Anda di halaman 1dari 14

1.

0 PENGENALAN
Tenaga buruh boleh diklasifikasikan sebagai individu yang berada dalam lingkungan
umur tertentu atau dalam lingkungan umur yang sepatutnya bekerja. Tenaga buruh juga boleh
ditakrifkan sebagai individu yang sedang mencari pekerjaan dalam beberapa tempoh masa
tertentu yang biasanya mengambil masa seminggu (Wong, T.K., 1978:6). Manakala, menurut
Ahmad Yazid Ayub (1978), beliau mentakrifkan umur bekerja kepada penduduk yang berumur
dalam lingkungan 15 hingga 64 tahun. Majoriti penduduk dalam lingkungan umur ini merupakan
golongan tenaga buruh. Oleh yang demikian, individu yang berada dalam lingkungan umur
berkenaan dan pada masa yang sama melakukan sesuatu pekerjaan yang membawa kepada
upahan atau keuntungan boleh dikatakan sebagai tenaga buruh.
Buruh merupakan faktor pengeluaran yang penting dalam sektor perindustrian
pembuatan. Pelbagai perubahan telah dibawa oleh sektor tersebut dalam usaha meningkatkan
lagi sektor ekonomi berkenaan ke arah yang lebih berdaya saing. Oleh yang demikian, tenaga
buruh yang berkualiti amat diperlukan untuk memajukan sektor ekonomi berkenaan. Sektor
perindustrian pembuatan tersebut meliputi perindustrian yang melibatkan industri makanan,
industri keluaran barangan elektronik, industri getah, industri automotif, industri marin, industri
kraf tangan dan sebagainya.
Oleh itu, tugasan ini akan memperincikan mengenai perkembangan pembangunan
sumber manusia terhadap industri pembuatan. Selain itu, tugasan ini juga turut membincangkan
mengenai kepentingan sumber tenaga manusia dalam usaha membangunkan sektor perindustrian
pembuatan di Malaysia. Penglibatan buruh dalam pelbagai aktiviti ekonomi industri pembuatan
telah menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan industri berkenaan.

2.0 PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA


Kesedaran tentang pentingnya pembangunan sumber manusia sebenarnya bukanlah suatu
perkara yang baru. Pada tahun 1983, Sekretariat Negara-Negara Komanwel telah menubuhkan
satu badan yang dinamai sebagai Human Resource Development Group (HRDG) bagi
memudahkan kerjasama antara sekretariat dalam pertubuhan itu yang memberi perhatian kepada
pembangunan sumber manusia (Commonwealth Report, 1989:32). Antara penekanan yang telah
diberikan adalah dalam aspek pendidikan dan latihan, meningkatkan keupayaan golongan belia,
kemahiran keusahawanan, teknologi yang baru dan kemahiran menghadapi masalah sosial dan
bencana alam (Commonwealth Report, 1989:62). Terdapat pelbagai takrifan mengenai
pembangunan sumber manusia daripada perspektif pembangunan. Kumpulan penelitian Sosial
UKM berpendapat bahawa pembangunan sumber manusia ialah keupayaan individu, kumpulan
dan institusi untuk pembelajaran secara berterusan, penjanaan teknologi dan pelaksanaan aktiviti
pembangunan dengan komitmen dan ikatan moral yang tinggi (Kumpulan Penelitian Sosial
UKM, 1990:36). Pembangunan sumber manusia juga ditakrifkan sebagai perancangan serta
pengeluaran tenaga manusia dalam setiap bidang yang diperlukan oleh negara bagi suatu tempoh
tertentu. Tenaga manusia yang dihasilkan haruslah mempunyai kepakaran dan kebolehan bagi
melaksanakan tugasnya dalam bidang ia dilatih (Syed Othman al-Habshi, 1992:185).
Pembangunan sumber manusia bukan sahaja penting dalam memenuhi lompang
matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), tetapi juga memenuhi inspirasi kerajaan dalam mencapai
wawasan 2020 untuk mewujudkan masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera dan
seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian (Hashim Fauzy Yaacob,
2000:29). Misalnya, dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (RM6), hanya empat matlamat
penting yang cuba dicapai. Pertama, meningkatkan produktiviti buruh dan peluang pekerjaan
2

yang dapat memberi pendapatan yang lumayan, berprospek lebih baik dan memerlukan tingkat
kemahiran yang lebih tinggi. Kedua, memperbaiki kecekapan pasaran buruh dan mobiliti buruh
untuk menggalakkan ketidaksesuaian kemahiran, kekurangan kemahiran setempat dan lain-lain
kesan ketegaran pasaran buruh. Ketiga, mempertingkatkan mutu dan peluang pendidikan, latihan
untuk memenuhi keperluan tenaga manusia dan mencapai matlamat penyususan semula tenaga.
Keempat, memperbaiki sistem penyelarasan upah (Rancangan Malaysia Keenam, 1991:57-58).
Sepanjang tiga dekad yang lalu, banyak perubahan telah berlaku terhadap struktur
ekonomi Malaysia dan sekaligus turut mempengaruhi pasaran buruh negara ini. Sektor utama
pertanian yang ada pada suatu masa ketika dulu menjadi penyumbang utama kepada keluaran
dan seterusnya guna tenaga negara telah beransur-ansur mengurangkan kepentingan relatifnya.
Sebagai ganti, sektor pembuatan menjadi semakin penting, terutamanya dari segi permintaan
buruh. Memandangkan sektor ini akan menjadi teras utama pembangunan ekonomi negara pada
masa akan datang, maka sumbangannya terhadap guna tenaga dijangka akan terus bertambah.
Keadaan tersebut telah menyebabkan buruh asing dibawa masuk ke dalam negara bagi
mengelakkan berlakunya masalah kekurangan tenaga buruh. Pada umumnya, buruh-buruh asing
di negara kita datang dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Burma, Bangladesh,
Sri Lanka, Vietnam, Filipina, Kampuchea dan Burma (Kumpulan Intelek, 1995:36-37).
Selepas tahun 1970, terdapat perubahan dalam dasar kerajaan apabila sektor perindustrian
telah diberi tumpuan utama. Perubahan dasar ini telah menyebabkan berlakunya pertambahan
penyertaan buruh wanita dalam sektor perindustrian. Dalam keadaan pesat membangun inilah
keperluan kepada tenaga kerja wanita kian terserlah terutamanya bagi mengisi kekosongan
pekerjaan dalam sektor berkenaan seperti operator pengeluaran di kilang. Dasar Ekonomi Baru
(DEB) merupakan antara faktor yang telah meningkatkan jumlah wanita dalam pasaran buruh.
3

Sektor ekonomi yang menjadi tumpuan wanita ialah pertanian, pembuatan dan perkhidmatan
(Supian Ali, Rahmah Ismail & Muhammad Anuar Adnan, 1997:107&117).
3.0 ISU PERBINCANGAN
Perkembangan industri pembuatan turut dipengaruhi oleh kualiti tenaga buruh yang
dimiliki oleh sesebuah industri pembuatan tersebut yang mana terdapat buruh mahir dan kurang
mahir. Misalnya, buruh yang berkemahiran, berpengalaman dan berpendidikan berperanan dalam
menarik pelaburan asing. Kemahiran yang dimiliki oleh buruh tempatan telah membolehkan
syarikat dari luar negara bertindak mendapatkan tenaga buruh berkenaan dalam memajukan
pelbagai jenis sektor ekonomi. Dasar kerajaan membuka pintu kepada pelabur asing telah
menyebabkan munculnya beberapa syarikat multinasional di Malaysia. Syarikat multinasional
merupakan penggerak utama kepada industri berasaskan eksport dengan bertindak mencari
lokasi buruh murah di Malaysia.
Keupayaan sesuatu tempat untuk menarik pelaburan banyak bergantung kepada kelebihan
yang dimiliki oleh tempat tersebut serta kebolehannya untuk membuat pengubahsuaian yang
cepat kepada permintaan yang sentiasa berubah dalam pasaran global (Nooriah Yusof, 2006:39).
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang sangat
bergantung kepada perdagangan luar untuk pembangunan ekonominya. Misalnya, dalam tempoh
1991 hingga 1993, didapati Jepun merupakan pelabur penting yang menyumbang kepada 19.6%
daripada jumlah keseluruhan pelaburan terus asing dan diikuti oleh Amerika Syarikat dan
Taiwan. Jepun telah muncul sebagai pelabur utama di negara ini sejak pertengahan tahun 1980an lagi tetapi menjelang tahun 1990-an, Taiwan telah mengatasi Jepun. Bagi tempoh tahun 1985
hingga 1990, pelaburan daripada Taiwan ialah sebanyak 26.8% daripada keseluruhan pelaburan

ke Malaysia iaitu yang tertinggi dan diikuti oleh Jepun (25.7%), Singapura (7.7%), United
Kingdom (5.5%) dan Amerika Syarikat (4.9%) (MIDA, 1994).
Sumber tenaga manusia juga mampu memenuhi permintaan barangan yang semakin
meningkat dalam sektor perindustrian pembuatan. Hal ini demikian kerana apabila permintaan
terhadap sesuatu barangan atau produk meningkat, maka bilangan buruh yang ramai akan dapat
memenuhi permintaan pengguna. Bagi memenuhi kehendak tersebut firma amat memerlukan
tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan. Misalnya, kewujudan banyak pengeluar elektronik
terutamanya di Pulau Pinang dan Lembah Klang telah membawa kepada pembangunan
infrastruktur pengangkutan dan pengedaran untuk memberi kemudahan kepada urusan inmport
dan eksport. Dalam industri pembuatan barangan elektrik dan elektronik tenaga buruh mahir
amat diperlukan untuk membuat cakera padat, mesin faksimili, set televisyen berwarna, kamera
digital dan sebagainya. Pulau Pinang merupakan pengeluar produk elektronik yang terkemuka di
Malaysia yang melibatkan aktiviti pemasangan dan pengujian semikonduktor dan komponen
elektrik yang lain, komputer dan perkakasan komputer, peralatan mesin serta eletronik pengguna.
Negeri tersebut telah menyumbang kira-kira satu perempat daripada pengeluaran elektronik
negara (Nooriah Yusof, 2006:88-89). Oleh itu, bilangan buruh yang berkualiti dan ramai adalah
diperlukan untuk mengembangkan sektor berkenaan supaya barangan atau produk yang
dihasilkan mempunyai nilai daya saing yang tinggi di peringkat global.
Buruh merupakan faktor pengeluaran yang memainkan peranan penting dalam
mendorong perubahan lokasi aktiviti pembuatan yang telah memberi kesan bukan sahaja
terhadap negara industri maju, malah turut memberi kesan terhadap negara membangun yang
terlibat. Kelebihan bandingan yang semakin terhakis di negara industri maju akibat daripada
kenaikan harga minyak, kenaikan kos buruh dan kesatuan kerja yang kuat, kenaikan nilai mata
5

wang serta kemunculan pesaing-pesaing baru dalam pasaran telah memaksa pengusaha untuk
mencari

jalan

keluar

bagi

mengatasi

masalah

tersebut.

Proses

penstrukturan

dan

pengorganisasian semula industri yang dilaksanakan terutamanya oleh firma besar di negara
industri maju ternyata telah membawa transformasi kepada struktur ekonomi dan proses
perburuhan di negara membangun (Nooriah Yusof, 1995:25).
Mengikut Hadjimichalis dan Vaion (1990), faktor yang semakin penting dalam
mempengaruhi kemunculan kawasan baru yang makmur dan kemunduran di kawasan yang lain
ialah faktor buruh. Manakala menurut Dicken (1990), buruh telah menjadi faktor lokasi yang
penting pada skala global terutamanya dari segi jenis buruh (kemahiran) dan kos buruh.
Misalnya, saiz pasaran buruh adalah berbeza-beza mengikut tahap kemahiran yang terlibat.
Menurut Malecki (1991), bagi pekerja profesional dan berkemahiran tinggi mempunyai pasaran
yang luas sehingga ke tahap nasional dan kadang kala antarabangsa. Manakala, bagi pekerja
separuh mahir dan tidak mahir, pengkeranian dan sub profesional selalunya mempunyai pasaran
tempatan sahaja. Horizon pasaran mereka selalunya terbatas kepada kawasan mereka bersedia
untuk berulang alik ke tempat kerja (Reynold, et.al., 1991). Buruh yang diperolehi dari pasaran
mempunyai harga yang tertentu iaitu dalam bentuk upah yang dibayar. Upah buruh masih
merupakan elemen tunggal yang penting sebagai input kos buruh di sesuatu tempat kerja dan
merupakan item yang signifikan dalam setiap industri pembuatan (Storper & Walker, 1983:1-14).
Kos buruh dipengaruhi oleh tiga faktor iaitu upah, produktiviti dan pertukaran asing (Bauer, J.,
1992:1012-1025). Namun, kos buruh yang rendah semata-mata tidak akan menjadi daya tarikan
sesuatu lokasi sekiranya pasaran buruh di lokasi tersebut juga dicirikan sebagai produktiviti yang
rendah, kesatuan kerja yang kuat, buruh yang militant dan persekitaran industri yang tidak
harmoni (Nooriah Yusof, 1995:42). Sesungguhnya, faktor tenaga buruh memainkan peranan
6

yang amat penting dalam mempengaruhi lokasi industri pembuatan yang mana ia mengambil
kira pelbagai aspek bukan sahaja kualiti buruh, malah kos buruh juga turut dititikberatkan.
Pertumbuhan pesat sektor perindustrian pembuatan ternyata memberi kesan terhadap pola
guna tenaga negara. Kemajuan ini telah menyebabkan wujudnya peluang-peluang pekerjaan.
Peningkatan pesat sektor perindustrian pembuatan telah menyebabkan pasaran buruh tempatan di
beberapa lokasi perindustrian terutamanya di negeri yang lebih maju seperti Selangor, Johor dan
Pulau Pinang mejadi ketat dan munculnya masalah lebihan peluang pekerjaan berbanding
penawaran buruh (Nooriah Yusof, 1995:80&84). Misalnya, sektor perindustrian pembuatan telah
menjadi pendorong utama ke arah pertumbuhan peluang pekerjaan dengan menyumbang kepada
67.1% daripada jumlah jawatan kosong yang dilaporkan pada tahun 1993 dan memperlihatkan
peningkatan 2.6% berbanding tahun 1992 (JTR, 1994:3). Permintaan tenaga buruh yang
meningkat dalam sektor pembuatan tersebut dicerminkan oleh jawatan kosong yang dilaporkan
oleh Jabatan Tenaga Rakyat (JTR). Misalnya, sektor perindustrian pembuatan telah mencatatkan
peningkatan sebanyak 16 838 jawatan kosong atau 33.3% antara tahun 1990 hingga tahun 1993.
Sektor perindustrian pembuatan terus menjadi pendorong utama ke arah pertumbuhan ekonomi
dengan menyumbangkan 67.1% daripada jumlah jawatan kosong yang dilaporkan pada tahun
1993.
Bagi meningkatkan penghasilan kualiti dan kuantiti sesuatu produk atau barangan, buruh
bertanggungjawab mencipta sebuah peralatan atau mesin yang berteknologi tinggi. Hal ini
demikian kerana penggunaan mesin mampu meningkatkan produktiviti sesebuah produk di
samping dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk berkenaan.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Nooriah Yusof (2006) di Zon Perindustrian
Barangan Elektrik dan Elektronik (BEE) Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau telah mendapati
7

bahawa penggunaan mesin yang semakin meningkat dalam aktiviti pengeluaran dapat
menghasilkan produk dalam jumlah dan kualiti yang sama setiap masa. Hasil daripada kajian
tersebut, beliau mendapati 84.5% daripada jumlah pekerja operator pengeluaran BEE
menyatakan bahawa penggunaan peralatan atau mesin dalam melaksanakan tugas mereka.
Penggunaan tersebut telah banyak membantu mengekalkan tahap produktiviti dan kualiti produk
yang dihasilkan.
Selain itu, penggunaan mesin juga telah membolehkan pekerja operator pengeluaran
melaksanakan lebih daripada satu tugas berbanding dengan sebelum ini. Misalnya, berdasarkan
kajian yang telah dilakukan di Zon Perindustrian BEE di Bayan Lepas, sebanyak 75.5%
responden yang menyatakan bahawa mereka dapat melaksanakan lebih daripada satu tugas dan
24.5% pula hanya dapat melaksanakan satu tugas sahaja. Kebolehan melaksanakan lebih
daripada satu tugas merupakan satu ciri fleksibiliti buruh yang penting kepada firma. Keadaan
tersebut akan membolehkan pertukaran tugas dilakukan sekiranya berlaku ketidakhadiran
pekerja atau keperluan yang meningkat di sesuatu bahagian pengeluaran (Nooriah Yusof,
2006:191).
Selain itu, buruh juga berperanan dalam menyumbang kemahiran mereka dalam usaha
untuk memajukan sektor perindustrian pembuatan. Oleh itu, majikan seharusnya berani bertindak
dengan melabur untuk pekerja-pekerja mereka dengan memberikan latihan yang bersesuaian
supaya dapat meningkatkan kecekapan dan kualiti buruh. Bagi memastikan kelancaran operasi
pengeluaran, pekerja perlu didedahkan dengan pelbagai kemahiran kerja untuk membolehkan
firma tersebut membuat pengubahsuaian dengan cepat tanpa menjejaskan kelancaran operasi
pengeluaran (Nooriah Yusof, 2006: 191). Misalnya, kemahiran dan pengetahuan komputer harus
dipertingkatkan kerana teknologi komputer dan informasi (ICT) semakin memainkan peranan
8

penting dalam kebanyakan operasi syarikat. Tenaga buruh harus dilengkapkan dengan kemahiran
dan pengetahuan ini supaya mereka mudah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Tenaga buruh yang berkemahiran juga menjadi penentu kepada sesebuah firma dalam
menentukan perletakan aktiviti perindustrian. Pada masa ini, syarikat multinasional kian
memberi perhatian terhadap faktor mahir dalam menentukan letakan aktiviti pengeluaran.
Misalnya, Intel merupakan sebuah syarikat semikonduktor yang terkemuka di dunia yang telah
menyatakan bahawa kesediaan pekerja mahir merupakan faktor utama dalam membuat
keputusan untuk menempatkan kilang baru mereka di Costa Rica. Pada masa ini, banyak negara
telah mula terlibat dalam persaingan untuk meningkatkan kelebihan daya saing lokasi melalui
pembangunan sumber manusia yang berkemahiran untuk menarik pelaburan dan aktiviti
ekonomi. Persaingan global menjadi semakin ketara dan sekaligus memberi kesan terhadap
bandar-bandar dan memaksa bandar-bandar tersebut bergiat lebih aktif memasarkan diri.
Pengurus bandar juga giat berusaha untuk mengenalpasti dan memperkukuhkan aset atau
kelebihan lokasi masing-masing (Begg, 1999:795-800). Pengusaha pada masa kini lebih
menggemari lokasi yang mampu untuk menawarkan kelebihan sumber buruh yang berkualiti dan
kos yang lebih rendah kerana margin pemilihan lokasi untuk aktiviti pengeluaran telah semakin
meluas (Nooriah Yusof, 2006:149). Losch (1954) telah menyatakan bahawa ekonomi baru yang
berasaskan pengetahuan lebih menggemari wilayah yang memiliki ramai tenaga buruh yang
berkemahiran tinggi, bermotivasi tinggi serta kaya pengetahuan. Oleh yang demikian, sumber
buruh telah memperlihatkan betapa pentingnya peranan mereka sebagai salah satu alat dalam
strategi memasarkan sesuatu tempat atau lokasi bagi menarik pelaburan dan aktiviti perniagaan.

4.0 KESIMPULAN
Perkembangan pesat sektor perindustrian pembuatan telah membuktikan betapa
pentingnya sumber manusia dari dahulu sampai sekarang dalam usaha memajukan sektor
perindustrian pembuatan. Bagi memajukan lagi sektor tersebut, perancangan sumber manusia
haruslah bertindak dengan agresif supaya melatih ramai graduan dalam pelbagai bidang yang
diperlukan oleh sektor berkenaan. Oleh yang demikian, dalam usaha untuk melahirkan seseorang
tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan profesional, kerajaan seharusnya bekerjasama dengan
Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Pada masa
yang sama juga semua majikan seharusnya bersedia dengan melabur sumber manusia dengan
memberikan latihan kepada pekerja mereka agar dapat menyumbangkan kemahiran mereka
dalam meningkatkan produktiviti industri pembuatan. Walaupun kecanggihan teknologi yang ada
sekarang mampu untuk menjimatkan penggunaan buruh, namun keadaan ini belum berjalan
dengan baik di Malaysia. Perkembangan industri pada masa depan bukan lagi bergantung kepada
penggunaan input yang banyak, tetapi bagaimana cara menggunakan input dengan cekap
terutamanya penggunaan tenaga kerja profesional dan berkemahiran.

10

BIBLIOGRAFI
Ahmad Yazid Ayub (1978, Feb.). Perkembangan Penduduk di Dalam Lingkungan Umur
Semenanjung Malaysia Daripada Tahun 1960 ke 1990. Dlm S. Soman, Ahmad Yazid
Ayub & Wong, T.K. Punca-punca Penawaran Tenaga Buruh-Sekarang dan Masa
Hadapan (hlmn 16). Kuala Lumpur: Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bauer, J. (1992). Industrial Restructuring in the NIEs: Prospects and Challenges. Asian
Survey-A Monthly Review of Contemporary Asian Affair, vol. XXXXII, 11, Nov.,
University of California Press.
Begg, I. (1999). Cities and Competitiveness. Urban Studies, 36. (5/6) May: 795-800.
Berita Harian Online (8 Mei 2014). Pelaburan Sektor Pembuatan Suku Pertama Naik 5.2
Peratus.
________________. (21 Mei 2014). Lawatan Najib Perkukuh Ekonomi Malaysia-Jepun.
Commonwealth Report, 1989.
Dicken, P. (1992). Global Shift: The International of Economic Activity, (2nd.ed.), London: Paul
Chapman Publication.
Frobel, F., Heinrich, J. & Kreye, O. (1980). The New International Division of Labour.
Cambridge: Cambridge University Press.
Hadjimischalis, C. & Vaion, D. (1990). Flexible Labour Market and Regional Development in
Northen Greece. International Journal of Urban and Regional Research, 14,1,:1-24.
Harian Metro (19 September 2014). Sasar Kraf Tangan RM 1 billion.
Hashim Fauzy Yaacob (2000). Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia: Cabaran Abad
Ke-21. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
11

John Suprihanto (1986, Disember). Hubungan Industrial. Yogyakarta: BPFE.


JTR (1994). Trend Guna Tenaga Malaysia, Januari 1994. Kuala Lumpur: Kementerian
Sumber Manusia.
_____________ . (1993). Trend Guna Tenaga Malaysia, Januari 1993. Kuala Lumpur:
Kementerian Sumber Manusia.
Kumpulan Intelek (1995). Tenaga Buruh. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Media Universiti
Malaya.
Kumpulan Penelitian Sosial UKM (1990). Setelah 1990: Ekonomi dan Pembentukan Bangsa.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_____________ . (1981). Rancangan Malaysia Keempat, 1981-1985. Kuala Lumpur: Jabatan
Percetakan Negara.
Malaysia (1991). Rancangan Malaysia Keenam, 1991-1995. Kuala Lumpur: Jabatan
Percetakan Negara.
MIDA (1990). Statistics on the Manufacturing Sector in Malaysia, 1985-1990. Kuala Lumpur:
MIDA.
_____________ . (1994). Statistics on the Manufacturing Sector in Malaysia, 1989-1993.
Kuala Lumpur: MIDA.
MITI (1994). Malaysia International Trade and Industry Report, 1994. Kuala Lumpur: MITI.
Morshidi Sirat. 1993. Ketidaksamaan Ruangan di Semenanjung Malaysia: Satu Tinjauan
Teori Berkaitan dan Respon Kerajaan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Nooriah Yusof (2006). Kualiti Buruh dan Kelebihan Daya Saing Zon Perindustrian Bayan Lepas,

12

Pulau Pinang: Kajian Kes Sektor Industri Barangan Elektrik dan Elektronik. Tesis
Sarjana. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Nooriah Yusof (1995). Tindak Balas Terhadap Masalah Sumber Buruh Dalam Sektor
Perindustrian Pembuatan: Kajian Kes Negeri Pulau Pinang. Tesis Sarjana. Universiti
Sains Malaysia.
Rahmah Ismail & Zaini Mahbar (1996). Wanita dan Pekerjaan. Bangi, Selangor: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Rondenelli, D.A. (2001). Making Metropolitan Areas Competitive and Sustainable in the New
Economy. Journal of Urban Technology, 8, (1):1-21.
Storper, M. & Walker, R. (1983). The Theory of Labour and The Theory of Location.
Internationl Journal of Urban and Regional Research,7:1-14.
Syed Othman al-Habshi (1992). Islam dan Pembangunan Ekonomi di Malaysia: Satu
Perubahan Paragdima. Kongres Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020. Kuala
Lumpur: IKIM.
Utusan Online (3 Julai 2014). Malaysia Perlu Banyak Projek Mega.
Webster, D. & Muller, L. (2000). Urban Competitiveness Assessment in Develpoment Countries
Urban Regions: The Road Forward. Paper Prepared for Urban Group. INFUD.
Washington D.C.: World Bank.
Wong, T.K. (1978, Feb.). Konsep-konsep dan Ukuran Penduduk yang Aktif dari Segi
Ekonomi. Dlm S. Soman, Ahmad Yazid Ayub & Wong, T.K. Punca-Punca Penawaran
Tenaga Buruh-Sekarang dan Masa Hadapan (hlmn 6). Kuala Lumpur: Jabatan
Perangkaan Malaysia.
Zulkifli Ahmad (2008). Kemajuan Sektor Pembuatan Dan Perindustrian. Kuala Lumpur:
13

Perpustakaan Negara Malaysia.


Zulkifly Osman (1989). Ekonomi Buruh: Teori Permintaan dan Penawaran. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkifly Osman & Rahmah Ismail (1997). Isu Dalam Pasaran Buruh. Dlm Supian Ali, Rahmah
Ismail & Muhammad Anuar Adnan. Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia (hlmn
101). Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

14

Anda mungkin juga menyukai