Anda di halaman 1dari 3

Kesanglobalisasi

PADA dasarnya globalisasi adalah pembebasan ekonomi dunia daripada sebarang sekatan
dalam perdagangan antarabangsa. Kadang kala globalisasi dimaksudkan juga sebagai satu
sistem kapitalisme yang diterjemahkan dalam skala ekonomi dunia ataupun laissez-faire
globalism. Kononnya, faedah positif daripada sistem kapitalisme dapat direplikasikan, malah
dalam skala yang lebih besar jika ia mencakupi dunia.
Model globalisasi tulin atau naif merangkumi rasional-rasional berikut. Kebebasan
pergerakan barang dan perkhidmatan memaksimumkan kecekapan ekonomi, lantas
kebajikan manusia sejagat. Andainya, persaingan baik untuk sesebuah negara, maka
persaingan juga baik untuk seantero dunia.
Kedua, kapitalisme yang liberal tidak memerlukan peraturan tegar tetapi teratur kendiri (selfregulating). Ketiga, pasaran adalah telus dan harga adalah tertakluk kepada faktor
fundamental _ penawaran dan permintaan. Implikasinya, pelabur bebas untuk membeli/jual
saham daripada mana-mana institusi dari mana-mana negara di dunia, sama ada untuk
tujuan spekulasi dan pelaburan.
Ada yang menuduh bahawa globalisasi adalah agenda negara Barat terutama Amerika
Syarikat untuk meningkatkan kekuatannya dengan memerah ekonomi yang lemah. Sama
ada agenda ini disengajakan atau merupakan satu perkembangan semula jadi ekonomi
dunia, adalah persoalan akademik dan empiris. Namun pengalaman 18 bulan krisis di Asia
baru-baru ini sudah cukup menyangkal kesahihan model globalisasi naif ini kerana dalam
realiti, pasaran dicirikan oleh pelbagai ketidaksempurnaan struktur dan ketidakseragaman
gelagat dan persepsi institusi ekonomi.
Dua aspek utama globalisasi yang mempengaruhi ekonomi negara membangun seperti
Malaysia ialah perdagangan bebas barang dan perkhidmatan, serta aliran bebas modal
antarabangsa.
Dalam pasaran modal dunia yang bebas, modal akan bergerak ke kawasan yang dapat
memberi pulangan yang tertinggi. Kesan pertama globalisasi adalah perkembangan pesat
pasaran kewangan dunia, iaitu penarikan/pengumpulan modal ke pasaran dan institusi
kewangan ternama dunia dan agihan modal ke negara persekitaran dalam bentuk kredit,
pelaburan portfolio ataupun secara tidak langsung melalui MNC atau korporat multi-nasional
dan juga kegiatan spekulasi dalam pasaran kewangan. Perkembangan ini membesarkan
saiz pasaran kewangan, penawaran modal melimpah-limpah, memudahkan negara lain
terutama negara kecil dan membangun menyumber modal dan kredit.
Krisis Asia bermula pada Julai 1997 apabila spekulator mata wang antarabangsa bertaruh
ke atas baht - mata wang Thailand yang dijangka susut nilai kerana struktur fundamental
ekonominya yang lemah. Seperti negara Asia Tenggara yang lain, pembangunan pesat telah
mendorong Malaysia dan Thailand pada awal 1990-an melonggarkan kawalan terhadap
pinjaman dari luar negara, menghapuskan koordinasi pinjaman dan kawalan ke atas bank
menjadi lemah.
Selain mengalami kurangan dalam akaun semasa, hutang jangka pendek Malaysia adalah
76 peratus daripada KDNKnya pada 1996 dan hutang luaran pula adalah 38 peratus
daripada KDNKnya pada 1996. Pinjaman domestiknya adalah yang tertinggi di Asia iaitu 170
peratus daripada KDNKnya, dan kebanyakan pinjaman ini untuk tujuan bukan produktif.

Kesan spekulasi mata wang ke atas ringgit telah menurunkan nilainya sebanyak 30 peratus.
Kejatuhan nilai mata wang menjadikan hutang wang asing tadi lebih mahal untuk dibayar
apatah lagi apabila hutang ini tidak dilindungi (atau unhedged). Untuk membendung
masalah ini kerajaan telah menetapkan kadar pertukaran tetap pada RM1 = AS$0.2632
mulai September 1998.
Krisis ekonomi telah melembapkan kadar pertumbuhan ekonomi, iaitu menurun daripada 710 peratus setahun kepada 4.8 peratus setahun antara 1997-8. Penguncupan ini berlaku
kerana pengurangan permintaan dalam negeri kerana kekayaan sektor swasta terhakis dari
kejatuhan nilai saham dan nilai aset, kadar faedah yang tinggi sebelum September 1998,
kesukaran sektor swasta untuk mendapatkan kredit, keadaan mudah tunai yang ketat,
ketidakpastian jangka pendek dan sektor pekerjaan, dan rakan dagangan Malaysia juga
mengalami kelembapan ekonomi lantas menjejaskan permintaan luar negeri Malaysia
(Kementerian Kewangan, 1998).
Pada 1990, imbangan keseluruhan mencatat lebihan RM5,365 juta. Namun di tengah
kepesatan ekonomi pada awal 1990-an, negara mencatatkan imbangan pembayaran yang
negatif iaitu pada tahun 1994-5. Menjelang 1998, imbangan pembayaran meningkat menjadi
positif kerana akaun semasa yang telah pulih (positif) dan imbangan akaun dagangan dan
perkhidmatan yang positif.
Pengeluaran sektor utama ekonomi turut terjejas disebabkan oleh permintaan yang
berkurangan, penawaran yang berlebihan dan juga kekangan penawaran. Sektor utama
ekonomi seperti pertanian, pembuatan, perkilangan, dan pembinaan mengalami penurunan
nilai pengeluaran. Sektor pembinaan menurun dengan ketara sekali, 19.2 peratus, pada
1998.
Pengeluaran pertanian keseluruhannya telah menurun dalam tahun 1998. Pengeluaran
kelapa sawit menurun 8.1 peratus dibandingkan dengan tahun 1997 akibat masalah cuaca
El Nino dan La Nina. Pengeluaran getah menurun sebanyak 10.3 antara tahun 1997 dan
1998 disebabkan oleh penurunan kawasan getah, kekurangan tenaga buruh dan harga
yang tidak lumayan walaupun hasil sehektar bagi perladangan dan pekebun kecil
bertambah baik dengan peningkatan tanaman dengan klon yang berkualiti tinggi.
Masalah cuaca yang dibawa oleh El Nino turut menjejaskan pengeluaran koko. Kawasan
tanaman koko menurun 4.3 peratus antara 1997 dan 1998 iaitu daripada 156,738 hektar
kepada 150,000 hektar.
Pendapatan eksport sektor pertanian telah meningkat 26.6 peratus antara 1997 dan 1998.
Kenaikan pendapatan eksport berpunca daripada nilai eksport yang tinggi bagi minyak
kelapa sawit, minyak isi rong kelapa sawit dan lada hitam yang didorong oleh harga eksport
yang tinggi berikutan penyusutan ringgit.
Kesan langsung krisis tersebut adalah kenaikan harga import input pertanian. Nilai import
negara telah meningkat sebanyak 13 peratus antara 1997-98 dengan barang perantaraan,
seperti baja dan komponen, yang mencatatkan pertambahan yang paling ketara iaitu
sebanyak 70 peratus.
Sektor pertanian mengambil 16 peratus daripada guna tenaga keseluruhan ekonomi. Bagi
keseluruhan sektor, jumlah guna tenaga telah merosot antara 1997 dan 1998 sebanyak 2.8
peratus akibat krisis ekonomi. Masalah penurunan guna tenaga paling ketara dalam sektor
pertanian, perhutanan dan perikanan yang merosot sebanyak 5.3 peratus. Penurunan
berlaku akibat beberapa estet yang cuba menjimatkan kos dengan memberhentikan pekerja
asing.

Tahun 1998 menampilkan peningkatan ketara dalam Indeks Harga Pengguna (IHP). Antara
Januari dan September 1998, IHP meningkat 5.2 peratus. Jika 1994 dikira sebagai tahun
asas, maka IHP telah meningkat 37 peratus pada 1998. Kenaikan harga makanan adalah
disebabkan nilai import makanan yang naik kesan kemerosotan nilai ringgit. Dalam negeri
pula pengeluaran makanan masih terbatas, malah berkurangan. Pelaburan swasta dalam
sektor itu merosot kerana masalah penawaran, kekurangan tanah dan buruh, dan
kelembapan teknologi.
Krisis kewangan yang melanda Malaysia merupakan lumrah lazim kitaran sesuatu ekonomi,
cuma krisis kali ini terlalu parah pernah direkodkan dalam sejarah ekonomi negara ini
mahupun di negara Asia yang lain. Kesan krisis ekonomi tidak terbatas kepada pemboleh
ubah ekonomi sahaja, tetapi melampaui politik dan sosial sebagaimana yang terbukti di
Korea, Thailand, Indonesia dan Malaysia sendiri.
Punca utama krisis kewangan ini adalah proses globalisasi yang mula bertapak dalam
pasaran antarabangsa. Ledakan maklumat memungkinkan globalisasi berlaku dengan
cepat. Aliran modal yang bebas mendorong spekulator mata wang mengaut keuntungan
daripada mata wang ekonomi negara membangun yang lemah fundamental ekonominya.
Globalisasi adalah fenomena yang terpaksa kita depani dalam alaf yang akan datang. Krisis
ini memberi pengajaran bernas walaupun kosnya tinggi kepada negara.
Pemerhatian tentang sektor pertanian menyarankan beberapa implikasi polisi ke atas sektor
ini. Pertama, kepelbagaian ekonomi adalah strategi mapan dalam menghadapi sistem
ekonomi global tanpa sempadan dan liberal. Kecekapan kos dan teknikal adalah prasyarat
utama untuk bersaing dalam sistem ini.
Kedua, sektor makanan Malaysia memerlukan pembaharuan untuk mengurangkan
pergantungan pasaran import yang tidak menentu.
Ketiga, kenaikan harga input pertanian yang menjejaskan daya saing pertanian negara
menyarankan bahawa sektor ini masih belum mencapai tahap kecekapan teknologi yang
sepatutnya untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan import. Dalam persekitaran
ekonomi global dan tidak bersempadan ini, mempertahankan kecekapan dan daya saing
adalah satu kemestian. -Oleh FATIMAH MOHD. ARSHAD

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=1999&dt=0217&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz2rFfUJ9Og
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai