Anda di halaman 1dari 2

Pengguna Lestari, Alam Sekitar Terjaga Rapi

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis serta hadirin yang saya hormati sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini bukanlah untuk membuang masa hadirin, sebaliknya untuk sama-sama kita hayati tajuk pidato yang berbunyi Pengguna Lestari, Alam Sekitar Terjaga Rapi.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, marilah sama-sama kita fahami tajuk pidato saya pada pagi ini. Menurut Kamus Dewan, pengguna bermaksud orang yang menggunakan sementara lestari bermaksud tidak berubahubah, kekal dan tetap. Kamus Geografi secara umumnya mendefinisikan alam sekitar sebagai kawasan persekitaran tempat manusia menjalani kehidupan manakala terjaga rapi saya takrifkan sebagai terpelihara dengan baik.

Secara konseptualnya, pidato saya pada pagi ini membicarakan perihal pengguna bijak yang menggunakan barangan atau perkhidmatan tanpa merosakkan alam sekitar. Prolog kronologi saya pada hari ini berpaksikan langkah-langkah yang harus dilaksanakan oleh pengguna lestari dalam memelihara alam sekitar iaitu menyokong kempen alam sekitar, mengurangkan penebangan pokok dan yang terakhir mengelakkan pembakaran terbuka.

Hadirin sekalian, Apabila berbicara soal kempen alam sekitar, kita tidak boleh lari daripada membincangkan konsep kempen itu sendiri iaitu memupuk kesedaran tentang peri pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar. Andaikan kesedaran sebagai sistem pernafasan kita, sekiranya sistem ini terhenti, maka kita akan mati. Dalam erti kata lain, alam sekitar akan binasa sekiranya kita tiada kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. Kempen Earth Hour yang telah dilaksanakan pada

tahun 2009 di seluruh dunia serta Kempen Kitar Semula cukup untuk membuktikan bahawa kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar dapat dipupuk melalui kempen. Maka jelas di sini bahawa pengguna lestari sentiasa memberi sokongan serta melibatkan diri dalam kempen alam sekitar.

Sidang hadirin yang dihormati, Persidangan Kemuncak Bumi 2002 di Afrika Selatan telah diadakan bertujuan untuk memperkukuh usaha-usaha pembangunan lestari dengan meminimumkan pemusnahan hutan. Usul yang telah disepakati umum ialah mengurangkan penebangan pokok. Penebangan pokok secara tidak terkawal untuk tujuan pembalakan, pertanian, pembukaan kawasan petempatan serta perindustrian akan menyebabkan ekosistem terganggu, kepupusan flora dan fauna, peningkatan suhu serta banjir kilat. Hutan yang terdapat di Indonesia, Venezuela dan Columbia yang sebelumnya merupakan hutan dara telah mencatatkan pengurangan jumlah pokok yang sangat ketara. Justeru, ingin saya lontarkan kepada anda satu persoalan. Sanggupkah anda melihat alam sekitar terus diterokai? Renung-renungkan.

Sidang hadirin, Kita semua tahu bahawa pelepasan gas karbon dioksida, nitrogen dioksida, sulfur dioksida serta pelbagai gas lain menyumbang kepada pencemaran udara. Tetapi mengapa seringkali kita terlupa? Pembakaran terbuka yang saya dan anda lakukan atas nama pembersihan kawasan merupakan penyumbang utama kepada penghasilan gas-gas tersebut. Lihatlah masalah jerebu yang kita alami baru-baru ini. Pelbagai masalah kesihatan timbul serta aktiviti harian kita turut terjejas. Maka selaku pengguna lestari, katakan tak nak pada pembakaran terbuka.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama mengubah minda agar tidak terus buta akan tanggungjawab kita sebagai pengguna lestari dalam memelihara alam sekitar. Oleh itu, hadirin, tanamkanlah sikap mencintai alam sekitar dalam diri masing-masing, ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai