Anda di halaman 1dari 17

WAYANG PEMBANGKANG DI PERAK

Oleh AZNAN BAKAR


pengarang@utusan.com.my

RABU lalu (2 September 2009), bandar raya Ipoh kecoh lagi. Dan sekali lagi kekecohan itu
ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada pakatan
pembangkang.

Puncanya hanya kerana mereka mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) mereka sendiri. Pada hal mahkamah telah memutuskan bahawa Barisan Nasional
(BN) yang berhak memerintah negeri itu.

Maka untuk mendapat perhatian dan publisiti, ADUN pembangkang di negeri itu terpaksa
"main wayang" dengan memanggil satu 'sidang DUN'.

Tetapi daripada apa yang berlaku pada hari itu, termasuk insiden ADUN pembangkang
terbabit bertengkar dengan polis semuanya seperti telah dirancang. Skripnya seolah-olah
telah diatur sejak awal lagi.

Skrip wayang itu bermula dengan bekas speaker, S. Sivakumar memanggil sidang DUN
haram itu. Kemudian para ADUN terbabit hadir pada hari yang ditetapkan dan berarak ke
Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Di situ mereka dihalang oleh polis maka tercetuslah ketegangan antara pemimpin dan
penyokong mereka dengan pihak polis.

Setelah puas berdrama di jalan raya mereka menuju ke hotel di mana segala-galanya sudah
disusun dan disediakan untuk mereka bermesyuarat.

Skripnya jelas. Hotel sudah tentu ditempah dari awal. Susun aturnya ala sidang DUN itu
juga tentunya telah diarahkan dari awal.

Tetapi untuk menunjukkan bahawa hasrat mereka itu dihalang, ADUN-ADUN pembangkang
itu perlu juga berarak di jalan. Apabila berarak sudah tentu polis akan bertindak. Dengan itu
mereka akan mendapat publisiti yang diinginkan.

Setelah sekian lama agak tenggelam, hari Rabu lalu mereka kembali mendapat publisiti di
media.

Dengan cara itu juga mereka dapat menunjukkan kononnya polis bertindak kasar. Malah
polis didakwa telah menghalang mereka melaksanakan 'proses demokrasi'.

Sedangkan mahkamah jelas memutuskan bahawa BN lebih berhak mentadbir Perak.


Nampaknya, undang-undang dan apa yang diputuskan oleh mahkamah tidak penting pada
kumpulan ini.

Pada mereka, yang paling penting ialah mencapai cita-cita peribadi dan mendapatkan
publisiti murahan walau dengan apa cara sekalipun.

Tindakan ADUN Setiawan, Ngeh Koo Ham yang bertegang leher dengan polis juga seolah-
olah telah dirancang.

Kenapa perlu bertekak dengan polis kalau tempat bermesyuarat di hotel yang berhawa
dingin telah siap ditempah? Untuk apa semua itu kalau bukan untuk publisiti murahan?

1
Untuk membolehkan mereka bermesyuarat di hotel itu sudah tentu ia perlu ditempah dari
awal. Kalau sudah tempah dewan di hotel kenapa perlu lagi untuk berarak di jalan raya
hingga mencetuskan ketegangan dengan pihak polis?

Tidakkah itu disengajakan? Tidakkah itu kekecohan yang dirancang dan disengajakan
supaya mereka boleh mendakwa pihak polis kejam?

Inilah demokrasi yang didokong oleh kumpulan terbabit.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang sah, mereka sepatutnya
menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu dan memajukan rakyat.

Inilah masanya untuk mereka membuktikan kepada penduduk yang diwakili bahawa mereka
jauh lebih baik daripada wakil rakyat BN sebelum ini.

Inilah juga masa untuk mereka membuktikan segala kata dan janji ketika kempen bahawa
rakyat akan mendapat "pemimpin yang lebih baik".

Tetapi dengan wayang demi wayang dan lakonan demi lakonan, bilakah masanya mereka
akan berbakti kepada rakyat?

Kedudukan kumpulan yang berhak memerintah negeri sudah jelas. Kini BN yang lebih
berhak. Selain pakatan pembangkang kehilangan majoriti ekoran dua ADUN Parti Keadilan
Rakyat (PKR) bertindak keluar parti itu, mahkamah juga membuat keputusan yang tidak
memihak kepada mereka.

Sebagai pemimpin-pemimpin dan kumpulan yang selalu melaung-laungkan konsep


demokrasi, sepatutnya hormatilah keputusan itu.

Apa yang mereka dapat daripada mesyuarat yang diadakan hari itu? Bolehkan keputusan
atau usul yang kononnya dibangkit dan dibentangkan pada mesyuarat itu dilaksanakan?
Jika tidak boleh, tidakkah itu namanya buang masa? Atau boleh dikatakan lakonan untuk
mendapat perhatian dan tumpuan?

Sebelum ini mesyuarat yang diadakan di bawah pokok juga tidak memberikan apa-apa
manfaat kepada rakyat.

Hanya ADUN terbabit sahaja yang mendapat liputan meluas pihak media termasuk media
antarabangsa.

Rakyat pula hanya mampu melihat dari jauh. Terpinga-pinga dengan apa yang terjadi. Nasib
mereka tidak juga berubah.

Wakil rakyat telah berubah daripada BN kepada pembangkang dengan harapan akan ada
perubahan. Tetapi nasib mereka tetap sama.

Sudahlah hasil mesyuarat sekadar masuk angin keluar asap. Masalah yang berkaitan
dengan rakyat tidak satu pun dibangkitkan.

Sama ada ketika mesyuarat di bawah pokok mahupun yang di hotel itu. Isu yang
dibangkitkan semuanya hanya berkenaan dengan hal untuk mengekalkan status quo ADUN-
ADUN terbabit.

2
Dalam lain perkataan, semuanya untuk kepentingan peribadi dan untuk mengisi tembolok
sendiri. Sampai ke tahap sanggup berlakon dan bersandiwara.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Mahkamah sudah buat
keputusan, desak macam mana pun tak jalan... ikut prinsip Perlembagaan, mahkamah dah
tetapkan Menteri Besar dan kerajaan sah jadi apa lagi nak desak?"

Tentu ADUN pembangkang yang semuanya bijak-bijak itu faham akan keputusan
mahkamah tersebut. Tetapi mungkin ada kumpulan rakyat yang tidak faham.

Mereka seperti mahu menggunakan wayang ini untuk mengabui dan mempengaruhi rakyat
supaya membenci BN.

Mungkin ada juga yang terhibur apabila melihat gelagat ADUN-ADUN terbabit. Setelah
berpeluh-peluh dan kering air liur bertegang leher dengan pihak polis mereka dengan
mudah bergerak ke hotel tersebut.

Jelas dan nyata tempat telah tersedia untuk mereka. Semuanya sudah disusun cantik
termasuk gelas berisi air tersedia di atas meja.

Setelah menyaksikan gelagat dan lakonan itu, terpulang kepada rakyat untuk menilai wakil
rakyat mereka.

Dari situ boleh dinilai bentuk pemimpin yang macam mana yang dimahukan. Tepuk dada
tanya selesa.

Dulu orang selalu berkata, terlajak perahu boleh diundur. Tetapi orang zaman ini yang
tersalah memangkah terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk merubah.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Utusan Malaysia, 8 September 2009

3
PEMBANGKANG TERUS BUAT KECOH
Oleh Zaini Raban
pengarang@utusan.com.my

TINDAKAN ADUN pembangkang di Perak mengingkari arahan polis


dan mahkamah supaya tidak mengadakan `sidang DUN‟
menyebabkan suasana kecoh di pekarangan bangunan Perak Darul
Ridzuan, di Ipoh semalam.Polis yang mengawal keadaan terpaksa
bertegang leher dengan wakil rakyat pembangkang Ngeh Koo Ham
(kanan) dan V. Sivakumar yang tetap berdegil mahu memasuki
bangunan itu yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak.
– BERNAMA

IPOH 2 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di negeri
ini terus mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel di sini,
hari ini.

Mereka bertindak demikian kerana tidak dapat menerima hakikat telah hilang kuasa
mentadbir Perak ekoran tindakan dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar
parti.

Kumpulan ADUN tersebut yang gagal memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri
(SUK) di sini telah mengadakan perhimpunan tersebut di sebuah hotel.

Kekecohan itu bermula kira-kira pukul 9.45 pagi ini apabila mereka berarak beramai-ramai
menuju ke bangunan SUK dari bangunan Ibu Pejabat DAP Negeri Perak di Medan Istana.

Bagaimanapun, kemaraan mereka dihalang pasukan polis kira-kira 100 meter dari
bangunan SUK hingga berlaku kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat bersama
penyokongnya dengan anggota pasukan keselamatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan lelaki berbaju kuning turut muncul sambil
melaungkan kata-kata „Daulat Tuanku‟.

Ekoran keadaan yang semakin tidak terkawal, polis mengambil langkah tegas menahan
tujuh lelaki termasuk tiga ADUN dan seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Tan
See Yee, 41.

4
Tiga wakil rakyat itu ialah ADUN Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo
Ham; ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai (Parti Keadilan Rakyat-PKR) dan ADUN Malim
Nawar, Keshvindher Singh (DAP).

Tindakan polis itu meredakan sedikit keadaan apabila kumpulan wakil rakyat terbabit
termasuk ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad
Nizar Jamaluddin bersama penyokongnya berundur ke pejabat DAP.

Pada sidang akhbar selepas itu, Sivakumar mengumumkan „perhimpunan‟ berkenaan akan
diteruskan di sebuah hotel pada pukul 11.30 pagi.

Perhimpunan itu yang berlangsung selama dua jam mulai 11.45 pagi, dihadiri kesemua 24
Adun pakatan pembangkang kecuali tiga orang yang ditahan polis. ADUN Titi Serong dari
Pas, Khalil Idham Lim Abdullah, pula sedang mengerjakan ibadah umrah.

Perhimpunan itu turut menyediakan susunan tempat duduk kononnya untuk ADUN Barisan
Nasional di sebelah kiri „Speaker‟ manakala ADUN DAP, Pas dan PKR duduk di „pihak
kerajaan yang memerintah‟ di kanan „Speaker‟.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

'PERSIDANGAN DUN' HARAM DI HOTEL

Dr. Zambry Abdul Kadir mempengerusikan mesyuarat mingguan


Exco kerajaan negeri seperti biasa di Bangunan Perak Darul
Ridzuan, Ipoh, semalam. - UTUSAN/Mohd. Najib Mohd. Nor

IPOH 2 Sept. - 'Persidangan DUN' haram pakatan pembangkang Perak yang berlangsung di
sebuah hotel di sini hari ini meluluskan usul supaya polis menangkap Speaker, Datuk R.
Ganesan dan Timbalan Speaker, Hee Yit Foong dengan serta-merta.

5
Perkara itu diumumkan oleh V. Sivakumar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh
dari DAP yang kelihatan begitu yakin bertindak sebagai 'Yang Dipertua' atau 'Speaker'
Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pukul 11.30 pagi ini.

Menurut beliau, selain ditangkap, kedua-dua mereka mesti menjalani hukuman penjara
selama enam bulan kerana mengambil alih persidangan DUN yang berlangsung pada 7 Mei
lalu.

Persidangan haram yang sama turut meluluskan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kira-
Kira Wang Awam, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap Dewan serta Jawatankuasa Hak
dan Kebebasan DUN yang baru.

"Dewan ini juga meluluskan usul tergempar untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan
polis yang menghalang wakil rakyat mengadakan persidangan dewan di SUK pagi ini," kata
Sivakumar.

V. Sivakumar mempengerusikan 'persidangan DUN' haram pakatan


pembangkang di Hotel Heritage, Ipoh setelah percubaan
mengadakan persidangan tersebut di Bangunan Perak Darul
Ridzuan gagal, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

Sementara itu, Sivakumar pada sidang media selepas itu agak tergamam apabila ditanya
wartawan apakah langkah seterusnya yang hendak diambil sebaik sahaja 'persidangan' itu
selesai bersidang.

"Kami akan ambil langkah selanjutnya. Kita ada proses tersendiri mengenai segala usul
yang telah diluluskan.

"Kami tunggu masa sahaja untuk ambil alih kerajaan. Kami akan wartakan segala usul dan
bawa kepada pihak istana untuk mendapat perkenan," katanya.

Ketika ditanya mengapa pihaknya mengadakan 'persidangan' tersebut sedangkan pada 3


Mac lalu atau 'persidangan bawah pokok' mereka telah meluluskan usul DUN dibubarkan,

6
Sivakumar berkata: "Memang kami usul supaya DUN dibubarkan tetapi usul itu tidak
diperkenankan oleh Sultan Perak (Sultan Azlan Shah). Sebab itu kami terpaksa
mengadakan persidangan kali ini," katanya.

Sivakumar juga kelihatan agak sensitif apabila ditanya apakah yang mereka akan lakukan
jika selepas ini Ganesan mengeluarkan notis untuk mengadakan persidangan Dewan yang
sebenar.

"Kita tidak akan layan notis tersebut. Dia (Ganesan) bukan Speaker DUN," katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata,
polis mesti melaksanakan perintah 'DUN yang bersidang' hari ini terutama sekali arahan
menangkap Ganesan dan Yit Foong.

Kata beliau, ini adalah 'persidangan' yang sah dan pihak polis mesti menghormati serta
menjalankan peraturan yang telah ditetapkan oleh 'persidangan' tersebut.

"Kami juga akan menyaman pihak polis kerana melakukan kekerasan pada pagi ini
berdasarkan bukti dan rakaman video yang ada. Kami mahu tahu siapa sebenarnya yang
bertanggungjawab dalam kes ini," katanya.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

SIVAKUMAR SEPERTI ORANG 'GILA TALAK' - ABU ZAHAR

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Keengganan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Perak, V. Sivakumar menerima hakikat kehilangan jawatan itu disifatkan sama seperti
seorang 'gila talak'.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan
Sivakumar yang mengadakan 'sidang DUN sendiri' itu juga jelas menunjukkan beliau tidak
menghormati perlembagaan dan amalan demokrasi meskipun itu yang 'diperjuangan'
selama ini.

"Dia (Sivakumar) seperti orang 'gila talak'. Dia tetap mahu menyandang jawatan itu
sehingga sanggup mengadakan 'sidang DUN sendiri' sehingga menyebabkan huru-hara,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar yang mengadakan 'sidang DUN' hari ini tanpa
perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Abu Zahar berkata, Sivakumar juga dianggap sebagai seorang yang tidak bertamadun
apabila berkeras dengan keputusan Sultan Perak yang tidak membenarkan sidang itu
diadakan.

7
"Sebagai seorang peguam, beliau sehingga hari ini jelas tidak menjalankan tanggungjawab
berdasarkan peraturan serta prosedur pentadbiran yang telah dipelajarinya.

"Dia seharusnya lebih arif mengenai undang-undang dan perlu rasa malu kerana masih
gagal memahami maksud sebenar Perlembagaan Negara," ujarnya.

Sehubungan itu, Abu Zahar meminta rakyat menilai tindakan Sivakumar itu kerana ia adalah
gambaran sebenarnya sikap pembangkang.

"Masyarakat umum khususnya rakyat di Perak perlu membuka mata dan menilai apa
sebenarnya yang diperjuangkan oleh golongan ini," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains


Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata, tindakan Sivakumar yang
'kononnya' mahu mendapatkan keadilan hanyalah lakonan dan lebih kepada satu permainan
politik.

"Apa yang cuba dilakukan oleh Sivakumar hanyalah satu 'umpan' parti pembangkang untuk
membubarkan DUN. Ini semua kita dapat lihat berdasarkan pengalaman lepas.

"Perhimpunan haram, tak puas hati dengan keputusan yang telah dibuat, semua perkara
biasa. Golongan 'penderhaka' ini memilih taktik sedemikian apabila terdesak mahukan
kedudukan," katanya.

Justeru itu, Ahmad Atory menasihatkan Sivakumar serta 'konco-konconya' merujuk dan
menghayati perkara yang menyentuh hak orang Melayu dalam Perlembagaan.

"Keharmonian negara yang dinikmati sehingga kini adalah tanggungjawab kita bersama dan
perlu dikekalkan sampai bila-bila.

"Buat masa ini, saya rasa lebih baik parti pembangkang cuba memperlihatkan keupayaan
menghormati demokrasi daripada terus cuba mengeruhkan keadaan," ujarnya.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

TAK HORMAT UNDANG-UNDANG

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI


utusanperak@utusan.com.my

IPOH 2 Sept. - Pakatan pembangkang langsung tidak menghormati undang-undang dan


rakyat tidak boleh mengharapkan mereka untuk berbuat demikian.

8
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pakatan pembangkang
tidak akan mempedulikan undang-undang dan mereka akan terus bertindak sesuka hati.

''Itulah depa (pakatan pembangkang), dia buat undang-undang sendiri, buat sistem sendiri,
jalan sendiri, syok sendiri dan apa-apa pun dia buat sendiri. Mana ada dia hormat undang-
undang.

''Semalam kononnya hendak babitkan proses undang-undang tetapi apabila dapat injunksi
tak boleh, mereka tak peduli, mereka buat juga.

''Adakah kamu harapkan mereka akan jadi baik? Tidak, mereka tidak akan hormat langsung
(undang-undang)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang
yang mengadakan 'sidang DUN' di sebuah hotel di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pakatan pembangkang mengadakan 'sidang DUN' di hotel
tersebut setelah gagal memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selepas
dihalang polis.

Polis turut menahan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN Simpang Pulai,
Chan Ming Kai dan ADUN Malim Tawar, Keshvinder Singh kerana menyertai perhimpunan
haram.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pakatan pembangkang sengaja berbuat demikian kerana
mahu mewujudkan bahan cerita mengenai mereka dan pada masa sama menarik perhatian
rakyat.

Katanya, ia juga sudah menjadi satu keseronokan kepada mereka untuk berdrama dan
mendapat liputan media secara meluas.

''Dia suka polis pegang, tahan dan gari dia. Kalau polis tidak gari, lagi dia minta, garilah
saya.

''Sebab itulah, akhbar-akhbar antarabangsa dibawa untuk ambil gambar dan apabila masuk
dalam akhbar itu dan akhbar ini, ia menjadi bahan cerita kononnya mereka dizalimi dan
dikasari," ujar Zambry.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri sikap hipokrit pakatan pembangkang yang
sentiasa memberitahu rakyat kononnya mereka sahaja betul.

''Dia kata ada speaker, ada sidang dewan yang sah. Mereka kata 'sidang DUN bawah
pokok' sah tetapi apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) panggil adakan sidang dewan,
mereka datang juga buat muka tidak malu.

9
''Kalau kata mereka punya halal dan kita punya haram, masa kita panggil sidang, tidak
payah datang tetapi mereka datang juga. Tengoklah betapa hipokrit, sifat talam dua muka
mereka,'' katanya.

Menurut Zambry, pakatan pembangkang mengetahui segala tindakan termasuk prosedur


dan proses yang dilakukan mereka adalah salah tetapi tetap berbuat demikian kerana mahu
mengelirukan rakyat dan mewujudkan suasana tidak tenteram.

Diminta mengulas mengenai khabar angin yang bertiup kencang kononnya DUN akan
dibubarkan selepas Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata, sebelum ini pun pakatan
pembangkang sudah beberapa kali mendakwa DUN akan dibubarkan tetapi ia tidak berlaku.

''Mula-mula kata April atau Mei dan kemudiannya Jun serta Julai dan lepas tu mereka kata
tunggu sebulan lagi untuk bubar. Macam P. Ramlee cakap, berapa kali daaa?" kata Zambry
dalam nada berjenaka.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

CUBAAN kumpulan anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada parti pembangkang
untuk mengadakan sidang Dewan haram di Bangunan Perak Darul Ridzuan semalam
sebenarnya mendedahkan usaha berterusan untuk mengelirukan rakyat Perak.

Kekeliruan itu boleh menyumbang kepada ketidaktentuan yang akan menjadikan suasana
tegang dan tidak senang di kalangan orang ramai.

Pada masa yang sama langkah itu mencerminkan terdapat usaha pihak terbabit cuba
mengetepikan undang-undang negara. Akibatnya, berlaku percubaan untuk menjejaskan
ketenteraman awam. Kumpulan terbabit secara jelas tidak mematuhi arahan polis supaya
bersurai.

Adalah menjadi tugas polis memelihara ketenteraman awam, malah dalam kes tersebut,
pihak polis telah pun mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang orang ramai
berhimpun sekitar pagar bangunan kerajaan negeri itu.

Bagi Awang, dalam kes tersebut, parti-parti pembangkang perlu menerima hakikat bahawa
kerajaan negeri pimpinan mereka telah lama tumbang dan ia telah pun melalui proses
undang-undang.

Masa sudah tiba bagi pihak terbabit berpijak di bumi nyata; menghormati proses undang-
undang; dan berhenti daripada menafikan hak orang lain.

Awang – Hak bersuara.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

10
DARI BAWAH POKOK KE HOTEL
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
pengarang@utusan.com.my

RANCANGAN pembangkang mengadakan apa yang disebut sebagai 'Sidang Dewan


Undangan Negeri (DUN)' diteruskan juga walau pun menyedari tindakan itu jelas
membelakangi undang-undang selain tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak,
Sultan Azlan Shah.

Diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad
Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN-ADUN pembangkang
'berusaha' merempuh pasukan polis yang berkawal sejak awal pagi di pekarangan
Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Keadaan menjadi semakin kelam kabut memaksa pihak polis yang pada mulanya hanya
bertujuan untuk mengawal keadaan, mengambil tindakan lebih tegas - beberapa ADUN
termasuk Koo Ham kemudian ditahan.

Serentak itu, satu sidang media diadakan di ibu pejabat DAP negeri.

Ini adalah 'modus operandi' parti pembangkang di Perak. Apa yang berlaku hari ini tiada
bezanya dengan peristiwa-peristiwa sebelum ini.

Tujuannya adalah untuk menarik perhatian. Usaha itu perlu diteruskan kerana mereka
merasakan sokongan terhadap pembangkang makin berkurangan.

Mungkin ada yang beranggapan sokongan yang dimaksudkan tidak berubah. Jika benar,
mana mungkin mereka sanggup bertindak 'sebijak' ini.

Sebagai parti yang hanya bermodalkan 'kata-kata,' isu 'kehilangan perhatian' dianggap satu
mala petaka yang tidak seharusnya berlaku.

Maka, tidak dapat diadakan di SUK, 'sidang DUN' pun dibuat di sebuah hotel, yang terletak
kira-kira lima kilometer dari bangunan SUK.

Bersidanglah mereka. Dengan lagak masih sebagai seorang Speaker, ADUN Tronoh, V.
Sivakumar memulakan 'persidangan' yang dihadiri semua ADUN pembangkang kecuali
mereka yang ditahan polis dan ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dikatakan
menunaikan umrah di tanah suci Mekah.

Tiga usul menjadi inti pati 'persidangan'. Ketiga-tiga usul hanya berkisar soal 'peralihan
kuasa' dan 'kuasa yang hilang'. Sementara satu usul tergempar mempertikaikan peranan
polis melaksanakan tugas mereka.

Dalam masa sama, mereka sedar setiap keputusan yang dibuat tidak akan membawa
sebarang erti atau makna kepada pentadbiran negeri.

11
Bagi orang ramai, apa yang disaksikan mungkin sebahagian daripada kisah atau warna-
warna hidup yang seronok untuk dijadikan bahan bualan.

Menyalahkan polis bertindak kasar terhadap pembangkang mungkin boleh dianggap satu
isu lapuk. Ini kerana sejak pembangkang merancang untuk mengadakan 'sidang DUN', polis
telah mengeluarkan amaran berkali-kali.

Malah sehingga semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah telah menasihati orang
ramai dan parti pembangkang supaya tidak berkumpul di SUK bagi menggelakkan perkara-
perkara tidak diingini.

Arahan itu juga berikutan penolakan injuksi oleh mahkamah terhadap permohonan
Sivakumar untuk mengadakan 'sidang DUN'.

Apa yang pasti, sidang DUN bawah pokok yang mendapat sambutan box office selepas
'ditayangkan' Mei lalu, dinaik taraf kepada 'sidang DUN di hotel'. Mungkin juga ia sebagai
tanda menghormati bulan Ramadan.

Utusan Malaysia, 3 September 2009

Senyum Kambing – Utusan Malaysia 3 September 2009

12
NIZAR HANYA MAHU PERHATIAN

SEPERTI yang telah dijangkakan, Pakatan Rakyat sekali lagi membuat kontroversi dengan
mengadakan „sidang ADUN‟ tergempar untuk mengambil tindakan kepada Speaker dan
timbalan yang sah di atas kesalahan daripada acuan mereka sendiri.

Sekali pandang seperti sebuah filem jenaka atau mungkin mereka merasakan mereka
mempunyai bakat dalam bidang lakonan untuk dipertontonkan kepada rakyat negeri Perak,
Malaysia dan dunia.

Saya ingin mencadangkan kepada Datuk Seri Nizar untuk membuat sebuah filem kung fu
yang paling sesuai buat dirinya dan beliau merupakan pelakon utama.

Kontroversi terbaru ini telah menampakkan kegelisahan di kalangan mereka yang saya
percaya ketika ini, orang Melayu khususnya di Perak sudah mula sedar dan insaf, sudah
bangun daripada diulit mimpi yang indah, sudah tahu mana kaca dan permata dan yang
nyata sekali, bibit-bibit penyatuan sudah mula dilihat di mana-mana sahaja di negeri Perak.

Alhamdulillah. Bersatunya orang- orang Melayu Perak amatlah tidak disenangi dan digeruni
oleh Pakatan Rakyat.

Mereka tidak takut dengan kaum lain sebab mereka rasakan kaum lain sudah dalam
genggaman mereka mungkin di atas janji-janji yang mempesonakan.

Selepas ini pastinya akan timbul lagi cerita terbaru daripada mereka. Mereka inginkan cerita
itu menjadi topik perbualan.

Tanpa cerita terbaru, mereka takut populariti mereka merudum dan sejuk seperti artis yang
inginkan gosip, begitu jugalah mereka ini.

Mereka amat takut dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry di atas kejayaan
beliau mentadbir negeri.

Gesaan daripada mereka untuk membubar ADUN ialah disebabkan sekiranya ADUN tidak
dibubarkan dan ia berlanjutan sehingga pilihan raya umum akan datang, pastinya impian
mereka untuk memerintah semula Perak akan hancur.

Tambahan pula, Datuk Seri Dr. Zambry mentadbir negeri Perak dengan baik, pastinya
rakyat Perak akan memberi sokongan penuh kepada beliau terutama orang Melayu. Itulah
kenyataannya.

Kepada semua orang Melayu Perak, marilah kita bersatu, lupakan persengketaan politik
yang tidak menguntungkan yang pasti merugikan kaum kita sendiri.

Kita beri peluang sekali lagi kepada UMNO untuk mentadbir negeri tanah tumpah darah kita
yang kita sayangi.

13
Bersatulah kita di atas nama Islam dan Melayu. Jangan kita „menang sorak, kampung
tergadai‟. Ini adalah tanah tumpah darah kita, peninggalan daripada datuk nenek moyang
kita dahulu. Jangan kita ditertawakan oleh orang lain di atas perpecahan kita.

Kepada Dr. Zambry dan pemimpin-pemimpin UMNO negeri, buktikanlah kepada orang
Melayu di negeri Perak, berjuanglah demi agama dan bangsa.

Kepada pemimpin-pemimpin di kalangan bukan Melayu, anda mempunyai tugas untuk


memastikan bangsa anda bersama-sama dengan kerajaan negeri demi keamanan dan
kejayaan negeri Perak.

Kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak, patik merayu di atas perkenan Tuanku
untuk melucutkan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Nizar dan konco-konconya.

Utusan Malaysia, 4 September 2009

JANGAN AMBIL PEDULI – TUN MAHATHIR

ALOR SETAR 3 Sept. – Rakyat dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu ambil peduli tindakan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di Perak semalam kerana ia
hanya taktik mereka untuk meraih sokongan politik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan mereka mengadakan sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN) itu bukannya sah daripada segi undang-undang.

“Dia nak buat, biar pi dia buat. Buat apa nak ambil peduli. Bukan ada taraf rasmi,” katanya
ketika ditemui pemberita selepas membeli-belah dan meninjau Kompleks Pekan Rabu di sini
hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan ADUN pakatan pembangkang di Perak yang


mengadakan perhimpunan haram di sebuah hotel di Ipoh semalam selepas gagal memasuki
Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak setelah dihalang polis.

Dr. Mahathir berkata, ADUN pakatan pembangkang bertindak demikian untuk meraih undi
daripada rakyat dengan cuba menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang teruk.

“Dia nak cari undi, nak menunjukkan betapa teruk BN. Kalau kita halang dia, nampak lagi
buruk,” katanya.

Ditanya tindakan Speaker DUN Kedah mahu mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) mengekalkan kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif di
mahkamah, beliau berkata, Datuk Dr. Abdul Isa berhak berbuat demikian jika terdapat
peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara itu dibawa ke badan kehakiman.

14
Kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang sendiri, hasrat Abdul
Isa untuk mencabar keputusan SPR di mahkamah tidak boleh ditahan.

Utusan Malaysia, 4 September 2009

KECOH DI PERAK TIDAK MASUK AKAL

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Tindakan pakatan pembangkang di Perak yang terus


menimbulkan kekecohan dengan mengadakan perhimpunan di sebuah hotel semalam
disifatkan sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu
mencerminkan keperibadian pembangkang yang gemar bertindak sesuka hati.

"Apabila undang-undang dan mahkamah memihak kepada mereka (pembangkang), mereka


mendiamkan diri.

"Jika sebaliknya berlaku, macam-macam dilakukan termasuk melanggar undang-undang


yang sebelum ini dipertahankan apabila ia sesuai untuk mereka. Ini jelas menunjukkan
tindakan yang tidak masuk akal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari pakatan pembangkang di Perak terus
mencetuskan kekecohan apabila mengadakan perhimpunan di sebuah hotel.

Kumpulan ADUN tersebut berbuat demikian selepas gagal memasuki bangunan Setiausaha
Kerajaan Negeri (SUK).

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula menyifatkan tindakan pakatan
pembangkang itu sebagai tidak menghormati institusi mahkamah dan Dewan Undangan
Negeri (DUN).

Menurutnya, rentetan tindakan-tindakan mereka yang mencabar kedaulatan institusi Raja


Berperlembagaan telah menjadi peristiwa paling hitam dalam sejarah orang Melayu.

"Ia memperlihatkan tindakan mereka yang gemar amalkan politik propaganda untuk
menimbulkan rasa benci rakyat kepada pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Dalam masa yang sama, ada antara mereka mendakwa sebagai pejuang Islam dan orang
Melayu tetapi amalan dan tuntutan Islam itu tidak diamalkan yang akhirnya menjerumuskan
orang Islam dalam kehancuran akibat perpecahan," ujarnya.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan pula berkata, tindakan itu merupakan usaha
untuk mengalih pandangan rakyat daripada konflik yang berlaku seperti di Kampung Buah
Pala, Pulau Pinang dan isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Menurutnya, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa Perak sudah berada di tangan
BN dan rakyat sudah menerima perubahan yang berlaku.

"Segalanya sudah jelas apabila majoriti sudah melebihi tiga kerusi. Sebaliknya mereka ingin
DUN dibubarkan, mengapa perlu bubar kerana itu hak mutlak kerajaan yang ada," jelasnya.

Ahmad Maslan berkata, pakatan pembangkang perlu menghentikan tindakan yang


memporak-perandakan rakyat Perak yang telah tenteram sejak BN kembali menjadi
pemerintah.

15
Dalam pada itu Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, apa yang berlaku
di Perak semalam adalah sesuatu yang amat memalukan.

Menurutnya, para pemimpin Pas seharusnya memberi kefahaman kepada rakan-rakan yang
bukan Islam tentang fadilat bulan Ramadan sebaliknya ia diketepikan semata-mata untuk
memenuhi nafsu mereka.

"Sebaliknya, DUN yang merupakan institusi tertinggi negeri menjadi bahan mainan,
ditertawakan dan tidak dihormati lagi. Matlamatnya adalah untuk mencapai kepentingan
peribadi mereka semata-mata," katanya.

Utusan Malaysia, 4 September 2009

SIVAKUMAR MEMALUKAN SULTAN - SPEAKER

IPOH 3 Sept. - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, V. Sivakumar
memanggil persidangan Dewan, telah memalukan Sultan Perak yang sepatutnya dimaklum
untuk mendapat perkenan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan berkata, selepas mendapat
perkenan, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah akan memanggil Dewan bersidang, diikuti
pengumuman tempat, tarikh dan masa persidangan DUN akan dijalankan.

''Jadi kenapa Sivakumar dan konco-konconya begitu biadab dan kurang ajar mengadakan
perhimpunan Dewan haram semalam?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas perhimpunan DUN haram anjuran pakatan pembangkang di


sebuah hotel di sini semalam.

Ganesan berkata, semua usul yang diluluskan dalam perhimpunan haram itu termasuk
mengarahkan polis menangkap beliau dan timbalannya, Hee Yit Foong tidak membawa apa-
apa makna dan dianggap tidak wujud.

Jelas beliau, arahan 'syok sendiri' pakatan pembangkang itu tidak boleh diiktiraf kerana
Sivakumar bukan lagi Speaker atau Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Katanya, semua jawatan yang dipegang oleh ADUN pembangkang sama ada sebagai
Speaker atau dalam apa-apa jawatankuasa berkaitan Dewan sudah lucut pada sidang DUN
7 Mei lepas.

''Saya dipilih dengan suara majoriti selaku Speaker pada sidang yang lepas dan saya juga
dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

''Ini bermakna saya yang berhak mengambil tindakan ke atas mana-mana ADUN yang
bertindak melampau atau tidak senonoh.

16
''Sivakumar hanyalah ADUN Tronoh dan segala keputusan yang diumumkan semalam
hanyalah cerita gila," katanya.

Kata Ganesan, perhimpunan DUN haram itu juga jelas sekali menunjukkan sikap 'bodoh
sombong' pakatan pembangkang yang sudah tidak mempunyai sokongan majoriti.

''Kamu lihatlah sendiri 'perjumpaan' semalam hanya dihadiri oleh 24 ADUN termasuk
Sivakumar. Mana mereka ada majoriti? Macam mana mereka boleh luluskan usul dengan
sesuka hati? Ia jelas sekali tidak sah.

''Sidang DUN pada 7 Mei lalu sah kerana mendapat sokongan majoriti daripada 28 ADUN
Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas. Dalam demokrasi siapa ada majoriti, dialah
yang memerintah," katanya.

Menurut Ganesan, pihaknya kini sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-
undang ke atas Sivakumar dan konco-konconya sebagai memberi pengajaran kepada
mereka.

Katanya, tindakan mereka yang keterlaluan semalam tidak ubah seperti musuh negara
kerana sanggup membawa masuk media asing bagi memburukkan imej BN dan kerajaan
negeri.

Utusan Malaysia, 4 September 2009

17

Anda mungkin juga menyukai