Anda di halaman 1dari 15

Konvensyen Antarabangsa Jiwa Pendidik 2014, 11-13 Ogos 2014

PENILAIAN PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN


PENGARAH CEMERLANG KOLEJ VOKASIONAL
Yushartini Md. Yusof1 and Sarimah Ismail2
1
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia
yush2n@yahoo.com
2 1
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia
p-sarima@utm.my and saris1353@gmail.com

ABSTRAK

Penganugerahan pengarah cemerlang di sesebuah kolej vokasional adalah berdasarkan kecemerlangan


mereka memiliki kemahiran, kepakaran dan kecemerlangan dalam bidang pentadbiran sebagai sumber rujukan
atau menjadi mentor kepada pengarah-pengarah yang baru dilantik. Ini memandangkan cabaran sebenar bagi
seseorang pengarah kolej vokasional adalah untuk memastikan institusi kolej mereka dapat diurus, dipimpin
serta ditadbir dengan efisien menerusi pengurusan, penyeliaan dan pengawalan yang sistematik dan strategik.
Justeru, kertas kerja konsep ini disediakan untuk perkongsian ilmu berhubung pentadbiran dan pengurusan kolej
vokasional dan elemen penilaian pengarah kolej vokasional cemerlang. Walaubagaimanapun, masih terdapat
ruang penambahbaikan dalam kriteria tersebut. Bagi meningkatkan kualiti penilaian pengarah cemerlang,
seseorang pengarah itu perlu fokus kepada 8 kualiti asas iaitu kepimpinan sekolah, pengurusan sekolah,
pengurusan kurikulum, pengurusan hal ehwal murid, pengurusan kokurikulum, hubungan komuniti, kemudahan
fizikal dan amalan terbaik. Oleh itu kertas kerja konsep ini akan membincangkan skop pentadbiran dan
pengurusan kolej vokasional dan elemen penilaian pengarah kolej vokasional cemerlang yang diamalkan di
Malaysia. Kertas kerja ini mencadangkan agar kriteria penilaian pengarah kolej vokasional cemerlang dibuat
secara menyeluruh dengan mengambil kira penilaian daripada pihak yang ditadbir seperti pensyarah, timbalan
pengarah dan staf sokongan.

Katakunci: Cemerlang, Kolej, Penilaian, Pengarah Vokasional

PENGENALAN
Pendidikan vokasional memainkan peranan penting dalam mencapai aspirasi negara
iaitu menyediakan pelajar kepada kerjaya yang memerlukan kepakaran dan kemahiran khusus.
Pendidikan vokasional dilihat sebagai teras pembangunan dan kesinambungan ekonomi dan
sosial negara yang sedang pesat membangun dalam menyediakan keperluan tenaga
professional dan separa professional (Siti Maspah dan Nor Azizah, 1995). Pendidikan
vokasional juga menjadi pilihan pendidikan perdana di negara maju seperti Jerman, Belanda,
Norway dan Australia dalam meningkatkan pendapatan negara (Kementerian Sumber
Manusia, 2011).
Selaras dengan kepentingan peranan pendidikan vokasional di peringkat global,
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV)
telah memberi penekanan kepada institusi pendidikan seperti kolej vokasional yang
diperkenalkan pada tahun 2011 dalam menyediakan modal insan yang berkemahiran serta
berdaya saing untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi serta melahirkan warganegara
Malaysia yang separa mahir, berkebolehkerjaan tinggi dan bersahsiah mulia bagi memenuhi
keperluan industri dan negara (Pelan Strategik Interim, KPM 2011-2020). Sehubungan dengan
itu, sekolah vokasional mula dinaik taraf menjadi kolej vokasional pada tahun 2013 untuk
menjadi pelaksana aspirasi negara dalam mengembangkan bakat dan potensi pelajar serta
menyediakan peluang ke arah peningkatan professionalisme pelajar.
Jadual 1: Enrolmen Pelajar Kolej Vokasional bagi Tahun 2011-2013
Tahun Jumlah enrolmen
2011 25,525
2012 28,076
2013 31,055
Sumber: Perangkaan Pendidikan Malaysia, (2011-2013)

KPM telah mensasarkan matlamat meningkatkan enrolmen pelajar kepada 20%


menjelang 2015 bagi penambahan bekalan modal insan berkemahiran tinggi (Pelan Strategik
KPM, 2011-2020) bagi menyumbang kepada keperluan 1.3 juta sumber tenaga kerja separa
mahir berkualiti dalam bidang teknik dan vokasional menjelang 2020 (rujuk Jadual 1)
(Kementerian Sumber Manusia, 2011).
Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah 3.7 bilion ringgit untuk melatih pelajar
dalam bidang teknikal dan vokasional (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-2020)
bagi menjana sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi. Jumlah kolej vokasional, pelajar,
tenaga pengajar dan perbelanjaan pengurusan yang meningkat setiap tahun menunjukkan
kepentingan kolej vokasional kepada pembangunan negara.
Hal ini, memerlukan pemimpin kolej vokasional yang berkemahiran, berkebolehan dan
berpengalaman merancang strategi pengurusan menerusi matlamat dan dasar yang jelas agar
seiring dengan agenda kerajaan, keperluan semasa industri, masyarakat dan juga individu. Ini
adalah kerana, seseorang pemimpin institusi pendidikan mempengaruhi kejayaan sesebuah
institusi tersebut (Lokman dan Mohd Anuar, 2011; Sharil, 2000; dan Baharom Mohamad et al,
2009), suasana budaya pembelajaran, tahap professionalisme, reputasi dan moral guru serta
menentukan tahap pencapaian pelajar (Sergiovanni, 1996). Oleh itu, pemimpin yang bijak
melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya diperlukan dalam mengurus kolej vokasional
(Jainabee dan Jamil, 2010 dalam Ahmad Masrizal dan Jainabee, 2012). Justeru, kepimpinan
pengarah kolej vokasional yang cemerlang sebagai pengurus kolej diperlukan dalam
mengarusperdanakan pendidikan vokasional.
Lantikan jawatan pengarah cemerlang adalah berlandaskan petunjuk peribadi dan
kecemerlangan institusi pendidikan yang dipimpin. Mereka merupakan pentadbir yang
berpengalaman, berkualiti, berkaliber serta bertindak sebagai fasilitator dalam memimpin
institusi pendidikan (Lokman dan Mohd Anuar, 2012), menentukan halatuju institusi,
memahami dan mengenalpasti ancaman yang wujud di institusi serta menukarkannya menjadi
peluang dalam melakukan perubahan transformasi pendidikan vokasional. Menurut Ab. Aziz
(2000), pemimpin yang diperlukan bagi sesuatu institusi adalah yang cekap merancang,
melaksanakan, menentukan hala tuju, mengawal dan dapat membuat analisis setiap perubahan
yang berlaku.
Penganugerahan pengarah cemerlang di sesebuah kolej vokasional adalah berdasarkan
kecemerlangan mereka memiliki kemahiran, kepakaran dan kecemerlangan dalam bidang
pentadbiran sebagai sumber rujukan atau menjadi mentor kepada pengarah-pengarah yang
baru dilantik (Bahagian Pengurusan Harian Sekolah, 2012). Ini memandangkan cabaran
sebenar bagi seseorang pengarah kolej vokasional adalah untuk memastikan institusi kolej
mereka dapat diurus, dipimpin serta ditadbir dengan efisien menerusi pengurusan, penyeliaan
dan pengawalan yang sistematik dan strategik.
Justeru, kertas kerja konsep ini disediakan untuk perkongsian ilmu berhubung
pentadbiran dan pengurusan kolej vokasional dan elemen penilaian pengarah kolej vokasional
cemerlang.
1. PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN KOLEJ VOKASIONAL
Transformasi pendidikan vokasional telah menaik taraf semua sekolah vokasional
kepada penubuhan kolej vokasional pada tahun 2013. Objektif penubuhan kolej vokasional
adalah untuk menghasilkan lepasan pendidikan Kolej Vokasional yang memiliki sijil
kemahiran atau diploma yang diiktiraf oleh kerajaan dan badan-badan pensijilan kebangsaan:
20 peratus mengikut pengajian vokasional ke peringkat yang lebih tinggi, 10 peratus berupaya
menjadi usahawan yang berdaya saing. Ini bagi menghasilkan lepasan pendidikan Kolej
Vokasional yang mempunyai tahap kebolehpekerjaan yang tinggi.
Selaras dengan transformasi pendidikan vokasional, struktur pentadbiran dan
pengurusan kolej vokasional turut berubah mengikut sistem pentadbiran pengajian tinggi
awam, dimana jawatan pengarah, timbalan pengarah, ketua jaminan kualiti, ketua jabatan dan
ketua unit ditubuhkan bagi menggantikan struktur pentadbiran persekolahan menengah. Bagi
mencapai objektif penubuhan kolej vokasional, pengarah kolej vokasional bertanggungjawab
mengurus aktiviti kurikulum seperti on job training, school enterprise, production based
education dan enterprunership, membangunkan pelajar, sumber manusia, kewangan,
kemudahan fizikal, mengurus pentaksiran (pentaksiran pusat dan pentaksiran berasaskan
kolej), jaminan kualiti dan sebagainya. Seseorang pengarah juga perlu merealisasikan slogan
Bahagian Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu “A
Promise For Human Capital Building And Skill” serta berkolaborasi dengan industri bagi
membentuk kurikulum yang bersesuaian dengan kehendak industri semasa.
Pentadbiran dan pengurusan kolej vokasional perlu mematuhi piawai akta pendidikan
1996, sistem pendidikan kebangsaan, akta tatacara kewangan 1957 dan standard kualiti
pendidikan Malaysia. Pentadbiran dan pengurusan kolej vokasional juga berlandaskan Sistem
Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 yang menekankan kepada lapan prinsip iaitu tumpuan
kepada pelanggan, kepimpinan, penglibatan anggota insitusi, pendekatan proses, pengurusan
yang mengamalkan pendekatan sistem, penambahbaikan secara berterusan, pendekatan
membuat keputusan berasaskan fakta dan hubungan dengan pembekal untuk faedah bersama.
Amalan 5s (sisih, susun, sapu, seragam, sentiasa amal) dipraktikan dalam pentadbiran
dan pengurusan kolej vokasional yang merujuk kepada persekitaran tempat kerja yang
sistematik dan kondusif disamping pengurangan pembaziran. Komitmen pemimpin dalam
melaksanakan sistem pengurusan kualiti MS ISO 9001:2008 dan amalan 5s merupakan asas
kepada peningkatan kualiti dan produktiviti pengurusan kolej vokasional.

1.1 Pentadbiran
Pentadbiran melibatkan proses perancangan, penyusunan, pengarahan, pengurusan
kewangan, sumber manusia, dan penilaian kualiti kerja (Sufean Hussin, 2005) dalam sesebuah
institusi. Pentadbiran adalah sinonim dengan bidang-bidang tugas yang berkaitan dengan
urusan dasar-dasar polisi, undang-undang, pekeliling dan juga kerja-kerja pekeranian. Dalam
konteks institusi pendidikan kolej vokasional pengarah sebagai pentadbir bertanggungjawab
terhadap tugas-tugas pentadbiran yang meliputi kerja-kerja staf, pengurusan hal-hal rasmi,
penjadualan kerja dan waktu belajar, kewangan dan belanjawan serta pakar dalam pendidikan.
Berikut adalah skop peranan pengarah sebagai pemimpin pentadbiran (Mohd Salleh, 2000).

a) Pengurusan Kewangan
Pentadbiran kewangan institusi pendidikan seperti kolej vokasional, tertakluk kepada
peruntukkan yang terdapat di bawah akta Pendidikan 1961 dan Accounts da Audit Rules 1962
(KPM, 1994). Peruntukan tersebut menyatakan bahawa pengarah bertanggungjawab
sepenuhnya terhadap pengurusan kewangan, perlu menyimpan dengan sempurna akaun-akaun
dan rekod-rekod yang berkaitan dengan kewangan, dan mengemukakan satu penyata akaun
berkenaan tahun kewangan yang baru berlalu kepada pihak audit tidak lewat daripada 31 Mac
pada tiap-tiap tahun. Surat Pekeliling kewangan Bil 4/88 pula menetapkan pihak institusi
perlu mengemukakan penyata kewangan akaun satu bulan lebih awal iaitu samada pada 28
Februari atau 29 Februari tahun berikutnya (yang mana berkenaan) agar pelarasan atau
pembetulan dapat dibuat pada penyataan akaun tersebut jika perlu.
Pengarah kolej juga perlu mengagihkan kumpulan wang kolej kepada Kumpulan
Wang Kerajaan, kumpulan Wang SUWA (Sumbangan Wang Awam) dan kumpulan Wang
Asrama secara optima bagi melancarkan perjalanan pentadbiran institusi. Sistem pentadbiran
kewangan kini, meletakkan pengarah bertanggungjawab penuh bagi merancang, mengurus,
mengawal serta menentukan pengurusan kewangan di institusi dengan cekap dan berkesan
(Zaidatol Akmaliah, 2001). Justeru, pengarah perlu memahami dengan jelas serta mematuhi
semua prosedur kewangan mengikut rang undang-undang kewangan yang telah ditetapkan
oleh Buku Panduan Kewangan Sekolah, Arahan Perbendaharaan, surat pekeliling yang
dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi
menentukan kelicinan pentadbiran kewangan.

b) Pembangunan fizikal
Pembangunan fizikal bagi institusi pendidikan adalah mengikut ketetapan keperluan
kurikulum di semua peringkat pendidikan. Peranan utama pengarah ialah memastikan
pembangunan fizikal agar menepati arus perkembangan dan kemajuan pendidikan.
Kemudahan seperti bilik darjah, bengkel-bengkel mata pelajaran, makmal-makmal, pusat
sumber, makmal komputer, Bilik Bimbingan dan Kaunseling dan kemudahan fizikal yang lain
perlu bagi menyokong perlaksanaan kurikulum pendidikan. Pembangunan fizikal yang selesa
akan membantu kemajuan institusi pendidikan itu seluruhnya.
Dalam konteks kolej vokasional, perubahan kurikulum yang menekankan aspek
kemahiran memerlukan perubahan pembangunan fizikal terutama bengkel-bengkel, makmal-
makmal dan juga kemudahan asrama yang selari dengan teknologi masa kini. Pengarah perlu
merancang dengan teliti berasaskan analisis dan kajian tepat mengenai pembangunan fizikal
kolej vokasional yang memerlukan perubahan pembangunan fizikal agar dapat menampung
jumlah pelajar yang semakin meningkat.

c) Penyebaran maklumat
Pentadbir berperanan sebagai “resourse providers” atau brokers dalam menyebarkan
maklumat-maklumat tertentu kepada guru-guru, kakitangan, ibubapa dan masyarakat setempat
mengenai ordinan-ordinan pelajaran, buku panduan sekolah dan surat-surat pekeliling.

d) Perkembangan kakitangan
Pengarah yang cemerlang dapat mengawal dan mendorong guru dan kakitangan
bekerjasama sebagai satu pasukan dengan mengarah staf, menggunakan sumber-sumber
yang ada di kolej masing-masing supaya visi dan matlamat institusi dapat dicapai
(Andrew dan Soder, 1987). Pemimpin pentadbiran perlu memainkan peranan dalam
memberikan pertolongan kepada guru-guru untuk mencapai matlamat dan objektif
sekolah (Sergiovanni, 1984). Pelaksanaan dijalankan dengan menyediakan sistem
maklumat tentang dasar, peraturan dan undang-undang dan sebagainya untuk guru-guru.
Kepimpinan pentadbiran dikaitkan dengan kebolehan pengarah dalam menyelaraskan
institusinya.
Dalam hal ini, pengarah perlu proaktif dan effisien dalam mentadbir. Pengarah mesti
berkebolehan mewujudkan kesesuaian institusinya dengan persekitaran (Sergiovanni, 1992) di
mana pengarah bijak bertindak balas terhadap masalah dari dalam dan luar sekolah di samping
menyelesaikan gangguan-gangguan pembelajaran yang wujud hampir setiap hari (Dwyer,
1984). Pengarah kolej harus memastikan urusan pentadbiran lain seperti menyimpan rekod,
mengesan dan mengumpul maklumat, merangka peraturan dan prosedur, menjadual dan
mengagihkan tugasan guru, berhubungan dengan ibubapa, membuat belanjawan dan
mengagih sumber. Penguatkuasaan undang-undang atau peraturan sekolah dapat membantu
pengarah dalam menjaga dan mengekalkan disiplin kerja (Sergiovanni, 1992).

2.2 Pengurusan
Pengurusan merupakan satu proses sosial yang dibentuk untuk mendapatkan
kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli sesebuah institusi bagi mencapai matlamat
atau objektif yang tertentu (Drucker, 1972). Yulk (1994) pula mendefinisikan pengurusan
sebagai sesuatu yang berorientasikan kestabilan; pengurus mengajak individu membuat
sesuatu dengan lebih berkesan. Menurut Syed Zamberi (2008), pengurusan adalah proses
penyelarasan atau pengkoordinasian tugas atau kerja yang dilaksanakan secara cekap dan
berkesan melalui pelaksanaan orang lain dengan cara perancangan, pengorganisasian,
pengarahan dan pengawalan agar objektif dan matlamat institusi tercapai. Dalam bidang
pendidikan, pengurusan pendidikan ditakrifkan sebagai amalan berkaitan operasi institusi
pendidikan (Bush, 2003), fungsi esekutif untuk melaksanakan dasar yang dipersetujui (Bolam,
1999) dan operasi dalaman institusi pendidikan dan hubunganya dengan persekitaran (Glatter,
1999 dalam Norasmah Osman & Kamaruzaman, 2007). Kesimpulannya, pengurusan adalah
satu proses orientasi kerja bersama warga institusi mengikut dasar-dasar pendidikan dalam
merancang, mengorganisasi, mengarah dan mengawal yang dilaksanakan secara efisien bagi
mencapai matlamat tertentu.
Peranan pengurusan kolej vokasional adalah menjalankan semua usaha pendidikan
melalui perancangan, pengarahan, pengagihan tugas-tugas khusus, membuat keputusan yang
perlu dilakukan, pemantauan serta melakukan tindakan susulan dalam urusan pendidikan.
Pengurusan pendidikan juga menentukan batas-batas objektif pendidikan, memperkemaskan
sistem pendidikan dan pengajaran, pengurusan sumber manusia melalui kerjasama antara
warga sekolah, pengurusan kemasyarakatan bagi mewujudkan hubungan pihak atasan dengan
masyarakat serta kerjasama institusi dalam menjayakan matlamat objektif pendidikan (Ahmad
Kilani, 2003).
Fungsi pengurusan pendidikan berdasarkan komponen asas pengurusan iaitu
perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan pengawalan dalam institusi (Syed Zamberi,
2008; Jaafar Muhamad et al, 2012)

a. Perancangan
Perancangan bermaksud menjelaskan hala tuju ke arah mana institusi ingin berada
pada masa akan datang, mengenalpasti matlamat dan bagaimana untuk mencapai matlamat ini
(Mohd Majid Konting, 2003; Zaidatol Akmaliah, 2003). Pengurus memainkan peranan dalam
membuat keputusan mengenai tugas dan penggunaan sumber yang diperlukan untuk mencapai
matlamat tersebut. Dalam melaksanakan strategi perancangan, perkara yang perlu diberi
perhatian adalah menetapkan matlamat, menilai faktor persekitaran, membentuk andaian,
melibatkan pengurusan dan staf, membentuk alternatif, memeringkat pelan, menyalurkan
pelan, membentuk pelan sokongan, melaksanakan pelan tindakan dan akhir sekali menilai dan
mengulangi proses perancangan.
Dalam konteks pengurusan pendidikan kolej vokasional, pengarah kolej menyediakan
perancangan sebelum sesi akademik bermula dengan menyediakan panduan matlamat
berasaskan takwim akademik persekolahan. Melalui perancangan yang baik dapat membantu
kakitangan serta warga kolej gambaran awal matlamat yang hendak dicapai. Perancangan
yang ada juga membolehkan pensyarah dan kakitangan kolej menyediakan strategi atau
bahan-bahan yang diperlukan bagi mencapai sesuatu matlamat tersebut (Mohd Majid Konting,
2003). Perancangan yang teliti juga membolehkan sumber-sumber manusia, sumber
kewangan, sumber fizikal dan lain-lain dioptimakan penggunaannya dengan berkesan.

b. Pengorganisasian
Pengorganisasian menentukan cara dan bagaimana matlamat institusi dapat dicapai
dan menetapkan peranan dan tugas yang perlu dilakukan oleh setiap pekerja dan staf institusi
serta hubungannya antara satu sama lain (Mohamad Najib, 2010). Pengorganisasian
melibatkan pengagihan tugas-tugas ke dalam jabatan, pengkhususan tugasan mengikut jabatan
atau unit-unit kerja, pembentukan deskripsi kerja, pengagihan sumber-sumber kepada jabatan
dan penstafan. Pengurus bertanggungjawab dalam menentukan pembentukan struktur
perhubungan yang akan membolehkan pekerja melaksanakan pelan yang telah dibentuk oleh
pengurus. Pengorganisasian yang dilakukan dengan berkesan dapat membantu pengurus
dalam menyelaraskan sumber-sumber manusia, tenaga, fizikal dan kewangan dengan lebih
baik. Penggunaan sumber-sumber institusi yang diatur dengan teliti dan terancang membawa
kejayaan kepada institusi.
Dalam konteks pengorganisasian pengurusan pendidikan di kolej vokasional, pihak
pentadbir kolej akan membentuk satu jawatankuasa bagi mengurus setiap perancangan yang
dibuat. Sebagai contoh di setiap kolej vokasional mempunyai jabatan-jabatan yang berperanan
memantau dan melaksanakan aktiviti pengurusan seperti akademik, hal ehwal pelajar, jaminan
kualiti dan sebagainya. Jawatankuasa jabatan ini juga akan memastikan pula setiap unit
jabatan mempunyai perancangan dan aktiviti bagi melaksanakan matlamat jabatan tersebut.
Oleh itu sumber manusia, kewangan dan sumber fizikal boleh diagihkan dengan lebih
berkesan dalam mencapai matlamat institusi.

c. Pengarahan
Pengarahan merujuk kepada proses memotivasikan pekerja dengan menanamkan
dalam diri pekerja semangat berusaha ke arah tahap prestasi yang tinggi. Apabila pengurus
dapat mewujudkan budaya dan nilai yang dikongsi bersama, menyalurkan maklumat
mengenai matlamat kepada semua ahli institusi melalui proses komunikasi atau
menyelesaikan masalah di kalangan institusi maka mereka dikatakan telah mengarah tugas-
tugas yang dilaksanakan didalam sesebuah institusi (Syed Zamberi, 2008). Dalam konteks
kolej vokasional, pengarahan adalah bersandarkan kepada komunikasi yang berkesan antara
pengarah kolej dan kakitangannya. Arahan berbentuk lisan dan bertulis membantu kakitangan
menjalankan tugas ke arah pencapaian matlamat organisasi kolej mengikut undang-undang
dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak pentadbir.

d. Pengawalan
Pengawalan merujuk kepada proses mengukur kemajuan terhadap prestasi yang
dirancang dan menggunakan ukuran pembetulan untuk memastikan prestasi selari dengan
objektif pengurus (Muhamad Najib, 2010; Jaafar Muhammad et al, 2012). Pengurus
pendidikan iaitu pengarah kolej vokasional harus tahu adakah institusinya berada di dalam
kawalan atau di luar kawalan. Pengawalan boleh difokuskan kepada sumber-sumber institusi
seperti sumber manusia, kewangan, fizikal, maklumat dan sebagainya. Dalam proses
pengawalan, pengurusan hendaklah memastikan pekerja melakukan apa yang perlu dilakukan
dengan menetapkan piawaian (standard) prestasi, membandingkan prestasi dengan piawai,
mengambil tindakan untuk memperbaiki masalah, menggalakkan kreativiti, mengembangkan
kualiti dan mengurangkan kos institusi.
Kawalan membantu pengurus menghadapi sebarang perubahan dalam persekitaran,
meningkatkan kualiti produk atau servis institusi, mengesan peluang, mengendalikan situasi
yang kompleks serta memudahkan tindakan mendesentralisasikan autoriti kepada peringkat
yang lebih rendah dalam hierarki institusi. Sistem kawalan boleh dinilai dengan menjalankan
audit pengurusan dalam institusi (audit dalaman) dan institusi lain (audit luaran) bagi menilai
keberkesanan dan kecekapan institusi. Selain itu, sistem kawalan yang berkesan perlu
memenuhi kesemua lima kriteria iaitu mempunyai perkaitan dengan matlamat yang
diinginkan, bersifat objektif, menyeluruh, menepati masa dan boleh diterima oleh ahli
institusi.
Kesimpulannya, pengurusan merujuk kepada proses penetapan matlamat secara
berkesan dan cekap melalui fungsi perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan
pengawalan ke atas sumber-sumber institusi. Dalam konteks pengurusan kolej vokasional
pengarah merupakan individu yang bertanggungjawab melaksanakan proses pengurusan.
Kejayaan sesebuah institusi bergantung kepada kecekapan pengurusannya. Oleh kerana itu,
kebanyakkan pengurus terlibat dengan lebih daripada satu aktiviti fungsi pengurusan pada
masa yang sama.

2. PENILAIAN PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN KOLEJ VOKASIONAL


Penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data
bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai atau tidak
(Gay, 1985). Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) telah mengubal instrument Standard
Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) 2010 untuk memeriksa dan menilai tahap
kecemerlangan sekolah. Sekolah pula menggunakan SKPM untuk mengenalpasti kekuatan,
kelemahan dan isu yang dihadapi melalui Penarafan Kendiri Sekolah (PKS). Kandungan
huraian SKPM mengandungi lima standard iaitu:

i. Standard 1: Kepimpinan Dan Hala Tuju


Kepimpinan sekolah berperanan sebagai pemimpin berimpak tinggi dan berupaya
menggembleng dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah
dan meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran.

ii. Standard 2: Pengurusan Organisasi Sekolah


Institusi sekolah diurus dengan mengambil kira potensi dan keperluan staf, kemudahan
sumber dalaman dan memanfaatkan sumber luaran supaya sekolah dapat berfungsi dengan
cekap dan berkesan.

iii. Standard 3: Pengurusan Kurikulum, Kokurikulum dan Sukan, dan Hal Ehwal Murid
Bidang kurikulum, kokurikulum dan sukan, dan hal ehwal murid (HEM) diurus
dengan cekap dan berkesan bagi memastikan sekolah berfungsi sebagai institusi pembelajaran
dalam melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

iv. Standard 4: Pembelajaran dan Pengajaran


Guru merancang dan melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) yang
berkualiti tinggi dan bersungguh-sungguh untuk memperkembangkan potensi dan pencapaian
murid pada tahap optimum secara berterusan.
v. Standard 5: Kemenjadian Murid
Pendidikan di sekolah melahirkan murid yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri.

SKPM 2010 ini dijadikan panduan dalam menilai pentadbiran dan pengurusan kolej
vokasional. Satu standard piawai berdasarkan penskoran (1-6) telah ditetapkan dalam SKPM
bagi memudahkan pemahaman pelaksanaan pengurusan yang berkualiti bagi semua warga
pendidik. Pihak kolej vokasional juga menubuhkan jawatankuasa jaminan kualiti dalam usaha
penambahbaikan sistem pengurusan dalam bidang kemenjadian murid.
Penilaian pentadbiran dan pengurusan pengarah cemerlang kolej vokasional juga
berpandukan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) berasaskan standard MS ISO 9001:2008 yang
merupakan satu standard bertulis yang menetap dan menyenaraikan keperluan-keperluan asas
yang perlu ada dalam SPK sesebuah kolej. Standard SPK ini mengenal pasti kehendak
pelanggan, pemimpin atasan merancang dan mengawal proses yang perlu dilaksanakan bagi
memenuhi kehendak pelanggan, menyediakan latihan pembangunan kompetensi yang sesuai
dan secukupnya bagi anggota yang terlibat dalam SPK dan menjalankan pengauditan bagi
memastikan keberkesanan proses-proses dalam SPK mencapai matlamatnya. Standard MS
ISO 9001:2008 menjadi keutamaan dalam pengurusan bagi mewujudkan persekitaran
pembelajaran berkualiti di kalangan murid, guru dan kakitangan institusi.

3. PENILAIAN PENGARAH KOLEJ VOKASIONAL CEMERLANG


Penilaian pengarah kolej vokasional cemerlang adalah berpandukan kriteria pemilihan
pengetua cemerlang di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (2012) dan Unit
Pengurusan Sumber manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebelum pemilihan pengarah
cemerlang, seseorang pengarah perlu mematuhi syarat khusus dan syarat umum. Syarat umum
pemangkuan pengarah cemerlang adalah seperti berikut:
a. Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan berdasarkan Laporan Nilaian Prestasi
Tahunan (LNPT) tiga tahun berakhir.
b. Bebas daripada tindakan tatatertib.
c. Telah mengisytiharkan harta.
d. Lulus tapisan keutuhan SPRM.
e. Bebas daripada senarai Peminjam Tegar Institusi Pinjaman Pendidikan.
f. Lulus PTK yang ditetapkan mengikut gred-gred yang berkaitan.
g. Pemangkuan ke Gred DG52 (KUP): Lulus TK4 di gred DG48
h. Pemangkuan ke Gred DG52 (KUP): Lulus TK5 di gred DG52
i. Diperakukan oleh ketua Jabatan atau ketua perkhidmatan.

Manakala syarat khusus untuk pemangkuan pengarah cemerlang adalah seperti berikut:
a. Bagi Gred DG52 (KUP)
i. Telah dinaikkan pangkat ke Gred DG48 hakiki; dan
ii. Telah berkhidmat sekurang-kurangnya selama 3 tahun sebagai pengetua di
Gred DG48 hakiki.
b. Bagi Gred DG52 (KUP) telah dinaikkan pangkat ke Gred DG52 (KUP) / DG 52
Hakiki.
Garis panduan kriteria pemilihan calon pengarah cemerlang adalah seperti berikut:
a) Prestasi tiga tahun terkini
Kriteria pertama adalah merujuk kepada laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT)
bagi tiga tahun terkini. Dalam penilaian tersebut perlu ada wajaran tahunan pertama adalah 20
%, tahun kedua 35% dan tahun ketiga 45% jumlah purata markah wajaran setiap tahun yang
dinilai adalah 40% daripada keseluruhan penilaian bagi kriteria pertama.

b) Penilaian borang pencalonan


Kriteria kedua adalah merujuk kepada penilaian borang pencalanon yang mempunyai
wajaran markah sebanyak 30% daripada keseluruhan penilalaian berdasarkan aspek:
sumbangan professional (penulisan ilmiah dan kertas kerja); khidmat kepakaran (pakar rujuk,
penceramah, fasilitator); keanggotaan dalam penubuhan (pengerusi/ AJK); pencapian sekolah
dari segi kurikulum dan kokurikulum.

c) Penilaian panel pemantauan


Kriteria ketiga pula adalah merujuk kepada markah penilaian panel pemantauan yang
terdiri daripada dua jawatankuasa iaitu panel daripada Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) dan panel di peringkat negeri / bahagian. Panel peringkat KPM terdiri daripada Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia sebagai pengerusi, Timbalan Ketua Setiausaha sebagai pengurus,
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (OP), Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia (DPP), Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (PPK), Pengarah Bahagian
Pengurusan Sekolah Harian, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. Manakala
Jawatankuasa pencalonan peringkat negeri / bahagian terdiri daripada Pengarah Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) / Pengarah bahagian KPM sebagai pengerusi, Timbalan Pengarah JPN
/ bahagian KPM sebagai Timbalan Pengerusi dan Ketua Nazir Negeri / Ketua Sektor sebagai
ahli AJK.
Markah penilaian panel pemantauan ialah 30% daripada keseluruhan penilaian yang
berdasarkan aspek kurikulum, HEM, Kokurikulum, sumber manusia, kewangan, pentadbiran,
perhubungan awam, kualiti peribadi serta pengetahuan dan kemahiran. Selain itu, menurut
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Johor kriteria pemilihan pengarah cemerlang juga
berdasarkan kepada pemantauan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti berpandukan
standard 1 iaitu kepimpinan dan hala tuju dalam instrument Standard Kualiti Pendidikan
Malaysia 2010. Ciri-ciri tersebut adalah:
a. memperolehi skor 6 bagi komponen inovasi, kreativiti atau amalan terbaik yang
diiktiraf atau boleh dicontohi dalam setiap aspek penilaian standard 1.
b. Peningkatan pencapaian kurikulum sekolah selama 3 tahun berturut-turut.
c. Peningkatan pencapaian kokurikulum sekolah selama 3 tahun berturut-turut.
d. Penambahbaikan pengurusan pentadbiran sekolah.
e. Peningkatan bilangan kemenjadian pelajar.

4. DAPATAN KAJIAN APLIKASI PENGURUSAN DAN


PENTADBIRANCEMERLANG
Kepimpinan Pengarah Cemerlang memainkan peranan penting dalam pengurusan dan
pentadbiran pendidikan namun begitu tidak banyak sumber kajian lepas yang dibuat bagi
kepimpinan pengarah cemerlang Kolej Vokasional di Malaysia. Walaubagaimanapun terdapat
beberapa kajian lepas berkaitan gaya kepimpinan dan amalan kepimpinan pengetua cemerlang
sekolah yang boleh dirujuk.
Kepimpinan pengetua cemerlang sering kali dijadikan suri teladan dalam kepimpinan
pendidikan. Seperti mana kajian yang telah dijalankan oleh Abdul Aziz, Chan, Tan dan
Sathiamoorthy (2004), ke atas pengetua kanan (pengetua cemerlang) mendapati jawatan
mereka dipandang tinggi. Selain itu, mereka di dapati berupaya membangunkan potensi kerja
secara berpasukan, pakar rujuk di sekolah dan rakan pengetua yang lain serta berjaya
mengekalkan kecemerlangan kualiti dan kuantiti prestasi peperiksaan melalui kerjasama
kakitangan sekolah. Dengan ini, dasar kenaikan pangkat pengetua cemerlang yang
diperkenalkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM (2012) berjaya mencapai
matlamatnya.
Kajian qualitatif berbentuk kajian kes “Investigating leadership characteristics of an
excellent principal in Malaysia” oleh Gurnam Kaur dan Chan Yuen Fook (2006), mendapati
pemimpin yang cemerlang dikenal pasti sebagai reflektif, penyayang dan orang yang sangat
berprinsip serta menekankan dimensi manusia dalam pengurusan. Selain itu, mempunyai
nilai-nilai peribadi yang tinggi, perihatin terhadap budaya sekolah dalam menangani
perubahan struktur organisasi, berpandangan jauh, menekankan kepimpinan pengajaran,
bermotivasi tinggi serta menggunakan berbagai gaya kepimpinan sama ada autokratik atau
demokratik yang disesuaikan dengan situasi semasa. Dapatan ini adalah selaras dengan ciri-
ciri pemimpin cemerlang atau berkualiti yang disarankan oleh Azmi (1996) dan Sharil (2001)
dalam memimpin sekolah.
Kejayaan sekolah dan kecemerlangan pentadbiran seringkali dikaitkan dengan tugas
utama pengetua iaitu kepimpinan pengajaran. Dengan itu, kajian Mislina Salleh dan Lokman
Mohd Tahir (2010), dalam menilai kepimpinan pengajaran dan strategik politik pengetua
cemerlang dalam memimpin guru mendapati, pengetua cemerlang telah melaksanakan 11
fungsi dalam kepimpinan pengajaran iaitu merangka matlamat, memperjelas matlamat,
mencerap dan nilai pengajaran, menyelaras kurikulum, memantau kemajuan akademik pelajar,
mengawal waktu pengajaran, beri sokongan aktiviti pengajaran, insentif kepada guru,
membudayakan perkembangan staf, tetap dan kuatkuasa dasar akademik serta memberi
ganjaran kepada pelajar. Hasil kajian mendapati fungsi penetapan dan penguatkuasaan dasar
atau standard kurikulum sebagai amalan yang paling kerap dilaksanakan. Namun fungsi
memberi sokongan dalam aktiviti pengajaran dan fungsi mencerap dan menilai pengajaran
kurang diberi keutamaan oleh pengetua cemerlang. Manakala dalam strategik politik elemen
perundingan dan tawar menawar merupakan amalan yang dipraktikan.
Kajian–kajian keperpustakaan yang telah dijalankan ke atas pemimpin pendidikan
mendapati mereka mengadaptasi pelbagai gaya kepimpinan dalam proses pelaksanaan
kepimpinan di sekolah (Mohd Najib et al, 2008). Menurut kajian Ayunni (2013) terhadap
kepimpinan Pengetua Cemerlang di Daerah Muar Johor mendapati mengamalkan gaya
kepimpinan dimensi tugas yang tinggi berbanding dimensi hubungan dalam kepimpinan di
sekolah. Dapatan kajian juga telah mengenalpasti beberapa prasyarat yang diperlukan oleh
seorang pengetua untuk menjadi cemerlang iaitu menguasai ilmu pengetahuan, mengetahui
prinsip serta teori pengurusan dan pentadbiran, menguasai hubungan kemanusiaan, kewangan
dan dasar-dasar pendidikan. Pengetua Cemerlang juga perlu mempunyai visi dan misi yang
jelas dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid serta mempunyai minat
dalam mentadbir. Pengetua cemerlang juga didapati menekankan kejayaan dalam semua
bidang di sekolah sama ada kurikulum atau pun kokurikulum, berinovatif dalam menjalankan
pentadbiran, menjadi role model dan mempunyai komunikasi berkesan. Dalam aspek kriteria
penilaian pengetua cemerlang, menyarankan perlu penambahan sudut peribadi serta 8 Quality
Fundamentals iaitu kepimpinan sekolah, pengurusan sekolah, pengurusan kurikulum,
pengurusan hal ehwal murid, pengurusan kokurikulum, hubungan komuniti, kemudahan
fizikal dan amalan terbaik. Aspek amalan terbaik bersandarkan inovatif kepimpinan pengetua
cemerlang yang dijadikan contoh dalam pengurusan pentadbiran.
Kepimpinan memainkan peranan penting dalam usaha menjadikan sebuah sekolah
mencapai kejayaan. Berdasarkan pernyataan tersebut beberapa kajian telah dibuat tentang
kepimpinan sekolah yang cemerlang di dalam konteks yang pelbagai. Antaranya, sebuah
kajian kepimpinan pemimpin yang berjaya telah dijalankan oleh Day, Harris, Hadfield, Tolley
dan Beresford (2002) yang dikenali sebagai ‘International Successful School Principalship
Project (ISSPP)’. Kajian yang melibatkan lapan buah negara di dunia iaitu England, Kanada,
Amerika Syarikat, Australia, Denmark, Norway, Sweden dan China menggunakan kaedah
kualitatif yang melibatkan 60 kajian kes dijalankan daripada pelbagai perspektif dan tinjauan
tentang pemimpin yang berjaya. Daripada kajian ISSPP ini didapati ciri-ciri pemimpin
sekolah yang berjaya adalah cenderung untuk mengamalkan dimensi kepimpinan transformasi
yang diperkenalkan oleh Leithwood et al. (2003). Dimensi-dimensi tersebut adalah
menentukan arah, membangunkan manusia dan menstruktur organisasi. Namun berdasarkan
kajian-kajian literatur, Leithwood, Day, Sammon, Harris dan Hopkin (2006) berpendapat
kepimpinan sekolah melibatkan empat dimensi iaitu:
i. Menentukan arah
ii. Membangunkan manusia
iii. Menstruktur organisasi
iv. Menguruskan proses atau program instruksional
Bersandarkan empat dimensi ini, satu kajian kes “across country” dalam ISSPP telah
dijalankan. Hasil kajian mendapati pemimpin yang berjaya mempunyai nilai peribadi dan
professional, memiliki ciri-ciri positif dan keupayaan untuk membuat ramalan dan
mengadaptasi kepimpinannya mengikut keperluan dan konteks sekolah serta kepimpinan
mereka juga mempengaruhi kejayaan sekolah (Leithwood dan Day, 2007). Dapatan kajian ini
juga mendapati wujud amalan-amalan tambahan lain dalam kepimpinan sekolah yang berjaya
berdasarkan empat dimensi tersebut (rujuk Jadual 2):

Jadual 2: Amalan Tambahan Dalam Kepimpinan


Dimensi Amalan tambahan dalam kepimpinan
Menentukan arah Kemahiran menyelesaikan masalah:
Menganalisa konteks, menyelesaikan masalah bersama, merancang
penambahbaikan dan mementingkan nilai dan kepercayaan.
Membangunkan manusia Sik+p saling percaya dan mempercayai dan pemimpin sentiasa kelihatan
(keterlibatan) di sekolah atau menghadiri aktiviti dalam program yang
dianjurkan di sekolah.
Menstruktur organisasi Pemimpin bertanggungjawab memastikan persekitaran sekolah selamat dan
terkawal.
Menguruskan proses atau Pemimpin memainkan peranan dalam membentuk pengajaran yang
program instruksional produktif kepada guru dan warga sekolah, membentuk hubungan atau
kesatuan yang baik dengan semua pihak di dalam atau di luar sekolah bagi
mencari peluang untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan proses
instruksional.

Kepentingan pemimpin dalam menerajui “core business” dalam proses P&P amat
diperlukan bagi mencapai objektif kolej vokasional. Sehubungan dengan itu, kajian
The impact of sucessful leadership on learning outcomes oleh Universiti of Norttingham, UK
2006-2009 (dalam Abd Ghafar, 2010) dijadikan panduan dalam membangunkan modal insan.
Terdapat 4 aras atau komponen faktor-faktor ketrampilan kecemerlangan pemimpin iaitu:
a. Aras 1 terdiri dari enam dimensi utama bagi kepimpinan iaitu meletakkan hala tuju,
merekabentuk semula organisasi, percaya mempercayai, menggunakan data,
membangunkan orang dan mengguna pencerapan.
b. Aras 2 terdiri dari empat dimensi yang berkaitan dengan agihan kepimpinan
(leadership distribution) di sekolah iaitu kepimpinan Teragih pada keseluruhan,
kepimpinan yang di beri oleh staf, SLT kolaborasi dan impak SLT terhadap P&P.
c. Aras 3 terdiri dari empat dimensi bagi proses-proses sekolah yang berfungsi sebagai
factor-faktor pengantaraan yang penting dalam model berstuktur ini ialah Budaya
kolaborasi Guru, Penaksiran Pembelajaran, Penambahbaikan keadaan sekolah dan
kolaborasi luaran serta peluang pembelajaran.
d. Aras 4 terdiri dari empat dimensi iaitu Pencapaian Standard Tinggi Akademik,
Penambahbaikan dalam Motivasi dan Budaya Belajar, Penambahbaikan dalam
Tingkah laku Pelajar dan Penambahbaikan dalam Kehadiran Pelajar.

Dapatan kajian dari keempat-empat aras ini telah menjana kecemerlangan tingkah laku
pelajar, semangat dan kesediaan untuk hadir ke sekolah, dan akhirnya pencapaian akademik
pelajar. Pemimpin yang cemerlang seringkali dinilai berdasarkan kejayaan prestasi akademik
pelajarnya. Justeru hasil kajian ini dapat membantu pemimpin mengenalpasti komponen –
komponen yang mengekalkan prestasi kejayaan akademik pelajar.
Dalam konteks kepimpinan pemimpin vokasional, satu kajian kepimpinan pendidikan
dan latihan vokasional (VET) iaitu “VET leadership for the future- characteristisc, contexts
and capabilities” oleh Hamish Coates et al, (2013) telah dijalankan di Australia bagi
mengenalpasti tugasan pemimpin, pengaruh yang membentuk tugasan mereka dan
menentukan ciri-ciri kepimpinan yang berkesan. Kajian kebangsaan yang melibatkan 327
orang pemimpin VET dari pelbagai peringkat dan jawatan mendapati bahawa tugas kerja
pemimpin VET adalah pelbagai dan rencam. Semua peringkat pemimpin berperanan
mengurus perubahan organisasi. Pemimpin dalam barisan lebih kanan banyak melibatkan diri
dalam perancangan organisasi dan pembangunan serta mempunyai hubungan rangkaian
jalinan dan penglibatan dalam masyarakat. Manakala pemimpin yang terlibat secara langsung
dalam pengajaran dan pembelajaran di dapati kurang memberi penekanan kepada kerja-kerja
kepimpinan.
Pengaruh tekanan kerja terhadap peningkatan produktiviti, perubahan institusi,
penambahbaikan produktiviti serta persaingan membentuk tugasan kerja pemimpin VET.
Melalui pengaruh ini, 33 indikator keberkesanan kepimpinan VET telah dianalisis dan hasil
kajian mendapati pemimpin VET cenderung untuk menumpukan perhatian kepada sistem
yang berkaitan dengan pembelajaran dan jaminan kualiti. Bagi mengenalpasti keberkesan
kepimpinan VET, satu kerangka konsep keupayaan kepimpinan dibentuk berdasarkan tiga
aspek: personal (komitmen, ketegasan, inklusif, responsif dan kesedaran diri), interpersonal
(empati, pengaruh) dan kognitif (diagnosis, fleksibiliti dan responsif, strategi). Aspek
komponen ini didorong oleh kemahiran dan pengetahuan pemimpin dari segi peranan
kepimpinan tertentu dan kompetensi generik (pengurusan pendidikan, kemahiran kawalan
organisasi dan perubahan pengurusan). Kerangka konsep ini membantu menjelaskan
bagaimana keberkesan kepimpinan pemimpin VET dalam menjalankan tugas serta belajar
mengadaptasi perubahan yang berlaku dalam pengurusan mereka.

5. KESIMPULAN
Kepimpinan dan pengurusan pendidikan yang efektif merupakan tungak utama kepada
kecemerlangan pendidikan. Sebagai pemimpin, seorang pengarah vokasional memerlukan
pengetahuan, kecekapan, kemahiran, pengalaman mengajar dan mentadbir yang tinggi bagi
menjana sumber tenaga kerja berkualiti tinggi. Kepimpinan yang semakin kompleks
memerlukan pengarah vokasional memahami dan mentaksir semula konsep-konsep
kepimpinan dan pengurusan pendidikan dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Justeru.
kertas kerja konsep ini telah membincangkan skop pentadbiran dan pengurusan seseorang
pengarah kolej vokasional dan elemen penilaian bagi penganugerahan pengarah cemerlang.
Melalui sorotan dapatan kajian-kajian yang lalu pembaca didedahkan dengan amalan
kepimpinan pengetua cemerlang yang boleh diaplikasikan di dalam pengurusan pendidikan
samada di peringkat sekolah maupun institusi pengajian tinggi. Ini adalah kerana, sebuah
kolej vokasional yang berkesan dan cemerlang selalunya diterajui oleh seorang pengarah yang
cemerlang. Keberkesanan dan kecemerlangan pentadbiran pengarah cemerlang bersandarkan
kemampuan dan keupayaan mereka memimpin dan mengurus secara berkesan.

RUJUKAN

Abd. Ghafar Mahmud. (2010). Mencetus Kegemilangan Melalui Kepimpinan Cemerlang.


Prosiding Seminar Nasional Pengurusan & Kepimpinan ke-17. 2010. pp: 79-86
Abdul Aziz Jamin, Chan, Yuen Fook, Tan, Siew Eng dan Sathiamoorthy Kannan. (2004).
Amalan Pengurusan dan Kepimpinan Pengetua Kanan Di Malaysia. Siri Penyelidikan
IAB Institut Aminuddin Baki.
Abdul Shukor Abdullah. (2004). Pengurusan Institusi: Perspektif, Pemikiran dan Teori. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Shukor Abdullah. (2004) Ucap Tema Dalam Prosiding Seminar Nasional Pengurusan
Dan Kepimpinan Pendidikan ke-12. Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
Ahmad Kilani Mohamad. (2003). Pengurusan Pendidikan Di Sekolah: Huraian Menurut
Prespektif Islam. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Ahmad, J., & Boon, Y. (2011). Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi tinggi (SBT) di
Malaysia. Journal of Edupress, 1, pp: 323–335.
Ahmad Masrizal, Muhammad dan Jainabee L.S, Md. Kassim (2012). Amalan dan Elemen
Kepimpinan Strategik dalam Kalangan Pengetua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Di
Malaysia Yang Menyumbang Kepada Kelestarian Kecemerlangan Akademik Sekolah.
Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan, 24(02).pp 17-30.
Andrew, R. dan Soder, R. (1987). Principal Leadership and Student Achievement. Educational
Leadership. 44(6). pp: 9-11.
Ayob Bin Jantan. (2005). Pengetua Sekolah Yang Efektif. Bentong: PTS Professional.
Ayunni Binti Jasni. (2013). Kepimpinan Pengetua Cemerlang Di Sekolah Menengah Di
Derah Muar, Johor. Thesis Sarjana: Skudai. Universiti Teknologi Malaysia.
Azlin Norhaini Mansor, R. B. (2007). Amalan Pengurusan Pengetua. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Azmi Zakaria. (1996). Indikator Pemimpin Cemerlang: Satu Analisis Pengurusan. Jurnal
Pendidikan 5. pp: 25-31.
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. (2012). Pemilihan Pengetua Cemerlang. Retrieved Feb
2, 2014, from http// www. Cahayars.biz/bpsh/indexphp?
Baharom Mohamad, dan Hashim, C. N. (2009). Kepimpinan Pendidikan Berkesan dalam
Seminar Kepengetuaan Kebangsaan Ke-VI - Halatuju Kepimpinan Sekolah Untuk
Penambahbaikan Yang Mapan. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. pp: 1–19
Bolman, L., & Deal, T. (1991). Leadership and Management Effectiveness: Multi-frames,
Multi-Sector Analysis. Human Resourses Management, 30(4). pp: 509–534.
Bush, T. & Middlewood, D. (2005). Leading and Managing People in Education. London:
Sage Publications.
Bush, T. (2003). Theories of educational leadership and management (ed. Ke-3). London:
Sage Publishcations.
Carter. (2007). Overview of Leadership in Organizations. Retrieved June 12, 2014, from
www.http://managementhelp.org/idrship/idrship.htm#anchor4623
Cleland, D.I (2004), “Field Guide to Project Management”. 2nd Ed. New Jersey: John Wiley.
Dywer, D.C. (1984). The search for instructional leadership: Routines and Subtleties in the
Principal’s role. Educational Leadership. 41(5). pp: 3-8.
Gurnam Kaur Sidhu dan Chan Yuen Fook. (2006). Investigating Leadership Characteristics of
an Excellent Principal in Malaysia. Prosiding seminar Nasional Pengurusan dan
Kepimpinan ke-13, 2006. pp: 19-28.
Hamish Coates, Lynn Meek, Jusyin Brown, Tim Friedman, P. N. & J. M. (2013). VET
leadership for the future-characteristics, contexts and capabilities. Journal of Further and
Higher Education, 37:6, 819–843.
Hoy, K.W. Dan Miskel, C.G. (1991). Educational Administration: Theory, Research and
Practice. Singapore: Mc-Graw Hill.
Hussein Mahmood (1993). Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.
Ibrahim Mamat (2001). Pengetua Sekolah Menangani Isu dan Cabaran Kepimpinan. Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Ishak Mad Shah. (2006). Kepimpinan Dan Hubungan Interpersonal Dalam Organisasi.
Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Ishak, S. (2006). Memperkasakan Kepimpinan Sekolah: Teori Manakah Yang Perlu
Digunapakai Oleh Pengetua? Prosiding Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan
Pendidikan Ke-13, 2006. pp: 147-164
Jaafar Muhamad, Mohd. Hizam Hanafiah, Z. M. M. (2012). Pengantar Pengurusan.
Selangor: Leeds Publications (M) Sdn. Bhd.
Jamilah Ahmad dan Yusof Boon. (2011). Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBT) di Malaysia. Journal of Edupress, Volume 1 September 2011, pp: 323-335.
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan. (1993). Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah
Menengah. Shah Alam. Jemaah Nazir Sekolah (2). pp: 7-22.
Johnson Burke & Christensen, L. (2012). Educational Research (Fourth Edi.). United State:
Sage Publications, Inc.
Kementerian Pendidikan Malaysia (1994). Kajian Pelaksanaan Penilian Kendalian Sekolah
Menengah (PKSM). Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Kementerian Pendidikan.
Kementerian Sumber Manusia. (2011). Sijil Kemahiran Malaysia Gerbang Kerjaya Anda.
Putrajaya: Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.
Leithwood, K. (2005). Understanding Successful School Leadership: Progress on a Broken
Front. Journal of Educational Administration, 43(6). pp: 619-629.
Leithwood, K., & Riehl, C. (2003). What Do We Already Know About Successful School
Leadership? Retrieved October 7, 2003, from
http://www.cepa.gse.rutgers.edu/Division%20A%20Papers%202003/Leithwood
%20Riehl4- 28.pdf
Lokman Mohd Tahir, M. A. A. R. (2011). Orientasi Kepimpinan Pengetua Sekolah. Skudai:
Universiti Teknologi Malaysia.
Mastura Bt Idris. (2013). Amalan Rangka Kepimpinan Pengetua Serta Hubung Kaitnya
Dengan Komitmen Guru Di Dua Buah Sekolah Menengah Kluster Kecemerlangan Di
Daerah Muar. Tesis Sarjana: Skudai. Universiti Teknologi Malaysia.
Mislin Binti Salleh. (2010). Strategik Politik Dan Kepimpinan Pengajaran Pengetua
Cemerlang. Tesis Sarjana: Skudai. Universiti Teknologi Malaysia.
Mohamad Najib. (2010). Pembangunan Organisasi Pendidikan. Skudai: Universiti Teknologi
Malaysia.
Mohd Salleh Lebar (2000). Pentadbiran Pendidikan & Pendidikan Di Malaysia. Kuala
Lumpur: Acmatec Sdn. Bhd.
Norasmah Othman, K. M. (2007). Kepimpinan Pendidikan dan Pengurusan Pendidikan:
Cabaran Kepada Guru Besar Dan Pengetua. Jurnal Pengurusan Dan Kepimpinan
Pendidikan, 17(02), 171–189.
Notrhouse, P. (2001). Leadership: Theory and Practice. Newbury Park, CA Sage.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Retrieved Mac 12, 2013, from
http://www. moe.gov.my/v/padu.
Pelan Strategik Interim Kementerian Pendidikan Malaysia 2011-2020. Retrieved Jun 6, 2013,
from http:// www. moe.gov.my.
Sergiovanni, T. J. (1992). Why We Should Seek Substitutes For Leadership. Educational
Leadership. 49(5). pp: 41-45.
Servioganni, T. J. (1984). Leadership and Excellent in Schooling. Educational Leadership.
41(5). pp: 4-13.
Sharil @ Charil Marzuki. (2001). Ciri-ciri Kepimpinan Pengetua/guru besar berkesan yang
dapat menghadapi cabaran dan harapan pada abad ke 21 ini. Pemimpin, 1(1).
Siti Maspah Hassan dan Nor Azizah Mohd.Salleh, (1995). Kertas Kerja Bertajuk: Pendidikan
Vokasional- Formal Dan Non Formal Ke Arah Wawasan 2020. Dalam Seminar
Kebangsaan Pendidikan Negara Abad Ke 21 di UKM, Bangi pada 9 November 1995.
Sufean Hussin. (2005). Pentadbiran dan Pembangunan Pendidikan. Bentong: PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.
Syed Zamberi Ahmad. (2008). Memahami konsep pengurusan perniagaan. Selangor: Leeds
Publications (M) Sdn. Bhd.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (2001), Pentadbiran Pendidikan, Siri Fajar Bakti.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie dan Foo Say Fooi. (2003). Pengurusan & Kepimpinan
Pendidikan Satu Langkah Ke Hadapan. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai