Anda di halaman 1dari 22

MLL 103

Introduction to Malay Literature

Peranan Karya
Sastera Melayu Yang
Dapat menceminkan
Kehidupan Masyarakat
Pada Zamannya

Julinda Binte Hassan


Kandungan

Pengenalan 3

Prosa Tradisional Epik – Hikayat Hang Tuah 5

Puisi Melayu Tradisional - Pantun 10

Cerpen Melayu Sebelum Perang - ‘Awang Putat’ karya Abdul Rahim Kajai 13

Sajak Melayu Selepas Perang – ‘Pak Utih’ karya Usman Awang 17

Rumusan 20

Rujukan 21

2
TMA01

Soalan 2

“Sastera Melayu serta pengarangnya cukup sedar akan tugas serta tujuan

karya yang mereka karangkan, dan tuntutan daripada masyarakat pembaca

/ pendengarnya”. (Muhammad Haji Salleh; 2006:38)

Berdasarkan pernyataan tersebut, bincangkan peranan karya sastera Melayu

yang dapat mencerminkan kehidupan masyarakat pada zamannya. Huraian

anda perlu disertakan contoh karya sastera Melayu yang berkaitan.

=============================================================

Pengenalan

Sastera merupakan cerminan masyarakat yang dicernakan oleh para

pengarang dengan pengisian bahasa yang bersifat kreatif sehingga terhasilnya

genre fiksyen. Seseorang pengarang itu mempunyai empat perkara utama yang

mendorongnya mencipta. Pertama, kemahuannya mengucapkan sesuatu

tentang dirinya. Kedua, minatnya terhadap manusia dan perbuatannya. Ketiga,

minatnya terhadap alam, baik alam yang nyata mahupun alam fantasi dan yang

terakhir, minatnya untuk berkarya dalam sesuatu bentuk yang tertentu. Justeru,

sastera dianggap sebagai menifestasi penulisnya kerana setiap cebisan

penulisan yang dilahirkan oleh setiap karyawan merupakan pernyataan

masyarakat Melayu, hasil daripada tanggapan mereka tentang diri dan alam

termasuk konsep mereka terhadap segala rupa kejadian dalam kehidupan

mereka, sama ada yang bercorak penentangan, suka duka, khayalan mahupun

3
hasrat mereka yang paling jelas dan nyata. Setiap hasil karya itu mempunyai

tujuan yang tertentu. Tidak akan ada yang dilafazkan secara lisan ataupun

tulisan tanpa sesuatu niat. Maka, berkaitan dengan karya sastera, tentu juga

ada tujuan atau niat tertentu mengapa penulis-penulis yang akan dikaji,

melahirkan karya-karya mereka sebegitu.

Justeru, pembicaraan terhadap hasil karya kesusasteraan Melayu perlu

dilihat sebagai satu adunan seni yang unik, yang melihatnya sebagai satu

peristiwa kemasyarakatan yang mencernakan ketepatan sejarah dan kebenaran

penciptaan seni.

Sesuatu karya itu dianggap karya sastera bukan hanya kerana

mempunyai nilai-nilai yang dianggap tinggi oleh masyarakat sezamannya

malahan juga kerana mampu merakamkan sesuatu kenyataan dalam

keseluruhannya. Sumbangan karya-karya sebegini akan dapat membentuk

persepsi atau pemikiran masyarakat pada masa karya-karya tersebut dihasilkan.

Oleh yang demikian, sastera dikatakan bukan milik peribadi penulisnya malahan,

sastera adalah milik manusia sejagat yang menjadi asas untuk merasa memiliki.

Dari itu, kertas kerja ini akan menumpukan penelitian terhadap hasil

kesusasteraan sebagai satu cerminan kehidupan masyarakat pada zamannya.

Dalam kajian ini, perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera

mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003).

Beberapa bahan dan teks sastera tradisional mahupun moden akan menjadi

bahan rujukan. Antaranya ialah cerpen Sastera Epik Kebangsaan Hikayat Hang

Tuah, himpunan Pantun T

4
radisional , cerpen Awang Putat karya Abdul Rahim Kajai serta sajak Pak Utih

karya Usman Awang. Dengan menggunakan bahan-bahan tersebut, pengkaji

berharap agar gambaran kehidupan masyarakat dapat dilihat dengan jelas.

Prosa Tradisional – Sastera Epik Kebangsaan (Hikayat Hang Tuah)

Hikayat Hang Tuah adalah sebuah epik yang sangat popular dan tersohor

dan ia menceritakan satu-satunya wira Melayu yang tidak ada tolok bandingnya.

Hikayat tersebut berasal daripada tradisi sastera lisan. Biarpun begitu, menurut

A. Bakar Hamid (1980 : II-IV) peristiwa-peristiwa yang diceritakan berpijak pada

latar sejarah, tidak seperti penglipur lara yang mempunyai latar cerita yang tidak

jelas dan kadangkala penuh dengan khayalan. Hang Tuah telah diterima

sebagai wira Melayu sejak lebih 500 tahun. Hang Tuah adalah ciptaan sejarah

keagungan empayar Melaka.

Dalam hubungannya ini, Kasim Ahmad (1964 : X) menyatakan, Hikayat

Hang Tuah adalah epik Melayu di dalamnya telah dilahirkan cita-cita bangsa

Melayu. Ia telah mencatatkan riwayat bangsa ini dari sejarah mulanya, melewati

zaman pembangunan lalu di zaman kebesarannya. Tokoh Hang Tuah mewakili

bangsa Melayu sendiri.

Melalui pembacaan Hikayat Hang Tuah, pengkaji dapati bahawa karya ini

dapat mencerminkan masyarakat Melayu dari sudut sejarah, budaya dan

pemikiran. Ini kerana teks sedemikian membawa konsep epik yang asli dan

dihasilkan dari tanah air masyarakat Melayu. Justeru, ia digelar sebagai sebuah

epik kebangsaan, seperti yang dinyatakan oleh Mana Sikana (2007 : 101)

5
bahawa Hikayat Hang Tuah ialah epik Melayu di dalamnya telah dilahirkan cita-

cita bangsa Melayu. Ia telah mencatatkan riwayat bangsa ini dari sejarah

mulanya, melewati zaman pembangunan lalu di zaman kebesarannya dan tokoh

Hang Tuah mewakili bangsa Melayu sendiri. Namun dalam perbincangan ini,

pengkaji hanya akan menumpukan perhatian terhadap dua sudut sahaja iaitu,

sejarah dan pemikiran.

Hikayat Hang Tuah menceritakan suatu cara hidup masyarakat Melayu di

sekitar istana. Ia mengisahkan kebangunan negeri Melaka itu sendiri sehingga

pada suatu ketika ia mempunyai kuasa laut yang tidak ada taranya di daerah ini.

Sesudah menguasai perairan di daerah itu, Melaka berusaha memperkenalkan

dirinya kepada dunia luar, seperti China, India dan Rom. Maka, Hikayat Hang

Tuah mempunyai sifat sejarah yang melukiskan kejayaan kerajaan dalam masa

gemilangnya.

Namun di sebalik kejayaannya Melaka menghadapi beberapa masalah

seperti penerimaan ancaman dari kuasa-kuasa luar seperti Majapahit. Selain

daripada itu, Melaka juga mempunyai masalahnya tersendiri. Ia perlu mengatasi

perkomplotan dalam negeri seperti contoh Hang Tuah difitnah sebanyak dua kali

dan Hang Jebat menderhaka. Setelah mengalami kegemilangan, Melaka pada

akhirnya jatuh pada tangan Feringgi. Kegemilangan Melaka telah

dihubungkaitkan dengan Hang Tuah. Hang Tuah merupakan sumber aspirasi

dan kebanggaan bangsa Melayu kerana kesanggupannya untuk membela

kesultanan dan keamanan bangsa Melayu. Terdapat beberapa peristiwa yang

menunjukkan sejarah berbentuk ibarat, kunjungan Hang Tuah ke Majapahit,

6
melarikan Tun Teja dan Hang Tuah menjadi ketua utusan Melaka ke negeri

China. Peristiwa-peristiwa sedemikian adalah simbol perjalanan sejarah pada

bangsa Melayu. Selain daripada itu, menurut Mustafa Mohd Isa (1999),

pengarang juga telah memasukkan unsur anakronism (bertentangan masa)

untuk mengukuhkan lagi bahawa Hikayat Hang Tuah boleh dijadikan sebagai

satu bahan rujukan sejarah. Hal sedemikian dilakukan untuk menunjukkan

perbandingan di antara kebijaksanaan Hang Tuah dengan tokoh sejarah

Nusantara silam seperti Pateh Gajah Mada dan Ratu Majapahit. Ini adalah

kerana Zaman Majapahit (1331-1364) disamakan dengan zaman kemuncak

kegemilangan Melaka (1456-1511) untuk menunjukkan kebijaksanaan Hang

Tuah mengalahkan Pateh Gajah Mada.

Sepanjang pembacaan, dapat dilihat bahawa wujudnya perhubungan di

antara lagenda Hang Tuah, yang melambangkan kerajaan dan bangsa Melayu,

dengan Majapahit, China, India dan sebagainya. Justeru, ia merupakan

kesatuan sejarah kerajaan Melayu dari awal hingga akhir. Dalam erti kata lain,

Hang Tuah adalah lambang bagi bangsa Melayu. Tanpa Hang Tuah, bererti

hilanglah jiwa bangsa Melayu akibat tertekan di bawah pemerintahan bangsa

asing.

Walaupun karya ini diselaputi dengan unsur-unsur mitos dan lagenda

yang belum tentu benar atau tidak, namun tidak boleh dinafikan bahawa ia

adalah sebuah karya sastera yang menggambarkan keadaan dan sekaligus

pemikiran masyarakat Melayu pada zaman penciptaannya. Daripada

pembacaan teks ini tercetus pemikiran dan falsafah orang-orang Melayu. Salah

7
satu daripadanya ialah ideologi golongan dominan mengenai konsep feudalisme.

Konsep ini menekankan bahawa kedudukan raja ditempatkan pada hieraki yang

tertinggi diikuti dengan penghulu-penghulu dan pembesar-pembesarnya. Rakyat

jelata ditempatkan di bawah sekali pada hieraki itu. Raja bertanggungjawab

untuk memberikan perlindungan untuk rakyat jelatanya dan kerana perlindungan

inilah maka lahirlah dengan sendirinya taat setia rakyat.

Pemikiran kedua yang ada di dalam teks ini adalah mengenai pandangan

dunia golongan massa mengenai ketaatan dan kesetiaan kepada raja.

Kenyataan sedemikian dapat dilihat melalui watak Hang Tuah yang hanya setia

dan bekerja di bawah satu raja sahaja, iaitu Sultan Melaka. Kesetiaan yang

ditonjolkan olehnya boleh dikatakan agak keterlaluan kerana walaupun telah

dijatuhkan hukum mati tanpa sebarang selidik siasat yang dilakukan oleh pihak

raja, beliau masih berbalik ke Sultan dan menjalankan tugasnya denga penuh

kerelaan dan kesanggupan. Beliau juga sanggup menjalankan hukum mati ke

atas sahabat karibnya, Hang Jebat, hanya semata-mata Hang Jebat didapti

bersalah kerana menderhaka dengan Sultan. Walhal, Hang Jebat bersikap

sedemikian kerana beliau ingin membela nasib Hang Tuah dan ingin

menegakkan keadilan yang selama ini tidak ditunjukkan oleh seorang pemimpin.

Konsep yang dipegang oleh Hang Jebat amat berbeza. Akibat kesetiaannya

kepada sahabatnya, beliau rela mengorbankan diri hanya semata-mata untuk

menuntutkan keadilan bagi rakannya.

Pemikiran dan falsafah orang-orang Melayu mengenai konsep

keperwiraan amat ketara pada bab satu sehingga tujuh belas. Ia menunjukkan

8
cita sempurna masyarakat Melayu mengenai konsep keperwiraan seperti yang

tercermin pada watak Hang Tuah. Antara ciri-ciri yang dimiliki oleh Hang Tuah,

selain daripada aspek fizikal yang serba sempurna, ialah kemahirannya untuk

bertutur dalam pelbagai bahasa, mempertahankan diri, memperolehi ilmu firasat,

menjadi seorang duta yang bijaksana. Tetapi apa yang nyata dan jelas dalam

Hikayat Hang Tuah yang mengukuhkan konsep keperwiraannya ialah kesetiaan

dan ketaatannya yang amat terhadap raja, bangsa dan negaranya.

Akhir sekali, pemikiran yang boleh tercetus setelah membaca Hikayat

Hang Tuah ialah mengenai nilai-nilai bermasyarakat. Salah satu daripada

contohnya ialah mengenai nilai persahabatan. Hal ini dapat kita lihat melalui

persahabatan di antara Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan

Hang Lekir. Keeratan di antara mereka berlima dapat dilihat sejak kecil lagi di

mana mereka berlima berjaya mengalahkan lanun-lanun di sebuah pulau.

Mereka juga berguru pada orang yang sama dan dilantik menjadi Biduanda Raja

bersama. Namun nilai persahabatan ini juga menimbulkan satu persoalan

apabila Hang Jebat telah dibunuh Hang Tuah kerana mengikut arahan raja.

Hikayat Hang Tuah dicipta dengan niat untuk mewujudkan keperluan

untuk mencipta ciri-ciri kebangsaan yang dianggap milik bangsa Melayu.

Justeru, tidak boleh dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah sebuah epik

kebangsaan yang mencerminkan kehidupan dan pemikiran masyarakat Melayu

pada ketika itu dan dan sehingga hari ini masyarakat Melayu disinonimkan

sebagai sebuah masyarakat yang mengambil berat mengenai tatatertib,

kesopanan, keindahan apabila bertutur dan akhir sekali kesetiaan.

9
Puisi Melayu Tradisional – Pantun

Menurut Mana Sikana (2007:141), puisi Melayu Klasik adalah antara hasil

karya yang mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu lama yang membawa

minda, sikap, nilai dan jati diri masyarakat pada waktu tersebut. Puisi menjadi

pengucapan fikiran yang paling indah dan berkesan untuk menyatakan sesuatu

atau menyampaikan hasrat kerana kata-katanya disusun mengikut peraturan-

peraturan tertentu dengan menggunakan irama, bunyi, rima dan kiasan. Antara

bentuk-bentuk puisi yang terkenal seperti pantun, gurindam, syair, seloka dan

sajak sarat dengan nilai-nilai kekeluargaan dan moral yang tinggi. Dalam

penulisan ini, pengkaji akan memberi perhatian kepada pantun, yang

memperlihatkan nilai budi, adat, budaya dan pemikiran masyarakat Melayu

tradisional, bagi memaparkan gambaran kehidupan masyarakatnya pada zaman

ia dilahirkan.

Pantun merupakan sebuah puisi pusaka masyarakat Melayu yang padat

dengan kesopanan dan kehalusan budi bahasa atau pekerti. Ia menggambarkan

pemikiran dan nilai masyarakat Melayu lama. Sama seperti halnya dengan

bentuk-bentuk puisi yang lain, pantun juga menjadi alat untuk meluahkan

perasaan dan fikiran pemantun. Pantun dicipta sebagai garis pandu perbuatan

anggota masyarakatnya demi memelihara kesepakatan, ketenteraman dan

kejayaan masyarakat.

Aspek kehidupan masyarakat Melayu tradisional bukan hanya mengenai

etika atau akhlak semata-mata, malahan ia merangkumi adat dan ajaran Islam

yang menjadi ukuran dan timbangan nilai hidup. Menerusi apa jenis pantun

10
sekalipun, nilai-nilai yang luhur yang mencerminkan budaya masyarakat Melayu

dapat dipaparkan. Contohnya seperti pantun-pantun di bawah ini:

Tingkap papan kayu bersegi

Sampan sakat di Pulau Angsa

Indah tampan kerana budi

Tinggi darjat kerana bahasa

Pulau Pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang juga.

Pantun di atas ini memperihalkan masyarakat Melayu yang terus

menyanjung budi. Hal ini menggambarkan betapa budi telah menjadi suatu

elemen yang penting yang telah terserap dalam jiwa masyarakat Melayu.

Selain daripada nilai budi, masyarakat Melayu tradisional juga bersikap

merendah diri terutama sekali ketika berinteraksi dengan orang lain. Secara

amnya mereka tidak sombong ataupun bongkak meskipun berpangkat, berada

ataupun berpengetahuan. Contohnya:

Buah cempedak di luar pagar,


Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.

11
Pergi ke sawah menanam padi,

Singgah di sungai menangkap ikan;

Hidup hendaklah bersendikan budi,

Sifat sombong jangan amalkan.

Masyarakat Melayu dahulu bukan sahaja memiliki nilai-nilai yang disebut

di atas, malah mereka juga hidup berteraskan sifat bekerjasama dan bergotong-

royong. Ini jelas dapat dilihat dalam pantun di bawah ini:

Pergi mendaki Gunung Daik,


Hendak menjerat kancil dan rusa;
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.

Masuk hutan pakai sepatu,


Takut kena gigitan pacat;
Kalau kita selalu bersatu,
Apa kerja mudah dibuat.

Pantun ini menunjukkan bahawa amalan bergotong-royong dianggap

penting dan mulia yang harus selalu diamalkan. Dalam konteks masyarakat

Melayu yang hidup di kampung, aktiviti sebegini diadakan hampir setiap hari

terutama sekali sekiranya sesuatu majlis ingin diadakan. Amalan ini dapat

memupuk semangat bersatu-padu dan bekerjasama di samping dapat menjamin

kehidupan yang lebih aman dan tenteram.

Pantun-pantun di atas ini jelas mencerminkan pemikiran dan peradaban

kehidupan masyarakat Melayu pada masa itu yang terkenal sebagai kaum yang

12
sangat kreatif, beradat, berbudi dan berbudaya. Masyarakat Melayu secara

amnya memang senang menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan balasan.

Mereka juga dianggap sebagai golongan manusia yang bersifat merendah diri.

Kesimpulannya, pantun merupakan warisan puisi yang sungguh kaya dan

kukuh. Masyarakat yang terdahulu sangat menghargai pantun dan telah

menjadikannya sebagai ucapan basahan atau seharian, lebih-lebih lagi di majlis

keramaian atau pesta. Dengan keindahan dan kekuatan bahasanya, pantun

telah menjadikan sesuatu keadaan pada masa itu lebih hidup dan bermakna.

Meskipun niat pemantun adalah untuk menasihati, mengusik mahupun mendidik

sambil menghiburkan, namun penggunaan bahasa yang amat halus dan indah

senang diterima oleh pembaca yang secara tidak langsung dapat mencerminkan

kelakonan diri mereka dengan penuh kesedaran. Justeru, hingga hari ini, pantun

bukan sahaja dianggap sebagai citra kecerdikan orang Melayu zaman silam

malah, juga merupakan cerminan keindahan dan kehalusan budi orang-orang

Melayu.

Cerpen Awang Putat karya Abdul Rahim Kajai

Sebagai seorang tokoh yang bergelar ‘Bapa Wartawan Melayu’, Abdul

Rahim Kajai pernah menjadi penulis tetap akhbar Saudara sebelum menjadi

penolong pengarang akhbar tersebut pada tahun 1930. Beliau juga pernah

bekerja dalam berbagai penerbitan akhbar dan majalah antaranya Majlis, Warta

Ahad, Warta Jenaka, Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang. Penulisan

Rahim pada waktu itu bersifat didaktik – untuk menyampaikan nasihat, memberi

13
teladan dan kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai persoalan yang

menyentuh politik orang-orang Melayu dan berkait soal nasionalisme dan soal

ekonomi orang-orang Melayu khasnya penglibatan mereka dalam perniagaan.

Selain dari itu, beliau juga telah menyentuh tentang moral yang bertunjangkan

unsur-unsur keagamaan dan kesusilaan melalui unsur lucu atau humur. Bagi

penelitian terhadap keadaan kehidupan masyarakat pada zaman tersebut,

pengkaji telah memilih cerpen beliau yang berjudul Awang Putat yang dipercayai

dapat mencerminkan masyarakat Melayu dari sudut politik dan ekonomi.

Melalui cerpen ini dikemukakan watak Ah Kau yang masuk ke sebuah

kampung Melayu, lalu membuka kedai di tanah penghulu atas kebenaran

penghulu sendiri. Cikgu Majid Syah (seorang guru keturunan DKK) dan

penghulu sering menerima buah tangan daripada Ah Kau. Perniagaan Ah Kau

bertambah maju hasil daripada beberapa muslihatnya seperti perbuatannya

menipu mata dacing. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Ah Kau

mengambil kesempatan pula menternak babi yang kemudiannya banyak

merosakkan tanaman orang kampung.

Bagi menggambarkan semangat nasionalisme pada masa itu, Rahim

telah menimbulkan watak utama dalam cerpen ini yang bernama Awang Putat,

seorang anak muda yang mula menyedari tipu muslihat Ah Kau, dan dengan itu

mengetuai anak muda di kampung itu untuk mengambil tindakan. Awang Putat

telah berjaya menyedarkan orang-orang kampung akan tipu muslihat Ah Kau

dalam perniagaan dengan menggunakan orang-orang yang berpengaruh di

14
kampung seperti Cikgu Majid yang cuba merosakan kehidupan orang Melayu di

kampung itu dan Tok Penghulu.

Ini adalah antara contoh yang ingin dirakamkan penulis tentang

kedudukan dan tipu muslihat kaum pendatang terhadap orang Melayu, malah

terhadap golongan pembesar dan raja-raja Melayu pada masa itu. Pembesar

Melayu diumpan dengan wang ringgit atau gadis jelita bagi mendapatkan tanah

atau untuk membuka tanah lombong. Pembesar atau raja-raja Melayu yang

terjebak selalunya menyetujui permintaan mereka dan melupakan kewajipannya

sebagai pelindung kaumnya. Maka itu banjirlah orang Cina masuk ke kampung,

berniaga dan menjalani kehidupan mereka dengan mewahnya.

Selain itu, melalui cerpen Awang Putat, Rahim juga telah dapat

mencerminkan persoalan ekonomi Melayu khususnya penglibatan dalam

perniagaan. Beliau telah menunjukkan bahawa salah satu cara menjaga

ekonomi orang-orang Melayu dan seterusnya meningkatkan taraf pendapatan

dan sama-sama menikmati keuntungan dalam perniagaan ialah dengan cara

bekerjasama. Dengan mendapat sokongan daripada golongan tua, Awang Putat

berjaya menubuhkan sebuah kedai Syarikat Kerjasama bagi kepentingan

masyarakat Melayu di kampungnya daripada terus menerus ditipu dan

dieksploitasi oleh kaum lain. Bahagian ini jelas menampakkan seruan Abdul

Rahim Kajai supaya orang-orang melayu berusaha dalam perusahaan sendiri

dengan berniaga secara gigih meskipun uasaha itu bermula secara kecil-kecilan.

Menerusi cerpen ini, penulis telah dapat memperlihatkan sikapnya

terhadap kaum penjajah yang menjadi punca kepada segala kekecohan yang

15
berlaku. Di medan cerpen inilah penulis telah mampu berjuang menegakkan

cita-cita hidup, cita-cita bangsanya dan cita-cita negaranya. Rahim mahu

masyarakat membacanya, merenung, memikir dan mencari justifikasi daripada

apa yang telah ditimbulkan. Kesedaran kebangsaan ini walau bagaimanapun

tidak mungkin berdiri sendiri tanpa isu-isu lain yang menyangkut kepentingan

bumiputera, dan dalam konteks ini, soal ekonomi adalah antara isu yang cukup

penting, malah menjadi persoalan yang semakin hangat dalam kebanyakan

cerpen tahun 1930-an dan 1940-an.

Persoalan tentang ekonomi yang ditulis di sekitar tahun 1940-an ini

dirasakan lebih menonjol apabila pokok persoalan ini berkisar tentang masalah

kemiskinan dan kemelaratan orang Melayu. Dengan mudahnya ia menjelaskan

kepada kita bahawa majoriti orang Melayu sendiri terdiri daripada orang yang

miskin. Apabila kemiskinan sering diasosiasikan dengan masyarakat dan aktiviti

kaum pendatang, maka manusia yang menjadi watak dalam kebanyakan cerpen

merupakan manusia Melayu yang miskin. Penulis merakamkan penderitaan

tokoh utama, digambarkan tentang penderitaan dan kemiskinan yang lahir

daripada ketidakadilan penjajah dan golongan berkuasa.

Kesimpulannya, karya Abdul Rahim Kajai di atas ini telah dapat

mencerminkan kedudukan dan keadaan masyarakat Melayu waktu itu.

Penjajahan Inggeris dan kemasukan telah menimbulkan tanggapan di kalangan

kebanyakan orang Melayu bahawa mereka memang kaum yang lemah dari segi

serba serbi pada zaman tersebut. Ini menjadikan mereka berjiwa pasif; hidup

menyerah kepada keadaan.

16
Sajak Melayu Selepas Perang – Pak Utih karya Usman Awang

Sajak dikatakan sebagai ungkapan dan tanggapan penyair tentang

kehidupan manusia yang dilatari alam persekitarannya. Berbekalkan

pengalaman beberapa orang sasterawan telah menghasilkan sajak-sajak pada

tahun selepas perang. Kebanyakan sajak pada waktu itu membawa persoalan

perjuangan menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan serta keadilan

sosial dan kemanusiaan bagi membasmi kemiskinan dan penindasan.

Persoalan-persoalan ini bolehlah dilihat sebagai manifestasi keresahan bangsa

Melayu, pada satu zaman yang penuh cabaran dan masih tidak jelas kelihatan

sebarang penyelesaian yang menyakinkan. Zaman yang penuh konflik ini

merupakan cerminan kehidupan masyarakat pada waktu itu yang tidak bebas

dari kesengsaraan.

Salah seorang sasterawan yang dimaksudkan adalah Usman Awang.

Melalui sajak-sajaknya, beliau telah berjaya mengetengahkan persoalan

perjuangan bagi menghapuskan penindasan peperangan dan nilai kemanusiaan.

Usman melihat peperangan sebab penyebab kesengsaraan rakyat pada waktu

itu. Antara contoh sajak beliau yang akan dikaji adalah Sajak Pak Utih. Melalui

sajak ini, Usman telah memperlihatkan nilai kemanusiaan. Beliau telah

menautkan dengan nada yang sinis, satu kepincangan sosial kerana sikap dan

pengabaian golongan politik atau pemimpin yang berkuasa. Usman menulis:

17
“Pak Utih”
I

Punya satu isteri mau dakap sampai mati,


Lima anak mau makan setiap hari,
Teratak tua digayuti cerita pusaka,
Sebidang tanah tandus untuk huma.
Kulit tangan tegang berbelulang,
Biasa keluarkan peluh berapa saja,
O Pak Utih, petani yang berjasa.

Tapi malaria senang menjenguk mereka,


Meski dalam sembahyang doa berjuta,
Dan Mak Utih bisa panggil dukun kampung,
Lalu jampi matera serapah berulang-ulang.

Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang,


Wang dan ayam dara diikat bersilang.

II

Di kota pemimpin berteriak-teriak,


Pilihanraya dan kemerdekaan rakyat,
Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat,
Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.
Ketika kemenangan bersinar gemilang,
Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka,
Ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,


Ayam panggang yang enak di depan,
Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

18
Pak Utih masih menanti dengan doa,
Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?

Usman Awang
1954

Sajak yang menceritakan tentang penderitaan golongan para petani ini

telah dibahagikan kepada dua bahagian di mana dalam bahagian pertama,

kemiskinan Pak Utih yang mewakili kehidupan masyarakat pada waktu itu, telah

digambarkan secara visual melalui simbol-simbol seperti teratak tua, tanah

tandus, kulit tangan berbelulang, dan penyakit malaria serta kemampuan untuk

mendapatkan perkhidmatan seorang dukun sahaja.

Bahagian dua pula menggambarkan kehidupan atau dunia seorang

pemimpin yang diselubungi dengan kemewahan, yang dapat menjanjikan

jambatan emas, mengadakan jamuan dan pesta serta bermobil besar. Namun,

setelah mendapatkan kemenangan yang dikehendaki, mereka melupakan segala

janji manis yang pernah dibuat untuk rakyat.

Justeru, secara simbolis Usman telah dapat memaparkan penderitaan

hidup rakyat bawahan rakyat seperti Pak Utih yang telah bertungkus lumus

memajukan negara pada zaman tersebut dan akhirnya selepas kemerdekaan

janji-janji manis pemimpin terus lenyap meninggalkan Pak Utih terus berharap.

Persoalanan dan tema sajak “Pak Utih” yang bersifat protes sosial ini telah

meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap masyarakat Melayu

sehingga hari ini.

Latar sejarah yang menimbulkan ilham kepada penyair ini sehingga beliau

19
menulis sajak ini. Persekelilingan politik jelas mendasari kepekaan Usman

Awang terhadap masalah rakyat massa dan negara sehingga tidak dapat

disanggah bahawa ini terungkap dalam sajak-sajaknya. Melalui puisi, jelas

menampakkan komitmen Usman yang erat dalam memperjuangkan idealisma

“cita-cita kerakyataan dan kemanusiaan”.

Rumusan

Dengan ini dapatlah kita lihat bahawa sesungguhnya sesebuah karya itu

merupakan penggambaran dunia yang berkisar pada kehidupan manusia.

Kejadian yang berlaku di persekitaran telah menjadi bahan asas buat penulis

menterjemahkan pemikiran mereka melalui karya-karya mereka sama ada dalam

bahagian politik, ekonomi mahupun sosial, bagi menimbulkan kesedaran kepada

umat manusia. Oleh itu, pemikiran yang terungkap merupakan luahan atau

kesedaran yang timbul daripada pengalaman dan penelitian peribadi pengarang

melihat dunia dan masyarakat dari perspektifnya. Justeru, unsur realiti sebagai

mewakili kehidupan atau gambaran realiti sosial masyarakatnya dengan elemen

imaginasi tercermin dalam karya pengarang. Malahan dengan meneliti karya

sastera, seseorang dapat melihat fungsi sesebuah karya itu dihasilkan terhadap

masyarakatnya.

Selesai

20
Bibliografi

Buku
 A. Bakar Hamid, Peristiwa-peristiwa dari Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. 1979

 Ahmad Kamal, Hashim Awang, Ramli Isin, Sahlan Mohd Saman dan Zakaria
Ariffin. 2006. Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Ali Ahmad. 1984. Tema Sajak-sajak Melayu 1933-1969. Kuala Lumpur:


Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Arba’ie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi dan Asiah Abdul Rahman.
2008. Sastera Melayu Suatu Pengantar. Kuala Lumpur: Tinta Press Sdn.
Bhd.

 Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul
Rahim Kaeh dan Jamilah Haji Ahmad. 2006. Kesusasteraan Melayu
Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Kassim Ahmad, 1964. Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Kassim Ahmad, 1992. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Kementerian


Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Mana Sikana. 2007. Teras Sastera Melayu Tradisional. Singapura: Pustaka


Karya.

 Mustafa Mohd Isa, 1999. Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Kuala Lumpur:
Universiti Sains Malaysia.

 Othman Puteh. 1997. Teks Cerminan Nilai Budaya Bangsa. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Prof. Dr. Sulastin Sutrisno, 1983. Hikayat Hang Tuah Analisa Struktur dan
Fungsi. Indonesia: Gadjah Mada Universiti Press.

 Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad dan Johan Jaaffar. 2006. Sejarah
Kesusasteraan Melayu Jilid I. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

21
Lelaman web

 10 Februari 2010 < http://melayuonline.com >

 15 Februari 2010 < http://penyair.wordpress.com/2007/06/22/pantun-


nasihat/ >

 15 Februari 2010 < http://penyair.wordpress.com/2007/08/08/pak-utih-


usman-awang/ >

 10 februari 2010 < http://izqiizmir.blogspot.com/2009/12/sastra-sebagai-


cerminan-masyarakat.html >

22

Anda mungkin juga menyukai