Anda di halaman 1dari 6

Bercinta sebelum bernikah

Manhaj para ulama yang bijaksana: Kita mengambil kira hakikat di sebalik nama (bagaimana
orang menguruskan cinta mereka) bukannya nama ('bercinta', berkapel, dsb).


Ada yang kata bercinta boleh. Ada yang kata tak boleh. Mana satu ni?
Ada yang kata bercinta dengan niat nak kahwin, boleh. Betul ke?
Ada yang kata penting bercinta sebelum kahwin. Ada yang sebaliknya. Mana satu?

Maksud Bercinta Sebelum Nikah.

Sebelum menjelaskan soalan-soalan ini, eloklah kita bincangkan sedikit maksud
bercinta dalam perbincangan ini. Boleh jadi, maksudnya pelbagai dalam fikiran kita semua.
Perbezaan maksud ini lumrah berdasarkan maksud yang difahami oleh masyarakat setempat,
pengalaman, realiti, pendapat, fikiran dan latar belakang yang berbeza-beza.
Biasanya, tulisan ilmiah lebih menekankan penggunaan bahasa Melayu tinggi. Segala
makna akan dirujuk di dalam kamus.
Manakala tulisan dakwah, lebih selesa menggunakan bahasa yang dekat dengan
masyarakat sebagai sasaran dakwah. Di sini, kadang kala timbul dilema. Para ulama mempunyai
manhaj yang istimewa dalam menangani dilema ini.
Kamus Dewan, edisi keempat (2007) memberi definisi bercinta itu ialah:
1. menaruh rasa cinta atau berahi
2. berasa rindu.
Begitu juga Kamus Lisaanul Arab.
Masyarakat kita pula rata-rata memahaminya sebagai komitmen sepasang kekasih. Lebih
terperinci, masyarakat akan menamakan seseorang ini sedang bercinta apabila:
Terlalu kerap sms pasangannya walaupun tiada keperluan.
Selalu bergayut di telefon meskipun tiada urusan.
Selalu mengatur dating walaupun tiada mahram.
Berpegangan tangan.
Membonceng motor bersama.
Menaiki kereta berdua-duaan kecuali teksi.
Keluar tengok wayang bersama-sama.
Keluar menyanyi dan menari.

Kamus Dewan mengistilahkan perbuatan berkasih-kasihan, bercengkerama dan bercumbu-
cumbuan sebagai bercinta-cintaan. Istilah ini jarang disebut oleh masyarakat kita. Mereka lebih
senang menyebutnya sebagai bercinta. Setuju tak?
Manakala perbuatan menjalin hubungan cinta kasih dengan teman lelaki dan wanita
diistilahkan oleh Kamus Dewan sebagai berpacaran. Istilah ini juga kurang popular disebut
dalam perbualan harian masyarakat umum di Malaysia. Dalam lagu adalah. Istilah berpacaran
lebih popular di kalangan masyarakat Indonesia. Orang Malaysia lebih suka menyebutnya
sebagai bercinta.

Jadi apa sebenarnya makna bercinta?

Mengikut manhaj para ulama yang bijaksana, makna sebenar suatu pengungkapan
bukan pada namanya tapi berdasarkan hakikat atau intipati benda yang dinamakan itu. Kaedah
menyebut, Al-Ibrah bilmusammayaat laisat bil asma.Maksudnya, kita mengambil kira
hakikat di sebalik nama, bukannya nama.
Para ulama tidak mudah terpedaya dengan maksud lafaz andai masyarakat memahami
dan menterjemahkannya secara berlainan.
Contohnya, andai sesuatu perkara itu lafaznya buruk seperti hotdog. Tapi hakikatnya
baik iaitu daging yang enak. Maka hotdog dikira baik sebab hakikatnya baik.
Contoh yang lain, andai sesuatu perkara itu lafaznya baik seperti bunga atau faedah.
Tapi hakikatnya buruk iaitu riba. Maka bunga atau faedah dikira buruk sebab hakikatnya
buruk.
Manakala, andai sesuatu perkara itu lafaznya meragukan seperti bercinta. Hakikatnya
ditentukan oleh kefahaman kumpulan sasaran. Berdasarkan pengamatan kasar penulis, rata-rata
di Malaysia, orang menyebut lafaz bercinta itu dengan memahami hakikatnya sebagai
berpacaran.
Maka, bercinta yang dibincangkan di sini, bukan sekadar memiliki perasaan cinta. Itu
fitrah. Jika tidak diuruskan dengan panduan wahyu, ia sekelip mata boleh bertukar menjadi
fitnah.
Bercinta yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah intipati atau hakikat
bagaimana cara masyarakat menguruskan cinta mereka. Bukankah secara umumnya, lebih
menghampiri fitnah?
Al-Imam Hassan al-Banna apabila ditanya tentang hukum bercinta, beliau memberikan
jawapan yang bijaksana. Mengambil kira kefahaman masyarakat yang pelbagai ini. Kata beliau,
Bercinta secara halal itu halal. Bercinta secara haram itu haram.
Sudah tentu, bercinta secara syubhah itu syubhah. Syubhah ialah perkara yang meragukan
antara halal dan haram.

Fikrah Pertengahan
Islam agama yang memahami fitrah. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan
terus fitrah cinta seperti merahibkan diri.
Islam juga mengutuk fitrah cinta yang disalur dengan menghampiri zina. Inilah yang
sering diajar oleh kebanyakan media (tidak semua). Islam lebih-lebih lagi mengutuk fitrah cinta
yang diumbar dengan nafsu syahwat seperti mana yang berlaku di Barat. Akibatnya, kecelaruan
nasab begitu parah di sana.
Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah.
Bercinta selepas nikah memang seronok. Usung ke hulu ke hilirpun, tiada siapa nak marah.

Pernahkah kita merujuk apa kata ulama muktabar tentang bercinta sebelum nikah?

Prof. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang terkenal dengan dakwah menyeru kepada
pandangan moderat menerangkan manhajnya,
Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk
yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa rashidun serta para sahabat baginda yang
memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka
dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang
terlalu ketat.

Tidak Bercampur Kecuali Atas Dasar Urusan
Mari kita teliti poin-poin penting yang boleh kita amalkan dalam buku Ciri-ciri Unggul
Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya
berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang
mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di
masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.
2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu,
tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.
3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan
boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).
4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.
5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua
lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.
6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.
7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.
8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Pesanan Pengerusi Majlis Ulama Sedunia Tentang Bercinta

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti global, berkata,
1. Saya ingin tegaskan apa yang selalu saya katakan, bahawa saya tidak memuji apa yang
dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah, kerana cara
seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat. (Beliau lebih memilih perkataan 'tidak
memuji' berbanding meletakkan 'hukum' samada 'haram' atau 'makruh' dsb boleh jadi
kerana beliau meraikan pendapat orang yang pelbagai terhadap maksud 'bercinta'.)
2. Ramai orang yang memulai cara bercinta ini dengan cara yang tidak benar dan adil, seperti
berpacaran melalui percakapan telefon dengan pembicaraan yang tidak jelas dan seringkali
dilakukan oleh anak muda ketika mengalami waktu kosong atau bosan.
3. Pacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh sebahagian remaja puteri, dan ini
biasanya sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh
remaja putera mahupun remaja puteri.
4. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudian ketagihan. Awalnya bergurau tapi akhirnya
serius.
5. Banyak situasi seperti ini berdampak kepada hal-hal yang tidak terpuji. Apatah lagi apabila
dilakukan di tempat-tempat gelap, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah dengan
godaan syaitan.
6. Dalam keadaan seperti ini, remaja putera dan remaja puteri boleh terjerumus dalam kesalahan
dan kenistaan, sebab keduanya bukanlah malaikat yang suci, dan juga bukan para Nabi yang
maksum.
7. Lebih dari itu, kadang-kadang pacaran dilakukan oleh dua pihak yang tidak serasi dalam status
sosial dan pendidikannya, sehingga keduanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan
yang menghalangnya tanpa berakhir dengan pernikahan. Dalam keadaan seperti ini, hati akan
hancur berkeping-keping dan jiwa tertekan.
8. Saya melihat cara terbaik untuk menikah adalah cara yang dilakukan oleh masyarakat Muslim
Arab sebelum Barat memerangi kita. Iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang
setelah merisik keperibadian calon masing-masing.
9. Perkara yang sesuai dirisik ialah: adakah sesuai antara keduanya dan kemungkinan akan berhasil
menikah jika dilihat dari kemampuannya secara psikologi, kematangan akal, kemampuannya
secara ekonomi, dan keadaan sosialnya, serta tidak ada penghalang yang akan menghambat
pernikahannya dari salah satu pihak, atau keluarganya atau adat tradisi masyarakatnya,
atau undang-undang negaranya dan lain sebagainya.
10. Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentlemen) datang mengetuk
pintu rumah calonnya untuk menemui keluarganya. Si pemuda melihat calonnya dan wanita itu
melihatnya tanpa mengetahui bahawa pemuda itu berminat kepadanya. Hal ini tidak lain untuk
menjaga perasaannya, jika pemuda itu tidak tertarik kepadanya dan dia belum mendapat tempat
di hatinya.
11. Apabila kapak telah menancap di kepala, pada saat itu keluarga hendaklah melihatnya dengan
bijaksana dan penuh hikmah dan tidak semena-mena dengan pendapat mereka dan menolak
orang yang melamarnya tanpa sebab.
12. Keluarga atau walinya hendaklah mengamatinya dengan baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh
hadis Nabi, Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling menyintai kecuali
pernikahan. (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Atau nikah adalah cara yang paling tepat untuk
mengatasi hubungan cinta kasih ini, yang berhujung pada asmara dan kerinduan antara hati
lelaki dan perempuan.
13. Yang paling diperhatikan dalam Islam dari pihak suami atau orang yang melamarnya adalah
agama dan akhlak, dan keduanya merupakan faktor terpenting dalam keperibadian seseorang
muslimah. (Fatawa Muasirah, ibid, juz. 2, hal. 348-349).

Kesimpulan
Subhanallah! Luasnya skop kupasan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
berkenaan isu bercinta. Tidak terkurung dari kaca mata hukum fekah semata-mata. (Hukum
fekah adalah soal batas minimum yang tetap ada kepentingannya). Bahkan memberi panduan
terhadap aspek perlaksanaan hukum secara ideal. Ini yang seringkali kabur di mata masyarakat.
Kupasan sebegini lebih membumikan kita kepada amal dan perlaksanaan dalam realiti
hari ini. Tidak lagi tersepit dalam kekeliruan antara hukum dan perlaksanaan hukum.
Perlaksanaan hukum mestilah mengambil kira hubungan dengan Allah dan hubungan sesama
manusia untuk mendapat impak yang lebih hebat, di dunia dan di akhirat.
Lebih istimewa, Pengerusi Majlis Ulama Sedunia ini memberikan pandangan yang
pertengahan antara golongan yang memberat-beratkan dengan golongan yang bermudah-mudah.
Batasan pergaulan yang Islam gariskan banyak kebaikannya. Ia bukan sahaja memelihara
kehormatan bahkan juga melindungi daripada punca-punca keruntuhan, keretakan dan
kebimbangan. Lebih jauh daripada itu, batasan ini memelihara masyarakat daripada kebinasaan.
Barat dan segelintir orang Islam sendiri menuduh batasan-batasan ini sebagai konservatif.
Apa sanggahan syeikh terhadap dakwaan mereka? Kita kupas dalam artikel akan datang, insya
Allah.

Anda mungkin juga menyukai