Anda di halaman 1dari 10

Jenis Penulisan Di sekolah terdapat beberapa jenis penulisan yang khusus merujuk kepada penulisan karangan.

Bagi meningkatkan kemahiran murid menulis karangan, latihan penulisan diberikan dari semasa ke semasa. Usaha ini dianggap penting bagi memantapkan penguasaan murid dalam bahasa tulisan. Kekerapan latihan menulis karangan yang sanggup diberikan oleh guru bergantung pada jadual pengajaran dan bilangan kelas yang diajar. Hal ini kerana setiap karangan yang ditulis oleh murid perlu dibaca dan diperiksa, iaitu guru perlu membetulkan kesalahan yang mungkin terdapat dalam penulisan tersebut. Setiap hasil penulisan murid tidak boleh diabaikan dan guru akan menandai karangan itu mengikut kaedah tertentu. Dalam pengajaran penulisan di sekolah, murid perlu didedahkan dengan pelbagai jenis penulisan. Hal ini penting untuk membolehkan murid menyedari bahawa setiap jenis penulisan mempunyai gaya menulis yang berbeza. Jenis-jenis penulisan tersebut adalah seperti yang berikut: 1. Penulisan Terkawal Penulisan terkawal merupakan tahap asas murid belajar menulis karangan, malah ada yang berpendapat penulisan terkawal merupakan aktiviti prapenulisan. Karangan jenis ini merujuk kepada penulisan yang kandungan isi dan bahasanya sedia terkawal oleh guru. Tujuan penulisan jenis ini adalah untuk mengurangkan kesilapan bahasa dan kesukaran mengolah isi karangan oleh murid. Perkara yang dititikberatkan dalam penulisan terkawal ialah kelancaran penggunaan bahasa dan murid menyatakan pendapat tanpa diganggu oleh penguasaan bahasa yang lemah. Latihan penulisan terkawal sepenuhnya diberikan kepada murid yang lemah penguasaan bahasanya atau mereka yang baru belajar menulis karangan. Latihan yang diberikan agak mudah dan ringkas kerana tujuannya sebagai latihan mekanikal. Walaupun penulisan itu terkawal sepenuhnya, guru masih ada ruang untuk mempelbagaikan latihan yang diberikan. Sebagai contoh, dalam latihan membina ayat, guru boleh menggunakan rajah tukar ganti bagi membolehkan murid menghasilkan dan menulis ayat-ayat mereka sendiri. Contoh penulisan terkawal yang lain ialah:

1. Mengisi tempat-tempat kosong dalam petikan menggunakan perkataan yang disenaraikan. 2. Melengkapkan ayat menggunakan perkataan dalam kurungan. 3. Memperluas ayat dengan menambahkan kata penerang yang diberikan. 4. Menyambung ayat yang disenaraikan bagi membina satu perenggan yang sempurna.

2. Penulisan Separa Terkawal Penulisa separa terkawal merujuk kepada aktiviti penulisan murid yang masih dikawal, tetapi tidak sepenuhnya seperti di atas. Murid diberikan peluang menggunakan sedikit daya pemikiran mereka dalam latihan yang diberikan. Penulisan jenis ini dianggap masih pada peringkat rendah memandangkan murid masih belum berupaya untuk meluahkan idea dan pendapat dalam susunan ayat yang gramatis. Justeru, latihan yang diberikan pada tahap ini hampir sama seperti di atas dengan sedikit kelonggaran dan pengubahsuaian. Antara latihan yang diberikan adalah seperti: 1. Melengkapkan tempat kosong dalam karangan pendek menggunakan perkataan sendiri. 2. Menyusun semula perenggan mengikut urutan bagi menghasilkan karangan yang bermakna. 3. Membina ayat menggunakan rangkai kata yang diberikan bagi menghasilkan perenggan.

3. Penulisan Berpandu Penulisan berpandu bermaksud murid dipandu dalam menghasilkan penulisan mereka. Pada tahap ini, murid telah boleh membina ayat-ayat mudah, tetapi kemungkinan mereka masih melakukan sedikit sebanyak kesalahan tatabahasa. Dalam penulisan berpandu, murid biasanya diberikan cadangan tentang isi, susunan perenggan atau format karangan. Antara latihan yang boleh diberikan oleh guru ialah: 1. Membina ayat dan perenggan pendek berpandukan gambar bersiri.

2. Membalas surat yang diterima daripada rakan dengan memberikan tumpuan pada soalan yang ditanya. 3. Menghasilkan karangan menggunakan kata kunci atau rangkai kata yang diberikan. 4. Menghasilkan karangan dengan berpandukan isi-isi yang disenaraikan. 5. Menghasilkan dan melengkapkan karangan berpandukan perenggan

permulaan yang disediakan.

4. Penulisan Bebas Penulisan bebas dilakukan setelah murid menguasai kemahiran mekanikal dan tatabahasa dengan baik. Pada tahap ini guru memberikan tumpuan pada isi karangan, pengolahan gaya bahasa dan kesilapan ejaan. Murid diberikan tajuk-tajuk umum dan mereka diminta untuk menumpukan perhatian kepada kandungan yang hendak ditulis dan bukan lagi cara hendak membina ayat-ayat. Penulisan bebas merupakan penulisan peringkat tinggi kerana murid tidak lagi dikawal dan dipandu dalam menghasilkan karangan mereka. Penulisan ini mengkehendaki murid menghasilkan karangan mengikut jenis, iaitu karangan berformat seperti surat kiriman, berita, dialog, catatan dan laporan serta karangan tidak berformat seperti pengalaman, cerita, autobiografi dan perbincangan. Sumber: Siti Hajar Abdul Aziz .(2009). Siri Pendidikan Guru: Bahasa Melayu II. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Komunikasi Bertulis Komunikasi bertulis ialah kegiatan merakamkan idea dan pendapat dalam bentuk lambing-lambang tulisan untuk dibaca atau digunakan pada masa akan datang. Kegiatan seperti ini boleh dilakukan secara spontan atau dibuat dalam bentuk yang terancang. Berbanding dengan komunikasi lisan yang lebih mudah dan ringkas, komunikasi bertulis melibatkan berbagai-bagai faktor. Selain isi yang hendak dibicarakan, komunikasi ini juga melibatkan beberapa kriteria tertentu seperti pemilihan kata yang sesuai, laras bahasa, gaya persembahan, bentuk penyampaian, format dan pengolahan yang menarik. Bahasa merupakan aspek penting dalam komunikasi bertulis. Hal ini kerana apa-apa yang telah dirakamkan akan kekal lama dan sebarang kesalahan atau kesilapan yang dilakukan boleh dilihat dengan jelas. Dalam hal ini, kepekaan penulis terhadap penggunaan bahasa amat penting. Mereka haru memastikan bahasa yang digunakan akan dipersembahkan dengan menarik, dapat ditelahi dan mudah untuk dibaca dan difahami. Cara pengolahan teks merupakan kebolehan seseorang memerihalkan dan mempersembahkan teks secara keseluruhan. Hal ini melibatkan penggunaan bahasa yang sempurna, struktur teks, format dan dalam teks-teks tertentu, turut melibatkan sistem panggilan hormat yang berkaitan. Sesebuah teks yang baik banyak bergantung pada keupayaan penulis mengolah teks untuk menjadikannya menarik dan berkesan. Pengolahan yang sempurna perlu mempunyai kesepaduan, kesinambungan, ketertiban dan pertalian, baik dari segi bahasa mahupun pemerengganan. Fakta juga merupakan unsur yang amat dititikberatkan dalam komunikasi bertulis. Fakta melibatkan isi, bahan atau sumber yang hendak dipersembahkan kepada khalayak. Fakta bermaksud sesuatu yang nyata, benar-benar berlaku dan dapat dibuktikan kebenarannya. Fakta tersebut mungkin telah digarap melalui pembacaan, hasil penyelidikan atau pengalaman sebenar yang dialami sendiri oleh penulis. Fakta yang sempurna mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Pandangan dan pendapat yang berasaskan prinsip, falsafah, ideologi dan teori tertentu juga merupakan sumber yang dapat digunakan sebagai fakta.

Gaya dan laras bahasa turut terlibat dalam organisasi sesebuah teks. Gaya ialah cara teks itu dipersembahkan kepada umum, yang melibatkan penggunaan bahasa yang diadun dengan baik serta pengolahan yang menarik. Gaya teks yang baik mempunyai keupayaan merangsang khalayak memahaminya secara berkesan dan memberikan impak yang bermakna. Laras pula ialah penggunaan bahasa mengikut jenis teks dan konteks yang berkaitan. Laras ini berubah-ubah mengikut situasi tertentu. Penulis perlu dapat membezakan antara laras bahasa formal dan laras bahasa tidak formal agar tidak timbul penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan situasi tertentu. Teks perlu mempunyai isi-isi yang berkaitan, diolah dengan baik dan mengikut konteks tertentu. Secara umum, teks yang baik perlu mempunyai ciri-ciri seperti yang berikut: 1. Tajuk dan tema teks dengan jelas dan dimaklumkan dengan baik 2. Isi dan kandungan teks ada kaitan dengan tajuk dan tema 3. Perenggan mempunyai kesinambungan antara satu sama lain 4. Satu perenggan perlu mengutarakan satu idea sahaja 5. Struktur ayat mesti lengkap dan mudah difahami 6. Penggunaan bahasa perlu dipelbagaikan 7. Teks hendaklah mengikut format dan konteks Sumber: Siti Hajar Abdul Aziz .(2011). Siri Pendidikan Guru: Bahasa Melayu I. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

PANDUAN MENGARANG / MENULIS Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang : A. Pengenalan B. Isi-isi dan C. Penutup A. Pengenalan Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan. B. Isi Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah,

rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis. Panduan mencari isi-isi berdasarkan peta minda: Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar, ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan popular ialah:

Apa? Siapa? Bila? Mengapa? Di mana? Bagaimana?

C. Penutup Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

Cara Mendapat Markah Tinggi & Kesalahan


BAGAIMANA MENDAPAT MARKAH TINGGI ATAU GRED A DI DALAM PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU?

1. Baca semua soalan yang diberi:


Fahami arahan kehendak soalan. Kenal pasti format yang perlu digunakan. Karangan yang tidak terlalu panjang atau pendek mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan. 2. Guna isi yang berlainan:

susun isi secara berturutan letak isi mengikut perenggan memberi huraian yang tepat kepada isi. sebaik-baiknya karangan mengandungi nilai-nilai murni. 3. Penggunaan perkataan yang pelbagai:

ada menggunakan perkataan yang terkini elak penggunaan perkataan sama yang berulang / kerap penggunaan perkataan teknikal dengan tepat elak perkataan dialek atau daerah yang tidak diterima. 4. Susun ayat dengan kemas:

elak pengaruh struktur ayat percakapan daerah / dialek guna ayat yang pendek tetapi lengkap kebolehan menggunakan rangkai kata / ungkapan yang menarik 5. Penggunaan tanda baca pada tempat yang betul:

gunakan tanda baca pada tempat yang diperlukan gunakan huruf kecil dan huruf besar pada tempatnya. 6. Dapat membezakan antara kata depan dan kata imbuhan:

dapat membezakan imbuhan an dan kan guna imbuhan yang pelbagai - awalan / akhiran / sisipan / apitan ( sekurangkurangnya 5 imbuhan yang berbagai jenis )

7. Tulis mengikut ejaan yang betul:


elak mengikut sebutan dialek / daerah elak menulis huruf yang mengelirukan / cermat dalam bentuk tulisan

PUNCA-PUNCA PENULISAN KARANGAN MENJADI LEMAH DAN DIPOTONG MARKAH A. Kesalahan memilih tajuk

Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja. B. Kekurangan isi

Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan. C. Pembahagian perenggan

Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan! D. Tidak merangka karangan

Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan. Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ). E. Kesalahan tatabahasa

Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat A. Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.

F. Kesuntukan masa

Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis. Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( C ) sahaja. G. Kesalahan lain

Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan. Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan. Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan / bahasa Utara / bahasa Jawa / bahasa Bugis / bahasa SMS )

Sumber: Tanpa Penulis (2012), Pandungan Mengarang. [Online]. Didapati: http://karangan-bahasa-melayu.blogspot.com/p/cara-mendapatmarkah-tinggi-kesalahan.html. [12 Januari 2013]

Anda mungkin juga menyukai