Pengenalan
Melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909, kuasa Kelantan telah dipindahkan oleh Siam
kepada Kerajaan British. James Scott Mason dilantik sebagai Penasihat British yang
pertama di Kelantan pada Julai 1909. Pada tahun 1910, British secara rasmi menguasai
hubungan luar negeri Kelantan melalui Perjanjain Inggeris-Kelantan. Perjanjian ini juga
menegakkan hak British untuk melantik seorang Penasihat kepada Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad IV. Baginda mesti mematuhi nasihat Penasihat British dalam semua
perkara kecuali yang berkaitan dengan agama dan adat resam orang Melayu. Perubahan
sosio ekonomi yang dibawa oleh British telah mengakibatkan pemberontakan di daerah
Pasir Putih pada 29 April 1915.
Proses penentangan
Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan
sokongan oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh
dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih
menentang peraturan baru dan British.
Pada 28 April 1915, Encik Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat
berita Tok Janggut dan pengikutnya di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau
menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok
Janggut atas tuduhan tidak membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan
Che Wan ditikam oleh Tok Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri
dan membuat laporan kepada Encik Latiff.
Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk
menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis ini tiba di Kampung Kelubi, mereka
diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir
Putih. Dengan itu, Encik Latiff bersama kakitangannya berundur ke Kota Bahru dengan
bot melalui Kuala Semerak.
Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol
melancarkan serangan 3 penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira 4 petang pada 29 April 1915
dan mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat kerajaan, menawan balai
polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian menubuhkan kerajaan
sementara di Pasir Putih. Engku Besar dilantik sebagai Raja Jeram dan Tok Janggut
menjadi Perdana Menteri kerajaan sementara.
Penasihat Inggeris, W. Longham-Carter menerima berita serangan ke atas Pasir
Putih pada 30 April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan
pertahanan Kota Bahru. Penasihat British meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei
1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri
daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow.
Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap
pemimpin yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan
juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok
Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che
Ishak Merbol dan Haji Said dibakar.
Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir
Putih. Hal ini memaksa Major Borton bersama 50 orang anggota polis Sikh dan 7 orang
Eropah datang ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan
pengikutnya.
Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Pupuh akhirnya
bertempur dengan pasukan British. Dalam pertempuran ini, beberapa orang terbunuh,
termasuklah Tok Janggut. Engku Besar Jeram Tun Ahmad yang cedera diselamatkan oleh
Awang Deraman ke Reman, Thai. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bahru. Setelah
diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang
Merdeka, Kota Bahru selama satu jam sebelum dimakamkan di Pasir Putih.
Kebangkitan di Pasir Putih di bawah pimpinan Tok Janggut berjaya buat
sementara mengundurkan kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Bahru. Namun,
kebangkitan ini telah gagal untuk mempertahankan kejayaannya. Pasukan British
bertindak bebas dengan cepat dan berjaya mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut
sendiri terkorban dalam pertempuran.
oleh SP Star
Penentangan di Terengganu
Pengenalan
Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit
menentang British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman
pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu
adalah pelaksanaan sistem pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukai-
cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk
membuka tanah dan mengambil hasil hutan. Pemimpin ulama penentangan ini ialah
seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman Limbong. Penentangan ini bertumpu di
Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor Limbat dan Tersat.
oleh SP Star
TOK JANGGUT
INGGERIS cuba menyembunyikan cerita sebenar mengenai Tok Janggut. Lelaki tersebut
dan kumpulannya dituduh penderhaka kepada sultan, bangsa dan tanah airnya iaitu
Kelantan. Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan
pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan
kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara. Walaupun usahanya
menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat
cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal
disanjung sehingga kini. Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan
pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang
Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan
mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris
bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol, Tok Janggut
dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut terbunuh bersama ramai
pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota
Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum
dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan