Anda di halaman 1dari 8

BIODATA

Nama Tarikh Lahir Tempat Lahir Adik Beradik Status Anak Tempat Tinggal Tahap Pendidikan Pekerjaan Hobi Anugerah : Romli bin Mahmud : 6 Julai 1955 : Chuping, Perlis. : 5 orang anak bongsu : Berkahwin : 4 orang : Chuping, Perlis : Sekolah Rendah Kebangsaan Chuping (Darjah 6) : Petani : Bermain alat muzik : 1) Pingat PJK pada tahun 2006 2) Tokoh Seni Budaya Negeri Perlis 2012

Alamat

: Kampung Pokok Sena, 02500 Chuping, Perlis.

TRANSKRIP WAWANCARA
Berikut adalah rakaman wawancara tokoh penglipur lara mengenai pengalaman dalam usaha mempertahankan kesenian Awang Batil di dunia bersama Encik Romli bin Mahmud. Rakaman ini telah dijalankan di rumahnya di Kampung Pokok Sena , Chuping, Perlis pada 18 Mei 2013 dari jam empat hingga enam petang. Wawancara ini dikendalikan oleh Aniza binti Khalid dan dibantu oleh Zaniya binti Meh @ Hussein serta Norzita binti Othman. Dengan segala hormatnya wawancara ini dimulakan.

Siswi : Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepad Encik Romli kerana sudi diwawancara berkaitan kesenian Awang Batil. Tokoh : Hal ini tidak menjadi masalah kepada saya. Saya akan berkongsi pengalaman saya setakat yang saya mampu. Siswi : Siapakah nama penuh encik? Tokoh : Romli bin Mahmud. Siswi : Bilakah encik dilahirkan dan di mana? Berapakah usia sekarang? Tokoh : Saya dilahirkan di Chuping, Perlis pada 06 Julai 1955. Sekarang ini sudah 58 tahun. Siswi : Encik Romli mempunyai berapa orang adik-beradik? Tokoh : Pak Cik mempunyai 5 orang adik beradik. Pak Cik merupakan anak bongsu dalam keluarga. Siswi : Adakah ibu bapa encik masih ada? Tokoh : Kedua-duanya telah meninggal dunia. Siswi : Di manakah Encik Ramli mendapat pendidikan awal?

Tokoh : Saya hanya belajar setakat Darjah 6. Pada masa itu pendidikan kurang dititkberatkan, jadi saya lebih cenderung ke arah kesenian dengan menolong ayah saya membuat persembahan Awang Batil. Siswi: Adakah encik sudah berumahtangga? Tokoh : Ya, saya sudah berumahtangga dengan pilihan hati saya sendiri iaitu Puan Narishah binti Abdul Rahman. Siswi :Mempunyai berapa orang cahaya mata? Tokoh: 4 orang , seorang perempuan, 3 orang lelaki. Siswi : Apakah pekerjaan Encik Romli sekarang? Tokoh : Petani. Dulu ada juga bekerja di kilang simen tapi tidak lama. Siswi : Bagaimanakah bermulanya pembabitan Encik Romli dalam Awang Batil ini? Adakah kerana faktor minat atau disuruh oleh bapa encik? Tokoh : Saya melibatkan diri dalam bidang ini memang kerana minat.Saya bernasib baik kerana dikurniakan kebolehan semula jadi dan boleh bermain alat muzik terutama gendang terinai sejak kecil lagi iaitu ketika berusia lapan tahun. Saya sering didendangkan dengan cerita Awang Batil ini sejak kecil oleh bapa saya hampir saban malam sebelum masuk tidur ketika kecil. Pada mulanya saya sendiri tidak tahu itu adalah koleksi Awang Batil sehinggalah saya sendiri mendengar ia didendangkan kepada umum. Oleh kerana saya memang sejak kecil lagi mengikuti Allahyarham bapa saya membuat persembahan maka sedikit sebanyak minat serta kebolehan itu masuk dan sebati dalam diri saya. Siswi : Pada usia berapa mula melibatkan diri dalam Awang Batil dan bilakah mula membuat persembahan sendiri. Tokoh : Pada usia 8 tahun pak cik telah mengikut ayah pak cik membuat persembahan tetapi sebagai pembantunya sahaja seperti menolong menyediakan peralatan sebelum

persembahan dan membakar kemenyan. Selepas ayah meninggal, pak cik meggantikan tempatnya dan mula membuat persembahan ketika berusia 12 tahun.

Siswi : Mengapa menggunakan nama Awang Batil , apakah kaitan dengan nama Awang dan Batil itu sendiri? Tokoh: (Sambil tersenyum), Awang kan hero Melayu..takkan la kita nak pakai nama orang lain pulak. Sebenarnya sejarah Awang Batil pada awalnya disampaikan dari mulut ke mulut kononnya seorang anak dara meminum air yang terkumpul di dalam lopak batu di hutan, sehingga hamil dan melahirkan seorang anak lelaki dinamakan Awang.Kelahiran tanpa bapa menyebabkan Awang tertekan akibat dihina sebagai anak luar nikah. Justeru Awang lari ke hutan mencari bapanya sehingga bertemu dengan seekor gajah putih di kawasan lopak air yang pernah diminum ibunya suatu ketika dulu yang juga air kencing gajah berkenaan. Untuk membersihkan namanya, Awang mula menceritakan kisah hidupnya itu kepada umum dan dia mengembara dari satu kampung ke kampung lain untuk menyampaikan ceritanya itu, dengan berbekalkan batil yang diberikan gajah putih itu. Itulah kebanyakan cerita yang disampaikan berkenaan lelaki bernama Awang. Siswi : Apakah batil? Tokoh : Batil ialah sejenis bekas yang digunakan untuk menakung air di dalamnya. Batil yang digunakan oleh pak cik sekarang adalah peninggalan arwah bapa . Siswi : Setahu saya dahulunya dikenali sebagai Awang Belanga, adakah ianya sama dengan Awang Batil? Tokoh : Ya memang dahulu bapa saya dikenali sebagai Awang Belanga kerana menggunakan belanga ketika membuat persembahan, tetapi apabila berkenaan retak dan tidak boleh digunakan lagi, beliau telah bertukar kepada batil dan kekal hingga kini. Siswi : Apakah alatan lain yang digunakan ketika membuat persembahan? Tokoh : Alatan yang digunakan biasanya ialah batil itu sendiri, topeng, dan serunai. Biola dan rebana sebagai alat tambahan. Semuanya ada di sini (sambil menunjukkan alatan yang digunakan). Kedua-dua topeng ini telah berusia lebih dari 300 tahun. Topeng ini dibuat dari kayu tui. Topeng ini digunakan ketika Awang Batil bercerita tentang watak hulubalang, ahli nujum atau jin. Ianya diwarnakan dengan warna merah dan putih.Rebana dan serunai ini dibuat oleh pak cik sendiri. Siswi : Kalau begitu, Encik Romli bukan sahaja pandai menyampaikan Awang Batil tetapi juga mahir dalam membuat alat muzik. Tokoh : Alhamdulillah, ini bakat yang dianugerahkan Allah kepada saya. Bukan itu sahaja pak cik juga boleh membuat biola sendiri dan bagi pak cik lebih senang menggunakannya ketika membuat persembahan berbanding dengan biola yang dijual di luar. Sebenarnya

ketika persembahan tidak semestinya menyampaikan Awang Batil, kadang-kadang orang menjemput pak cik untuk bemain alat muzik. Baru baru ini juga pihak Muzium telah menempah topeng sebanyak 12 pasang dan telah siap. Sekarang ini ada dipamerkan di Muzium Negeri dan Muzium Kayang. Siswi : Berapakah tempoh masa sesuatu persembahan? Tokoh : Mengikut permintaan penganjur, ada 45 minit, ada satu jam tidak tentu. Tetapi semasa arwah bapa pak cik dulu memakan masa yang lama, tabik(permulaan) sahaja hamper setengah jam. Biasanya dibuat selepas isyak hinggalah ke dinihari. Sekarang tidak boleh begitu sebab nanti orang cepat bosan. Siswi : Dimanakah selalunya diadakan persembahan? Apakah perlu disediakan tempat untuk persembahan seperti pentas? Tokoh : Biasanya pak cik mendapat jemputan pihak sekolah, jabatan-jabatan kerajaan, dan ada juga yang luar dari Perlis seperti Kuala Lumpur. Jika dulu, ketika majlis perkahwinan, malam keramaian dan selepas musim menuai padi. Tidak perlu disediakan tempat menyusahkan orang saja. Biasanya bercerita sambil duduk. Atas kerusi pun boleh tapi agak susah untuk mengambil barang kadang-kadang boleh terputus tersangkut-sangkut cerita yang diperdengarkan. Siswi : Bagiamanakah dengan kadar bayaran, adakah telah ditetapkan? Tokoh : Tidak, pak cik tidak menetapkan kadar bayaran, ikut orang nak bagi, tetapi kalau jabatan-jabatan , biasanya pak cik dibayar RM500 untuk satu jam persembahan. Siswi : Bagaimanakah cara persembahan Awang Batil. Maksud saya persediaan awal semasa dan sesudah persembahan. Adakah menggunakan mantera dan jampi? Tokoh : Pada waktu allahyarham bapa saya membuat persembahan memang la ada upacara sebelum persembahan seperti memasukkan air ke dalam batil kemudian menyapunya ke kepala dan muka. Menyuap pinang tiga piak, kemian diasap dan menggunakan jampi dan mantera. Tetapi sekarang saya tidak membuat semua itu lagi. Tujuan kemian diasap bukanlah untuk menyeru tetapi pada masa dahulu orang banyak membela lembu dan kambing jadi untuk menghilangkan bau tesebut kemian diasapkan. Saya : Adakah cerita yang disampaikan menggunakan cerita yang sama atau ada yang direka sendiri oleh Encik Romli?

Tokoh : Semua cerita yang saya sampaikan adalah turun temurun yang saya dapat dari satu geneasi ke satu generasi dan saya tidak mencipta cerita baru kerana bagi saya ia tidak asli. Cuma kalau ada permintaan saya akan sampaikan mengikut situasi seperti baru-baru ini saya dijemput membuat persembahan ketika kempen pilihanraya. Jadi saya menyampaikan cerita berdasarkan situasi tersebut. Biasanya cerita disampaikan dalam loghat Perlis.

Siswi: Adakah dalam cerita ada diselitkan unsur lagu? Tokoh : Untuk menambah keceriaan dalam stiap cerita saya turut selitkan lagu yang sesuai seperti lagu Makan Sirih Air Mawar Sri Siantan serta bebrapa lagu dalam bahasa Tamil yang diiringi gesekan biola serta memek muka tertentu Siswi : Kami mendapat maklumat pihak telekomunikasi iaitu DIGI telha bekerjasama dengan Encik Romli dalam usaha untuk mempromosikan Awang Batil ini. Apakah projek yang dijalan kan oleh DIGI? Tokoh : Ya itu memnag betul iaitu pada tahun 2005. Melalui projek itu seramai 60 pelajar dari empat buah sekolah dipilih dan dibimbing oleh saya sendiri bersama beberapa penggiat teater handalan seperti Joe Kukathas dan Namron membantu pelajar ini mengenali asas pergerakan muzik ,tarian dan Awang Batil. Saya sangat berbesar hati apabila masih ada pihak yang menghargai seni ini. Program ini dijalankan setiap minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Tempat mengajar tidak menentu . Programa ini berjalan selam sebulan. Siswi :Bagaimanakah permintaan atau sambutan orang dahulu dan sekarang terhadap Awang Batil ini? Tokoh : Satu ketika dulu Awang batil juga seperti bangsawan adalah sumber hiburan yang , sering diburu tetapi tidak kini semakin dilupa dan dipinggirkan mengikut peredaran masa. Kemajuan teknologi memperlihatkan pilihan untuk hiburan juga berubah. Siswi : Apakah pandangan tentang Awang Batil sekarang? Tokoh :Awang batil sekarang semakin hilang kerana perubahan masa. Pada saya Awang Batil dibunuh oleh bangsawan, bangsawan dibunuh oleh radio, radio dibunuh oleh televisyen, televisyen dibunuh oleh lambakan CD dan DVD, CD dan DVD pula dibunuh oleh internet. Masyarakt sekarang lebih suka kepada hiburan yang lebih moden. Siswi : Apakah golongan muda sekarang masih berminat terhadap Awang Batil ini? Tokoh : Ada tapi tak ramai . Seperti sekarang pak cik mengajar di Taman Budaya yang melibatkan 10 orang pelajar. Bagi pakcik jika mereka tidak dapat menguasai Awang Batil boleh bermain biola pun dikira memadai tetapi hanya seorang saja yang berkebolehan. Siswi : Apakah Awang Batil mempunyai nama lain? Tokoh: Biasanya mengikut alat yang digunkan, seperti di Perlis terkenal Awang Batil, manakala Kelantan pula Tok Selampit. Di Terengganu tiada nama khas dan hanya dipanggil tukang cerita. Siswi : Apakah kenangan sepanjang pembabitan dalam Awang Batil?

Tokoh : Melalui Awang Batil saya turut berpeluang mengunjungi negara luar sekaligus memperkenalkan seni budaya Melayu itu kepada dunia luar. Ini termasuk ketika menyertai Pusat Kebudayaa Pulau Pinang (PCC) dalam lawatan dan persembahan tiga minggu ke Thailand (1995) Switzerland (1997) dan Singapura (2001). Pak Cik juga pernah berlakon dalam filem Hanyut sebagi pemain muzik dan baru-baru ini dalam telefilem berjudul Awang Batil Terakhir yang ditayangkan di Astro Prima. Siswi : Apakah anugerah yang telah diteirima setakat hari ini? Tokoh : Pada tahun lepas, pak cik telah menerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Perlis pada majlis Apreasiasi Tokoh Seni Perlis 2012 dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 2006. Saya: Adakah pengganti yang akan mewarisi Awang batil ini setakat ini? Tokoh: Inilah yang menjadi kegusaran pada pak cik kerana hingga sekarang belum menemui pengganti yang mengambil alih, sekaligus menruskan pengekalan Seni Awang Batil, sedangkan usia pak cik semakin lanjut. Untuk menjadi Awanag Batil bukan senang. Pak cik pernah melatih ramai anak muda terutama pelajar seni kebudayaan untuk didik sebagai pelapis namun masih belum ada yang betul-betul sesuai. Ada yang boleh dan mahir sekali bercerita tetapi tidak pandai mengetuk batil dan juga yang sebaliknya. Malah ada yang pandai kedua-dua sekali, tetapi apabila diminta menggabungkan kedua-duanya sekali, gagal berbuat demikian. Siswi : Bagaimana pula dengan anak-anak pak cik adakah mereka berminat?Rugi rasanya jika tidak diwarisi oleh keturunan sendiri. Tokoh : Setakat hari ini tidak ada yang menunjukkan minat. Ini kerana Awang batil ini memerlukan orang yang ada seni semulajadi, jika hendak diajar agak susah sikit. Cuma yang nampak ada kesungguhan ialah seorang pensyarah di Institut Perguruan Perlis iaitu Encik Megat Mohd. Noor bin Megat Teh. Dia selalu datang ke rumah pak cik dan belajar selok belok Awang Batil, tetapi masanya terhad kerana terikat dengan pekerjaannya. Pak cik tidak kisah siapa yang berminat untuk mewarisinya dan sudi menurunkan ilmu

Awang Batil ini tidak kira kepada sesiapa sahaja kerana bagi pak cik rezeki masingmasing telah ditentukan, jadi tak perlulah kita untuk kedekut ilmu.

Siswi : Apakah kerajaan Perlis lakukan untuk mempromosikan Awang Batil? Tokoh : Setakat hari ini tidak ada lagi. Cuma ada cadangan nak buat bengkel membuat alat-alat Awang Batil seperti memberi mesin, tetapi itu baru perancangan. Siswi : Encik Romli tak berminat untuk membuat galeri Awang Batil? Tokoh : Saya rasa dah ada di Muzium Kayang. Siswi : Adakah semua cerita yang dipersembahkan dibukukan? Tokoh : Ada (sambil menunjukkan dua buah buku yang disimpan selam ini). Siswi : Akhir sekali, pada pandangan Encik Romli, adakah penting bagi Malaysia agar mengekalkan warisan kebudayaan lama ini? Tokoh: Ya, itu sudah semestinya. Bukan apa jika tidak mengekalkan warisan ini takut nanti kita hanya akan dengar cerita sahaja, Awang Batilnya akan hilang. Siswi : Kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana Encik Romli sudi diwawancara. Tokoh: Sama-sama kembali.

Anda mungkin juga menyukai