Anda di halaman 1dari 15

PENGURUSAN DI KOLEJ KOMUNITI LEDANG: CABARAN DAN HARAPAN

Sapiah Binti Aluan, Razzatul Iza Zurita Binti Rasalli & Mohd Hafiz Bin Hamdan
Kolej Komuniti Ledang Johor
Kementerian Pendidikan Malaysia

ABSTRAK

Pengurusan di Kolej Komuniti Ledang terbahagi kepada tiga komponen iaitu Pentadbiran &
Kewangan, Jabatan Kemahiran & Kejuruteraan dan Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Ketiga-tiga komponen ini menjadi tunjang yang penting dalam menggerakkan dan mengemudi
Kolej Komuniti Ledang Johor. Setiap bahagian diketuai oleh individu yang dilantik bersesuaian
dengan peranannya. Memandangkan kolej komuniti menjadi tumpuan banyak pihak antaranya
pemimpin negara, ahli politik dan komuniti setempat, setiap keputusan dan pengagihan
kewangan perlu selari dan patuh kepada peraturan sedia ada. Cabaran dan harapan ini perlu
digalas dan direalisasikan dengan sebaik mungkin. Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk
memaparkan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak pengurusan tertinggi dalam memastikan
kolej berjalan dan berfungsi sepertimana yang dikehendaki. Selain itu, pihak pengurusan turut
mempunyai harapan yang terus membangunkan Kolej Komuniti Ledang. Kajian ini
menggunakan kaedah pemerhatian, temu bual dan kajian dokumen rasmi kerajaan. Dapatan
kajian mendapati tugas dan beban yang terpaksa dipikul dalam menguruskan sebuah Kolej
Komuniti amat mencabar berikutan kepelbagaian tugas dan arahan. Namun harapan yang
diamanahkan perlu digalas bagi membangunkan modal insan di Malaysia.








PENGENALAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan Negara.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996

Merujuk kepada Zainab (2012) dalam Buku Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-
2015, Kolej Komuniti (KK) telah ditubuhkan melalui Memorandum No. 398/2225/00 yang
dikemukakan oleh Menteri Pendidikan kepada Jemaah Menteri pada 5 Julai 2000. 12 buah kolej
komuniti rintis telah mula beroperasi pada tahun 2001. Pada tahun 2004, Kabinet telah bersetuju
menjadikan kolej komuniti sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat. Kini terdapat sejumlah
86 kolej komuniti di seluruh negara beroperasi di seluruh Malaysia di bawah seliaan Jabatan
Pengajian Kolej Komuniti (JPKK). Menyediakan pendidikan yang berkualiti, berteknologi tinggi
dan holistik, antara objektif penubuhan kolej komuniti adalah :
1. Menyediakan laluan alternatif kepada pelajar lepasan menengah dan pelajar yang tercicir
daripada pendidikan formal untuk mengikuti latihan dan pengajian dalam bidang-bidang
teknikal dan vokasional termasuk perdagangan, pertanian, kesihatan dan lain-lain;
2. Menyediakan pendidikan seumur hidup kepada individu dan masyarakat setempat bagi
meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat;
3. Membolehkan syarikat-syarikat swasta menggunakan khidmat kolej komuniti untuk
memberi latihan pekerja mereka;
4. Mewujudkan kerjasama yang erat antara ahli masyarakat, kerajaan tempatan dan sektor
swasta bagi memajukan kawasan setempat;
5. Menyelaras latihan dan kemahiran yang disediakan pelbagai kementerian supaya dapat
memenuhi keperluan pasaran dan penduduk setempat;
6. Memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk menggunakan kemudahan yang
disediakan oleh kolej komuniti; dan
7. Memberi khidmat nasihat/kaunseling kepada masyarakat setempat bagi
mempertingkatkan tahap pengetahuan dan perkembangan kerjaya mereka.

Secara keseluruhan peranan kolej komuniti boleh dirumuskan seperti berikut:
1. Menawarkan kursus yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi setempat bagi melahirkan
pekerja terlatih serta memberi peluang pendidikan di peringkat akar umbi;
2. Melahirkan pekerja berpengetahuan dan terlatih selaras dengan konsep k-ekonomi; dan
3. Peningkatan ilmu serta memenuhi masa lapang melalui kursus pendek.

PENUBUHAN KOLEJ KOMUNITI LEDANG JOHOR

Kolej Komuniti Ledang Johor (KKLJ) telah beroperasi pada 01 April 2002 di kampus sementara
iaitu Sekolah Menengah Teknik Muar dan kini KKLJ telah pun bertapak di kampus tetap yang
terletak di Jalan Payamas Tangkak 05 Oktober 2004. KKLJ menawarkan pengajian peringkat
sijil dalam bidang Servis Kenderaan Ringan, Servis Penyejukan dan Penyamanan Udara, Pastri,
Perkeranian Akaun dan Pengoperasian Pejabat serta kursus pendek dengan pelbagai kursus yang
menarik mengikut permintaan penduduk setempat. Bangunan KKLJ telah dirasmikan oleh Duli
Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertuan bagi Negeri
dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim pada 08 Ogos 2010 bersamaan 27 Syaaban 1431H.

Menurut Portal Rasmi KKLJ (2013), sasaran penubuhan KKLJ berteraskan Misi :
Membangun komuniti setempat sebagai tenaga kerja berpengetahuan dan terlatih untuk
memenuhi tuntutan dunia pekerjaan melalui Pendidikan dan Latihan teknikal dan Vokasional
dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Visi : Menjadi peneraju Pendidikan dan Latihan teknikal
dan Vokasional serta Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat menjelang 2015. KKLJ merupakan
institusi yang bertanggungjawab untuk mendidik pelajar-pelajar lepasan menengah yang
mempunyai minat dalam bidang berasaskan kemahiran. Lulusan KKLJ berpeluang mengisi
keperluan tenaga kerja dalam bidang-bidang kemahiran yang berkaitan atau membuka
perniagaan sendiri.
CABARAN PENGURUSAN DI KKLJ

Unit Pentadbiran dan Kewangan :

Kolej Komuniti sebagai institusi yang paling hampir dengan komuniti, sewajarnya kualiti
perkhidmatan yang disediakan oleh kolej komuniti ditingkatkan seiring dengan tuntutan senario
semasa. Bagi mencapai kejayaan dalam organisasi, konsep kerja kolej komuniti yang
mencerminkan dynamism, collaboration and connectedness mestilah dijadikan amalan.
Berpegang kepada prinsip ini, kolej komuniti haruslah sentiasa bergerak ke arah pencapaian
yang dinamik menggunakan modal insan dan kewangan yang diperuntukkan bagi menghasilkan
kualiti perkhidmatan pendidikan dan latihan tenikal dan vokasional yang lebih cemerlang. Bagi
tujuan tersebut, unsur kolaborasi dan jalinan dengan agensi dan industri perlu diberi keutamaan
kerana sebagai organisasi alaf baru, kolej komuniti hanya akan terus maju sekiranya berganding
bahu dengan industri serta agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
(Petikan Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2013 oleh
Yang Berusaha Encik Amir bin Md Noor, Ketua Pengarah
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, 30 Januari 2013)

Menurut Rauf (2012) Fail Meja Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pentadbiran dan
Kewangan KKLJ bertanggungjawab memastikan urusan kewangan, perjawatan, perkhidmatan
dan penyelenggaraan kemudahan kolej dilaksanakan dengan cekap, teratur dan berkualiti secara
amnya. Cabaran utama yang perlu diatasi adalah dalam memastikan pengurusan kewangan
mematuhi peraturan-peraturan kewangan yang digariskan oleh Kementerian Kewangan
Malaysia, antaranya menyediakan Anggaran Belanja Mengurus (ABM) dan permohonan
peruntukkan berdasarkan keperluan tanpa melepasi batas perbelanjaan tahunan. Merujuk kepada
Perbendaharaan (2008) Arahan Perbendaharaan Bab (II) Para 29, Penyediaan Anggaran
Persekutuan dan Anggaran Negeri hendaklah dijalankan masing-masing oleh Ketua Setiausaha
Perbendaharaan dan Pegawai Kewangan Negeri. Anggaran Persekutuan dan Anggaran Negeri
adalah Anggaran Perbelanjaan dan Anggaran Hasil yang akan dipungut dalam tempoh tahun
kewangan berikutnya. Pegawai Pengawal hendaklah menyediakan Anggaran Perbelanjaan dan
Hasil agensinya mengikut Pekeliling Perbendaharaan (PP) mengenai Garis Panduan bagi
penyediaan belanjawan tahunan.

Merujuk Hamidah (t.th) Buku Pengurusan Kewangan Kolej Komuniti, Pengurusan
Kewangan bermaksud proses di mana kerajaan menggunakan langkah-langkah tertentu bagi
memperolehi dan memperuntukkan sumber-sumber kewangan berdasarkan kepada keutamaan
tertentu dengan mematuhi cara-cara dan kawalan tertentu supaya dapat mencapai matlamatnya
secara cekap dan berkesan. Fungsi utama pengurusan kewangan adalah menetapkan skop
pengurusan, mewujudkan garis panduan serta menyediakan kawalan-kawalan dan struktur-
struktur organisasi.

Cabaran seterusnya adalah kebertanggungjawaban terhadap pertanyaan Audit dan
Naziran, Perbendaharaan dan Jabatan Akaun Negara. Pengauditan dijalankan untuk memastikan
tahap pengurusan kolej komuniti merangkumi pemeriksaan terhadap sistem kewangan, kawalan
dalaman dan rekod kewangan bagi menentukan samada perbelanjaan, hasil, aset dan stor telah
diurus mengikut undang-undang, peraturan dan arahan yang berkaitan dan tertakluk kepada
peraturan dan pekeliling yang berkuatkuasa. Menurut Laporan Tahunan Unit Audit Dalam
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) 2012, KPT telah dianugerahkan penarafan
Empat (4) Bintang di bawah Indeks Akauntabiliti pengurusan kewangan bagi penilaian tahun
2011 dengan skor markah 92.3%. Pengiktirafan ini menjadi penanda aras kepada KKLJ bagi
memperolehi Indeks Akauntabiliti peringkat KKLJ pada taraf yang sama. Dalam usaha mencapai
sasaran ini KKLJ perlu memastikan semua staf yang terlibat dalam pengurusan kewangan
mempunyai tahap kompetensi dan integriti yang tinggi. Dalam hal ini terdapat fenomena yang
ketara dari aspek budaya kerja yang selesa di mana pihak pengurusan perlu mengambil masa
untuk menjadikan budaya kerja KKLJ yang lebih responsif dan produktif supaya memenuhi
kehendak semua pemegang taruh berkaitan. Perubahan budaya kerja ini adalah selaras dengan
persetujuan kerajaan supaya Jabatan Audit Negara melaksanakan Indeks Akauntabiliti terhadap
pengurusan kewangan jabatan yang bertujuan untuk menanda aras tahap pengurusan kewangan
sesebuah jabatan agar dapat membuat perbandingan dan seterusnya membuat penambahbaikan
ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan kewangan.

Cabaran integriti selain pengurusan kewangan adalah pengurusan pentadbiran dan
sumber manusia iaitu bertanggungjawab terhadap tata kelakuan dan disiplin kakitangan di bawah
jagaan Jawatankuasa Keutuhan dan Tadbir Urus (JKTU) jabatan yang mana memastikan kualiti
sistem penyampaian perkhidmatan adalah berlandaskan kepada pentadbiran yang berintegriti,
tadbir urus terbaik, tiada karenah birokrasi, menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan
yang mesra pelanggan, berupaya memenuhi kepuasan pelanggan dan menwujudkan persekitaran
Perkhidmatan Awam yang berdaya saing dengan kehendak stakeholder.

Seterusnya Unit Pentadbiran dan Kewangan juga berhadapan dengan cabaran di mana
memastikan tugas-tugas berhubungkait dengan urusan perkhidmatan dan perjawatan berjalan
lancar mengikut masa yang ditetapkan. Tugas yang digalas membantu Pengarah KKLJ
merancang tenaga manusia dari aspek pengisian jawatan kosong, penempatan dan pengukuran
produktiviti kolej. Antara cabarannya adalah perlantikan dan pengesahan jawatan kakitangan,
urusan gaji kakitangan, Buku Rekod Perkhidmatan kakitangan, kenaikan pangkat/memangku,
pertukaran dan penempatan kakitangan dan permohonan menyambung belajar. Sebagai urusetia
Lembaga Tatatertib dan Panel Pembangunan Sumber Manusia peringkat KKLJ juga adalah
cabaran yang perlu ditangani oleh unit ini. Waran perjawatan yang telah diamanahkan kepada
KKLJ menjadi satu cabaran besar bagi memastikan kesemua perjawatan terisi penuh oleh
pegawai berkelayakan dalam bidang perjawatan tersedia.

Lagi cabaran Unit Pentadbiran dan Kewangan adalah pengemaskinian rekod dalam
Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) di bawah seliaan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan Electronic Staff Information System (ESIS) di bawah seliaan
Seksyen Latihan Dan Pembangunan Kerjaya (SLPK) JPKK. Kedua-dua sistem ini adalah sangat
penting kepada pengurusan perkhidmatan seluruh kakitangan di KKLJ. Menurut Wainah (2013),
Pembantu Tadbir (N17) ditugaskan mengemaskini semua senarai perjawatan dari masa ke masa,
bertanggungjawab ke atas urusan HRMIS/ESIS dan sekaligus menyediakan laporan bulanan
perjawatan. Merujuk JPA (Mei 2005), Pekeliling Perkhidmatan (PP) Bilangan 12 Tahun 2005 :
Pelaksanaan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia, HRMIS adalah salah satu projek di
bawah Aplikasi Perdana Projek Kerajaan Elektronik. JPA selaku agensi pusat
yang bertanggungjawab ke atas dasar sumber manusia perkhidmatan awam telah dipilih sebagai
agensi utama bagi menerajui pelaksanaan projek ini. Peluasan pelaksanaan HRMIS ke agensi
Kerajaan yang lain akan dijalankan secara berperingkat bermula dengan Kementerian dan
Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri. Seterusnya akan bertanggungjawab terhadap
pelaksanaan HRMIS di semua agensi di bawah kawalan masing-masing. (HRMIS 2013)

Sebagai maklumat tambahan, menurut Portal Rasmi ESIS, sistem ini beroperasi
berlandaskan kepada teras ketujuh Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu
mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM). Ianya
mula dibangunkan mulai Disember 2005 dan pelancaran kepenggunaannya pada Jun 2007.
Penambahbaikan sistem ESIS juga berpandukan kepada Key Performance Indicators (KPI) yang
menetapkan indikator-indikator tertentu bagi memenuhi kepuasan pelanggan. ESIS dibangunkan
berasaskan kepada empat (4) objektif utama iaitu untuk meningkatkan kecekapan pengurusan
data latihan staf, sebagai rekod pembangunan kerjaya berterusan, memperkemas data-data
perjawatan dan memperkemas segala informasi berkaitan perkhidmatan kakitangan. (ESIS 2013)

Terkini adalah cabaran mengenai pelaksanaan 1MTC iaitu singkatan bagi 1Malaysia
Training Centre yang merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru atau National Blue
Ocean Strategy (NBOS). Projek 1MTC bertujuan penggunaan fasiliti sedia ada di Institut Latihan
Awam (ILA) dikongsi secara menyeluruh dan penggunaannya dapat dioptimakan oleh pelbagai
pihak. Dalam hal ini pengurusan KKLJ perlu membuat carian dari pelbagai ILA seluruh negara
bagi melaksanakan program-program yang telah dirancang. Cabaran yang dihadapi adalah
kesukaran bagi mendapatkan fasiliti ILA yang bersesuaian dengan keperluan dan masa mengikut
perancangan KKLJ.

Jabatan Kemahiran & Kejuruteraan (JKK)

Menurut Zainab (2013), Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015 merupakan satu
komitmen bagi memperkukuh asas yang telah lama diperkenalkan, dipupuk dan dibina oleh kolej
komuniti. Ianya berfokus kepada enam teras untuk memacu kemajuan kolej komuniti dengan
memantap dan menambahbaik kualiti penyampaian dan perkhidmatan kolej komuniti sebagai
penyedia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang utama di Malaysia.
Pembangunan dan kemajuan negara masa kini tidak lagi bergantung semata-mata
kepada modal insan berpengetahuan tinggi, tetapi berkemahiran tinggi. Maka di sinilah letaknya
kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational
Education and Training, TVET) yang dapat menambah bekalan modal insan berkemahiran
melalui penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam
bidang teknikal dan vokasional sekaligus mentransformasikan Malaysia kepada negara maju dan
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
(Petikan Ucapan Amanat Tahun Baharu 2012 oleh
YB. Dato Seri Mohamed Khaled Nordin,
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia,26 Januari 2012)

JKK bertanggungjawab memantau dan menyelaras kursus-kursus sepenuh masa yang
ditawarkan di KKLJ dan juga menyelaras aktiviti kurikulum, penilaian dan peperiksaan, disiplin
dan lain-lain. Jabatan ini terdiri daripada beberapa unit dan dibantu oleh beberapa jawatankuasa
bagi memastikan pengurusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) berjalan lancar. Merujuk
Manual Prosedur Kerja (MPK) (2012), Fungsi Utama JKK adalah merangkumi:
1. Urusan P&P Program Sepenuh Masa iaitu membuat perancangan dan penyelarasan
aktiviti P&P;
2. Urusan Pengiktirafan Program Sepenuh Masa iaitu menyelaras penyediaan dokumen bagi
tujuan akreditasi program sepenuh masa oleh Malaysian Qualification Agency (MQA);
3. Urusan Keselamatan iaitu merancang dan menyelaras keselamatan, peralatan, bengkel
dan makmal bagi program sepenuh masa;
4. Urusan Perolehan dan Pengurusan Aset Program Sepenuh Masa iaitu pelaksanaan
merancang dan menyelaras aktiviti senggaraan kemudahan dan peralatan program
sepenuh masa;
5. Urusan Sistem Pengurusan Kualiti iaitu menyelaras dan memantau pelaksanaan Sistem
Pengurusan Kualiti (SPK).

TVET merupakan salah satu fokus utama kerajaan dalam pembangunan modal insan.
Secara tidak langsung kerelevanan TVET dapat dipertingkatkan dalam sistem pengajian di
Malaysia khususnya bagi sistem pengajian di Kolej Komuniti. Dengan yang demikian ia menjadi
pilihan alternatif selari dengan aliran akademik. Dalam konteks ini, KKLJ juga
dipertanggungjawabkan untuk mengarus perdana dan memperluaskan akses kepada TVET yang
mana menjadi agenda utama Teras Dua dalam Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015.
Cabaran utama adalah pemerkasaan kurikulum bagi program Sijil Kolej Komuniti (SKK) dan
Sijil Modular Kebangsaan (SMK) dimana KKLJ wajib menyasarkan semua program mendapat
pensijilan/pengiktirafan penuh daripada Badan Profesional/Pentauliahan iaitu Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) menjelang tahun 2015.

Merujuk Zainab (2013), Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015, cabaran
indikator wajib dicapai oleh JKK adalah 1) pendaftaran pelajar mencapai 85% norma unjuran
yang ditetapkan oleh pihak Bahagian Pengambilan Pelajar JPKK pada setiap semester, 2)
memastikan kumpulan pelajar atau individu yang memenangi pertandingan kemahiran /
penyelidikan / pertandingan umum dan lain-lain di peringkat kebangsaan atau antarabangsa 3)
menganjurkan program upskilling/reskilling kepada rakan industri dan 4) melaksanakan kajian
peningkatan kualiti berterusan terhadap program setiap tiga tahun sekali menjelang 2015. Lagi
cabaran yang dihadapi oleh JKK adalah penambahbaikan kaedah P&P iaitu melatih pensyarah
dalam mod P&P Action Oriented Learning (AOL), mempelbagaikan pendekatan P&P seperti
Problem Based Learning, Project Based Learning dan e-Learning dan pembangunan kompetensi
tenaga pengajar dimana 100% tenaga pengajar perlu mengikuti kursus pedagogi dan andragogi
setiap tiga tahun sekali serta 100% tenaga pengajar yang terlibat dengan Orang Kurang Upaya
(OKU) mempunyai sijil kemahiran melatih OKU.

Cabaran yang lebih besar adalah dimana JKK dipertanggungjawabkan untuk memastikan
pensyarah KKLJ menyertai pertandingan kemahiran/bakat/projek dan membentangkan hasil
penyelidikan/kajian di peringkat kebangsaan atau antarabangsa sekaligus memberi impak dalam
dalam peningkatan imej keberkesanan organisasi. Selain itu, cabaran bagi memperkukuhkan lagi
kerjasama strategik dengan rakan industri dan agensi, JKK seharusnya mempersiapkan
pensyarah menjalani Sangkutan Industri di syarikat berkaitan bidang pengkhususan bagi tujuan
meningkatkan ilmu dan kemahiran menjelang 2015. Selain itu, cabaran hebat juga dihadapi oleh
JKK bagi mencapai sasaran bilangan enrolmen pelajar yang telah ditetapkan. Kedudukan premis
KKLJ yang terletak di kawasan yang kurang penduduk menyebabkan bilangan enrolmen agak
tercabar. Pihak pengurusan KKLJ perlu bekerja keras dengan mengadakan pelbagai program
promosi dan outreach yang lebih agresif bagi memastikan bilangan enrolmen pelajar mencapai
sasaran. Seterusnya bagi melaksanakan program promosi dan outreach seperti ini memerlukan
pengorbanan sumber tenaga kerja dan kewangan yang besar.

Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (JPSH)

Menurut KPTM (2008), Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui 2020,
Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) merupakan satu proses pemdemokrasian pendidikan yang
merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi samada secara
formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja. Daya saing global
dan kepelbagaian keperluan telah mendesak individu supaya sentiasa memperbaharui
pengetahuan dan kemahiran mereka. PSH melalui pendidikan jarak jauh, e-pembelajaran,
pembelajaran di tempat kerja dan separuh masa telah menjadi sebahagian budaya dan cara hidup
ke arah menyokong pembangunan modal insan selaras dengan keperluan ekonomi berasaskan
pengetahuan dan inovasi. Menjelang tahun 2020, pengiktirafan PSH tanpa mengira masa dan
tempat menjadi amalan biasa berpandukan MQF. Peruntukan pembangunan modal insan di
bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) adalah sebanyak RM45.15 bilion. Daripada jumlah
ini, sebanyak RM11.27 bilion diperuntukan untuk sokongan pendidikan lain dan sebanyak
RM4.793 bilion untuk tujuan latihan. PSH adalah salah satu daripada cabang pengajian untuk
individu mendapat manfaat daripada program yang disediakan oleh kolej komuniti. Antara
kumpulan sasaran utama PSH ialah golongan dewasa yang bekerja, surirumah dan warga emas
yang mahu memberi sumbangan kepada negara, menambah baik diri dan mempelbagaikan
kemahiran.

Sistem pendidikan perlu lebih fleksibel dan responsif untuk menyediakan individu yang
mampu mengamalkan PSH di mana juga memberi ruang yang membolehkan mobiliti pelajar
melalui laluan pendidikan yang pelbagai sekaligus dapat meningkatkan penyertaan daripada
pelbagai golongan dan memberikan peluang kedua mengikuti pengajian tinggi selepas mereka
tidak mendapat peluang pertama. Menurut Siti Saleha (2012), PSH merupakan satu proses
pendidikan yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan kompetensi samada secara formal
atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja. Dalam konteks ini,
cabaran yang dihadapi ialah bagaimana untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai di kalangan
orang awam tanpa mengira had umur untuk menyertai PSH.

Cabaran utama ialah bagaimana untuk membudayakan PSH di dalam komuniti setempat
dan juga warga KKLJ itu sendiri. Menurut Siti Saleha (2012), persepsi masyarakat terhadap PSH
perlu dipertingkatkan untuk menggalakkan minat dan kecenderungan masyarakat setempat
menambah pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada. Sememangnya ia tidak akan berlaku
dengan sekelip mata. Membudaya di sini membawa maksud supaya menjadi amalan dalam
hidup. Natijahnya akan berlaku sesuatu perubahan dalam kehidupan hasil dari pemerolehan dan
perkembangan ilmu pengetahuan. Inilah budaya yang hidup subur dan berkembang di negara
maju. Banyak lagi yang perlu dilihat dan dipertontonkan kepada kita mengapa barat berjaya
membudayakan ilmu sedangkan masyarakat kita masih meraba-raba menuju ke arah yang sama.

Menurut Ramlan et al. (2008) budaya ilmu juga memungkinkan kewujudan sebuah
masyarakat yang mempunyai world-view yang lebih luas, iaitu pemikiran yang lebih terbuka.
Dari perspektif yang lain pendidikan semestinya dijadikan satu proses yang berterusan dalam
kehidupan setiap insan. Pendidikan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan generasi
akan datang serta pencapaian objektif negara. Semakin maju sesebuah negara maka semakin
meningkat permintaan untuk tenaga mahir dan yang berpengetahuan. Tidak boleh dinafikan
bahawa PSH merupakan wahana utama bagi menerap idea-idea baru, teknologi terkini, dan
menerapkan kepakaran dalam masyarakat.

Fasa pembangunan kolej komuniti sejak mula ditubuhkan pada tahun 2001 yang
merangkumi 3 fasa iaitu:

Menurut Rancangan Malaysia Kesepuluh (2010), sistem kolej komuniti di Malaysia
menyediakan peluang pendidikan lepasan menengah dalam pelbagai kursus teknikal dan
vokasional mengikut Kerangka Kelayakan Malaysia. Kolej komuniti di seluruh negara yang
berjumlah 59 buah memainkan peranan penting untuk menyediakan latihan peningkatan
Fasa Penubuhan
(2001 - 2006)
Fasa Penjenamaan
Semula
(2007 - 2009)
Fasa Pengukuhan
(2010 - 2011)
kemahiran dan latihan semula kepada masyarakat dalam pelbagai disiplin. Dalam Fasa
Pengukuhan (2010 2011), cabaran membudayakan PSH telah dilancarkan oleh Timbalan
Perdana Menteri pada 14 Julai 2010 bagi memperkukuh lagi peranan kolej komuniti sebagai
institusi pendidikan dan latihan serta hab pembelajaran sepanjang hayat kepada komuniti
setempat.

Lagi cabaran yang dihadapi oleh JPSH adalah menggembleng tenaga dan usaha
memantapkan pelaksanaan PSH di peringkat kolej. Menurut Community College Report Card
(CCRC) (2013), JPSH seharusnya mengambil tindakan merancang dan menyelaras kandungan
dokumen modul pengajaran PSH menjelang 2015 di bawah pemantauan pihak JPKK iaitu
mensasarkan mendokumenkan secara lengkap Nota Modul Pengajaran PSH dalam 9 bidang
tumpuan dan juga memastikan 50% daripada kursus pendek yang ditawarkan dalam 9 bidang
tumpuan tersebut menggunakan kurikulum Sijil Modular Kebangsaan (SMK). Cabaran lain yang
perlu disahut oleh JPSH bagi memantapkan pelaksanaan PSH di mana menjadi topline Key
Performance Indicator (KPI) wajib adalah:
1) memastikan bilangan peserta kursus pendek daripada kumpulan sasaran mencapai 15%
daripada jumlah keseluruhan peserta kursus pendek pada tahun 2015. Kumpulan sasaran
yang dimaksudkan adalah miskin tegar, warga emas/pesara, Orang Kurang Upaya
(OKU), ibu tunggal, orang asli dan belia yang tiada pendapatan tetap;
2) jumlah peserta kursus pendek yang berjaya dilatih oleh institusi mencapai sasaran yang
ditetapkan di mana sasaran ialah (i) Kolej Komuniti Rintis = 3,000 10% (ii) Kolej
Komuniti Pelapis 1= 2,500 10% (iii) Kolej Komuniti Pelapis 2 = 1,000 10% (iv)
Kolej Komuniti Tunas = 200 10%;
3) menjalankan projek berimpak tinggi dengan kumpulan fokus.

Merujuk CCRC (2013), lagi KPI wajib menjadi cabaran JPSH iaitu mempertingkatkan
kualiti penyampaian bagi menambahbaik sistem pemantauan pelaksanaan kursus pendek,
memperkukuh mekanisme dan kaedah penyampaian kursus pendek dan memartabatkan PSH di
kalangan warga kolej komuniti di mana mereka perlu menjalankan satu kajian keperluan
pembelajaran komuniti setempat dan satu kajian keberkesanan program. Di samping KPI wajib
ini, terdapat beberapa KPI pilihan yang diberikan oleh JPKK kepada JPSH bagi memantapkan
pelaksanaan PSH dan mempertingkatkan kualiti penyampaian iaitu:
1) menyumbang kepada aktiviti PSH peringkat Nasional yang diketuai oleh
JPKK/Kementerian Pendidikan Malaysia atau agensi/ kementerian lain;
2) menawarkan kursus pendek secara online;
3) mewujudkan data profail komuniti setempat yang boleh disimpan dan dirujuk melalui
kemudahan internet.

Cabaran seterusnya adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang awam menyertai PSH
iaitu dengan mempertingkatkan promosi. Menurut KPTM (2008), Pelan Strategik Pengajian
Tinggi Negara Melangkaui 2020, beberapa langkah akan dilaksanakan iaitu menyediakan
kemudahan untuk komuniti mendapatkan maklumat dan bahan pembelajaran PSH secara mudah
seperti kiosk PSH, memperkembangkan dan menekankan kesedaran PSH melalui promosi
pelbagai media, menggunakan role model terutama pemimpin negeri, mengadakan promosi
menggunakan tema yang menarik seperti education at your door step, dan menjadikan PSH
sebagai satu keghairahan (passion).

Menurut KPTM (2012), Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional
2012/2013, yuran pengajian kebanyakan program PSH yang ditawarkan oleh kementerian/agensi
kerajaan adalah minimum. Contohnya bagi program PSH yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti
di bawah KPTM seperti Terapi Kecantikan dan Spa atau Lukisan Seni Bina, yuran pengajiannya
adalah dalam lingkungan RM5-RM20 sahaja bagi tempoh 5-20 jam berkursus.Walaupun yuran
yang dikenakan adalah minimum, tanggapan masyarakat bahawa semua institusi di bawah
kerajaan adalah menyediakan perkhidmatan latihan percuma telah menjadi cabaran kepada JPSH
untuk mendapat penyertaan komuniti setempat dan mereka mengharapkan latihan secara
percuma semata-mata.

HARAPAN

Pihak pengurusan KKLJ mengharapkan KKLJ antara kolej yang tersenarai dalam kategori 5
Bintang melalui Instrumen Penarafan Kolej Komuniti yang dikenali sebagai MySPEKK dan
merealisasikan Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti yang telah diamanatkan oleh pihak JPKK.
Diharapkan juga dalam era akan datang, KKLJ mempunyai persekitaran budaya kerja yang lebih
responsif serta mempunyai tahap integriti yang tinggi disamping wujudnya suasana kerja yang
harmoni di kalangan warga KKLJ.

KESIMPULAN

KKLJ perlu bertindak dengan bijak dengan membentuk pelbagai strategi dalam menghadapi
pelbagai bentuk cabaran di atas . Dalam usaha ini KKLJ perlu melihat dan mencari jalan
penyelesaian ke atas cabaran yang datangnya bukan sahaja dari dalaman tetapi juga perlu
menyelesaikan cabaran dari luaran.

RUJUKAN

Abdul Rauf Abd Rahman. 2013. Fail Meja Penolong Pegawai Tadbir. Temubual, 9 Ogos.
Amir Md Noor. (2013). Teks Ucapan Perutusan Tahun Baharu Ketua Pengarah Jabatan
Pengajian Kolej Komuniti
Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah dan statistik penyedikan (kaedah penyelidikan). Kuala Lumpur:
McGraw-Hill
Guan Eng Chan, Zubaidah Aman, Siti Halipah Ibrahim, Noriah Abdul Malek & Noranyza Mohd
Yusoff Hamzah. (pnyt) .(2012). Kertas Pembentangan. Seminar Pembelajaran
Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2012. Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan
KPTM.
http://www.epu.gov.my/epu-theme/RMKE10/rmke10_bm.html [6 Julai 2013]
http://www.kklej.edu.my/v2/index.php/tentang-kami/maklumat-korporat [15 Jun 2013]
http://www.mohe.gov.my/portal/images/utama/penerbitan/direktoriPSH2012.pdf [6 Julai 2013]
http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/RMK/RMK10_Mds.pdf [3 Ogos 2013]
Jabatan Audit Negara. 2008. Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Dari Perspektif Jabatan
Audit Negara, 2008
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. (t.th). Pengurusan Kewangan Kolej Komuniti. Putrajaya :
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. 2012. Manual Prosedur Kerja : Ketua Jabatan Kejuruteraan
dan Kemahiran. Tidak diterbitkan.
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. 2012. Pelan Pemerkasaan Kolej Komuniti 2013-2015
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti. 2013. Community College Report Card. Tidak diterbitkan.
Jabatan Perkhidmatan Awam. (2005). Pekeliling Perkhidmatan (PP) Bilangan 12 Tahun 2005 :
Pelaksanaan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 2008. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
Melangkaui Tahun 2020.
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 2011. Blueprint on Enculturation Of LifeLong
Learning For Malaysia 2011-2020
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 2012. Direktori Pembelajaran Sepanjang Hayat
Peringkat Nasional 2012/2013
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 2012. Laporan Tahunan Unit Audit Dalam
Laporan Tahunan Kolej Komuniti Ledang, 2011
Malaysia. 2008. Arahan Perbendaharaan, Kerajaan Malaysia, 2008
Minit Mesyuarat Ketua Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat Jabatan Pengajian Kolej
Komuniti Bil 1. (2012). Putrajaya, 18-19 Disember
Mohamed Khaled Nordin. (2012). Ucapan Amanat Tahun Baharu 2012 Menteri Pengajian
Tinggi Malaysia
Perangkaan Pengajian Tinggi Malaysia, 2011
Portal Rasmi 1MTC, http://www.1mtc.gov.my [16 Oktober, 2013]
Syahrir Aris, Noorsafuan Che Noh & Amier Hafizun Ab Rashid. (2011). Pelaksanaan Kursus
Pendek, Jabatan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komunti Ledang : Penelitian
Terhadap Masalah. Anita Supramaniam, Khulia Abd Samat & Hanirah Mohamad Nur.
(pnyt). Prosiding Seminar Pengajian Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan. Jabatan
Pengajian Kolej Komuniti. Pasir Gudang : Kolej Komuniti Pasir Gudang
Wainah Sukiman. 2013. Pengemaskinian Sistem HRMIS. Temubual, 12 Ogos.

Anda mungkin juga menyukai