Anda di halaman 1dari 6

Pilihan Bahasa: MS EN AR Cari...

accessible

Laman Utama / Artikel / Al-Afkar


/ AL-AFKAR #99: KEADAAN MASUK SYURGA TANPA HISAB BAGI PELAKU DOSA BESAR

AL-AFKAR #99: KEADAAN MASUK


SYURGA TANPA HISAB BAGI PELAKU
DOSA BESAR
 15 FEBRUARI 2020  ADMIN PMWP J U M L A H PA PA R A N : 6 8 2 6 2

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah kemungkinan bagi pelaku dosa besar masuk
syurga tanpa hisab?

Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak
terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang
mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertama, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

‫ِإَّن الَّلـَه اَل َيْغِفُر َأن ُيْش َر َك ِبِه َو َيْغِفُر َم ا ُدوَن َٰذ ِلَك ِلَم ن َيَشاُء‬
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya
(dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).

(Surah al-Nisa: 48)

Ibn Jarir al-Tabari dalam menjelaskan ayat ini menyebut: “Ayat ini menjelaskan bahawa semua
pelaku dosa besar berada di bawah kehendak Allah. Jika berkehendak, Dia memaafkannya, dan
jika berkehendak, Dia akan menyeksanya. Selama mana dosa besarnya bukanlah sebuah
kesyirikan kepada Allah.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Quran, 8/450)

Imam Ibn Kathir pula menjelaskan dengan berkata: “Allah SWT tidak akan mengampuni dosa
syirik iaitu ketika seorang hamba bertemu-Nya dalam keadaan berbuat syirik.” (Lihat Tafsir al-
Qur’an al-‘Azim, 3/129). Menurut Ibn al-Jauzi, Allah SWT tidak akan mengampuni orang yang
musyrik yang mati dalam kesyirikan. (Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Di tempat yang lain, Allah SWT berfirman:

‫ُقْل َيا ِع َباِد َي اَّلِذيَن َأْس َر ُفوا َعَلٰى َأنُفِس ِه ْم اَل َتْقَنُطوا ِم ن َّر ْح َم ِة الَّلـِه ۚ ِإَّن الَّلـَه َيْغِفُر الُّذُنوَب َج ِم يًعا‬
‫ُۚإ ّنِهَُه وُ َ لاغْفَُرو ُ اّرل حَ ِمي‬
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui
batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa;
sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Zumar (53)

Ibn Kathir menjelaskan: Ia merupakan pengkhabaran bahawa Allah SWT mengampuni semua
dosa bagi sesiapa yang bertaubat daripada dosa-dosa itu, walau apapun dosa yang dia lakukan,
walaupun ia sebanyak buih di lautan. (Namun), tidaklah benar untuk memahami ayat ini kepada
mereka yang tidak bertaubat. Ini kerana dosa syirik tidak diampuni bagi sesiapa yang tidak
bertaubat daripadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 7/106)

Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan (20/465) meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud R.A
berkata: “Umat ini terbahagi kepada tiga bahagian pada hari Kiamat. 1/3 akan masuk syurga
tanpa hisab, 1/3 yang lain akan dihisab dengan hisab yang mudah dan 1/3 yang lain datang
dengan dosa yang banyak sehingga Dia berfirman: “Siapa mereka?” dan Dia Maha Mengetahui,
maka malaikat menjawab: “Mereka datang dengan membawa dosa yang banyak. Hanya sahaja
mereka tidak menyekutukan-Mu dengan sesuatu, maka Allah berfirman: “Masukkan mereka ke
dalam luasnya rahmat-Ku. Lalu Abdullah bin Mas’ud R.A membacakan ayat ini:

‫ُثَّم َأْو َر ْثَنا اْلِك َتاَب اَّلِذيَن اْص َطَفْيَنا ِم ْن ِع َباِدَنا‬


Maksudnya: Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari
kalangan hamba-hamba Kami;

Surah Fatir (32)

Justeru, dengan bertaubat kepada Allah, sebesar mana dosa kita pun, selain daripada
syirik, maka Allah SWT Maha Pengampun. Benarlah firman Allah SWT:

‫َنِّبْئ ِع َباِدي َأِّني َأَنا اْلَغُفوُر الَّر ِح يُم‬


Maksudnya: Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).

Surah al-Hijr (49)

Syeikh al-Maraghi menyebut dalam mentafsirkan ayat ini: “(Maksudnya), wahai Rasul!
Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku, sesungguhnya Akulah yang akan menghapuskan segala
dosa mereka, sekiranya mereka bertaubat dan kembali kepada-Ku. Maksudnya tidak membuka
keaiban mereka dan tidak menyeksa mereka kerananya, dan sesungguhnya Aku Maha
Penyayang terhadap mereka daripada mengazabkan mereka setelah mereka bertaubat daripada
dosa.

Dalam firman-Nya: “‫( ”َنِّبْئ ِعَباِدي‬Wahai Rasul! Khabarkan kepada sekalian hamba-Ku), terdapat
petunjuk bahawa rasul memberi khabar gembira kepada setiap orang yang mahu mengakui
‘Ubudiyyahnya (kehambaannya) kepada Allah SWT, maka termasuk di dalam golongan orang
mukmin yang taat dan yang bermaksiat. Di sini nampak jelas, bahawa aspek rahmat Allah SWT
dapat mengalahkan aspek seksaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 7/3678)

Kedua, berkenaan dengan persoalan masuk syurga tanpa hisab, kami nyatakan di sini beberapa
hadis Nabi SAW:

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain R.A, Nabi SAW bersabda:

‫ ُهُم اَّلِذيَن ال‬: ‫ َم ن ُهْم يا َر سوَل ِهللا؟ قاَل‬:‫ قالوا‬،‫َيْد ُخ ُل الَج َّنَة ِم ن ُأَّم تي َسْبُعوَن أْلًفا بغيِر ِح ساٍب‬
‫ وعَلى َر ِّبِه ْم َيَتَو َّكُلوَن‬، ‫ وال َيْك َتُو وَن‬، ‫ وال َيَتَطَّيُر وَن‬، ‫َيْس َتْر ُقوَن‬
Maksudnya: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat
bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-
orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak
menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada
Rabbnya.”

Riwayat al-Bukhari (5752) dan Muslim (220)

Imam al-‘Aini menjelaskan: Maksud mereka tidak minta diruqyah, iaitu yang dilakukan oleh tuan
jampi seperti demam, kena rasuk dan seumpamanya. Telah datang sebahagian hadis
mengharuskannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Maksud larangan tersebut adalah
apabila dijampi bukan dengan bahasa arab yang difahami dan bukan dengan nama-nama Allah
serta sifat-Nya. (Lihat Umdah al-Qari, 23/69)

Ibnul Qayyim menyebut bahawa sifat utama dari 70,000 orang tersebut terkumpul pada sifat
tawakkal. Kerana tawakkal mereka yang sempurna; iaitu mereka tidak meminta diruqyah, tidak
menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan tidak beranggapan sial. (Lihat
Miftah Dar al-Sa’adah, 3/1483)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A, Nabi SAW bersabda:

- ‫ ال َيْد ِر ي أبو حاِز ٍم أُّيُه ما قاَل‬- ‫ أْو َسْبُع ِم َئِة أْلٍف‬،‫َلَيْد ُخ َلَّن الَج َّنَة ِم ن ُأَّم تي َسْبُعوَن أْلًفا‬
‫ ُو ُج وُهُهْم عَلى ُص وَر ِة‬، ‫ ال َيْد ُخ ُل أَّو ُلُهْم حَّتى َيْد ُخ َل آِخ ُر ُهْم‬،‫ آِخ ٌذ َبْعُض ُهْم َبْعًض ا‬، ‫ُم َتماِس ُكوَن‬
‫الَقَمِر َلْيَلَة الَبْد ِر‬
Maksudnya: “Sungguh, tujuhpuluh ribu atau tujuhratus ribu dari umatku akan masuk syurga.
Mereka saling berpegangan satu sama lain, tidaklah yang terdepan masuk syurga sehingga yang
belakang turut masuk. Wajah mereka seperti bulan malam purnama’.”

Riwayat al-Bukhari (6554)

Berdasarkan umum hadis ini, sekiranya memenuhi kriteria yang disebutkan, maka seseorang itu
akan memasuki syurga tanpa dihisab.

Kesimpulan

Berdasarkan nas-nas serta kenyataan di atas, sekiranya seseorang pelaku dosa besar itu
bertaubat, maka dia kemungkinan boleh termasuk dalam golongan yang masuk ke dalam syurga
tanpa hisab. Namun, taubat tersebut hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati dengan
memenuhi segala rukun-rukun dan syarat-syarat taubat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain RA bahawa seorang wanita
telah berzina, lalu dijatuhkan hukuman rejam terhadapnya. Kemudian jenazahnya disolatkan oleh
Rasulullah SAW. Saidina Umar RA kehairanan lalu bertanya: “Engkau telah bersolat ke atasnya
wahai Nabi Allah sedangkan dia telah berzina?” Jawab Baginda Nabi SAW:

‫ َو َهْل َو َج ْد َت َتْو َبًة َأْفَض َل ِم ْن‬، ‫َلَقْد َتاَبْت َتْو َبًة َلْو ُقِس َم ْت َبْيَن َسْبِع يَن ِم ْن َأْه ِل اْلَم ِديَنِة َلَو ِس َعْتُهْم‬
‫َأْن َج اَد ْت ِبَنْفِس َه ا ِهَّلِل َتَعاَلى‬
Maksudnya: “Sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat yang kalau diagih-agihkan
bahagian taubat itu kepada 70 orang penduduk Madinah nescaya akan mencukupi mereka.
Apakah engkau jumpa suatu taubat yang lebih utama daripada seseorang yang sanggup
menggadaikan nyawa kerana Allah Taala?”

Riwayat Muslim (1696)

Manakala, bagi pelaku dosa besar yang tidak bertaubat, maka ia bergantung atas kehendak
Allah SWT, sama ada mengampunkannya atau mengazabkannya, selagimana dia tidak
melakukan syirik kepada Allah SWT.

Semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam golongan mereka yang masuk ke dalam syurga-
Nya tanpa hisab. Amin.

Al-Afkar

Bayan Linnas

Irsyad Hukum

Al Kafi li al-Fatawi

Irsyad al-Hadith

Irsyad Usul Fiqh

Tahqiq al-Masail

Al-Afkar

Bayan Li al-Haj

Tashih al-Mafahim

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Jabatan Perdana Menteri
Aras 5, Blok D, Kompleks Islam Putrajaya
No. 3, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3
62100 Putrajaya, Malaysia.

 : 03-8870 9000
 : 03-8870 9101 / 03-8870 9102
 : ukk[at]muftiwp[dot]gov[dot]my

Adakah infomasi di dalam Portal PMWP memenuhi ekspektasi dan


keperluan pelanggan?
Sangat Memuaskan

Memuaskan

Perlu Penambahbaikan

Hantar

Hak Cipta Terpelihara © 2023 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Paparan terbaik menggunakan resolusi skrin minimum 1920x1080 pada pelayar


web Mozilla Firefox, Microsoft Edge atau Google Chrome versi terkini

Anda mungkin juga menyukai