Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI TUGASAN

Dalam melaksanakan tugasan ini saya telah mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran perancangan dan pengajaran Matematik untuk menghasilkan satu rancangan pengajaran harian. Sebelum melaksanakan tugasan ini , saya kurang faham tentang penulisan RPH . Saya tidak tahu perkara-perkara yang perlu ada dalam satu rancangan pengajaran harian yang baik. Melalui tugasan ini, saya dapat meningkatkan kefahaman saya tentang penulisan rph, kaedah dan teknik pengajaran dan pelaksanaan pengajaran dengan kritis dan bermakna. Pertama, tugasan ini menghendaki saya untuk mencari dua artikel jurnal tentang penyediaan rancangan mengajar yang merangkumi kaedah atau teknik mengajar yang saya gunakan dalam rph yang saya hasilkan dan topik matematik yang saya nyatakan dalam rph tersebut. Melalui pembacaan artikel tersebut , saya dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang apa yang harus ada dalam sebuah rph. Pertama, rancangan pengajaran harian yang baik harus mempunyai penjelasan mengenai aktiviti p&p yang jelas dan terperinci. Hal ini bertujuan untuk memastikan guru dapat melaksanakan pengajaran dengan lancar. Selain itu , sebuah rph harus melibatkan penggunaan media pengajaran yang menarik dan kreatif untuk menarik minat belajar murid. Penulisan objektif pembelajaran pula harus secara eksplisit. Hal ini baharu bagi saya. Saya dapat mengetahui bahawa terdapat tiga unsur penulisan objektif secara eksplisit iaitu menyatakan perubahan tingkah laku atau kemahiran yang murid boleh buat. Kedua , syarat-syarat yang diperlukan bagi perubahan tingkah laku murid atau keadaan dalam mana murid akan memperlihatkan kemahiran tersebut dan akhir sekali pencapaian minimum yang diharapkan atau kriteria yang diguna untuk menilai kebolehan murid dalam kemahiran yang dinyatakan. Hasilnya , saya dapat menghasilkan objektif pembelajaran yang eksplisit. Selain itu, saya menyedari bahawa dalam pengajaran, penglibatan murid harus diutamakan. Maknanya, pengajaran yang dijalankan adalah berpusatkan murid. Maka,dalam rph yang telah saya hasilkan, saya telah merancang aktiviti pengajaran yang melibatkan murid secara aktif. Oleh kerana ini merupakan julung kalinya saya menghasilkan rph maka saya telah membuat penambahbaikan sebanyak tiga kali dan hal ini sangat berbaloi dengan apa yang telah saya ketahui sekarang iaitu berkenaan dengan penghasilan rph yang baik. Tidak dilupakan juga

bahawa dalam sebuah rph harus melibatkan penanaman nilai murni dalam diri murid untuk melahirkan murid yang bukan hanya cemerlang akademik, namun turut cemerlang dalam sahsiah. Tugasan ini juga menghendaki saya untuk menyediakan satu rph dan semua media pengajaran yang diperlukan. Dengan berbantukan penerangan tentang penghasilan rph daripada pensyarah subjek, saya dapat menyiapkan sebuah rph yang baik. Saya juga telah menghasilkan beberapa media pengajaran yang diperlukan dalam pelaksanaan pengajaran ini. Keseluruhannya , saya telah mampu menghasilkan sebuah rph yang baik dan menjalankan pengajaran menggunakan kaedah yang sesuai dan berkesan. Saya sangat bersyukur dapat melaksanakan tugasan ini dengan baik.

REFLEKSI PENGAJARAN

Saya telah menjalankan pengajaran berdasarkan rph yang dihasilkan ketika menjalani PBS di sekolah yang telah saya pilih iaitu SK Matang Jaya Kuching Sarawak. Meskipun ini kali pertama saya mengajar, saya dapat mengawal kelas dengan baik. Selain itu saya dapat melibatkan murid secara aktif dalam aktiviti yang saya jalankan. Hal ini demikian kerana saya telah merancang aktiviti yang melibatkan murid sepenuhnya dan guru hanya sebagai fasilitator. Saya mendapati bahawa murid berasa seronok dengan aktiviti yang saya jalankan. Berdasarkan komen daripada guru mentor yang menilai proses pengajaran saya, terdapat beberapa perkara yang boleh saya perbaiki pada masa akan datang. Pertama, saya harus memastikan tajuk pembelajaran pada hari itu ditulis pada papan putih supaya murid tahu apa yang akan mereka pelajari pada hari tersebut. Terdapat beberapa orang murid yang lewat masuk kelas dan mereka tidak mendengar penerangan guru tentang apa yang akan dipelajari, maka mereka boleh merujuk pada tajuk pembelajaran yang ditulis pada papan putih. Selain itu , semasa menjalankan aktiviti saya harus memastikan kad nombor pecahan perseratus dan kad nombor perpuluhan ditunjukkan kepada murid sepanjang murid

melaksanakan aktiviti tersebut. Hal ini bagi memastikan murid tahu apa yang harus mereka lakukan. Antara perkara yang saya pelajari dalam proses pengajaran ialah, kawalan kelas merupakan perkara paling utama dalam menyampaikan pengajaran. Kawalan kelas yang tidak baik akan menyebabkan pengajaran tidak terlaksana dengan jayanya. Selain itu, setiap arahan yang disampaikan haruslah jelas supaya murid faham tentang apa yang harus mereka lakukan. Pujian harus diberikan kepada murid apabila murid dapat menyiapkan atau melakukan aktiviti yang dijalankan. Berdasarkan pengajaran yang saya jalankan, murid semakin bersemangat untuk menjawab soalan yang ditanya apabila melihat rakan mereka mendapat tepukan setelah menjawab soalan yang sebelumnya. Kesimpulannya, dalam melaksanakan pengajaran guru harus memastikan penglibatan murid sepenuhnya. Guru haruslah bersedia dengan topik yang akan diajar supaya pengajaran tidak kucar-kacir. Guru juga harus kreatif dalam merancang aktiviti dan menghasilkan media pengajaran kerana perkara ini merupakan nadi penyampaian ilmu. Guru juga harus tegas dan serius dalam menyampaikan pengajaran supaya murid hormat terhadap pengajaran guru.

Anda mungkin juga menyukai