Anda di halaman 1dari 16

BAB 6

K OMUN I K AS I I NTER P E R SONAL

Jamilah Jamal

OBJEKTIF BAB

Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mengenalpasti teori-teori yang terdapat dalam komunikasi
interpersonal atau komunikasi antara perseorangan.
2. Menjelaskan definisi teori-teori komunikasi interpersonal
tersebut.
3. Menghuraikan kaedah-kaedah dan contoh-contoh
komunikasi interpersonal yang biasanya menjadi amalan
seseorang.
4. Mengaplikasi ilmu komunikasi interpersonal dalam
kehidupan seharian.

6.1 PENGENALAN

Dalam bab ini anda akan diberikan penjelasan makna Komunikasi


Interpersonal atau Komunikasi antara Perseorangan. Menurut Beebe,
Beebe dan Redmond (1999), komunikasi interpersonal akan berlaku
apabila seseorang melakukan interaksi secara serentak dengan orang lain
dan saling pengaruh-mempengaruhi dengan tujuan mengendalikan
proses interaksi tersebut. Contohnya, jika anda mempunyai seorang
kawan atau teman sebilik di asrama kenapa anda boleh mengekalkan
hubungan dengan kawan tersebut? Biasanya hubungan tersebut boleh
terjalin dengan baik dan berkekalan kerana anda boleh berinteraksi antara
satu sama lain. Inilah yang dikatakan hubungan komunikasi interpersonal
yang positif.

Biasanya komunikasi interpersonal ini wujud apabila adanya


persefahaman, keserasian, hubungan yang intim, kecintaan yang
mendalam dan rasa tidak boleh berpisah dengan seseorang. Dalam hal ini
ianya melibatkan rasa mesra, boleh berkongsi keyakinan dan masalah,
wujudnya sikap tolong-menolong dan sebagainya. Ini bertepatan dengan
apa yang diutarakan oleh Adler et al. (1999) bahawa komunikasi
interpersonal bolehlah dianggap sebagai satu proses transaksi berterusan

101
dan biasanya melibatkan mereka yang berada pada suatu suasana yang
sama pengertian serta boleh mewujudkan hubungan melalui pertukaran
mesej antara mereka. Jelasnya, komunikasi interpersonal berlaku apabila
terdapat sekurang-kurangnya dua individu berkomunikasi dan terdapat
maklum balas yang cepat.

Bab ini akan membincangkan dua teori yang tergolong dalam kategori
komunikasi interpersonal iaitu Teori Penembusan Sosial (Social Penetration
Theory) dan Teori Pengurangan Ketidakpastian (Uncertainty
ReductionTheory).

6.2 TEORI PENEMBUSAN SOSIAL (SOSIAL


PENETRATION THEORY)

Pernahkah anda menonton drama Tujuh Hari Mencintaiku? Drama


siaran slot Akasia di saluran TV3 ini diadaptasikan daripada sebuah
novel popular tanah air. Ia mengisahkan seorang doktor muda bernama
Khuzairi yang mencintai seorang gadis bernama Mia Adriana. Mia
adalah anak seorang hartawan dan berkerja sebagai peguam. Namun
ternyata cinta Khuzairi ibarat bertepuk sebelah tangan kerana Mia
bukan sahaja tidak membalas perasaan hatinya, malah sudah bertunang
pula dengan jejaka lain yang merupakan sepupu Mia sendiri. Apabila
Khalil, tunangan Mia meninggalkannya pada hari pernikahan mereka,
Khuzairi telah diminta oleh bapa Mia untuk menikahi anaknya bagi
menjaga maruah keluarga. Maka bermulalah episod kehidupan Mia
sebagai isteri kepada lelaki yang tidak dicintainya. Bagaimanakah
kesudahan perhubungan mereka?

102
Perkembangan perhubungan Mia dan Khuzairi boleh diterangkan dari
perspektif teori komunikasi interpersonal. Dalam konteks ini, teori
penembusan sosial yang dibina oleh Altman dan Taylor (1973) dapat
menjelaskan sikap dingin Mia terhadap Khuzairi yang tidak begitu
dikenali hati budinya.

6.2.2 Andaian Asas Teori Penembusan Sosial

Teori penembusan sosial menerangkan peringkat perkembangan


perhubungan di antara individu bermula dari saat perkenalan
sehinggalah ke tahap yang lebih intim dan stabil (Carpenter & Green,
2015). Menurut Altman dan Taylor (1973), peringkat perkembangan
hubungan interpersonal ini didasari oleh empat andaian asas iaitu:

1. Perhubungan bermula dari tahap tidak mesra kepada intim


2. Hubungan secara umumnya berkembang secara sistematik dan
boleh dijangka.
3. Perkembangan perhubungan boleh melibatkan tahap
kebaliktembusan dan pembubaran perhubungan
4. Pendedahan kendiri adalah teras utama perkembangan dalam
sesuatu hubungan

Andaian pertama: Perhubungan berkembang dari tidak mesra


kepada intim

Pada tahap pertama Teori Penembusan Sosial mencadangkan bahawa,


sebaik sahaja sesuatu perhubungan itu berkembang, komunikasi
interpersonal beralih daripada sekadar kenalan biasa kepada suatu
hubungan yang lebih bermakna. Ini dapat dijelaskan oleh sikap Mia
yang pada awalnya tidak menyenangi perwatakan Khuzairi yang pada
pandangannya bersikap kekampungan dan kolot. Sifat ini bertentangan
dengan sifat Mia yang moden, angkuh dan sombong. Disebabkan
perbezaan latar belakang yang ketara antara kedua-duanya membuatkan
Mia tidak memandang Khuzairi walau sebelah mata. Ini menyebabkan
perhubungan kedua-dua mereka tidak mesra dan pada dasarnya hanya
di permukaan sahaja. Mia tidak begitu mengenali suaminya kerana dia
tidak memberi peluang kepada interaksi yang kerap sebaliknya sering
mengelak daripada berkomunikasi.

103
Teori Penembusan Sosial mengandaikan hubungan interpersonal
berkembang lebih pantas dengan adanya kekerapan berkomunikasi.
Frekunsi komunikasi yang tinggi akan meningkatkan kemesraan dalam
hubungan. Konsep keluasan (breath) dan kedalaman (depth) dalam teori
ini mencadangkan bahawa kekerapan berkomunikasi akan menbawa
kepada pelbagai topik perbualan yang dibincangkan secara mendalam
yang membolehkan individu saling mengenali dan menyelami perasaan
masing-masing. Pada tahap ini individu mula selesa membincangkan
hal-hal yang serius serta mula menunjukkan sikap dan perwatakan
sebenar mereka.

Andaian kedua: Perkembangan hubungan secara umumnya


secara sistematik dan boleh dijangka.

Setelah beberapa lama berumah tangga akhirnya sedikit demi sedikit


Mia sudah mula membuka pintu hatinya buat Khuzairi. Pada tahap ini,
hubungan mereka menjadi semakin rapat dan berkembang seperti mana
jangkaan terhadap hubungan pasangan lain yang baru berumah tangga.
Mereka saling mengenali hati budi masing-masing dan sudah mula
menyesuaikan diri. Mereka mungkin berkongsi minat yang sama atau
mula menerima perbezaan sebagai sesuatu yang melengkapkan
perhubungan. Pada tahap ini juga kedua-duanya sudah dapat
menjangkakan perkembangan perhubungan mereka, ‘membaca’
pemikiran dan juga tindakan pasangan.

Andaian ketiga: Perkembangan perhubungan boleh melibatkan


tahap keterbalikan tembusan dan pembubaran perhubungan.

Seperti mana yang diandaikan oleh Teori Penembusan Sosial,


perhubungan Mia dan Khuzairi juga mengalami pasang surutnya.
Akibat konflik dan salah faham yang berlaku Mia mengambil keputusan
untuk menarik dari dari kehidupan suaminya. Pada tahap ini berlaku
keterbalikan tembusan (depenetration) sosial dan mungkin juga akan
sampai ke peringkat pembubaran perhubungan (dissolution) sekiranya
Mia dan Khuzairi mengambil keputusan untuk berpisah.

Andaian keempat: Pendedahan kendiri adalah teras utama dalam


pembinaan sesuatu hubungan.

Dalam konteks ini, pendedahan kendiri merujuk kepada bersikap


terbuka, berterus-terang dan berkongsi pandangan dengan pasangan.
Konsep pendedahan kendiri bermula seawal perkenalan di mana kedua-
dua pihak saling mengenali melalui proses pendedahan kendiri sedikit
demi sedikit atau mengikut tahap demi tahap. Contohnya,
perkembangan perhubungan Khuzairi dan Mia adalah secara
berperingkat, sesuai dengan andaian teori ini. Pada satu peringkat,
kesanggupan Mia untuk membuat pendedahan kendiri dengan
mengakui perasaannya terhadap Khuzairi dan bersedia untuk
104
memperbetulkan kesilapannya telah berjaya menyelamatkan hubungan
kedua-duanya.

Untuk bacaan lanjut tentang andaian asas Teori Penembusan Sosial,


anda boleh merujuk kepada artikel di pautan berikut:
https://www.researchgate.net/publication/314626867_Social_Penetrat
ion_Theory

6.2.3 Tahap Perkembangan Hubungan

Setelah kita memahami andaian asas Teori Penembusan Sosial,


sekarang kita teliti pula konsep pendedahan kendiri dalam membina
hubungan interpersonal. Menurut Altman dan Taylor (1973), terdapat
empat peringkat perkembangan hubungan iaitu tahap orientasi, tahap
penerokaan, tahap penglibatan dan pertukaran emosi dan tahap stabil.

1. Tahap Orientasi

Pada tahap ini, interaksi biasanya hanya berkisar kepada perkara-


perkara asas atau perbualan ringan sahaja. Antara topik yang
diperbualkan seperti memperkenalkan diri tanpa mendedahkan
maklumat yang lebih mendalam. Contohnya, nama saya Saleha. Saya
berasal dari Alor Star, Kedah. Pada tahap ini kita hanya memberikan
nama ringkas tanpa mendedahkan nama penuh dan alamat rumah
kerana kita merasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

2. Tahap Penerokaan

Pada tahap ini individu mula mendedahkan sedikit demi sedikit


maklumat diri masing-masing, contohnya dengan memberikan
pandangan umum tentang sesuatu isu, bidang tugas dalam pekerjaan
mahupun tentang kebiasaan yang dilakukan pada waktu santai. Begitu
juga individu tersebut akan cuba ‘meneroka’ dengan mengajukan
pelbagai soalan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang
rakan yang baru dikenali. Pada peringkat ini merupakan proses individu
menyesuaikan diri dengan cuba mengenali peribadi seseorang dengan
lebih mendalam.

3. Tahap Penglibatan Emosi

Perkenalan yang pada mulanya biasa-biasa menjadi semakin rapat


sehingga melibatkan perasaan dan emosi. Misalnya timbul rasa sayang,
prihatin, rindu, bimbang serta kasih terhadap individu tersebut. Pada
tahap ini inidividu telah mula menunjukkan komitmen yang serius
terhadap hubungan. Pendedahan kendiri pada tahap ini termasuk
berkongsi maklumat yang lebih personal termasuk aspirasi dan
matlamat dalam perhubungan.
105
4. Tahap Stabil

Hubungan menjadi stabil setelah kita membina kepercayaan dan


keyakinan terhadap rakan atau pasangan. Pada tahap ini kita menjadi
lebih terbuka untuk berbicara hal-hal yang lebih sensitif seperti isu
agama, ideologi dan prinsip hidup. Kita juga berasa lebih jujur berbicara
serta selesa untuk berkongsi rahsia dan harapan masa depan. Selain itu
kita mampu menjangkakan reaksi emosi pasangan denagn lebih tepat.
Yang paling penting pada tahap ini kita telahpun menemukan konsep
diri dalam sesebuah perhubungan interpersonal yang dibina.

6.2.4 Analogi Bawang dalam Teori Penembusan Sosial

Terdapat juga sarjana yang menggunakan bawang sebagai analogi dalam


menjelaskan Teori Penembusan Sosial ini. Setiap lapisan bawang
diandaikan mewakili tahap perhubungan interpersonal di mana lapisan
luaran adalah tahap awal perkenalan. Manakala lapisan yang paling
dalam mewakili tahap perhubungan yang telah stabil. Analogi bawang
ini boleh dijelaskan oleh Rajah 6.1.

Rajah 6.1: Bawang sebagai Analogi Teori Penembusan Sosial

Teori Penembusan Sosial merupakan teori komunikasi interpersonal


dan tergolong dalam tradisi pemikiran sosio-psikologikal. Dari sudut
falsafahnya teori ini terbina daripada paradigma positivism di mana
generalisasi dibuat berdasarkan hipotesis yang diuji secara empirikal.
Antara kritikan terhadap teori penembusan sosial adalah pertama,
adalah sukar untuk menentukan perkaitan antara pendedahan kendiri

106
dan tahap hubungan yang sihat. Kita boleh menyimpulkan bahawa
pendedahan kendiri adalah hasil dari hubungan yang sihat, dan bukan
sebaliknya. Oleh itu andaian yang boleh dibina adalah hubungan yang
sihat mempengaruhi tahap pendedahan kendiri oleh pasangan dalam
sesebuah hubungan.

Kedua, kebanyakan kajian terhadap teori ini dijalankan di Barat, di


mana jantina dan budaya yang berbeza turut mempengaruhi sejauh
mana pasangan bersedia membuat pendedahan kendiri. Begitu juga,
pendedahan kendiri mempunyai pelbagai implikasi. Jika individu tidak
berhati-hati dalam membuat pendedahan kendiri, ianya mungkin akan
menimbulkan masalah di kemudian hari. Oleh yang demikian, konsep
kewajaran atau rational perlu dititikberatkan dalam membuat keputusan
tentang maklumat apa yang perlu dikongsi.

Dalam konteks perhubungan interpersonal secara maya, pendedahan


kendiri mungkin berisiko yang akan menyebabkan kita menjadi mangsa
tular atau ‘viral’. Risiko ini lebih berkemungkinan jika perhubungan
tersebut berakhir dengan tahap pembubaran hubungan. Terkini, konsep
empati turut menjadi elemen penting dalam teori komunikasi
interpersonal ini (Mangus, Bock, Jones, & Folse, 2020).

Untuk penerangan lanjut berkaitan tahap perkembangan dalam teori


penembusan sosial, sila klik pautan berikut:
http://ipda.edu.my/archive/vans-case-study-analysis/what-is-social-
penetration-theory-of-communication.php

107
Berikan tiga cadangan kebaikan dan kelemahan teori
penembusan sosial berdasarkan pengalaman anda
membentuk hubungan dengan rakan anda.

Cuba perhatikan perkembangan perhubungan anda.


Adakah ia berkembang selari dengan tahap yang
dicadangkan oleh Altman dan Taylor (1973) dalam teori
ini?

6.3 TEORI PENGURANGAN KETIDAKPASTIAN


(UNCERTAINTY REDUCTION THEORY)

Teori Pengurangan Ketidakpastian yang dibina oleh Charles R. Berger


dan Richard J. Calabrese (1975) menjelaskan bagaimana individu
menggunakan strategi komunikasi bagi mengurangkan ketidakpastian
terhadap insan lain. Teori ini mengandaikan ketidakpastian menyebabkan
wujud ketidakselesaan dalam sesuatu hubungan.

6.3.1 Andaian asas Teori Pengurangan Ketidakpastian

Terdapat tujuh andaian asas Teori Pengurangan Ketidakpastian iaitu:

1. Individu mengalami ketidakpastian dalam konteks interpersonal


2. Kita tidak selesa berada dalam ketidakpastian kerana ia akan
mengganggu fikiran sehingga membuat kita berasa tertekan
3. Apabila dua orang asing bertemu, hal utama yang diberi perhatian
adalah untuk mengurangkan ketidakpastian dan meningkatkan
jangkaan terhadap perhubungan
4. Komunikasi interpersonal adalah proses pembinaan hubungan
yang berlaku mengikut tahap-tahap tertentu
5. Komunikasi interpersonal adalah kaedah utama bagi
mengurangkan ketidakpastian dalam hubungan yang baru dibina
6. Kuantiti data atau maklumat yang dikongsi antara dua orang yang
baru berkenalan boleh bertambah/berkurang mengikut masa
7. Tingkah laku individu adalah sesuatu yang boleh dijangka

Kesemua andaian asas teori ini adalah berdasarkan idea utama bahawa
komunikasi adalah elemen terpenting dalam tingkah laku manusia. Oleh itu
teori ini juga boleh dikaitkan dengan kontek komunikasi kemanusiaan dan
kesannya terhadap hubungan melalui interaksi sosial.

6.3.2 Strategi Komunikasi dalam Teori Pengurangan Ketidakpastian

108
Menurut Berger, apabila berada dalam ketidakpastian, individu akan
bertindak untuk mengurangkan ketidakpastian tersebut dengan cara
mendapatkan maklumat melalui interaksi sosial. Teori ini mengandaikan
terdapat tiga strategi pencarian maklumat yang boleh mengurangkan
ketidakpastian iaitu strategi pasif, strategi aktif dan juga strategi interaktif.

1. Strategi pasif

Strategi pasif merujuk kepada usaha pencarian maklumat secara


pemerhatian. Misalnya, sesorang hanya memerhatikan tingkah laku dan
interaksi individu yang ingin dikenalinya bagi mengetahui perwatakan
individu tersebut. Pada tahap ini, strategi pasif mungkin didorong oleh rasa
malu atau tiada keyakinan diri untuk berinteraksi secara langsung. Dengan
memerhati tingkah laku individu tersebut, kita akan dapat menjangkakan
bahawa beliau mungkin seorang yang peramah, mudah mesra ataupun
sebaliknya. Strategi pasif ini sesuai sekiranya anda seorang yang introvert,
pendiam atau pemalu. Namun kekurangan strategi ini adalah ketepatan
maklumat bergantung kepada ketepatan intepretasi kita terhadap apa yang
kita perhatikan. Bagi mengatasi masalah ini kita mungkin boleh
mempertimbangkan untuk menggunakan strategi aktif.

2. Strategi aktif

Strategi aktif boleh digunakan bagi mendapatkan maklumat yang lebih


mendalam tentang individu yang ingin kita kenali. Terdapat dua kaedah
pencarian maklumat secara aktif iaitu yang pertama ialah dengan cara
melayari media sosial seperti Facebook, Twitter ataupun Instagram. Dengan
melayari media sosial kita akan dapat maklumat asas seperti nama,
kecenderungan dan juga pemaparan kendiri (self-presentation) seseorang itu.
Kaedah kedua adalah dengan bertanyakan kenalan atau rakan rapat
individu tersebut tentang apa yang ingin kita ketahui. Pada dasarnya strategi
aktif memberikan maklumat yang lebih tepat dan pantas berbanding
strategi pasif.

3. Strategi interaktif

109
Seseorang yang menggunakan strategi interaktif akan mencari maklumat
dengan berinteraksi dengan individu tersebut secara langsung. Interaksi ini
sama ada dilakukan secara bersemuka, ataupun menerusi media perantara,
membolehkan maklumat diperoleh secara lebih pantas dan tepat. Strategi
ini berupaya mengurangkan ketidakpastian menerusi interaksi sosial dan
membolehkan pertukaran maklumat antara kedua-dua individu tersebut.
Berbanding dua strategi yang dibincangkan sebelum ini. Strategi interaktif
amat sesuai jika anda seorang yang extrovert, peramah atau berani.

Mari kita lihat contoh aplikasi ketiga-tiga strategi ini dalam klip video
berikut: https://www.youtube.com/watch?v=0jthnlKF51Q

Kesimpulannya, ketiga-tiga strategi komunikasi adalah didorang oleh


faktor motivasi untuk menangani ketidakselesaan akibat ketidakpastian
dalam sesuatu hubungan. Pemilihan strategi komunikasi dipengarui
oleh personaliti individu. Seseorang yang introvert cenderung untuk
menggunakan strategi pasif, manakala individu yang extrovert akan
110
bersikap terbuka dan lebih selsesa menggunakan strategi interaktif.

Keterangan lanjut mengenai strategi komunikasi menurut Teori


Pengurangan Ketidakpastian boleh didapati di pautan berikut:
https://journals.sagepub.com/doi/abs/10.1177/0893318999132007?journ
alCode=mcqa

6.3.3 Ketidakpasatian dalam Teori Pengurangan Kepastian

Ketidakpastian dalam Teori Pengurangan Ketidakpastian ini terbahagi


kepada dua aspek iaitu aspek kognitif (pemikiran) dan juga aspek tingkah
laku.
1. Ketidakpastian kognitif

Ketidakpastian kognitif merujuk kepada ketidakpastian tentang cara


pemikiran sesorang. Teori ini mengandaikan cara kita berfikir
dipengaruhi oleh kepercayaan, prinsip atau pegangan dan juga sikap kita
terhadap sesuatu isu. Tanpa pengetahuan tentang cara seseorang
berfikir akan menyukarkan kita untuk menjangkakan sikap dan
pandangannya. Sebagai contoh, sebaik memasuki dewan kuliah buat
pertama kali, kita melemparkan senyuman kepada pelajar yang duduk di
sebelah kita sambil menyapanya dengan mesra. Sebaliknya pelajar
tersebut hanya berlagak biasa seolah-olah tidak menyedari kehadiran
kita. Reaksi pelajar tersebut menimbulkan tanda tanya, apakah yang
sedang difikirkan sehingga dia tidak menyedari kehadiran mahupun
membalas sapaan? Adakah beliau beranggapan bahawa kehadirannya ke
kuliah semata-mata untuk menuntut ilmu tanpa membina sebarang
hubungan dengan rakan sekelas? Kita mungkin boleh menggunakan
strategi pasif dengan cara memerhati ataupun strategi aktif iaitu dengan
cara bertanya kepada rakan-rakan lain tentang pelajar ini bagi
memahami dirinya.

2. Ketidakpastian tingkah laku

Ketidakpastian tingkah laku pula berkaitan dengan kebolehan


menjangkakan atau menerangkan tingkah laku sesorang berdasarkan situasi
tertentu. Contohnya, pada hari pertama melapor diri di tempat kerja yang
baharu, kita tidak pasti bagaimana penerimaan rakan sekerja terhadap
kehadiran kita. Mereka mungkin akan mengalu-alukan kita sebagai rakan
sekerja, ataupun sebaliknya mereka akan melihat kita sebagai saingan dalam
mendapatkan peluang kenaikan pangkat yang mana akan mempengaruhi
tingkah laku mereka terhadap diri kita. Teori pengurangan ketidakpastian
mencadangkan bahawa pendedahan kendiri dan pencarian maklumat dapat
membantu kita mengatasi ketidakpastian ini.

Ketidakpastian tingkah laku juga boleh merujuk kepada diri sendiri di mana
kita tidak pasti bagaimana harus bertingkah laku dalam keadaan tertentu,
atau apa yang dijangkakan oleh orang lain terhadap tingkah laku kita.
111
Misalnya kita perlu menghadiri majlis makan malam yang turut dihadiri
oleh tetamu kenamaan. Kita mungkin akan kekok dan tidak tahu apa yang
dijangkakan dari kita sepanjang majlis berlangsung. Oleh itu pencarian
maklumat tentang siapa yang akan duduk semeja dengan kita akan
membantu kita untuk membuat jangkaan tentang topik yang boleh
diperbualkan. Kita mungkin akan menyelidik tentang organisasi serta
jawatan yang disandang bagi membolehkan kita mencari ruang persamaan
dalam perbualan. Dengan cara ini juga kita boleh menjangkakan tingkah
laku tetamu tersebut sama ada formal atau sebaliknya, seterusnya
menjangkakan sama ada kita akan berasa selesa dan yakin selama majlis
berlangsung.

Anda boleh meluangkan sedikit masa menonton filem Monalisa Smile


(2003) bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana individu
menangani ketidakpastian kognitif dan tingkah laku. Filem ini boleh
ditonton di pautan berikut:
https://www.youtube.com/watch?v=VqexVyd_ybI

Filem ini mengisahkan Katherine, seorang pensyarah baru di sebuah


univerisiti. Pada hari pertama bertugas Katherine tidak mengenali
sesiapa di universiti tersebut. Beliau bertemu dengan ramai orang iaitu
kakitangan universiti serta para pelajar di persekitaran yang serba baru
baginya. Keadaan ini menimbulkan banyak ketidakpastian sehingga
menyebabkan beliau berasa gementar. Beliau tidak tahu apa yang boleh
dijangkakan tentang situasi di universiti tersebut, terutama tentang
bidang tugasnya, pihak pengurusan, rakan sekerja dan para pelajar yang
bakal dididik. Katherine mendapati sukar untuknya mejangkakan corak
pemikiran dan tingkah laku mereka di sekelilingnya. Akhirnya beliau
dapat menyesesuaikan diri dan menangani ketidakselesaannya dengan
mengaplikasikan Teori Pengurangan Ketidakpastian.
112
Teori Pengurangan Ketidakpastian memberikan fokus terhadap
penggunaan komunikasi manusia bagi memperoleh pengetahuan selain
membentuk kesefahaman antara satu sama lain apabila berkomunikasi.
Biasanya apabila kita berkomunikasi dengan seseorang, kita sebenarnya
berpotensi menyelidiki siapa dia, dari mana asalnya, kenapa dia
berjumpa dengan kita dan persoalan lain yang timbul dalam fikiran kita.
Dalam teori ini menyebutkan bahawa jika kita pertama kali bertemu dan
berkomunikasi dengan seseorang, maka kita akan berasa tidak pasti dan
biasanya berlaku dua jenis ketidakpastian, iaitu ketidakpastian perlakuan
yang boleh diselesaikan melalui prosedur tertentu dan ketidakpastian
kognitif yang boleh diatasi dengan mencari maklumat. Teori ini
mempunyai banyak aksiom yang merupakan kenyataan yang diterima
sebagai benar tanpa perlu melalui proses pengujian. Oleh itu, teori ini
juga kadang-kadang disebut sebagai Teori Aksiomatik.

6.3.4 Aksiom dalam Teori Pengurangan Kepastian

Terdapat tujuh aksiom yang yang telah diperkenalkan oleh Berger (1987),
iaitu

Aksiom 1: Apabila tahap komunikasi verbal antara seseorang yang


baru sahaja berkenalan meningkat, maka tahap
ketidakpastian akan berkurangan.
Aksiom 2: Apabila tahap komunikasi bukan verbal meningkat, maka
tahap ketidakpastian berkurangan. Kekurangan
ketidakpastian menyebabkan bertambahnya komunikasi
bukan verbal.
Aksiom 3: Apabila tahap ketidakpastian tinggi, perlakuan pencarian
maklumat akan meningkat. Apabila tahap ketidakpastian
berkurangan, pencarian maklumat berkurangan.
Aksiom 4: Apabila tahap ketidakpastian yang tinggi dalam
hubungan, menyebabkan kemesraan berkurangan.
Aksiom 5: Apabila tahap ketidakpastian yang tinggi, akan
menghasilkan kadar timbal balik yang tinggi. Tahap
ketidakpastian rendah akan menghasilkan kadar timbal
balik yang rendah.
Aksiom 6: Apabila berlaku persamaan antara individu, ia akan
mengurangkan ketidakpastian. Sekiranya berlaku
ketidaksamaan, ia akan meningkatkan ketidakpastian.
Aksiom 7: Apabila tahap ketidakpastian yang akan menyebabkan
kita kurang meminati seseorang itu, manakala kurangnya
ketidakpastian akan menyebabkan kita lebih
menyukainya.

Bagi memahami teori pengurangan ketidakpastian ini Griffin (2000) telah


mengutarakan pandangan tentang proses pencarian maklumat dalam
membentuk hubungan. Terdapat tiga perkara yang mendorong seseorang
113
itu mencari maklumat, iaitu

(i) Pengharapan interaksi pada masa depan – apabila kita akan


berjumpa dan berinteraksi dengan individu berkenaan pada masa
depan. Contohnya, kenalan kita sama-sama mengikuti kursus PJJ,
UUM dalam bidang komunikasi. Kita akan berpeluang bertemu
kerana kebetulan dia dari tempat yang sama.
(ii) Nilai insentif – kita mengetahui bahawa dia mempunyai nilai yang
kita inginkan. Contoh, sahabat kita itu adik kepada salah seorang
pensyarah di Jabatan Komunikasi yang mempunyai banyak buku
rujukan untuk memudahkan kita untuk membuat tugasan nanti.
(iii) Devian – kenalan anda itu agak berbeza dengan kenalan lain kerana
setiap kali bertemu dia akan resah untuk berbicara, memandang
tempat lain bila bercakap dan selalu melarikan diri bila bertembung
dengan anda. Anda ingin tahu kenapa dia berkelakuan begitu.

Jelasnya, teori pengurangan ketidakpastian ini mungkin memberikan


anda pandangan baru mengenai proses pembentukan hubungan dalam
komunikasi antara perseorangan dan seterusnya meningkatkan lagi
jalinan hubungan anda dengan sahabat anda.

Teori Pengurangan Ketidakpastian pada awalnya dibina untuk


menerangkan proses yang berlaku apabila dua orang yang baru
berkenalan cuba menyesuaikan diri dengan cara saling mengenali antara
satu sama lain. Charles Berger and Richard Calabrese (1975)
menyatakan apabila kita berinteraksi dengan orang yang baru dikenali,
kita akan mengalami ketidakpastian yang tinggi kerana kita tidak tahu
apa yang akan dijangkakan. Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan
sehingga memotivasikan kita untuk mencari maklumat untuk
mengurangkan ketidakpastian tersebut. Misalnya banyak kajian tentang
teori ini bertujuan untuk menjelaskan bagaimana individu berfikir dan
bertingkah laku pada peringkat awal perkenalan (Knobloch, 2015).

Walau bagaimana pun tidak semua perhubungan akan mendorong kita


untuk mengenali sesorang dengan lebih dekat. Dalam sesetengah
keadaan kita tidak berusaha untuk terlibat dalam usaha pemcarian
maklumat kerana mungkin kita tidak berhajat untuk berhubungan atau
berurusan dengan individu tersebut pada masa akan datang (Redmond,
2015). Teori Pengurangan Ketidakpastian masih kekal valid sehingga ke
hari ini. Malah teori ini telah dikembangkan dengan memasukkan
elemen teknologi komunikasi dalam kajian hubungan interpersonal.
Sebagai contoh, teori ini diaplikasikan dalam mengkaji kelangsungan
hubungan interpersonal jarak jauh (Battjes, 2019).

Terkini, perkembangan teknologi hasil letusan IR 4.0 telah


menyebabkan Teori Pengurangan Ketidakpastian dikaji melangkaui
konteks komunikasi interpersonal. Penularan wabak atau pandemik
Covic19 telah mengukuhkan lagi teori pengurangan ketidakpastian ini
114
di mana para pengkaji telah membangunkan satu aplikasi pengesanan
Covid19. Kajian ini bertujuan untuk memperhalusi bagaimana
ketidakpastian mempercepatkan (atau melambatkan) penggunaan
aplikasi mengesan Covid19 serta kesannya terhadap persepsi tentang
pelbagai risiko Covid19 (Oldeweme, Märtins, Westmattelmann, &
Schewe, 2021).

Cuba anda kaitkan setiap aksiom di atas dengan


hubungan anda bersama rakan sekuliah anda sejak
bertemu dengannya.

6.4 KESIMPULAN BAB

Bab ini menjelaskan tentang teori dalam konteks komunikasi


interpersonal, iaitu Teori Penembusan Sosial dan Teori Pengurangan
Ketidakpastian. Setelah perbincangan secara mendalam tentang kedua-
dua teori tersebut berserta contoh-contoh yang berkaitan, anda
seharusnya sudah boleh mengaitkan andaian asas teori komunikasi
interpersonal dalam kehidupan seharian.

Rujukan

Ayres, J. (1979). Uncertainty and social penetration theory


expectations about relationship communication: A comparative
test, Western Journal of Speech Communication, 43:3, 192-
200, DOI: 10.1080/10570317909373968
www.tandfonline.com/doi/abs/10.1080/10570317909373968

Battjes, M. M. (2019). Between you and I: Mediated love in long


distance relationships (Master's thesis, University of Twente).

Carpenter, A & Greene, K. (2015). Social Penetration Theory.


10.1002/9781118540190.wbeic160.
https://www.researchgate.net/publication/314626867_Social_Penet
ration_Theory

Knobloch, L. K. (2015). Uncertainty reduction theory. The


international encyclopedia of interpersonal communication, 1-9.
Kramer, M. W. (1999). Motivation to Reduce Uncertainty: A
Reconceptualization of Uncertainty Reduction Theory. Management
Communication Quarterly. 13,2,305-316.
https://doi.org/10.1177/0893318999132007.

115
Mangus, S. M., Bock, D. E., Jones, E., & Folse, J. A. G. (2020).
Examining the effects of mutual information sharing and
relationship empathy: A social penetration theory perspective. Journal
of Business Research, 109, 375-384.

Oldeweme, A., Märtins, J., Westmattelmann, D., & Schewe, G.


(2021). The role of transparency, trust, and social influence on
uncertainty reduction in times of pandemics: empirical study on the
adoption of COVID-19 tracing apps. Journal of medical Internet
research, 23(2), e25893.

Redmond, M. V. (2015). Uncertainty reduction theory.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah komunikasi interpersonal atau komunikasi antara


perseorangan. Terangkan kenapa teori komunikasi interpersonal
penting?
2. Kenapa personaliti diri seseorang itu biasanya disamakan seperti
lapisan kulit bawang?
3. Pendedahan kendiri penting dalam Teori Tembusan Sosial.
Jelaskan proses pendedahan diri dalam teori ini.
4. Teori Pengurangan Ketidakpastian dikenali juga sebagai Teori
Aksiomatik. Mengapa?
5. Pada pendapat anda, bagaimanakah teori penembusan sosial
boleh dijelaskan terhadap aplikasi Facebook. Anda perlu
merujuk kepada satu kritikan tentang teori penembusan sosial.
Sokong jawapan anda dengan dapatan kajian empirikal.
6. Bincangkan konsep pemaparan kendiri (self-presentation)
dalam Facebook dan pendedahan kendiri (self disclosure) dalam
teori ini.

Semak jawapan anda di akhir modul ini.

116

Anda mungkin juga menyukai