Anda di halaman 1dari 2

TAJUK : RAKYAT BERSATU, NEGARA MAKMUR

Bismillahirrahmanirrahim.

Permuafakatan Malaysia pada tahun 1963 hasil penyatuan rakyat dan bangsa menjadi lambang kepada
keteguhan, keutuhan, dan perpaduan. Lambang ini menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia
yang dihimpun dari pelbagai etnik, agama dan budaya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar penutur Bahasa Melayu yang tercinta?

Terima kasih peneraju acara, barisan kehakiman teguh saksama, barisan pendidik seia sekata seterusnya
hadirin sekalian jauh di mata namun masih utuh menyantuni bahasa.

Hadirin sekalian,

Ayuh kita menelusuri bersama pengertian mauduk pidato saya “Rakyat Bersatu Negara Makmur”

Mentelaah Kamus Dewan Edisi Ke-4 ,Rakyat Bersatu Negara Makmur adalah peribumi yang bergabung di
bawah satu kesepakatan yang cukup dan sempurna kehidupannya. Kedua-dua entiti inilah yang akan
menjadi tunjang agar bumi Malaysia yang dicintai terus mambangun dengan mapan dengan acuan
tersendiri.

Hadirin sekalian,

Menyusur kita kepada hujah pertama saya di bawah lembayung kata ‘rukun Negara diperjelas,
keharmonian menjadi alas’. Rukun Negara meletakkan perpaduan dan penyatuan sebagai batu asas
supaya perlembagaan Negara menjadi jelas, pemimpin berlainan ideology pula tidak sering berbahas,
kebajikan rakyat tidak terus ditindas dalam melahirkan rasa cinta kepada Negara yang tidak terbatas.
Rukun Negara yang diperkenalkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong keempat, Almarhum
Tuanku Ismail Nasiruddin Shah menjadi kunci kepada keharmonian Negara. Buktinya, bahagian pertama
dalam perlembagaan rukun Negara dengan jelas dan nyata memperlihatkan lima objektif utama yang
utuh agar rakyat sentiasa patuh dan kita tidak terus jatuh dan tersungkur sehingga hilang rasa hormat
dan akhirnya perpaduan tidak menjadi erat. Kesetiaan ialah jiwa bangsa kita. Kesetiaan dari hati
sanubari kepada raja dan tanah air inilah yang akan menyatukan kita semua daripada pelbagai kaum
menjadi satu bangsa yang bersatu padu. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk. Sama lebur, sama binasa. Bersatu kita teguh bercerai kita
roboh.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata ‘institusi beraja diperhebatkan, keharmonian Negara
dibudayakan’. Lebih 600 tahun dahulu, taat dan setia kepada raja terbukti menjadi asas membantu
membina empayar Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun pada dasarnya Malaysia mengamalkan
system beraja berpelembagaan, namun Rukun Negara tetap meletakkan kesetiaan kepada raja dan
Negara sebagai tiang seri kepada kedaulatan dan keharmonian Negara. Kesetiaan ini seharusnya tidak
dijamah dengan budaya, dimamah dengan usia apatah lagi dijentik dan disuntik dengan kuasa politik.
Sedarkah kita, runtuhnya kesultanan Melayu Melaka berpunca daripada pengkhianatan Si Kitol dan Raja
Mendeliar. Sejarah ini jelas memperlihatkan tentang peranan yang perlu dimainkan oleh institusi beraja
dalam membentuk kesetiaan kepada Negara. Bak kata pepatah ‘kayu besar di tengah padang, tempat
bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat
bersandar’.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang ketiga di bawah lembayung kata, jatidiri utuh, membina Malaysia teguh. Beradab
menjadikan seseorang individu tahu dalam mengawal tingkah laku, sikap dan pertuturan apabila hidup
dalam bermasyarakat. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk yang rakyatnya
terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, amat penting untuk seorang warganegara beradab pada satu
sama lain, beradab pada pemimpin dan paling penting beradab dengan sejarah pembentukan negara
ini.Mantan Perdana Menteri Malaysia,Tun Dr. Mahathir Mohamad menakrifkan ‘negara bangsa’ dibina
dan dibangunkan dengan rakyat yang menyanjung masa depan yang dikongsi bersama, berintegrasi
seluruh wilayah dan kelompoknya, menikmati kehidupan bersama berasaskan persamaan hak dan
keadilan, menumpukan taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah-bahagi terhadap bangsa dan
negara mereka. Terbinanya Malaysia adalah hasil keringat, rakyat berlainan bangsa menjadi muafakat,
keutuhan jatidiri sentiasa mendapat tempat, dalam hati dan sanubari supaya kita boleh berdiri dengan
kaki kita sendiri.

Hadirin sekalian,

Hakikatnya sebesar rumah yang gah bermula dari sebiji bata dan ia boleh runtuh, roboh dan hancur
dalam sekelip mata. Apakah punca kemusnahan kepada rumah tersebut boleh datang dari pelbagai
punca, mungkin kerana amarah alam, atau mungkin akibat dari kecuaian manusia tapi tiada yang lebih
menyedihkan jika ia roboh kerana khianat individu-individu yang berlindung di rumah itu sendiri sekian
lama. Jangan pula kita menjadi seperti anai-anai, meratah sedikit demi sedikit tiang rumah sehingga
akhirnya tersembam roboh menyembah bumi. Malaysia adalah negara kita. Usah kita biarkan rumah
kita roboh kerana kita sendiri bertindak seperti anai-anai.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai