Anda di halaman 1dari 1

BERKELAH DI TEPI PANTAI Esok bermulalah cuti sekolah bagi semester yang pertama.

ayah bercadang membawa kami sekeluarga ke Pantai Batu Buruk untuk berkelah. Setelah

mendengar cadangan ayah, saya dan adik melonjak-lonjak kegembiraan. Sebelum bertolak, saya menolong ibu menyediakan barang-barang seperti tikar, pakaian mandi, radio, kamera digital dan bekalan makanan. Setelah bersiapsiap, kami bertolak ke sana dengan menaiki kereta ayah. Kira-kira 15 minit kemudian, kami pun sampai di destinasi. Saya dan adik membantu ayah menurunkan barang-barang dari but kereta. Kemudian, kami mencari tempat yang sesuai untuk berkelah. Kami telah menghamparkan tikar di bawah sepohon pokok ru yang rendang dan meletakkan barang-barang di atas tikar. Suasana di Pantai Batu Buruk amat meriah. Ramai orang berkunjung ke sana untuk menghabiskan masa terluang. Pemandangan di tepi pantai indah nian. Bayu laut bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun pohon nyiur melambai-lambai persis mengalu-alukan kedatangan kami. Saya dan adik tidak sabar hendak bermandi-manda di laut yang membiru. Setelah menyalin pakaian, kami pun terjun ke laut. Air laut begitu jernih dan dingin rasanya. Sesekali laut bergelora, kami terumbang-ambing dipukul ombak. Kegembiraan jelas terpancar melalui gelak ketawa kami berdua. Setelah puas bermain, saya dan adik pun naik ke darat. Ayah masih leka membaca majalah kegemarannya sejak tadi lagi. Ibu pula menghidangkan makanan untuk kami. Nasi minyak yang dimasak oleh ibu begitu enak dan membuka selera. Saya dan adik menghabiskan nasi sehingga menjilat jari. Selepas menjamu selera, saya mengajak adik membina istana pasir. Ayah dan ibu pula mengambil angin di gigi air. Kami sempat menangkap gambar ketika matahari mula terbenam untuk dijadikan kenangan. Kata ayah, inilah saat-saat yang paling indah. Sebelum pulang, kami membersihkan kawasan perkelahan. Saya dan adik berasa berat hati untuk meninggalkan pantai ini. Memori manis di Pantai Batu Buruk tetap terpahat dalam sanubari kami.

Anda mungkin juga menyukai