Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Pendidikan Terhadap Pembangunan Negara Malaysia

Penguasaan dalam bidang pendidikan serta ilmu pengetahuan amat penting pada era globalisasi ini. Hal ini kerana pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan negara. Pembangunan sesebuah negara akan terjejas sekiranya hal-hal berkaitan pendidikan diabaikan. Perbelanjaan besar yang diperuntukkan oleh Malaysia pada setiap tahun bagi membangunkan sistem pendidikan negara jelas menunjukkan kepentingan pendidikan. Tindakan ini dianggap sebagai satu pelaburan untuk menjamin kemajuan berterusan dan juga melahirkan modal insan kelas pertama pada masa hadapan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat majmuk. Pendidikan yang terdapat di Malaysia memainkan peranan penting dalam meningkatkan perpaduan kaum. Sesungguhnya, sistem pendidikan yang wujud pada hari ini telah membantu merealisasikan cita-cita negara untuk menyatupadukan kaum juga meningkatkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perpaduan kaum yang terbina ini seterusnya membawa kepada keberkesanan dalam sistem pentadbiran negara. Kelancaran sistem pentadbiran inilah yang kemudiannya membawa kepada pembangunan negara.

Selain itu, bidang pendidikan mampu melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai sektor yang dapat membantu membangunkan negara. Misi menjadi negara maju mampu direalisasikan dengan lahirnya pekerja mahir dalam setiap bidang yang dikehendaki terutamanya untuk program-program pembangunan. Dengan adanya tenaga kerja mahir sendiri, tidak perlulah kita mengharapkan kepakaran dari negara luar. Sudah pasti kita tidak mahu pembangunan yang dirancang ini semata-mata hanya menampilkan peluang pekerjaan kepada warga asing yang sentiasa mengintai peluang yang ada.

Di samping itu, pendidikan turut memberi kepentingan dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa, berdedikasi dan paling penting, berpengetahuan tinggi. Tidak dapat dibayangkan sekiranya seseorang tanpa ilmu pengetahuan menerajui kepimpinan negara. Sudah pasti sistem pentadbiran negara akan menjadi kucar-kacir. Natijahnya, pembangunan Malaysia akan terbantut. Sebaliknya, jika pemimpin negara berilmu, beliau akan mampu menyumbangkan tenaga serta idea-idea yang bernas dalam membangunkan negara. Maka, jelaslah di sini bahawa pendidikan juga penting bagi pucuk pimpinan sesebuah negara.

Konklusinya, pendidikan dilihat sangat penting sebagai asas dan wadah yang terbaik untuk mencapai impian menjadi sebuah negara membangun dan maju yang unggul mengikut acuan sendiri sebagaimana yang telah menjadi matlamat kerajaan selama ini. Tanpa pendidikan yang sempurna, Malaysia akan mengalami kemunduran kerana jauh ditinggalkan oleh negara-negara maju yang lain. Oleh itu, setiap rakyat perlulah berusaha gigih dalam menimba ilmu pengetahuan supaya mereka boleh memberi sumbangan dalam membangunkan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai