Anda di halaman 1dari 2

Dipimpin Untuk Memimpin

Pada era globalisasi ini, kepimpinan adalah sesuatu yang dipandang serius oleh semua
pihak. Kepimpinan yang terbaik dapat memimpin pelbagai pihak daripada melakukan
sebarang keputusan yang tidak masuk dek akal. Pemimpin yang membuat keputusan tanpa
persetujuan pelbagai pihak akan menyebabkan negara tidak aman dan masyarakat akan
menerima tempiasnya seperti kata pepatah, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah
semua’. Maka kita haruslah menyatukan pemimpin dan pihak yang dipimpin untuk
bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah agar tidak timbul isu pada masa akan
datang.

Ciri pemimpin yang baik adalah bersikap tegas dan adil. Pemimpin ini tidak seharusnya
mempunyai sikap pilih kasih terhadap orang bawahannya. Seorang pemimpin haruslah
bersikap tegas dan menegur orang yang dipimpinnya jika mereka melakukan sebarang
kesalahan dan meminta mereka untuk membetulkan kesalahan itu sehingga sempurna.
Pemimpin juga harus bersikap adil agar tiada anak buah yang dipimpinnya berasa kecil hati
akan tindakannya. Keadilan dalam setiap tindakan adalah perlu agar tiada pihak yang berasa
dirinya teraniaya. Jelaslah bahawa pemimpin yang berintegriti perlu bersikap tegas dan adil.

Selain itu, seorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik
dengan orang yang dipimpinnya. Kemahiran ini amatlah penting untuk masa hadapan kita.
Kemahiran ini berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan idea, kemahiran
mempengaruhi orang di sekeliling, kemahiran untuk memujuk dan kemahiran untuk
menolak sesuatu ajakan atau permintaan. Pemimpin yang disegani merupakan pemimpin
yang mampu berinteraksi dengan orang yang dipimpin, mempunyai kemahiran bekerja
secara berpasukan dan mampu menyelesaikan sesuatu masalah secara berhemah. Justeru,
orang yang dipimpin tidak ada perasaan segan-silu untuk menyampaikan pendapat atau
meluahkan masalah yang dialami kepada pemimpin mereka. Ekoran itu, hubungan dua hala
dapat diwujudkan demi keharmonian hidup bermasyarakat.

Ciri-ciri orang yang dipimpin pula adalah sentiasa memberikan komitmen dan
bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Setiap arahan daripada pemimpin
perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi menghasilkan kejayaan, bukannya memberi
pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada menunaikan tanggungjawab tersebut. Di
samping itu, perkongsian idea yang baik dapat memberi rangsangan kepada orang lain untuk
berfikir di luar kotak. Kita janganlah mempunyai sikap kedekut ilmu dan tidak mahu
berkongsi pendapat kita dengan orang lain kerana kita dapat membantu orang yang lemah
dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Kepentingan menjadi seorang pemimpin adalah dapat mempelajari cara untuk memimpin
terlebih dahulu sebelum menjadi seorang pemimpin kepada masyarakat. Kemahiran ini
bertujuan untuk mencipta aura yang positif apabila kita menjadi pemimpin pada masa akan
datang. Perkara ini akan membuatkan orang di sekeliling menghormati dan mengagumi cara
kita menyelesaikan masalah yang timbul dalam kelompok kita sendiri. Jika kita tidak
menjadi seorang pemimpin, kita tidak akan mendapat kesempatan untuk belajar dan berlatih
kemahiran ini.
Faktor yang paling penting dalam menentukan prestasi seseorang ialah keupayaan
bekerjasama dengan orang lain dalam satu pasukan. Perkara yang perlu dipelajari ialah
kemahiran motivasi, kemahiran mengagihkan tugasan dan kemahiran menghadapi sesuatu
konflik. Kemahiran mengurus organisasi juga penting untuk mencapai matlamat dan sasaran
yang diinginkan. Kemahiran ini berkait dengan kemahiran menentukan posisi dan
menetapkan misi seterusnya merealisasikan misi tersebut agar menjadi kenyataan dan bukan
hanya sekadar angan-angan kosong.

Mengikut gaya kepimpinan pada masa ini , kebanyakan pemimpin menggunakan gaya
pengurusan sederhana dan demokratik untuk memimpin orang bawahan mereka untuk lebih
maju ke hadapan. Gaya pengurusan sederhana ialah tindakan majikan yang bijak menjaga
hubungan dengan orang bawahan yang dipimpinnya. Pemimpin memberikan motivasi yang
dapat menaikkan semangat orang yang dipimpinnya dan sekali gus gaya pengurusan ini
mempengaruhi mereka untuk terus berusaha mencapai matlamat. Bak kata pepatah ‘usaha
tangga kejayaan’. Gaya pengurusan demokratik pula menunjukkan tindakan pemimpin yang
mengamalkan sikap toleransi dan menjalin hubungan yang baik dengan pekerja dari pelbagai
aspek. Kesannya ,cara ini berupaya untuk mempengaruhi orang yang dipimpin untuk terus
berusaha sehingga dapat mencapai matlamat yang ditetapkan oleh pemimpin. Bak kata
pepatah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Kesimpulannya, untuk menjadi seorang pemimpin kita haruslah mengikut segala tunjuk
ajar yang telah dipelajari daripada ketua. Kita tidak seharusnya membantah setiap apa-apa
yang diperkatakan oleh ketua selagi tidak bertentangan dengan mana-mana peraturan. Jika
kita terus menuntut ilmu daripada orang-orang yang hebat, berkemungkinan besar kita akan
dapat menjadi pemimpin yang hebat untuk negara. Pemimpin yang hebat dapat melahirkan
generasi yang hebat yang akan menerajui dan memajukan negara pada masa akan datang.
Untuk menjadi seorang yang pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah. Memetik kata-kata
Soekarno ‘janganlah kita lupakan demi tujuan kita ,bahawa para pemimpin berasal dari
rakyat dan bukan berada di atas rakyat’. Justeru, janganlah kita mempunyai sikap riak dan
bongkak apabila sudah bergelar pemimpin suatu hari nanti dan janganlah kita menindas
orang-orang bawahan kita sekiranya kita mempunyai pangkat yang lebih baik daripada
mereka. Sebaliknya kita haruslah menunjukkan cara untuk kita maju bersama dan bantu-
membantu dalam menyelesaikan masalah yang ada. Seperti kata mutiara ‘pemimpin yang
berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas
daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya’.

Oleh : Nur Azyan Shazanani Bt Azar


U1Dahlia

Anda mungkin juga menyukai