Anda di halaman 1dari 2

Tajuk : Wanita bekerjaya negara Berjaya

Pemidato : WAN NUR ZHAHIRAH BINTI WAN ZAHIDDIN

Bismillah….

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara/I peneraju majlis, kombinasi kehakiman yang
berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi berwawasan seterusnya warga dewan
yang dimuliakan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar penutur Bahasa Melayu yang tercinta?

Masyarakat kita pada hari ini terlalu asyik dibelenggu dengan isu stigma dan persepsi yang
mengehadkan peranan Wanita dalam sesuatu bidang. Tradisi lapuk ini harus kita bendung Bersama
untuk merealisasikan keluarga Malaysia yang lebih Berjaya. Maka, sebagai seorang Wanita, izinkan
saya menyampaikan dogma di bawah tinta bicara ‘ Wanita bekerjaya, negara berjaya’.

Keluarga Malaysia yang dikasihi sekalian,

Wanita bekerjaya merupakan insan yang berperanan penting dalam institusi keluarga, komuniti dan
negara. Manakala negara Berjaya didefinisikan sebagai pembinaan Malaysia yang cemerlang,
gemilang dan terbilang. Maka secara liberal dan konseptual, Wanita bekerjaya negara Berjaya
mengajak dan mendesak kita supaya terus memartabatkan kaum hawa dalam membina sebuah
negara yang mapan berlandaskan negara berwawasan. Tiga jujuk idea akan saya bawa. Pertama, kita
lihat apakah cabaran bagi Wanita berkerjaya. Kedua, Langkah pembudayaan dalam membina
keseimbangan. Dan yang ketiga, impak keberkesanan pencetus kegemilangan.

Warga dewan yang dimuliakan,

Isu pertama yang akan saya kupas untuk membangkitkan suasana adalah cabaran bagi Wanita
berkerjaya. Wanita dan keluarga adalah saling berkait dan mempunyai hubungan yang sangat erat.
Kedudukan sebagai isteri dan ibu sangat besar peranannya dan menuntut pengorbanan yang tinggi
apatah lagi sekiranya wanita tersebut bekerja. Bancian menunjukkan kaum wanita yang bekerja
dalam pelbagai sektor profesional bertambah iaitu sebanyak 12.7% pada tahun 2015 kepada 13.5%
pada tahun 2021. Wanita umpama kain yang mengikat keluarga untuk terus bersama. Keupayaan
mereka untuk memainkan pelbagai peranan ini dengan sempurna adalah asas yang menyokong
institusi keluarga. Maka disinilah wujudnya cabaran utama untuk seseorang Wanita. Ibarat diluah
mati bapak, ditelan mati emak. Kata-kata hikmah seperti 'Tangan yang menghayun buaian boleh
menggoncang dunia' dan 'Ibu itu adalah sekolah' menunjukkan betapa besarnya peranan dan
pengaruh seorang wanita sebagai ibu dan juga isteri dalam membentuk keluarga dan anak-anak. Ini
kerana nilai yang pertama diterima oleh seseorang insan adalah berdasarkan yang diperolehinya
hasil didikan keluarganya terutama ibu yang mengasuhnya. Baik asuhan yang diterima maka baiklah
hasilnya dan begitulah sebaliknya.
Sidang hadirin yang penuh santun,

Menyusur kita kepada hujah kedua saya di bawah lembayung kata, Langkah pembudayaan dalam
membina keseimbangan. Sejak kemerdekaan banyak usaha telah dijalankan untuk
mempertingkatkan kedudukan wanita negara. Banyak cadangan telah dikemukakan untuk
memajukan pembangunan wanita dan mengesyorkan hak-hak mereka terpelihara. Antara advokasi
yang berhasil menerusi undang-undang dan peraturan ialah menghapuskan diskriminasi terhadap
wanita di sektor tertentu seperti sosio-budaya, ekonomi dan politik. Pembangunan wanita akan
lebih berkesan sekiranya sisa-sisa nilai patriarki yang masih kekal dalam masyarakat Malaysia diganti
dengan sikap baru yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia, malah antarabangsa. Sikap tersebut
merangkumi nilai inklusif, saling menyokong, berkolaborasi dan bermuafakat antara dua jantina
utama dalam usaha memajukan manusia.

Warga dewan sekalian,

Hujah terakhir saya untuk membawa warga dewan menyelami impak keberkesanan pencetus
kegemilangan. Perenggan pertama Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat menyebut:
“Bahawasanya pengiktirafan keutuhan kemuliaan dan hak samarata serta asasi yang tak terpisah
bagi seluruh umat manusia adalah asas kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia.” Wanita kini
semakin bertindak sebagai pemberi dan pencari nafkah setanding lelaki tetapi pada masa yang sama
kerja penjagaan tidak berbayar masih tidak diiktiraf. Wanita dipertanggungjawabkan untuk bekerja
dan pada waktu yang sama tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan beban penjagaan. Situasi ini
tidak sihat dan tidak lestari. Dalam jangka masa panjang, norma sosial sedia ada perlu berubah bagi
merapatkan jurang gender. Kejuruteraan semula sosial dan perangkaan semula dasar perlu
dilakukan bagi menghasilkan penyelesaian terbaik kerana kemunculan dinamik sosial baru ini.
Pendidikan sensitif gender perlu bermula dari sekolah, dikuatkuasakan oleh sistem perundangan,
memastikan perubahan kesaksamaan gender dalam institusi kerajaan, dan juga pihak berkuasa,
termasuklah pasukan polis.

Para hadirin sekalian,

Berpijaklah kita dibumi yang nyata, junjunglah kita dibawah langit yang sama. Mainkan peranan kita
sebagai pendukung kepada setiap cita-cita Negara. Cukuplah kita menuding jari, beromong kosong di
kedai kopi, mencari salah sana dan sini. Kita berlu bangkit dan terus memartabatkan kaum hawa.
Ayuh, kita satukan semula barisan kita, kita pastikan kita berada pada saf yang paling hadapan dalam
memartabatkan kecemerlangan negara.

Sekian, Wanita berinovasi mohon permisi.

Anda mungkin juga menyukai