Anda di halaman 1dari 2

NILAI PEMIMPIN YANG KIAN PUDAR

Seringkali diri kita keliru apabila berbicara soal kepimpinan dalam kalangan manusia. Kita
sering merasakan bahawa kepimpinan adalah suatu keistimewaan. Sesiapa jua yang dilantik
menjadi pemimpin wajar dihormati dan diikuti segala titah perintahnya kerana kedudukannya
sebagai pemimpin. Kita merasakan pemimpin wajar diberikan segala nikmat sebagai ganjaran
menjadi pemimpin. Apa yang mahu dimakan akan dibawakan, apa yang mahu minum akan
diberikan, apa yang mahu pakai akan dipakaikan, apa yang mahu dipandu akan dihadiahkan.
Pada hemat kita, pemimpin dalam keadaan apa sekalipun adalah berhak didahulukan berbanding
yang lain. Apabila pemimpin duduk di meja makan, maka pemimpin itu berhak untuk memilih
dahulu apa yang mahu dimakannya dan apa yang tersisa adalah untuk orang di sekelilingnya.
Apa yang enak adalah untuk pemimpin, apa yang tidak enak adalah untuk orang di sekelilingnya.
Seakan-akan menjadi pemimpin adalah satu kenikmatan bagi yang empunya. Lantaran itulah
berbondong-bondong manusia bersaing dan saling bercakaran demi merangkul tampuk
kepimpinan. Sekiranya menjadi pemimpin adalah sebaliknya daripada apa yang diamalkan oleh
masyarakat ketika ini. Andai kata menjadi pemimpin bermakna perlu berupaya untuk kurang
tidurnya kerana mengawasi keselamatan orang disekelilingnya. Menjadi pemimpin bermakna
perlu berupaya menahan lapar dan menjadi orang yang terakhir menikmati makanan selepas
semua orang di sekelilingnya kenyang. Menjadi pemimpin bermakna perlu mendahulukan
keselesaan orang lain sebelum dirinya. Menjadi pemimpin itu perlu mengutamakan adanya
tempat berteduh yang selesa untuk orang lainnya berbanding dirinya. Menjadi pemimpin itu
bermakna perlu didahulukan kemudahan ahli keluarga orang lainnya berbanding ahli
keluarganya sendiri. Menjadi pemimpin itu perlu didahulukan dengan mendengar pandangan
orang lain dahulu sebelum menyatakan pandangan dirinya. Menjadi pemimpin bererti ahli
keluarganya dan dirinya bakal dihukum secara adil sekiranya melakukan kesalahan sebagaimana
orang lainnya. Sekiranya untuk menjadi pemimpin tonggaknya adalah pengorbanan dan sikap
mendahulukan orang lain, maka tentulah kurangnya orang yang sanggup dilantik sebagai
pemimpin. Andai menjadi pemimpin menjadikan seseorang hidupnya lebih sukar daripada
sebelumnya, tentulah tidak ramai yang mahu meninggalkan kehidupannya yang sudah sedia
enak. Andai dapat dibetulkan nilai apa yang perlu pada seorang pemimpin, maka tentulah kita
akan memilih orang yang paling kuat pengorbanannya untuk menjadi pemimpin kita. Nilai
seorang pemimpin ada pada kesetiaannya dan kesudiannya mendahulukan kepentingan orang
lain sebelum dirinya.

Anda mungkin juga menyukai