Anda di halaman 1dari 3

CONTOH RENCANA PERTANDINGAN PAMERAN INOVASI PEDAGOGI Disediakan oleh :

Pada 13 dan 14 Oktober 2012, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu telah melangsungkan satu Pertandingan Pameran Inovasi Pedagogi yang telah diadakan di Dewan Zaba. Datin Siti Hanifah Binti Madarsa yang merupakan pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu telah merasmikan pertandingan ini. Tema yang dipilih untuk pertandingan kali ini ialah Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara lanjutan daripada tema tahun lalu, Guru Penjana Transformasi Negara adalah amat bertepatan sekali dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi Negara. Inovasi pedagogi merupakan satu idea, amalan atau bahan yang membawa pembaharuan dan pembaikan seseorang individu atau sistem sosial dalam aspek pengajaran dan pembelajaran ( P&P ) , pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan juga interaksi antara guru dan pelajar khususnya pengajaran dalam pendidikan formal. Selain itu, inovasi ini merupakan satu platform ke arah menjana transformasi pendidikan negara dalam merealisasikan wawasan 2020.Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik sekali gus melahirkan modal insan yang berjiwa kreatif, berinovatif serta berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Pertandingan yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 2.30 petang tersebut telah disertai oleh lima orang wakil pelajar bagi setiap lima buah Institut Pendidikan Guru ( IPG ) iaitu IPG Kampus Ilmu Khas ( IPIK ), IPG Kampus Pendidikan Islam ( IPIS ), IPG Kampus Teknik (IPTEK ), IPG Kampus Bahasa Antarabangsa ( IPBA ) dan IPG Kampus Bahasa Melayu ( IPBM ).

Sepanjang program ini berlangsung, sebanyak 25 inovasi telah dipertandingkan dan dipamerkan oleh kesemua peserta. Usaha dan kreativiti yang ditonjolkan oleh setiap peserta menampilkan hasil inovasi yang berkualiti dan mempunyai daya kreativiti tinggi. Para pelajar dan para pengunjung yang berkunjung ke pameran tersebut menunjukkan kritikan yang positif dan mereka berasa amat teruja dengan persembahan pameran yang dipamerkan. Potensi yang ditonjolkan oleh setiap peserta ini merupakan salah satu strategi yang mampu merealisasikan Falsafah Pendidikan Guru dalam memperkembangkan potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu. Pertandingan ini juga telah diadili oleh tiga orang pengadil yang terdiri daripada pensyarah, iaitu Puan Zawiah daripada Ketua Jabatan Kebudayaan dan Kesusasteraan, Encik Aizuddin daripada Ketua Jabatan Unit Kokurikulum dan Puan Wak Chu A/P Wok daripada Unit Sains Sosial. Pengadil mengadili pertandingan dengan menilai kreativiti dan inovatif yang ada pada setiap inovasi. Johan bagi pertandingan ini dimenangi oleh Inovasi Kemahiran Membentuk Huruf Kecil Menggunakan Pengekodan Imej yang dihasilkan oleh pelajar IPGKBM. Naib johan pula dimenangi oleh pelajar IPIS yang menghasilkan Serat Tekstil Dalam Penghasilan Produk Kraf. Pelajar daripada IPBA yang menghasilkan Penggunaan Lapbook Sebagai BBM Murid Pemulihan merupakan pemenang bagi tempat ketiga. Majlis penyampaian hadiah dan penutupan telah dilaksanakan oleh Datin Siti Hanifah Binti Madarsa. Secara keseluruhnya, pertandingan pameran inovasi ini telah berlangsung dengan jayanya. Program seperti ini dapat memberi peluang kepada semua pendidik dalam kalangan pelajar menonjolkan kreativiti, inovasi, kemahiran serta kemampuan diri dalam mencipta inovasi. Selain itu juga, program ini dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan Guru dan Wawasan 2020 dalam melahirkan guru dan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai