Anda di halaman 1dari 12

Perkaitan Hubungan Geometri dalam Al-Quran dan Kitab Raudat al-Hussab

Noor Hayati Marzuki1 , Shahrul Nizam Ishak2, Jamaludin Md. Ali3


Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia, 11800 Penang.

‫ وعلى دعاة الحق وقادة‬, ‫ وأفضل الصالة وأتن التسلين على سيذ ًا هحوذ وعلى آله وصحبه أجوعيي‬, ‫الحوذ هلل رب العالويي‬
‫الخير باحساى الى يىم الحســـــاب‬

Abstract
Apakah Geometri? Apakah dalil Al-Quran tentang geometri? Persoalan tersebut menjadi
titik mula dalam kajian ini. Maka, makalah ini akan membincangkan perhubungan antara
geometri dan Al-Quran sebagai suatu ilmu bersepadu dalam merencana pembangunan
dan kelestarian tamadun. Kupasan aspek geometri yang disebut dalam Al-Quran
dinyatakan bersama contoh-contohnya. Kemudian, dengan merujuk kepada kitab Raudat
al-Hussab Fi ‘Ilm al-Hisab sebagai contoh dalam masalah geometri tersebut diberikan
dalam penyelidikan ini. Antara lain, kajian ini juga mengetengahkan hasil karya „ulama
Melayu yang telah berjaya menjana pemikiran saintifik berlandaskan Al-Quran.
Hubungkait yang dibawa oleh penulis kitab Raudat al-Hussab tersebut telah membawa
satu dimensi baru kepada masyarakat Alam Melayu terutamanya dalam bidang „ilmu
hisab. Oleh itu, diharap kajian sorotan makalah ini dapat menyuntik kesedaran dan
pentingnya ilmu fardu kifayah terutamanya „ilmu hisab yang berpaksikan Al-Quran
dalam meneraju arus kehidupan manusia sehingga Yaum al-Hisab.

Kata kunci : Al-Quran, Geometri, Raudat al-Hussab.

1.0 Pendahuluan

Al-Quran telah diturunkan sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad
s.a.w. dan kewujudanNya dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya. Membaca al-Quran serta
menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup
manusia dan rujukan utama di samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada kita
secara mutawatir, pasti dan qat’i dan ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf
„Uthmani. Adalah wajar bagi kita umat Islam mengkaji al-Quran dan perkara yang berkaitan
dengannya.
Sains dan matematik adalah cabang ilmu pengetahuan yang merupakan salah satu isi pokok
kandungan kitab suci al-Qur‟an dan sangat berkait erat dengan perlaksanaan sesuatu ibadah.
Banyak tuntutan agama ditunaikan dengan sempurna dan baik apabila ilmu-ilmu sains dan
matematik tertentu dikuasai. Tuntutan sembahyang dengan segala syarat-syaratnya seperti
menghadap qiblat dan menentukan masa masuk waktu sembahyang (‘ilm al-tawqit) memerlukan
pengetahuan mengenai sains pemetaan (cartography) dan ini telah mencetuskan perkembangaan
ilmu-ilmu geometri (al-handasah), trigonometri, ilmu taqwim (‘ilm al-hai’ah) dan astronomi.
Allah telah meletakkan garis-garis besar sains dan ilmu pengetahuan dalam al-Qur‟an, manusia
hanya tinggal menggali, mengembangkan konsep dan teori yang sudah ada.

2.0 Beberapa Konsep Matematik dan Kaedah-Kaedah Perhitungan Dalam al-Quran.

Sejarah kegemilangan Tamadun Islam (9M-14M) menunjukkan dorongan daripada al-Quran,


orang Islam memulakan sains matematik yang terdiri dari ilmu perhitungan („ilm al-Hisab) dan
ilmu pernomboran („ilm al-al-Adad). Al-Quran ada menyatakan tentang ilmu penomboran ,
pengiraan atau perhitungan dalam pelbagai keadaan dan konteks yang berbeza-beza [1]. Ilmu
pernomboran dinyatakan antaranya berkaitan bilangan hari dan tahun dalam ayat 18:11-12 dan
19, bilangan hari puasa dalam ayat 2:184-185, tempoh ‟iddah dalam ayat 65:1-2 dan 4.
Unsur-unsur dan konsep-konsep matematik dalam al-Quran juga ada dinyatakan secara jelas
atau tersirat. Contohnya beberapa nombor-nombor genap iaitu nombor satu, tiga, empat, lima,
enam, tujuh dan lapan dinyatakan dalam ayat al-Kahfi 15:19 dan 22 dan nombor pecahan
dinyatakan dengan jelas sekali dalam ayat an-Nisā 4: 11, 12,176. (ayat berkaitan faraid).
Nombor-nombor pecahan yang disebut dalam ayat ini ialah nisf (1/2), thuluth (1/3), rubu„ (1/4),
sudus(1/6), thumun (1/8). Terdapat umpamanya konsep kadar, contohnya dalam an-Nisā 4:7,
ayat berkaitan faraid dan al-Hajj 22:47, ayat berkaitan masa; sehari di akhirat bersamaan 1000
tahun yang dihitung di dunia.
Konsep ‘infiniti‟ dinyatakan secara tersirat dalam al-Quran, umpamanya dalam ayat an-Nahl
16:18. yang bermaksud “Dan jika kamu mahu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan
kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu (menentukan
jumlahnya)….”. Kenyataan dari perkataan dalam ayat ini menggambarkan konsep infiniti

iaitu konsep nombor tak terhitung atau tak terhingga.


Perhitungan dalam konteks muamalah juga dinyatakan dalam al-Quran, contohnya seperti
dalam ayat mengenai perintah Allah merekodkan segala aktiviti dalam perjanjian, pensyarikatan
dan jual-beli iaitu dalam al-Baqarah 1:282. Banyak lagi ayat-ayat al-Quran terutama ayat
mengenai falak yang menunjukkan terdapatnya konsep matematik dan permasalahan yang
memerlukan pengiraan.
Perbincangan tadi menunjukkan dengan jelasnya bahawa penyelidikan bidang sains
matematik orang Islam bermula dengan penyelidikan ilmu penomboran (‘ilm al-Adad) dan ilmu
pengiraan (‘ilm al-Hisāb) adalah hasil dorongan dari ayat-ayat al-Quran. Justeru itu jika kita
ingin menyelidiki ilmu yang berkaitan dengan sains matematik, al-Quran menjadi petunjuk dan
panduan utama. Sesungguhnya Al-Quran bukan kitab sains matematik, namun kitab al-Quran
telah menyingkap segala konsep ilmu yang merentasi semua ilmu pengetahuan.

3.0 Pengenalan iIlmu Geometri

Dalam makalah ini, penulis ingin melihat perkaitan geometri dengan Al-Quran dan buku/ kitab
Raudat al-Hussab Fi ‘Ilm al-Hisab [2]. Sebelum penulis menunjukkan bukti terdapatnya
hubungan ilmu geometri dengan al-Quran , perlulah diingat bahawa al- Quran tidak dianggap
suatu buku rujukan matematik tetapi suatu kitab yang sangat bersifat analitik dan saintifik. Al-
Quran menjadi sumber dalam perkembangan ilmu matematik berkaitan kaedah dan hukum
penyelesaian sesuatu permasalahan yang memerlukan ilmu matematik amnya dan ilmu geometri
pada permasalahan tertentu. Al-Quran juga sebagai sumber pencetus persoalan dan
permasalahan yang melibatkan pengiraan dan perhitungan.
Geometri merupakan satu cabang ilmu matematik yang paling tua. Perkataaan geometri
berasal daripada perkataan Yunani geometria yang mana Geo bererti bumi dan metria bererti
ukuran. Geometri adalah cabang matematik mengenai bentuk, saiz dan keadaan relatif sesuatu
gambarajah dengan sifat-sifat ruang tertentu. Pada awalnya, geometri adalah ilmu praktikal
mengenai ukuran panjang, keluasan dan isipadu dan telah dijadikan dalam bentuk aksiom oleh
Euklid (300BC) [11]. Ahli matematik Islam menyebut geometri dengan nama al-Handasah.
Menurut pengarang Mafatih al-„Ulum, handasah berasal daripada perkataan Parsi iaitu Andazah
yang bererti ukuran-ukuran atau dimensi-dimensi [13]. Al-Farabi mentakrifkan al-Handasah di
dalam karyanya Isaghuji al-Farabi,
Antara lain Ibn Khaldun1 menjelaskan takrif geometri dalam kitabnya yang terkenal al-
Muqaddimah bahawa ilmu geometri mengkaji

“…ukuran-ukuran diskret (al-munfasilah) seperti nombor dan peristiwa yang berlaku


keatasnya. Cabang-cabang ilmu ini ialah ilmu tentang bentuk-bentuk lengkung keratan
kon (al-asykal al-kuriyyah al-makrutat), ilmu tentang keluasan (al-misahah) dan optik (al-
Manazir). Ilmu ini sangat berguna pada ahlinya.”[13]

4.0 Dimanakah Ilmu Geometri Dalam al-Quran?

Sesungguhnya segala jenis ilmu terkandung di dalam Al-Quran. Jika manusia rajin berusaha
mengkaji dan mengambil pengajaran daripadanya, maka mereka akan mendapat rahmat
daripadaNya. Ilmu geometri penting dalam menyelesaikan pelbagai masalah harian berhubung
kehidupan manusia iaitu seperti pengiraan keluasan tanah, seni reka bentuk dalam pembuatan
atau pembinaan bangunan, tembikar, permaidani, senjata dan batu-bata.
Hal-hal tersebut telah dinyatakan dalam Al-Quran secara eksplisit [3]. Contohnya.

i) Seni bina - (26:129)


ii) Seni pembuatan batu-bata - (28:38)
iii) Seni pembuatan senjata - (57:25)
iv) Seni pembuatan permaidani - (18:31), (55:76)
v) Seni pembuatan tembikar - (3:49), (56:18), (76:15-17)

Berhubung pembahagian tanah hasil dari rampasan perang dalam Surah al-Anfal ayat 1 dan
41 ilmu geometri diperlukan untuk menjelaskan pembahagian harta tersebut. Harta itu
dibahagikan lima bahagian dan diagihkan kepada:
i) Rasulullah

1 Nama sebenarnya ialah Abu Zayd ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami (1332-1406). Beliau
berasal dari Tunisia dan Ibn Khaldun ialah anak murid kepada Ibn al-Banna yang terkenal dengan karyanya bertajuk
Talkhis fi ‘Amal al-Hisab.
ii) kerabat Nabi Muhammad s.a.w.
iii) anak-anak yatim
iv) fakir miskin
v) orang musafir
manakala yang selebihnya iaitu lagi adalah untuk askar-askar yang merampas harta
tersebut. Disamping itu, ayat ke-enam hingga ke-sepuluh dalam surah al-Hasyr juga
menerangkan perihal pembahagian tanah. Penentuan kadar sewaan tanah seperti had minima
dan had maksima juga diterangkan oleh Allah dalam Al-Quran2.
Selain itu, dalam aspek seni bina, Al-Quran telah menggambarkannya menerusi Firman Allah
dalam surah al-A‘raf ayat 24 tentang seruan Nabi Soleh kepada kaumnya dengan menceritakan
kisah kaum ‘Ad yang mahir memahat bukit sehingga dapat dijadikan rumah untuk didiami oleh
mereka. Surah an-Naml ayat 44 juga menggambarkan kehebatan arkitektur pada zaman nabi
Sulaiman a.s. Kisah popular tersebut menerangkan bagaimana sangkaan seorang ratu yang
memasuki sebuah istana dengan menyangka terdapat sebuah kolam di dalamnya tetapi ia adalah
lantai yang licin lagi berkilat, pada ketika itu juga ratu tersebut beriman kepada Yang Maha Esa.
Tambahan juga, dalam kisah al-Walid bin Abdul Malik, ketika mereka bersepakat untuk
membangunkan masjid Madinah dan al-Quds (Jerusalam) serta masjidnya sendiri di Syria, beliau
telah meminta kaisar Byzantin di Konstantinopel supaya menghantar tenaga kerja yang ahli
dalam seni bina bangunan dan akhirnya bangunan tersebut telah dapat didirikan sebagaimana
yang direncanakan [12].
Terdapat sebuah kitab tafsir yang menarik perhatian penulis kerana di dalamnya dibincangkan
aspek geometri berdasarkan Firman Allah. Kitab tersebut dikarang oleh Syeikh Tantawi
Jauhari3, pensyarah di Darul-Ulum, Mesir yang diberi nama al-Jawahir fi Tafsir al-Quran [4].
Tantawi menyatakan bahawa di dalam al-Quran ada lebih daripada 750 ayat berkenaan sains .
Tafsir ini dikenali sebagai Tafsir ‘Ilmi4 dan corak penafsirannya berbeza dengan tafsir yang lain

2 Rujuk, untuk had maksimum - (2:272), (3:25),(8:60),(21:47),(36:54),(45:22) dan lain-lain, untuk had minimum –
(2:233,286),(6:153),(7:42),(23:62) dan (65:7).
3 Sheikh Tantawi Jauhari ialah seorang cendekiawan berasal dari Mesir dan mendapat nama julukkan sebagai
‘Musafir Ilmi’ kerana keluasan ilmu yang dimilikinya. Beliau dilahirkan pada tahun 1870 di wilayah Ghar.
4 Tafsir al-Quran secara saintifik dengan pengertian bahawa ‘tafsir yang menjelaskan istilah-istilah sains dalam
perkataan al-Quran dan berupaya untuk mengeluarkan pelbagai ilmu sains dan pemikiran falsafah daripadanya’
(keterangan ini merujuk pada kitab At-Tafsir wa al-Mufassirun karya Muhammad Husain Adz-Dzahaby dan kitab
Muqaddimah fi Ushul at-Tafsir karya Ibnu Taimiyah).
seperti tafsir Qurtubi [5], tafsir al-Qasimi [6], tafsir Munir [7], tafsir al-Manar [8], dan lain-lain.
Firman Allah,

.‫وأًبتٌا فيـــها هي كل شئ هىزوى‬...

Mafhumnya: “ ...dan kami tumbuhkan di atasnya tiap-tiap sesuatu (tumbuhan) dengan ukuran
(timbangan).5

Contoh tumbuhan yang diberikan dalam al-Jawahir adalah tentang ranting pohon oak6.
Ranting tersebut dipilih kerana ia mempunyai sifat yang unik dan yang menarik serta juga
terdapat sejenis bunga yang mempunyai bentuk simetri pada kedua-dua belah bahagian terhadap
setiap separuh bulatan ranting tersebut.7
Oleh itu, benarlah Al-Quran merupakan rujukan segala macam bidang ilmu dan amat berguna
untuk dikaji dan diamalkan sepanjang zaman.

5.0 Kupasan Geometri Dalam Raudat al-Hussab

Biasanya apabila kita menyebut tentang ilmu hisab atau matematik, sering kali dikaitkan dengan
Barat. Kita jarang dengar atau mungkin tidak pernah dengar sama sekali tentang kitab ilmu hisab
atau buku matematik yang dikarang oleh penulis „Alam Melayu. Di sini penulis ingin
mengetengahkan sebuah kitab karangan anak tempatan di Alam Melayu iaitu Kitab Raudat al-
Hussab Fi ‘Ilm al-Hisab oleh Sheikh Ahmad al-Khatib8. Kitab Raudat al-Hussab yang dirujuk
mempunyai hamisyah syarah sakhawiyah oleh Hussein Ibn Muhammad al-Muhalla as-Syafi„.
Walau bagaimanapun, makalah ini hanya membincangkan bab yang ke-tujuh daripada Raudat
al-Hussab pada halaman 137 hingga 186, iaitu berkaitan dengan geometri, yang mana
kandungannya ialah:

Fasal 1: Menamakan dan mengenali ciri-ciri segiempat sama/murabba„, segiempat tepat,


segiempat selari, rombus, trapizium, parallelogram. Menyelesaikan masalah

5 Al-Quran, (14:19).
6 Oak dalam bahasa arab ialah (‫)البلوط او السنديان‬, rujuk [14].
7 Rujuk lampiran 2.
8 Beliau ialah ulama kurun ke-19. Dipercayai juga salah seorang gurunya di Masji al-Haram ialah as-Sayyid Abi
Bakr Syata, rujuk Raudat al-Hussab halaman 176. Maklumat lanjut tentang latar belakang Sheikh Ahmad al-Khatib
boleh dilihat dalam ‘Ahmad Khatib Ilmuwan Islam di Permulaan abad ini’ [10].
sempadan, luas dan isipadu pepejal dengan tapaknya suatu segiempat dan lain-lain.
Pembuktian teorem Phitagoras (hanya dibincangkan dalam Raudat al-Hussab, bab
terakhir).

Fasal 2: Menamakan dan mengenali ciri-ciri segitiga sama , segitiga sama kaki dan segitiga
tepat. Penyelesaian masalah sempadan, luas dan isipadu pepejal dengan tapaknya
suatu segitiga.

Fasal 3: Mengenali bulatan. Penyelesaian masalah berkaitan bulatan; jejari, perentas bulatan,
luas dan isipadu pepejal dengan tapaknya suatu bulatan.

Fasal 4: Mengenali semibulatan, segmen, sektor, bentuk bulan sabit, dan anulus. Penyelesaian
masalah luas dan isipadu pepejal dengan tapaknya adalah bentuk-bentuk ini.

Fasal 5: Poligon-n, n lebih dari 4. Penyelesaian masalah luas dan isipadu pepejal dengan
tapaknya suatu poligon-n, n4

Fasal 6: Gabungan bentuk-bentuk geometri. Penyelesaian masalah luas dan isipadu pepejal
dengan tapaknya adalah gabungan ini.

Fasal 7: Menamakan dan mengenali kiub, kon, piramid, selinder, prizam, sfera dan sebahagian
sfera. Penyelesaian masalah luas permukaan dan isipadu pepejal dari bentuk-bentuk
ini. Penentuan ketinggian bukit, kedalaman telaga, keluasan sungai dan kolam,
Janjang aritmetik dan janjang geometri.

Secara umumnya Raudat al-Hussab mengandungi pengenalan geometri, istilah, definisi


istilah, melakar bentuk segi tiga, segi empat, bulatan dan elips. Perbincangan seterusnya ialah
mengenai keluasan segi tiga, segi empat, isipadu dan luas permukaan pelbagai bentuk seperti
kotak, selinder, sfera, kon dan bongkah lain. Terdapat juga pengiraan tinggi bukit, menara,
dalam perigi dan luas sungai/kolam.
Karya matematik gunaan Sheikh Ahmad yang memerlukan geometri ialah :
i). Khulasah al-Jawahir al-Naqiyyah fi’ al-
‘mal al-Jaibiyyah/A (berkaitan qawa’id al-miqat).
ii). Al-Nukbah al-Bahiyyah (berkaitan rubu’ mujayyab)
Contoh bentuk geometri yang dibincangkan oleh Sheikh Ahmad dalam bab tujuh tersebut
ialah mengenai bentuk sfera. Beliau memberi takrif sfera sebagai suatu permukaan yang
mengandungi garis-garis yang semuanya adalah sama jarak daripada satu pusat9. Illustrasi bentuk
sfera ditunjukkan dalam Rajah 1.

9 Raudat al-Hussab, halaman 160.


7

22
Rajah 1: Geometri bentuk sfera
Formula kiraan bagi sfera diberikan oleh Sheikh Ahmad adalah seperti berikut10:
Diketahui diameter, d  7 dan keliling, k  22 , maka luas sfera ialah,

d  k  7  22  154.

Perhatian bahawa bentuk sfera adalah berbeza dengan bentuk bulat. Sfera dinyatakan dalam
bentuk tiga matra atau dikenali sebagai objek manakala bulat dinyatakan dalam bentuk dua matra
sahaja. Bacaan lanjutan mengenai bulatan boleh rujuk [17]. Dalam Raudat al-Hussab (halaman
161) sfera disebut sebagai al-kurrah dan contoh kepada al-kurrah tersebut ialah al-ard. Sebagai
bandingan, al-quran banyak menyebut kalimah al-ard, misalnya

... ‫الحوذ هلل فاطرالسواوات واألرض‬


Mafhumnya: Puji-pujian bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi …[9]11

Jika kita merujuk dalam pelbagai tafsir, kalimah al-ard dalam ayat di atas membawa maksud
bumi. Sarjana Islam sejak dahulu lagi telah pun menemui dan menyatakan bahawa al-ard atau
bumi adalah berbentuk sfera. Justeru, orang pertama yang mencipta glob adalah dikalangan
sarjana muslim iaitu as-Sijzi. Maka, seharusnya karya-karya „ulama silam diterjemahkan ke
dalam bahasa tempatan bagi menggalakkan penyelidikan terhadapnya dapat dilakukan untuk
membangunkan ebuah komuniti masyarakat ke arah kelestarian tamadun. Bacaan lanjut
mengenai kepentingan kerja penterjemahan karya manuskrip lama boleh dirujuk dalam [16].

10 Raudat al-Hussab, halaman 161.


11 Fatir, ayat pertama.
6.0 Kesimpulan

1. Pengetahuan geometri dalam kitab Raudat al-Hussab adalah mencukupi dan lengkap untuk
penyelesaian masalah harian berhubung kehidupan manusia iaitu seperti pengiraan keluasan
tanah, seni reka bentuk dalam aspek pembuatan dan pembinaan.

2. Tanggapan bahawa ilmu sains termasuk matematik tamadun Islam tidak sampai ke daerah ini
(Alam Melayu) adalah tidak benar.

3. Ilmuan Melayu telah meninggalkan banyak khazanah ilmu termasuklah sains dan matematik.

4. Buku matematik Raudat al-Hussab mengenengahkan al-Quran sebagai sumber dan jalan
penyelesaian bagi mendepani cabaran semasa.

7.0 Penghargaan
Penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengajian Sains Matematik,
Universiti Sains Malaysia yang telah menyokong usaha ini di bawah geran jangkamasa pendek
nombor akaun 304/PMATHS/638136.

Rujukan

[1] Al-Quran An-Nabawiyah. Cetakan Madinah al-Munawwarah.


[2] Ahmad Abdul Latif al-Khatib (1910H). Raudat al-Hussab Fi „Ilm al-Hisab. Mesir:
Percetakan al-Maimuniyyah al-Halabi.
[3] Afzalur Rahman. (1994). Indeks Al-Quran [Terjemahan Yusof Ismail]. Pencetakan Zafar
Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
[4] Syeikh Tantawi Jauhari. (1900). Al-Jawahir fi Tafsir al-Qur'an al-Karim. Jilid 4. Juzu‟ 8.
Dar al-Fikr.
[5] Sabuni, Muhammad 'Ali. (1981). Tafsir Qurtubi. Beirut: Dar al-Qur'an al-Karim. Jilid 2.
[6] Al-Qasimi, Jamal al-Din. (1978). Tafsir al-Qasimi al-Masamma Mahasin al-Ta‟wil.
Beirut: Dar al-Fikr.
[7] Al-Zuhaili, Wahbah. (1991). Tafsir Munir. Dar al-Fikr, Mesir.

[8] Muhammad Rashid Rida. ( 1973). Tafsir al-Manar. Beirut: Dar al-Ma'rifah.
[9] Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa. (2001). Tafsir al-Maraghiy. Terjemahan Muhammad
Talib. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Jilid 7.
[10] Drs. Akhria Nazwar. Ahmad Khatib Ilmuwan Islam di Permulaan Abad Ini. Pustaka
Panjimas, Jakara. (1983) pp.11–12.
[11] Geometry. (Wikipedia, ensiklopedia percuma) [Online]. [Layari pada 18 Mac 2009].
Boleh didapati daripada laman sesawang berikut: http://en.wikipedia.org/wiki/Geometry .
[12] Ibn Khaldun. (1993). Mukadimah Ibn Khaldun. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala
Lumpur.
[13] Mat Rofa Ismail. (1995). Sejarah Aritmetik dan Aljabar Islam. Universiti Pertanian
Malaysia.
[14] Munir Ba‟albaki. (1991). Kamus al-Mawrid. Beirut: Dar al-„llm lil Malayin. m/s 623.
[15] Noor Hayati Marzuki. (2004). Penerapan Nilai-nilai Murni Dalam Matematik bersepadu
Melalui Pengolahan Masalah Matematik. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[16] Shahrul Nizam Ishak, Noor Hayati Marzuki, Jamaludin Md Ali. (2009). The Important of
Translation Mathematics Old Script. Malaysian Journal of Mathematical Sciences. 3(1):
55-66.
[17] Shahrul Nizam Ishak, Noor Hayati Marzuki, Jamaludin Md. Ali. (2009) The Geometrical
Derivation in Raudat al-H ussab Fi „Ilm al-Hisab. Prosiding Persidangan Matematik
Asian (AMC), PWTC, Kuala Lumpur, (akan diterbitkan).
Lampiran 1. Kitab Raudat al-Hussab Fi ‘Ilm al-Hisab, Kulit Hadapan.
Lampiran 2. Kitab Al-Jawahir fi Tafsir al-Qur'an al-Karim, Jilid 4, Juzu‟ 8, halaman 19 dan 20.

Anda mungkin juga menyukai