
bangsa, ugama, budaya dan negara. Kategori tersebut adalah: (1) Wanita dan Kemiskinan; (2)
Wanita, Pendidikan dan Latihan; (3) Wanita dan Kesihatan; (4) Kekerasan terhadap wanita; (5)
Wanita dan Peperangan; (6) Wanita dan Ekonomi; (7) Wanita dan kekuasaan serta membuat
keputusan; (8) Mekanisma institusi dalam memajukan wanita; (9) Hak kemanusiaan wanita; (10)
Wanita dan media; (11) Wanita dan alam sekitar; (12) Kanak-kanak perempuan.

Usaha ini mendapat sokongan para aktivis wanita terutama yang giat memperjuangkan hak wanita di
negara masing-masing. Pencabulan hak wanita memang berlaku di banyak negara termasuk negara-
negara Islam. Antara perkara-perkara yang dibangkitkan adalah isu-isu seperti: pelaksanaan tanggung
jawab pemerintah atau kerajaan dalam menunaikan hak-hak wanita, kedudukan dan peranan wanita
serta kefahaman dan sikap kaum lelaki terhadap perkara tersebut; hak kemanusiaan, isu keselamatan,
hak untuk menerima pendidikan dan penjagaan kesihatan, ajaran ugama atau budaya yang
merendahkan kedudukan wanita.
Apa yang merisaukan adalah kesempatan yang diambil oleh kumpulan feminis dan sekular dalam
menggunakan fakta-fakta ini untuk menyatakan bahawa ajaran Islam itu sendiri bertanggungjawab
dalam meletakkan wanita dalam keadaan yang didiskiriminasikan dan dianggap sebagai warga kelas
kedua. Walaupun kita sedar bahawa apa yang berlaku mungkin di sebabkan negara itu tidak
melaksanakan ajaran Islam sebenar dan berlakunya satu percampuran faktor-faktor seperti kejahilan,
kemiskinan, adat-adat budaya dan selainnya. Jika statistik tentang pembangunan wanita secara
menyeluruh dinilai, kita akan melihat bahawa ada banyak lagi negara bukan Islam yang memberi data
yang sama terutama negara-negara dalam kategori Dunia Ketiga. Kebanyakan negara tersebut juga
berpegang kepada suatu kepercayaan ugama (bukan Islam), maka kumpulan feminis dan sekular juga
menyalahkan ugama tersebut sebagai kerpercayaan dan dogma yang menghalang kemajuan dan
pembangunan berasaskan keadilan dan kemanusiaan. Maka kita dapat lihat bahawa kumpulan tersebut
memang mengutarakan sekularisme sebagai jawapan kepada kemunduran dan penindasan wanita dan
ia tidak berbentuk setempat malahan ia merupakan suatu pemikiran global.
Gerakan-gerakan Islam di negara-negara Islam juga giat memperjuangkan hak wanita tetapi dalam
konteks tanggung jawab dan hak yang telah di amanahkan oleh Allah swt kepada wanita dan lelaki
sebagai hamba Allah dan khalifah. Namun demikian, terdapat perbezaan pendapat tentang peranan
wanita, haknya dan tanggung jawab mereka dalam pembangunan masyarakat terutama dalam aspek
penglibatan awam (public involvement). Pegangan-pegangan serta kefahaman gerakan-gerakan
tersebut merentas satu julat yang merangkumi pendekatan konservatif, yang lebih kontemporari
sehinggalah pendekatan yang liberal dan ada pula yang mengambil pendekatan ‘muslimah feminis’.

3.0 Pembangunan Wanita Muslimah di Malaysia


Selepas Persidangan Wanita Dunia PBB yang ketiga pada tahun 1985, Malaysia telah pun menggubal
Dasar Wanita Negara (DWN) pada tahun 1989 sebagai panduan asas untuk menyepadukan wanita
dalam proses pembangunan. Polisi dasar itu adalah untuk menentukan perancangan, penyelerasan,
pengurusan dan penyediaan jentera kerajaan untuk meningkatkan dan memantapkan penglibatan
wanita supaya lebih tersusun dan memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting untuk
meningkatkan penglibatan mereka. Dalam tahun 1999, beberapa badan-badan wanita bukan kerajaan
telah mengutarakan satu dokumen “Agenda Wanita untuk Perubahan” sebagi satu tekad bersama
tentang 11 isu penting yang memerlukan perhatian dan tindakan (Agenda Wanita, 1999). Jelas sekali
dalam isu wanita, perkembangan dan pengaruh agensi antarabangsa telah memainkan peranan penting
dalam menyokong dan mencetuskan perubahan dalam negara kita juga. DWN telah digubal sebagai
suatu tindak balas terhadap gerakan di peringkat antarabangsa yang berkaitan dengan kedudukan dan
peranan wanita, penglibatan mereka dalam pembangunan negara, capaian mereka terhadap
pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan hak mereka dalam menikmati hasil-hasil pembangunan
ekonomi. Ia adalah usaha Malaysia untuk menunjukkan sokongan dan dokongan terhadap CEDAW.
Walaupun begitu, Malaysia telah mengemukakan beberapa reservasi semasa mengesahkan CEDAW
yang mana di antaranya ialah memberi keutamaan kepada undang-undang syariah jika berlaku
pertembungan kepentingan. Dua matlamat DWN (Jabatan Hal Ehwal Wanita, 1997) yang telah
ditetapkan adalah:
 Menjamin perkongsian saksama dalam memeprolehi kemudahan sumber, maklumat, peluang
penyertaan dan manfaat pembangunan kepada lelaki dan wanita. Matlamat persamaan dan
kesaksamaan hendaklah dijadikan teras dasar pembangunan dan berorientasikan rakyat,
supaya wanita yang berupa separuh jumlah penduduk negara dapat menyumbangkan dan
mencapai potensi mereka sepenuhnya dan
 Mengintegrasikan wanita dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan
kemampuan dan kehendak wnaita bagi mempertingkatkan mutu kehidupan, membasmi
kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf, dan mengeakkan negara aman, makmur
dan sentosa.
Beberapa strategi telah dihuraikan bagi melaksanakan Dasar tersebut dan dimaktubkan dalam Pelan
Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) yang disediakan pada tahun 1997. PTPW menterjemahkan
segala dasar dalam bentuk program dan projek yang perlu dilaksanakan oleh kesemua pihak yang
terbabit, iaitu, kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta dan lain-lain. Bidang-bidang yang
telah dikenalpasti adalah seperti berikut: (i) Pengukuhan institusi untuk memajukan wanita; (ii)
Meningkatkan kesedaran awam dan kepekaan birokrasi Kerajaan terhadap perkara-perkara yang
berkaitan dengan kepentingan wanita; (iii) Menggerakkan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan
untuk meningkatkan kecekapan dan keberkasanan program-program sosio-ekonomi; (iv) Wanita dan
keluarga; (v) Wanita dan kesihatan; (vi) Wanita dan pendidikan serta latihan; (vii) Wanita dan
ekonomi; (viii) Wanita dan undang-undang; (ix) Wanita dan perkongsian kuasa dalam menggubal
dasar dan membuat keputusan; (x) Wanita dan media; (xi) Wanita dan agama; (xii) Wanita dan
kebudayaan seta kesenian; (xiii) Wanita dan sukan.
Penggubalan PTPW telah dibuat bersama oleh Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi
Wanita dalam Pembangunan (NACIWID), Bahagian Hal Ehwal Wanita (HAWA), Kementrian
Perpaduan dalam Negara dan Pembangunan Masyarakat, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan
dengan pembangunan wanita, pertubuhan-pertubuhan wanita bukan kerajaan terutama Majlis
Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), pakar-pakar perunding dan lain-lain.
Komitmen kerajaan Malaysia dalam meningkat pambangunan wanita juga dapat dilihat mewujudkan
sebuah Kementerian Hal Ehwal Wanita. Namanya telah ditukarkan kepada Kementerian
Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) mulai 15 Februari 2001. Pada bulan Mac 2004, fungsi
dan tanggungjawab KPWK telah diperluaskan lagi yang mana fungsi Pembangunan Masyarakat dan
Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah dipindahkan ke KPWK. Selaras
dengan pertubuhan tersebut, KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Pada masa ini, KPWKM bertanggungjawab untuk
meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya peranan golongan wanita dan institusi
kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Masyarakat juga diberi kesedaran dan
bimbingan dalam aspek pembangunan sosial terutamanya kebajikan masyarakat, bagi mencapai
matlamat ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan masyarakat maju selaras dengan Wawasan
2020.
Apabila diteliti dari aspek perancangan dan penggubalan strategi untuk pembangunan wanita,
Malaysia seolah-olah telah berjaya melahirkan tindakan untuk mencapai wawasan masyarakat yang
maju. Tambahan pula, Malaysia merupakan sebuah negara yang memainkan peranan dalam PBB
dengan mengikuti dan menyumbang dalam usaha-usaha antarabangsa untuk membaiki taraf wanita.
Selain itu, Malaysia berpendirian tegas dengan meletakkan institusi keluarga sebagai suatu yang
penting dan merangkaikan kesejahteraan keluarga dengan pembangunan wanita. Perhatikan nama
Kementrian untuk wanita itu sendiri. Namun demikian, proses sekularisasi semakin menular di negara
kita ini.
4.0 Proses sekularisme
Wanita-wanita yang terlebih awal aktif dalam sistem PBB adalah secara majoriti berpegang kepada
kefahaman ‘feminisme’(Zeenath Kauthar, 2007). Bagi mereka, menjadi pendokong ‘feminisme’
bermaksud berusaha untuk mengubah ketidaksamaan dalam hubungan kuasa lelaki dan wanita yang
telah pun wujud turun temurun. Oleh itu, mereka mempunyai pendekatan tersendiri dalam
menganalisa permasalahan wanita dan penentuan penyelesaiannya. Mereka berpendapat bahawa
punca utama masalah wanita ialah cauvinisma kaum lelaki yang suka kaum wanita mereka di bawah
penguasaan mereka (sistem patriarki) dan dalam bentuk yang lebih buruk akan berlaku penindasan,
kezaliman dan diskriminasi terhadap kaum wanita. Maka pendekatan utama yang telah ditentukan
ialah dengan mengutarakan kesaksamaan gender dan menyifatkannya sebagai satu hak asasi sebagai
salah satu strategi untuk membaiki keadaan wanita.
Maka sebilangan besar negara-negara Islam, terutama, negara-negara yang berada dalam Persatuan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun menjadikan ‘pendekatan peka gender’ dan ‘kesaksamaan
gender’ sebagai asas pelan pembangunan wanita negara mereka. Malaysia juga menjadi salah sebuah
negara yang telah pun memberikan komitmen untuk melaksanakan polisi dan pelan tindak
pembangunan wanita berasaskan ‘kesaksamaan gender’. Mengimbangkan semula hubungan gender
diandaikan sebagai sangat penting untuk membawa kemajuan dan perubahan. Terdapat dua istilah
yang digunakan dalam mengutarakan perspektif gender iaitu, ‘kesaksamaan gender (gender equity)’
dan ‘persamaan gender (gender equality)’. Sedikit penjelasan tentang perkara ini akan diberikan
dalam penulisan ini. Satu lagi pendekatan yang digunakan ialah mengaitkan isu pembangunan wanita
dengan hak asasi manusia bahkan dalam isu pembangunan negara-negara, semua agensi di PBB akan
melaksanakan program dan menghulurkan bantuan berasaskan “pendekatan hak asasi manusia”.
Dalam penulisan ini, beberapa aspek dalam isu gender ini akan di bincangkan dengan tumpuan utama
ialah untuk memberi pendedahan asas kepada kefahaman tentang gender dan kesaksamaan gender.
Apakah perbezaan antara istilah ‘seks’ dan ‘gender’ dalam kerangka yang dikemukakan oleh PBB?
Seks merujuk kepada perbezaan secara biologi di antara lelaki dan wanita, Manakala gender
membawa maksud peranan sosial lelaki dan wanita dalam sesuatu budaya dan masyarakat. Oleh itu
peranan gender akan terbentuk dengan dipengaruhi oleh satu proses sosialisasi yang kompleks dan
mungkin berbeza-beza mengikut keadaan adat dan budaya. Ia ditentukan oleh sikap, kepercayaan dan
tingkah laku yang sepadan dengan apa yang dianggap sebagai kelakian dan kewanitaan ideal. Maka
gender bergantung kepada interpretasi tentang tingkah laku yang sesuai bagi wanita dan lelaki dalam
sesuatu budaya. Oleh kerana peranan gender boleh dibentuk maka ia juga boleh diubah dan dibentuk
semula untuk mewujudkan keadaan yang lebih adil dan saksama di antara lelaki dan wanita. Maka,
kesamaan gender apabila disebut dalam konteks pembangunan wanita membawa maksud
menghapuskan apa-apa rintangan yang dikenakan kepada mereka berdasarkan definisi budaya tentang
peranan mereka dalam masyarakat. Ada tiga pendekatan terhadap kesamaan gender: (1) Kaedah
Formal/Persamaan: dalam kaedah ini, lelaki dan wanita dianggap sama maka hendaklah mereka
dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender di antara mereka.
Kaedah ini boleh membebankan wanita kerana ia ‘buta gender’ dan kaum wanita terpaksa mengikut
standad lelaki walaupun keadaan sosial dan ekonomi mereka tidak sama. (2) Kaedah Melindungi:
kaedah ini mengiktiraf perbezaan antara lelaki dan wanita dengan menghalang wanita daripada
beberapa bidang dengan alasan untuk ‘melindungi mereka’. Walaupun ia seolah-olah satu kebaikan
tetapi kaedah ini berasaskan nilai gender negatif terhadap wanita dengan mengandaikan bahawa
mereka adalah kaum yang lemah. (3) Kaedah Persamaan Substantif: pendekatan ini mengiktiraf
perbezaan di antara lelaki dan wanita tetapi menekankan perlu ada persamaan di antara mereka. Ini
adalah pendekatan yang digunakan dalam CEDAW iaitu ia memerlukan penghasilan yang sama
bukan layanan yang sama (equal outcomes rather than equal treatment).Persamaan yang dituntut
adalah dalam bentuk (i) peluang dan capaian yang sama dan (ii) hasil yang sama.
Walaupun menggunakan teori gender bukan menunjukkan feminisme tetapi analisa terhadap
penindasan wanita yang diasaskan ketidaksamaan gender itu adalah hasil daripada kerangka
pemikiran feminisme. Setiap pendekatan yang diutarakan di atas merupakan hasil pemikiran teori-
teori feminisme. Walaupun feminisme itu juga mempunyai berbagai aliran tetapi ia sepakat dalam
perkara ini. Apa yang ditulis dalam bahagian ini merupakan sedutan daripada dokumen resmi PBB
dan memberikan pentakrifan tentang kesamaan gender. Jelas sekali pemikiran feminisme telah
menjadi aliran pemikiran perdana dalam isu gender. Dalam maksud, ‘kesaksamaan gender’ (gender
equity) dan ‘kesamaan gender’ (gender equality) mungkin berbeza tetapi apabila disandarkan kepada
kaedah ‘Substantive Equality’ maka dalam penggunaan kedua-duanya membawa maksud yang sama.
Golongan Muslim melahirkan berbagai sikap terhadap pendekatan isu gender ini daripada penerimaan
keseluruhan, penolakan atau penerimaan bersyarat. Yang menerima secara menyeluruh terdiri
daripada muslim, sama ada aktivis atau ilmuwan, yang merasakan diri mereka reformis untuk
meliberalisasikan Islam dan ini termasuklah feminis muslim. Oleh kerana pendirian mereka memang
berasaskan pemikiran kebaratan maka kelompok ini tidak berbeza sangat dengan mereka yang
memperjuangkan kesamaan gender di Barat. Namun demikian mereka berusaha untuk mengguna
ayat-ayat Quran dan kisah daripada seerah untuk mengukuhkan hujah mereka.
Bagi golongan yang Islamis pula, satu kumpulan menolak terus teori gender. Dalam menganalisis dan
berhujah tentang isu pembangunan wanita, mereka menegaskan penggunaan istilah lelaki dan wanita
serta peranan lelaki dan wanita daripada menggunakan istilah gender. Pendirian ini di ambil bukan
kerana mereka tidak peka tentang ada berlakunya kepincangan tertentu dalam keadaan hidup wanita
tetapi kerana wujudnya agenda tersirat dalam penggunaan istilah gender yang telah di kenal pasti.
Antaranya ialah (a) pengiktirafan kepada peranan gender yang berbeza daripada norma seperti
lesbian, homoseksual, transesksual, biseksual dan lain-lain sebagai keadaan yang sah dan perlu
dinobatkan dalam undang-undang; (b) Begitu juga pendekatan gender bermaksud satu penilaian
semula terhadap institusi keluarga yang merasakan definisi tradisional tentang keluarga iaitu ibu, ayah
dan anak-anak, dibentuk dalam sebuah perkahwinan, tidak lagi relevan dan perlu mengambilkira
bentuk keluarga baru terutama keluarga homoseksual/lesbian; (c) Peranan seorang ibu yang tidak
bekerja di luar rumah dianggap tidak ekonomik kerana tidak menjana pendapatan. Begitu juga dengan
peranan seorang isteri. Ada yang merasakan ia satu diskriminasi kerana bekerja tanpa gaji; (d)
‘Perspektif gender’ digunakan secara meluas dalam dokumen-dokumen, polisi dan pelan tindak
tentang pembangunan wanita tetapi jika diteliti, definisi gender agak kabur dan terlalu longgar
sehingga boleh membawa sebarang maksud. Berjayanya kesamaan gender dilaksanakan di negara
Barat seperti New Zealand, England, Sweden, Norway, Germany, USA dan lain-lain menunjukkan
satu perkembangan yang tidak sihat terhadap norma dan tata susila hidup bermasyarakat. Setiap
negara tersebut telah pun mengadakan undang-undang membolehkan perkahwinan sama jantina dan
membolehkan pasangan sama jantina mengambil anak angkat atau melahirkan anak dengan cara-cara
seperti ‘surrogate motherhood’ atau IVF atau lain-lain cara. Hanya beberapa negeri di Amerika
Syarikat yang masih bertahan dalam menolak undang-undang tersebut.
Bagi kumpulan yang menggunakan istilah gender pula, mereka mengambil pendirian untuk
mentakrifkan apakah yang dimaksudkan dengan gender tetapi dengan meletakkannya dalam kerangka
peranan wanita dan lelaki berpandukan ajaran Islam. Oleh itu tumpuan mereka dalam
membincangkan gender ialah apakah ‘sifat kelakian’ dan ‘sifat kewanitaan’ seperti yang dimaksudkan
oleh ajaran Islam dengan penegasan terhadap menunaikan hak-hak wanita yang telah dijanjikan oleh
Allah swt. Pada hakikatnya, mereka menggunakan istilah gender tetapi ia membawa makna ‘seks’
iaitu lelaki dan wanita. Kaedah yang digunakan untuk menghapuskan diskriminasi, penindasan dan
kezaliman terhadap wanita ialah dengan meningkatkan kesedaran, perlaksanaan ajaran dan hukum-
hukum Islam yang sebenar.
Proses sekularisasi adalah pemikiran yang inginkan ugama dan undang-undang dipisahkan kerana
ugama tidak dapat memberikan keadilan kepada semua rakyat. Dengan melihat kepada Malaysia
sebagai rujukan, marilah kita menentukan bagaimana proses sekularisasi boleh berlaku.
Selalunya pendokong-pendokong pemikiran sekular adalah lantang dan kerap mendapat tempat dalam
media sehingga ia menampakkan seolah-olah golongan Islam sama ada agensi Kerajaan maupun
aktivis NGO adalah lembap dan tidak peka terhadap masalah wanita. Jika memang ada kepincangan
dalam prosedur atau peraturan mahkamah syariah dan enakmen tertentu dalam kes-kes yang berkaitan
wanita maka ia dijadikan bukti bahawa Islam tidak mampu memerintah. Walaupun usaha-usaha untuk
menambahbaik keadaan tersebut sedang berlaku, ia tidak dimaklumkan kepada masyarakat atau tidak
dihebahkan sehingga semua mengetahui tentangnya. Kes-kes terkini seperti kes Kartini yang telah
dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak di khalayak ramai atau kes Shubashini yang
menuntut hak penjagaan anak dan membantah anaknya diIslamkan oleh suaminya yang telah masuk
Islam, atau pun kes seorang ibu yang telah kehilangan hak untuk mewarisi harta anaknya yang masuk
Islam, telah digunakan sebagai bukti tambahan tentang kepentingan untuk memisahkan ugama dengan
undang-undang demi keadilan! Apabila ugama Islam tidak dilihat sebagai mampu memberi keadilan
atau mampu menyelesaikan masalah kehidupan maka ia mendorong kaum wanita mencari
pertolongan dan bantuan daripada sesiapa yang boleh membantu mereka walaupun daripada golongan
sekular. Keadaan ini bertambah buruk apabila ahli masyarakat tidak mempunyai pendidikan ugama
yang mantap, tidak pula mengamalkan ajaran-ajaran itu dalam kehidupan mereka, apabila ramai lelaki
tidak bertanggung jawab dan mengabaikan hak kaum wanita mereka dan anak-anak mereka maka
tentu sekali apa yang dicari hanyalah penyelesaian masalah tanpa mengira fikrah sama ada Islam atau
bukan. Bagaimana pula jika institusi pembelaan seolah-olah gagal menjalankan tanggungjawabnya,
apabila wanita dizalimi dalam satu perceraian dan tiada bantuan baginya? Maka banyak unsur boleh
mendorong kaum wanita Muslimah ke arah jalan selain Islam apabila pertimbangan mereka hanya
untuk kelangsungan hidup (survival), apabila ilmu ugama cetek, perasaan dan nafsu menguasai
pemikiran dan tarikan kehidupan hanya dinilai atas kebendaan yang perlu dimiliki.
Tambahan pula, suatu budaya global sedang melanda, dipaparkan melalui dunia hiburan, perfileman
dan televisyen. Budaya dan nilai-nilai dunia Barat telah dianggap sebagai lebih mengutamakan hak
asasi manusia, memberi ruang dan peluang untuk manusia hidup gembira tanpa terlalu banyak
larangan dan halangan.
Dalam menilai pendirian resmi Kerajaan Malaysia tentang wanita, ia seolah-olah berada dalam
kumpulan ketiga iaitu, mementingkan pembangunan wanita dan keluarga serta mestilah berlandaskan
syariah bagi wanita Muslimah. Namun demikian, Malaysia adalah negara majmuk dan dalam usaha
untuk memberi ruang dan hak kepada yang bukan Islam maka apa yang berlaku ialah kedua-dua
pemikiran aliran feminis dan Islamis mendapat tempat dalam wadah resmi KPWKM. Suara wanita
bukan Islam yang berpegang teguh kepada ugama mereka dan menilai peranan wanita yang agak
tradisional tidak berapa nampak mendapat tempat.
5.0 Pendirian Islam dalam memartabatkan Wanita
Sejarah telah memaparkan kedudukan wanita yang agak rendah dalam berbagai masyarakat sebelum
kedatangan Rasulullah SAW. Di zaman Yunani, wanita hanya dianggap mempunyai jasad dan tiada
roh, ia seperti barang dagangan yang boleh dijual beli dan dipindah milik. Di kalangan umat Hindu,
wanita adalah hamba dan pelayan kepada suami. Amalan `sati’ (membakar diri selepas kematian
suami) dianggap bukti kesetiaan dan pengorbanan isteri. Begitu juga di kalangan Arab Jahilliyah,
wanita diperhambakan dan bayi perempuan selalunya dibunuh. Malahan dalam Kongres Agung
Bangsa Eropah (581M), ditetapkan bahawa wanita adalah manusia yang diciptakan untuk
mengabdikan diri kepada lelaki.
Dalam teori feminisme pula dunia sekarang telah dibentuk oleh kefahaman bahawa seorang lelaki itu
lebih tinggi kedudukannya (superior) daripada wanita dan kepimpinan mutlak berada di tangan lelaki
(patriarki) dan wanita hanya menguasai sektor domestik serta hegemoni lelaki ke atas wanita
disokong oleh aspek nilai sosial, agama, perundangan dan ekonomi. Maka lahirlah kesedaran terhadap
penindasan dan diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat, tempat kerja dan keluarga, disertai
dengan tindakan sedar untuk melakukan perubahan.
Islam telah menetapkan hak, tugas dan tanggungjawab wanita dalam Islam dalam semua bidang:
kerohanian, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan dan politk. Cubalah kita meneliti beberapa
ayat-ayat dari Al-Quran dan hadith,
(i) Persamaan hak dalam kebebasan tanggungjawab berugama dan beribadah,:
"Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mu'min,
laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang jujur,
laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki danperempuan yang khusyu ', laki-laki dan
perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan
perempuan yang memelihara kehormatanrya, laki-laki dan perempuan yang banyak
menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang
besar." (Al Ahzab: 35)
(ii) Di dalam masalah takalif (kewajiban-kewajiban) agama dan sosial:
"Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka (adalah)
menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf,
mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada
Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At Taubah: 71)
(iii) Hak untuk dilindungi dan dipelihara:
“Lelaki adalah pelindung dan pemelihara kaum wanita” (An-Nisa’: 34)
Al-Hadith Rasulullah SAW :
` Tidakkah kamu merasa malu memukul isteri kamu di siang hari, sedangkan di malam hari
kamu berkehendak kepadnya ? ’
Tentang hak-hak harta bagi wanita, Islam telah menetapkan hak milik bagi kaum wanita dengan
berbagai jenis dan cabangnya sekaligus hak untuk mempergunakannya. Maka ditetapkan hukum
wasiat dan hukum waris bagi kaum wanita seperti halnya bagi kaum lelaki. Islam juga memberikan
kepada kaum wanita hak jual beli, persewaan, hibah (pemberian), pinjaman, waqaf, sedekah, kafalah,
hawalah, gadai dan hak-hak yang lainnya. Termasuk hak-hak itu adalah hak mempertahankan
hartanya dan membela dirinya, dengan hak untuk mendapat pembelaan di sisi undang-undang.
Rasulullah SAW membawa metodologi samawi dalam membela nasib mereka yang tertindas, hamba
sahaya dan wanita, di zamannya. Pembelaan mereka tidak dibuat melalui kuasa, kekerasan atau
hasutan untuk bangun memberontak tetapi dibuat melalui pendekatan mendidik dan menanamkan
sifat tanggungjawab yang tinggi selaku hamba dan khalifah Allah di muka bumi, berlandaskan iman
dan taqwa. Kedatangan Islam telah membawa cahaya dan petunjuk, menyelamatkan wanita dari
kekejaman jahiliah. Menjelaskan kepada manusia bahawa wanita merupakan makhluk yang mulia di
sisi Allah sekiranya mereka melakukan amal soleh dan berbuat baik. Dengan cara ini, Islam
mengangkat darjat wanita ke tempat yang tinggi, menyatakan persamaan hak antara lelaki dan wanita
dari sudut kemanusiaan, melaksanakan suruhan Allah SWT dan menerima balasan di atas amalan
mereka masing-masing. Maka kaedah Rasulullah SAW yang berlandaskan ajaran Islam ialah dengan
menurunkan ego kaum lelaki, menggantikan rasa angkuh, sombong dan takabbur dengan rasa takut,
harap, tawadhuk dan ikhlas kepada Allah SWT. Begitu juga bagi kaum wanita, rasa hina, tiada
maruah dan tiada daya ditinggikan dengan rasa izzah, takut, harap, tawdhuk dan ikhlas sebagai
makhluk ciptaan Allah SWT. Maka kaum lelaki dan wanita adalah saling memerlukan, saling
menolong bantu, masing-masing ada hak dan peranan yang perlu dilaksanakan supaya mengecap
kehidupan sejahtera, aman dan baik di dunia dan di akhirat . Kekuatan aqidah yang yakin akan adanya
kehidupan di akhirat meletakkan pertimbangan manusia jauh dari hanya hidup semasa tanpa
akauntabiliti di akhirat nanti.
6.0 Tindakan seterusnya
Usaha untuk menangani dan membaik pulih keadaan dalam masyarakat kita memerlukan usaha sama
yang berterusan dan terancang. Banyak daripada usaha yang ada adalah baik tetapi ia perlu
dilaksanakan dan perlaksanaan itu hedaklah dipantau untuk menjamin keberkesanan. Pendekatan yang
diambil perlu meragkumi tiga aspek: intelek, praktikal dan secara berstruktur merangkumi polisi dan
perundangan. Antara perkara yang dicadangkan adalah:
(i) Kejelasan Ilmu - kejelasan terhadap Islam sebagai satu cara hidup, kefahaman terhadap
peranan lelaki dan wanita dalam keluarga dan masyarakat, peranan dan perhubungan antara
mereka perlu laksanakan dalam berbagai peringkat dan suasana sangat diperlukan. Mendidik
kaum wanita saja tidak akan membawa perubahan sikap kaum lelaki. Isu gender hendaklah
dibincangkan dalam perspektif Islam dan ilmu ini dikongsi dengan semua agensi Kerajaan
yang terlibat khususnya dengan Jabatan-jabatan Ugama.
(ii) Pendidikan yang berasaskan Islam yang menitikberatkan kefahaman dan saling hormat-
menghormati antara lelaki dan wanita hendaklah diutamakan di semua peringkat
persekolahan, dalam pendidikan masyarakat melalui program dan media.
(iii) Penyebaran Ilmu - usaha-usaha yang lebih gigih dalam menyebar ilmu melalui pusat kajian
dan seminar serta persidangan dalam isu-isu berkaitan dengan pembangunan wanita terutama
dalam perkara yang selalu ditimbulkan oleh musuh Islam. Penerangan yang diasaskan kepada
hujah-hujah mantap untuk menangkis tanggapan yang salah dan meneyeleweng tentang Islam
adalah sangat penting.
(iv) Ijtihad dan tajdid - membuka ruang yang luas untuk ijtihad dan tajdid dalam isu berkaitan
dengan hubungan lelaki dan wanita yang berasaskan keadilan Islam dan bukan berpaksikan
budaya semata-mata.
(v) Islam sebagai rahmat untuk sekelian alam. Membuka ruang untuk ijtihad dan tajdid dalam
menjadikan Islam sebagai ugama ‘rahmatan fil alamin’ yang mampu memberi keadilan
kepada umat manusia, Muslm dan bukan Muslim.
(vi) Pendirian Islam dipertahankan di PBB. CEDAW dianggap sebagai ‘living document’, maka
ia berkembang dan berubah dari tahun ke tahun. Apa yang telah ditanda tangani pada suatu
masa dulu sering berubah, walaupun proses perubahan itu semestinya dipersetujui oleh
Kerajaan Malaysia. Mungkin sudah tiba masanya, pemikiran dalam dokumen itu dicabar oleh
kumpulan negara-negara Islam termasuklah Malaysia yang masih mementing ajaran ugama
Islam untuk meletak pendirian tegas bahawa hak ‘sovereignity’ dan bebas dalam berugama
mereka hendaklah dihormati seperti yang dijanjikan dalam UN Charter. Pendirian Malaysia
sebagai negara pro-keluarga harus dipertahankan dan kesepakatan dengan negara pro-
keluarga lain harus dibina.
(vii) Sistem sokongan Islamik. Menyediakan lebih banyak sistem sokongan dan bantuan yang
Islamik untuk kaum wanita, lelaki dan keluarga, sama ada dari aspek membantu
pembangunan anak-anak yang mana kedua ibu-bapanya bekerja atau yang menghadapi
masalah. Usaha ini hanya boleh berjaya jika semua aktivis Islamis boleh bekerja dalam
bentuk sokong menyokong berasaskan perundingan, perencanaan dan kerjasama.
(viii) Islam yang dicita, dipromosi dan diamalkan. Jelas sekali, masih wujud jurang antara
nilai-nilai yang dicita-citakan dan nilai-nilai yang dipromosikan serta yang
diamalkan. Perkara-perkara inilah yang akan menjejaskan kemajuan dan
pembangunan yang bermakna. Kita juga perlu mencari penyelesaian masalah-
masalah yang memberi pertimbangan kepada kesejahteraan dan kemaslahatan wanita,
lelaki, keluarga dan anak-anak. Tambahan lagi, kita perlu memberikan pertimbangan
yang wajar terhadap semua aspek yang boleh membina satu insan yang berakal dan
berketrampilan. Khusus dalam isu pembangunan wanita, kita perlu suatu kefahaman
dan kesedaran yang mendalam bagaimana ajaran Islam telah memartabatkan status
wanita Islam.
Budaya muafakat dan perundingan harus dijadikan budaya antara aktivis dan agensi Islam supaya
segala tindakan yang perlu difikirkan dan dirancang akan dapat dilakukan sebaiknya. Pembangunan
masyarakat yang sihat bergantung kepada kaum wanita dan lelaki, Muslim dan bukan Muslim kerana
kita hidup dalam suatu keadaan yang saling kait mengait dan memerlukan antara satu sama lain.

RUJUKAN/ BIBLIOGRAFI

1. Agenda Wanita untuk Perubahan, 1999


2. Harlina Halizah Siraj, 2009, Citra Wanita Kontemporari, JIMedia, Kuala Lumpur.
3. International Islamic Committee for Women and Child, 2001, A Critical Review of
the Convention on the Elimination of all forms of Discrimination against Women
(CEDAW)
4. Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA), Kementrian Perpaduan Negara dan
Pembangunan Masyarakat, 1997, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
5. Jamal Badawi, Gender Equity in Islam
6. Mona Abul Fadl, Understanding Gender in Muslim Societies
7. Omaima Abou Bakr, (i) Gender Perspectives in Islamic Traditions dan (ii) A Muslim
woman’s reflection on gender.
8. Riffat Hassan, Members, One Another: Gender Equality and Justice in Islam
9. Salbiah Ahmad, 2005, Gender Equality under Article 8: Human Rights, Islam and
“Feminisms”, 13 Malaysian Law Conference.
10. Teks ucapan rasmi oleh Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan
Pembangunan Wanita di Sesi ke 51, Commission on the Status of Women, PBB, 26
Feb 2007, New York.
11. UN Document, 1979. Convention on the Elimination of all Forms of Dicrimination
against Women (CEDAW)
12. UN Document, 2001. Beijing Declaration and Platform for Action with Beijing + 5
Political Declaration and Outcome Document.
13. Zeenath Kauthar, 2007, second revised edn, Women’s Empowerment and Islam: The
UN Beijing Document Platform for Action, Thinker’s Library, Kuala Lumpur.
14. Zeenath Kauthar, 2008, second revised edn. Political Participation of Women:
Contemporary Perspectives of Gender Feminists and Islamic Revivalists, Thinker’s
Library, Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai