Anda di halaman 1dari 4

LATAR BELAKANG PENUBUHAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga adalah manifestasi pelaksanaan iltizam negara yang dibuat di Persidangan Sedunia Keempat Wanita di Beijing pada tahun 1995 seperti yang terkandung dalam dokumen Landasan Tindakan bagi memajukan wanita ke tahun 2000, iaitu : "Pewujudan sebuah Kementerian yang lengkap menggambarkan komitmen Kerajaan yang tinggi untuk meningkatkan martabat wanita di negara ini" Penubuhan Kementerian Hal Ehwal Wanita telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Januari 2001. Fungsi Kementerian kemudiannya telah diperluaskan dan ditukar namanya kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWK) mulai 15 Februari 2001. Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Wanita (HAWA) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah diletakkan di bawah Kementerian. HAWA kemudiannya distruktur semula dan dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Selepas Pilihan Raya Umum Kesebelas pada bulan Mac 2004, fungsi dan tanggungjawab KPWK telah diperluaskan lagi. Pada 27 Mac 2004 fungsi Pembangunan Masyarakat dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat telah dibubarkan, dan telah dipindahkan ke KPWK. Selaras dengan pertubuhan tersebut, KPWK telah ditukar nama menjadi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Dengan penstrukturan baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai empat (4) buah agensi di bawah pentadbirannya iaitu :

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Institut Sosial Malaysia (ISM)

Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 2006 di bawah KPWKM selepas Malaysia diberi mandat untuk menubuhkan sebuah institusi untuk wanita dari kalangan negara-negara Anggota NAM. KPWKM dipimpin oleh Y.B. Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil (2001 - Februari 2008) sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya peranan golongan wanita dan institusi kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Masyarakat juga diberi kesedaran dan bimbingan dalam aspek pembangunan sosial terutamanya kebajikan masyarakat, bagi mencapai matlamat ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan masyarakat maju selaras dengan Wawasan 2020. Pada masa ini, KPWKM diterajui semula oleh Y.B. Senator Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil. Manakala Y.B. Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri.

VISI
Menjadi peneraju utama untuk mencapai kesaksamaan gender, pembangunan keluarga dan masyarakat penyayang dan sejahtera sebagai asas pembentukan sebuah negara maju yang terbilang.

MISI
Mengintegrasikan perspektif wanita dan masyarakat ke dalam arus perdana pembangunan negara serta memperkukuhkan institusi keluarga ke arah peningkatan kesejahteraan sosial.

MATLAMAT
Membentuk masyarakat yang sejahtera melalui perkongsian tanggungjawab yang strategik dan penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial yang cekap dan berkesan.

OBJEKTIF
1. Meningkatkan penyertaan dan peranan aktif wanita, keluarga dan masyarakat sebagai penyumbang dan penerima faedah pembangunan negara 2. Memelihara hak-hak kepentingan wanita, keluarga dan masyarakat dengan adil dan saksama tanpa unsur diskriminasi 3. Memperluaskan peluang yang saksama kepada wanita dan masyarakat dalam bidang sosial, ekonomi dan politik 4. Memantapkan institusi keluarga 5. Mempastikan sistem penyampaian dan sokongan yang cekap dan berkesan.

Logo mencerminkan kesaksamaan dan perhubungan simbiotik antara manusia. Simbol yang berbentuk perkongsian menonjolkan hasil terakhir dengan pancaran sinaran nur', berlatar belakangkan warna ungu yang mencerminkan masa hadapan bersama yang harmonis.

Logo mengandungi simbol yang mewakili gender lelaki dan wanita. Penyatuan simbol mencerminkan pengiktirafan kesaksamaan antara lelaki dan wanita. Penyatuan simbol juga mencerminkan konsep kekeluargaan di mana pancaran sinaran 'nur' mewakili anak-anak yang seterusnya menggambarkan kebahagiaan dan keharmonian hasil dari kehidupan yang berlandaskan kesaksamaan. Latar belakang warna ungu memancarkan persekitaran mesra dan harmoni.

Secara keseluruhannya, logo menggambarkan kebaikan kesaksamaan dan keharmonian di antara dua gender. Hasilnya, adalah kebahagiaan hidup sebagai satu keluarga di mana pancaran sinaran 'nur' menggambarkan kesinambungan anak-anak yang membawa makna dalam setiap permulaan yang baru.

Anda mungkin juga menyukai