Anda di halaman 1dari 9

KONSEP DALAM PENSEJARAHAN TRADISIONAL MELAYU

Pensejarahan (atau disebut juga sebagai historiografi) menurut Kamus Dewan (ed.4)
membawa maksud “karya atau penulisan berkaitan dengan sejarah”. Menurut Muhd
Yusof Ibrahim & Mahayuddin Haji Yahaya (1988), pensejarahan boleh ditakrifkan
sebagai “hasil karya atau penulisan yang ditulis oleh ahli sejarah atau sejarawan”.
Sejarawan akan mengkaji dan menyelidik tentang zaman, masyarakat, peristiwa yang
telah berlaku dan akan menghasilkan penulisan pensejarahannya. Sejarawan akan
melakukan kajian dalam bidang atau mengikut kepakaran masing-masing seperti
bidang politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial.

Oleh itu, konsep “pensejarahan Malaysia” merujuk kepada hasil karya atau
penulisan yang berkaitan dengan sejarah berkenaan Malaysia. Para sejarawan
tempatan seperti Khoo Kay Kim dan Muhammad Yusof Hashim berpandangan,
pensejarahan di Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Menurut
Khoo Kay Kim, tradisi pensejarahan di Malaysia telah bermula pada kurun ke-16
manakala Muhammad Yusof Hashim menegaskan bahawa pensejarahan negara harus
bermula dengan tradisi Melaka. Para sejarawan juga bersetuju bahawa proses
pensejarahan Malaysia pra-merdeka berkembang dalam dua tahap perkembangan
iaitu tahap pertama pensejarahan Malaysia bermula pada zaman feudalisme Melayu
manakala tahap kedua pensejarahan Malaysia pula bermula dengan pensejarahan
moden yang bersifat Euro-centric yang dicatatkan oleh sejarawan British di Tanah
Melayu. Selepas era kemerdekaan negara pula, perkembangan pensejarahan Malaysia
yang baharu telah muncul dengan kehadiran para sejarawan tempatan yang lebih
bersifat Malaysia-centric.

Zaman Tradisional

Tidak dapat dinafikan bahawa teks-teks sejarah Melayu Islam pada kurun ke-14
hingga ke-19 mempunyai unsur-unsur mitologi. Karya sejarah dalam bentuk babad
atau chronicles atau annals biasanya ditulis oleh pengarangnya atas titah sultan, yang
bertujuan untuk memuji Yang Dipertuan Besar Negara atau mempromosikan

1
kepentingan dan pandangan keluarga penaung1. Walaupun begitu, tidak boleh pula
dikatakan bahawa teks-teks tersebut kurang bernilai, dan tidak boleh juga menolaknya
sebagai sumber-sumber sejarah yang penting.

Apabila seorang pengarang chronicle memasukkan suatu cerita ajaib atau mitos
dalam karyanya, sudah tentu ada sesuatu maksud atau mesej yang hendak
disampaikan. Tujuan dan tugas untuk memahami mesej ini merupakan sesuatu yang
amat sukar dalam bidang penelitian sumbersumber sejarah. Tetapi apabila kita
memilih kaedah-kaedah yang benar, kita pasti boleh berjaya. Analisis bahan-bahan
yang berbentuk mitos memberikan kesempatan untuk membina semula sejarah yang
tulen, yang antara lain termasuklah memahami jalan dan cara perkembangan jiwa
bangsa Melayu pada waktu itu, iaitu memahami bagaimana berlakunya perubahan
pemikiran umum dalam menentukan pelbagai arah (vector) kebudayaan masyarakat
Melayu yang dipengaruhi Islam. Salah satu mitos yang paling penting yang
mencerminkan ciri-ciri khas budaya orang Melayu ini adalah mitos mengenai asal usul
raja-raja Melayu.

Unsur mitos dan legenda merupakan satu ciri yang penting dalam historigrafi
Melayu. Hal ini adalah kerana sejarawan pada masa itu terikat dengan kewibawaan
sultan. Jadi, sejarawan menulis karya-karya sejarah dengan menggunakan unsur
mitos dan legenda untuk menunjukkan kesaktian Sultan mereka sebagai
penghormatan kepada sultan dan pembesar sesebuah negara atau negeri.2

Bagi pendapat Ismail Hamid dalam buku The Malay Islamic Hikayat mitologi
Melayu adalah sesuatu bentuk penceritaan yang lebih menumpukkan tentang

1 Tatiana Denisova.(2015). Orang Melayu dan Tamadun Melayu dalam Historiografi Melayu Islam (kurun
ke-13 hingga ke-19). Johor : Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) Universiti
Teknologi Malaysia. Hlm 133-134.

2
Harun Mat Piah et.al., Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka,edisi kedua,1988,

2
pandangan Alam Melayu sebelum kedatangan Islam3. Hal ini adalah kerana, pada
ketika itu masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama hindu lebih percaya kepada
kuasa luar biasa dan ajaib yang boleh mengawal semua roh serta dapat menguasai
dunia.

Semua raja dan Yang Dipertuan Besar perlu mendasarkan keabsahannya, dan
perlu membuktikan kepada rakyatnya bahawa dia mempunyai hak yang sah untuk
menduduki takhta dan memerintah negara. Mitos tentang asal usul raja adalah suatu
alat yang sangat penting bagi mempengaruhi pandangan umum untuk menjadikan
‘wajah positif’ raja dan untuk mempromosikan ‘keadilan’ dan keabsahan (legitimacy)
kerajaannya. Apa lagi mitos tersebut mencerminkan apa yang dianggap oleh orang
Melayu sebagai sifat “positif” dan apa yang dikira sebagai sifat “negatif”.

Salah satu ciri khas yang mencerminkan budaya kebangsaan adalah kefahaman
rakyat mengenai keadilan dan konsep kerajaan yang adil. Konsep-konsep ini
mempunyai hubungan yang sangat erat. Maklumat tentang kerajaan yang adil
selalunya mengemukakan keterangan mengenai ciri-ciri keadilan dan cara-cara
memerintahkan negara dengan adil atau sebaliknya ciri-ciri khas kerajaan yang tidak
adil. Setiap sebutan tentang dosa, nafsu, perbuatan yang jahat atau baginda yang
tidak adil biasanya disambungkan dengan cerita mengenai pembalasan yang
sewajarnya yang dilaksanakan oleh Allah SWT terhadap orang atau negeri yang salah
itu serta dengan amaran terhadap hawa nafsu. Konsep-konsep tersebut adalah amat
penting dan terdapat di semua karya-karya sejarah. Kajian teks-teks sejarah Melayu
Islam kurun ke-13 sehingga ke-19 menunjukkan bahawa di dalamnya terdapat banyak
istilah-istilah dan maklumat-maklimat yang berkaitan dengan falsafah. Walaupun
setiap teks mempunyai ciri-ciri khasnya, di dalamnya terdapat juga suatu ulang tetap
yang umum dari sudut isi maklumat-maklumat tersebut serta dari sudut gaya
bahasanya dan subjek-subjeknya.

3
Ismail Hamid, The Malay Islamic Hikayat,Monograf 1,UKM: Institut Bahasa,1983

3
Konsep daulat dan derhaka juga merupakan salah satu ciri historiografi Melayu .
Hal ini adalah kerana seperti di nyatakan di atas, kebanyakan karya sejarah adalah
bertemakan kisah raja dan Sultan dan kebanyakan sejarawan pada masa itu
merupakan pembesar istana. Jadi , sejarawan telah mengunakan aspek daulat dan
derhaka dalam penulisan mereka4.

Selain itu , konsep daulat dan derhaka menjadi satu ciri historiografi adalah
kerana pada sebelum zaman kedatangan agama Islam raja-raja di Tanah Melayu
dianggap sebagai devaraja iaitu anak kepada tuhan dan selepas kedatangan Islam di
Tanah Melayu pula sultan dianggap sebagai khalifah atau khalifatullah di muka bumi.
Jadi, sultan mempunyai ciri-ciri yang sendiri dan luar biasa serta rakyat haruslah patuh
kepada sultan dan tidak boleh derhaka sultan5. Jadi konsep ini telah digunakan dalam
karya sejarah Melayu. Misalnya dalam Sulalatus Salatin, dimana terdapat sebuah
perjanjian diantara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana seperti raja tidak boleh
mengeji, mencela atau mengaibkan rakyatnya. Manakala rakyat pula tidak boleh
menderhaka dan menitikan darah raja walaupun raja bersalah,zalim atau sebagainya

4
Kratz, E.Ulrich, Segi-segi Karangan Melayu Tradisional, Fatimah Zainal (penterjemah), Kuala
Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2004,

5
Harun Mat Piah et.al., Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka,edisi kedua,1988,

4
Zaman Nasionalisme

Kesan Perang Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Asia Tenggara dan Tanah
Melayu menyemarakkan proses perjuangan untuk merdeka. Pada zaman ini, sejarah
dan pahlawan zaman penjajahan british digunakan sebagai penggerak dan
perangsang semangat masyarakat menentang pentadbiran British 6 . Contohnya
muncul penulis sejarah Melayu seperti Ibrahim Haji Yaakob ‘Sedjarah dan Perjuangan
Melayu (1948)’, Yahya Abdullah ‘Peperangan Tok Janggut atau Balasan Derhaka
(1955)’, Abdul Talib Haji Ahmad ‘Sejarah Dato Bahaman Orang Kaya Semantan
(1961)’ dan Mustafa Tam ‘Tawarikh Salasilah Kedah (1962)’.

6
Muhd.Yusof Ibrahim.(1997). Pensejarahan Melayu 1800-1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Hlm 10-15.

5
Secara umumnya, walaupun penulis masih memfokuskan kajiannya kepada
sejarah tempatan (kenegerian), dan golongan atasan iaitu raja dan orang besar,
kaedah menulis sejarah adalah untuk menimbulkan perasaan cinta tanahair, bangga
terhadap zaman kegemilangan Melayu 7 . Para penulis sejarah tempatan telah
memulakan dimensi baharu dalam penulisan sejarah yang bercorak patriotisme untuk
membangkitkan semanagat nasionalisme dan cintakan tanah air dalam rakyat untuk
bangkit menentang penjajah kolonial.

Zaman “Sejarah Kebangsaan”

Zaman ‘sejarah kebangsaan’ bagi sejarawan tempatan bermula lebih kurang pada
tahun 1957 iaitu setelah kemerdekaan, apabila sejarah kebangsaan ditekankan dalam
kurikulum sekolah. Pada zaman ini muncul perdebatan tentang bagaimana sejarah
Melayu/Malaya patut ditulis. Tema perdebatan ialah Sejarah Asia Tenggara (termasuk
TM) mestilah ditulis dari sudut pandangan dan perkembangan Asia Tenggara
(asia-centric). selain itu, muncul desakan penulisan semula sejarah Malaysia dengan
“Malaysian centric”8. Para sejarawan tempatan juga mendesak agar pejuang-pejuang
pada zaman penjajahan British diangkatt sebagai pahlawan dan bukannya penderhaka
atau penentang. Hal ini meletakkan mereka sebagai tokoh sejarah yg sama seperti
para pembesar dan raja-raja Melayu. Seterusnya, muncul juga desakan agar sejarah
patut ditulis mengikut disiplin ilmu sejarah dan bersifat ilmiah.

Kesedaran tentang ‘Sejarah sebagai ilmu pengetahuan’ manusia di Malaysia lahir


pada akhir tahun 1960-an. Keperluan sokongan ilmiah dari bidang sains terutama
antropologi, sosiologi, filologi muncul akibat pengaruh perubahan ilmu sejarah yang
berkembang di Amerika Syarikat. Peristiwa 13 Mei 1969 menimbulkan keperluan
penyatuan kebangsaan (integrasi nasional) untuk menentukan keharmonian dan

7 Ibid. Hlm 12.

8
Liaw,Y.F.(1975). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik. Singapura : Pustaka Nasional. Hlm 20.

6
kesejahteraan masyarakat di Malaysia9. Hal ini menyebabkan ilmu sejarah muncul
untuk menanamkan kefahaman ras di antara ras-ras di Malaysia untk menentukan
keharmonian dan kedamaian masyarakat. Ini menyebabkan wujud desakan agar
sejarah dijadikan sebagai satu medium untuk menyatukan bangsa-bangsa di Malaysia.

Oleh itu, tema-tema yang menonjol dalam tulisan sejarah akademik iailah sejarah
masyarakat berbilang kaum, sejarah tempatan, sejarah pendidikan, riwayat orang
besar-besar, sejarah politik dan banyak lagi. Tujuannya adalah untuk meningkatkan
kafahaman rakyat terhadap dirinya dan kaum-kaum yang ada di Malaysia dan mencari
tema yang sesuai kepada sejarah kebangsaan. Dapat dikatakan bahawa penulisan
sejarah sejak merdeka dan terutamanya setelah 1969 menonjolkan sifat
“autonomous” jika dibandingkan dengan karya sarjana (pegawai penjajahan sejak
abad ke-19 iaitu huraian peranan positif pentadbiran dan justifikasi keprluan
peradaban kuasa penjajah seperti karya Winstedt, Wilkinson, Swettenham, Low dan
lain-lain).

Zaman Moden

9
Leon Comber.(1985). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina.
British :International Book Service. Hlm 30.

7
Dalam masyarakat Melayu yang telah diresapi nilai-nilai kebudayaan, penulisan dan
pendidikan “moden” ini, yang diertikan sebagai sebuah hasil penulisan yang bercorak
sejarah adalah jelas. Hasil penulisan tersebut dilahirkan lengkap dengan
menggunakan metodologi, teori-teori penulisan sejarah (sekiranya ada), kelengkapan
data dan fakta sejarah di dalamnya seperti bahan dan sumber terpilih. Pensejarahan
moden juga harus disertai dengan tafsiran sesuatu falsafah sejarah atau apa saja isme
wajib diterapkan ke dalam penulisan dengan berpandu pada disiplin ilmu tertentu
(seperti Marxisme, Waberian dan Straussian). Pendekatan penulisan harus bercorak
sama ada riwayat, penaksiran, anekdot atau falsafah 10. Sekiranya penulis terdidik
dalam alam ilmiah maka penulisan harus ada rujukan, nota kaki dan bibliografi yang
panjang serta indeks yang hebat di bahagian akhir penulisannya11.

Pendek kata, hasil penulisan tersebut benar-benar bercorak sejarah dan bukannya
sebuah penulisan kreatif. Hasil penulisan tersebut juga bukan sebuah karya
penghasilan bahasa dan jauh pula sebgai sebuah penulisan tentang ekonomi. Perkara
inilah yang sebenarnya tidak hadir dalam sesebuah hasil penulisan sejarah Melayu
yang bercorak tradisional pada masa lalu.

Historiografi moden timbul daripada permintaan untuk teknik ketepatan untuk


mendapatkan fakta sejarah. Fakta sejarah yang diperoleh melalui penentuan kaedah
penyelidikan dan menggunakan sains bantuan seperti bidang arkeologi, sains dan
geografi. Selain itu, kewujudan teknik pengarkiban amat penting dalam pembinaan
semula bahan sejarah terdahulu yang diperolehi melalui sejarah lisan. Tempoh ini
bermula dengan kemunculan kajian sejarah kritikal, yang menggunakan
prinsip-prinsip kaedah penyelidikan sejarah. Contoh-contoh historiografi moden ialah
Pemberontakan Petani Banten 1888 oleh Sartono Kartodirdjo dan Revolusi Pemuda
oleh Benedict Anderson.

10 E.H Carr.1962. What Is History, London. Hlm 10.

11
Muhd.Yusof Hashim.(1992). Pensejarahan Melayu Kajian Tentang Sejarah Melayu Nusantara. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 6-7.

8
RUJUKAN

E. H Carr.1962. What Is History, London.

Harun Mat Piah et.al.(1988). Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka,edisi kedua.

Ismail Hamid.(1983). The Malay Islamic Hikayat,Monograf 1. UKM: Institut Bahasa.

Kratz, E.Ulrich.(2004). Segi-segi Karangan Melayu Tradisional, Fatimah Zainal


(penterjemah), Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leon Comber.(1985). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina.


British :International Book Service.

Liaw Y.F.(1975). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik. Singapura : Pustaka Nasional.

Muhd.Yusof Hashim.(1992). Pensejarahan Melayu Kajian Tentang Sejarah Melayu


Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd.Yusof Ibrahim.(1997). Pensejarahan Melayu 1800-1960. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai