Anda di halaman 1dari 3

Bahagian B

[100 markah] [Masa yang dicadangkan : 1 jam 30 minit] Pilih satu daripada soalan di bawah ini dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

Soalan 2 : Kebersihan amat penting dalam kehidupan. Setiap ibu bapa menitikberatkan kebersihan terhadap anak-anak. Jelaskan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Hasil penulisan Tan Li Qi (4 ST1)


Kebersihan amat penting dalam kehidupan. Kebersihan banyak mendatangkan faedah kepada seseorang. Dengan mengamalkan kebersihan, seseorang pelajar akan dapat mengulang kaji pelajaran dan belajar dengan lebih selesa dan aman. Dengan adanya kebersihan, sesebuah restoran bukan sahaja akan selalu dikunjungi pelanggan malahan akan sentiasa menerima pujian. Selain daripada itu, sesuatu tempat akan kelihatan lebih istimewa sekaligus akan menaikkan imej ke peringkat yang lebih baik di mata masyarakat. Di samping itu, dengan adanya kebersihan jugalah akan menjadikan sesebuah negara itu disanjung tinggi di mata dunia. Sekiranya masyarakat mengabaikan aspek kebersihan, pasti akan muncul beberapa kesan negatif sebanyak bintang di langit yang tidak terhitung oleh manusia. Sebenarnya, amalan kebersihan bermula dari rumah iaitu sejak anak-anak masih kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, setiap ibu bapa mestilah menitikberatkan aspek kebersihan dalam usaha mendidik anak-anak. Oleh hal yang demikian, peranan ibu bapa amatlah besar dan mencabar.

Dalam sesebuah keluarga, ibu bapa mestilah berperanan sebagai pembimbing ke arah mendidik anak-anak mengamalkan tabiat mementingkan kebersihan. Ibu bapa melaksanakan tanggungjawab keibubapaan mereka dengan penuh komitmen dan berdedikasi. Ibu bapa mestilah mendidik anak-anak tentang kepentingan kebersihan sejak mereka berusia setahun jagung darah setampuk pinang. Ibu bapa mestilah mendisiplinkan anak-anak supaya menjadi insan yang mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, mereka hendaklah memastikan anak-anak sentiasa berpakaian bersih dan kemas serta rambut tersisir rapi. Mereka seharusnya memastikan anak-anak sentiasa menjaga kebersihan diri seperti menggosok gigi selepas makan dan sebelum tidur. Selain itu, anak-anak perlu dilatih mencuci tangan ketika hendak makan atau selepas makan. Begitu juga halnya apabila anak-anak bangun daripada tidur sewajarnya ibu bapa melatih mereka mengemas bilik tidur termasuklah penggunaan bilik air Usaha sebegini perlu dilakukan secara berterusan kerana alang-alang mandi biarlah basah dan bukan sekadar

mandi kerbau. Oleh itu, ibu bapa mestilah menyemai sikap mementingkan kebersihan ke dalam jiwa anak-anak kerana kebersihan separuh daripada iman. Seterusnya, ibu bapa mestilah mempamerkan suri teladan yang sempurna. Janganlah ibu bapa menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa mestilah terlebih dahulu mengamalkan aspek kebersihan dalam kehidupan. Hal ini kerana bapa borek anak rintik ataupun bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa sebaik mungkin. Oleh sebab ibu bapa merupakan idola pertama dalam hidup mereka, sudah pasti mereka akan mengikut jejak dan mencontohi ibu bapa mereka. Sebagai contoh, sekiranya bapa tidak mandi dari siang hinggalah ke malam, anaknya turut akan melengah-lengahkan waktu mandinya dan seterusnya menjadi alpa untuk menjaga kebersihan diri. Oleh itu, ibu bapa mestilah terlebih dahulu menjadi insan yang mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian supaya anak-anak mendapat suatu contoh teladan yang sempurna untuk diikuti.

Ibu bapa juga perlulah mewujudkan suasana keluarga yang bersih, bahagia lagi kondusif. Ibu bapa mestilah selalu mengingati matlamat kempen Rumahku Syurgaku dan slogan Keluarga Bahagia. Apabila menyebut perkataan syurga, pastilah kita akan memikirkan suatu tempat yang bersih, bahagia, aman, selesa dan seumpamanya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memastikan seluruh kawasan rumah sama ada di dalam atau di luar rumah sentiasa dalam keadaan bersih. Ibu bapa seharusnya mengajak anak-anak supaya bersama-sama memiliki perasaan bertanggungjawab menjaga kebersihan rumah. Ibu bapa boleh juga mengadakan gotong-royong dari semasa ke semasa bagi mencapai tujuan tersebut. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengelap lantai, mencuci tandas, menghias halaman rumah dan sebagainya. Hal ini bukan sahaja dapat mewujudkan suasana yang bersih malahan dapat melahirkan hubungan kekeluargaan yang erat bagai aur dengan tebing.

Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai sahabat kepada anak-anak dalam usaha menerapkan amalan mementingkan kebersihan. Ibu bapa mestilah banyak meluangkan masa mendampingi anak-anak dengan penuh kasih sayang bagaikan menatang minyak yang penuh. Keadaan sebegini dapat membantu ibu bapa mengetahui tingkah laku anak-anak mereka ketika di luar rumah. Hal ini kerana ibu bapa akan dapat memahami jiwa anak-anak mereka melalui rakan sebaya yang sering mendampingi anak-anak mereka. Kata-kata seorang pujangga yang tersohor, jika kita berjinak-jinak dengan si peminyak wangi maka harumlah badan kita. Jika kita berjinak-jinak dengan si tukang besi, maka percikan api akan terkena badan kita. Ibu bapa perlu memastikan rakan-rakan yang bergaul dengan anakanak mereka adalah insan yang mementingkan aspek kebersihan juga. Kesannya,

pendidikan yang diterapkan dalam jiwa anak-anak tentang aspek kebersihan akan berterusan walaupun anak-anak mereka berada di luar rumah.

Konklusinya, Setiap ibu bapa perlu menitikberatkan aspek kebersihan terhadap anakanak supaya mereka menjadi insan yang mementingkan kebersihan. Sehubungan dengan itu akan lahirlah sebuah masyarakat yang mementingkan kebersihan. Kesannya, negara kita akan bebas daripada ancaman budaya barat seperti budaya hedonisme dan budaya kuning. Secara tidak langsung, hal ini akan membantu negara kita terus berkembang maju dalam pelbagai sektor kerana memiliki modal insan yang cemerlang. Hal ini jelas membuktikan kebenaran satu peribahasa Melayu iaitu tangan yang menghayun buaian akan dapat menggoncang dunia. Bermula dari rumah, anak-anak diterapkan oleh ibu bapa dengan aspek kebersihan telah dapat menjadikan negara kita mencapai taraf berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Di sini, jelaslah bahawa betapa besarnya peranan ibu bapa dalam melahirkan modal insan yang mementingkan aspek kebersihan.

Anda mungkin juga menyukai