Anda di halaman 1dari 6

Aliran Pemikiran Islam Kontemporari

Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran


Timbalan Presiden ABIM 2007-2009

Pendahuluan
Lama sebelum Samuel Huntington menulis “The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order,”
masyarakat Islam telah pun menyedari bahawa Barat merupakan cabaran besar yang menggugat pandangan hidup
agama mereka. Buktinya, sejak dua kurun yang lepas para pemikir Islam telah pun bergelut dengan persoalan hubungan
Islam dengan Peradaban Moden Barat dalam penulisan-penulisan mereka. “Few subjects”, kata Prof.
Nasr, “arouse more passion and debate among the Muslims today than the encounter between Islam and modern
thought”.[2] Walau dalam bentuk apapun wacana pertembungan ini diketengahkan – tradisi vs
kemodenan, islah dan tajdid, turath wa al-hadathah, al-asalah wa al-mu’asirah, Islam and secularism –
kesemuanya merujuk kepada satu inti perbahasan: bagaimana masyarakat Islam dapat mempertahankan tradisi mereka
dalam mendepani arus kemodenan yang datang bersama-sama dengan peradaban Barat. Malah sehingga sekarang,
dalam keadaan Barat telahpun bergerak ke zaman pasca moden, satu lagi babak dalam sejarah tamadun mereka,
masyarakat Islam, sama ada yang menerima atau menolak, masih lagi bergulir dengan persoalan kemodenan. Kertas
kerja ini berusaha mendalami hakikat tersebut dengan menelusuri dan menganalisa secara ringkas aliran pemikiran
moden dan kontemporari.
Kemunculan Aliran Modenis Muslim
Dalam membahaskan mengenai kesesuaian Islam dengan kemodenan, para pemikir Islam secara umumnya terbahagi
dua. Sementara sebahagian mereka meragui keserasian Islam dengan kemodenan justru mempertahankan keutuhan
tradisi, sebahagian lain merasakan satu keperluan bagi umat Islam merubah diri selari dengan arus modenisasi.
Memandangkan tumpuan kita dalam kertas ini adalah aliran moden, kita tidak akan menganalisa aliran tradisionalis yang
juga merupakan aliran penting dalam peta pemikiran Islam kontemporari.
Abad ke 19 dan 20 menyaksikan kemunculan gerakan modenis di kebanyakan Dunia Islam. Dengan tujuan untuk
melakukan pembaharuan dalam pemikiran masyarakat Islam bagi membolehkan mereka menyaingi kemajuan yang
dibawa oleh Barat Moden, mereka menyeru ke arah pentafsiran semula sebahagian ajaran-ajaran Islam di atas nama
tajdid dan Islah. Dalam sejarah, aliran ini biasanya dikaitkan dengan gerakan reformis yang didahului oleh Jamal al-Din
al-Afghani(1839-1897) Muhammad Abduh (1849-1905), Rifa’at Rafi’ al-Tahtawi (1801-73),Farid
Wajdi(1875-1954), Qasim Amin(1865-1908), Muhammad Ibn Ali al-Sanusi (1787-1860) and Khairuddin al-Tunisi (1822-
89). Bermula pada asasnya di Mesir dan timur tengah, gerakan ini juga lahir di Dunia Islam yang lain seperti di India
dengan kemunculan pemikir-pemikir seperti Sayyid Ahmad Khan (1817-1898), Ameer Ali (1849-1928) and Abul Kalam
Azad (1888-1958).[3]
Dua Sebab Asasi
Walaupun ada justifikasi agama terhadap kemunculan golongan modenis, penjelasan yang lebih munasabah mengenai
raison d’etre mereka kembali kepada dua perkara utama; penjajahan dan kemunduran masyarakat Islam. Yang
pertama agak mudah difahami sementara yang kedua dikaitkan lebih lanjut dengan beberapa aspek kehidupan
masyarakat Islam seperti ilmu, pendidikan, kefahaman agama, ekonomi dan politik. Kedua-dua masalah ini juga tidaklah
terpisah kerana masalah kedua merupakan lanjutan dari masalah pertama. Sementara usaha untuk menyelesaikan
masalah yang pertama berakhir apabila keseluruhan negara-negara Muslim Islam merdeka dari belenggu penjajahan,
perjuangan untuk mencapai matlamat kedua iaitu membaiki keadaan masyarakat Islam yang lemah berterusan hingga
ke hari ini. Masalah pertama walaupun secara fizikalnya telah hilang dari Masyarakat Islam, telah kembali dalam
bentuknya yang baru, penjajahan pemikiran iaitu penerapan nilai-nilai dan falsafah sekular Barat dalam pelbagai institusi
pendidikan dan sosial di Negara-negara Islam.
Dua Pendekatan Utama
Disebabkan reaksi kepada dua masalah tersebut datang dalam pelbagai bentuk, peta sejarah yang jelas mengenai
golongan modenis dan refomis agak sukar di kenalpasti. Antara dua tokoh awal sendiripun iaitu, Jamal al-Din al-Afghani
(1839-1897) dan Muhammad Abduh (1849-1905) terdapat perbezaan dalam melancarkan agenda reformasi mereka.
Sementara penekanan Abduh lebih kepada perubahan dalam sistem pendidikan, Afghani lebih berminat dengan
pendekatan politik dengan ide Pan-Islamismenya. Pengikut Abduh sendiri terbahagi kepada dua, pertama yang lebih
cenderung untuk meneruskan pemikiran modenisnya seperti Ali Abd Raziq, Qasim Amin, Taha Hussain, dan Hassan
Hanafi, yang kedua lebih cenderung kepada pendekatan aktivisme dan keagamaan seperti Rashid Ridha, Shakib
Arsalan dan Hasan al-Banna.
Walaubagaimanapun, sekurang-kurangnya dua corak utama dapat dilihat dalam kepelbagaian gerakan modenis. Yang
pertama lebih bersifat cenderung kepada Barat dan berusaha untuk menghidupkan kembali pemikiran progresif di
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58
kalangan masyarakat Islam agar mereka dapat menyesuaikan diri dan bersaing dengan dunia moden yang dipelopori
oleh Barat. Kadangkala mereka menggunakan istilah liberalisasi dan emansipasi bagi menunjukkan bahawa masyarakat
Islam sedang terbelenggu dengan ikatan tradisi dan ortodoks. Matlamat aliran ini ialah untuk menjustifikasi pendekatan
moden dengan ajaran Islam. Aliran yang lebih bersifat intelektual ini timbul di peringkat awal dengan kemunculan
pelbagai penulisan dalam pelbagai bidang yang fokusnya untuk mentafsir kembali ajaran-ajaran Islam tradisi seperti
tulisan Afghani mengenai peranan dan fungsi agama, tafsir moden Muhammad ‘Abduh, analisa Shibli
Nu’mani dan Ameer Ali menganai sejarah Islam, tulisan Qasim Amin mengenai pembebasan wanita dan kajian
semula Ali Abd Raziq mengenai teori politik Islam. Secara umumnya pendekatan mereka diwarnai dengan penerimaan
Barat sebagai mercu ketamadunan dunia dan usaha untuk pembentukan semula pemikiran dan metodologi Islam agar
sesuai dengan piawai yang ditentukan oleh Barat.[4]
Sementara bentuk yang kedua agak bertentangan dengan pendekatan pertama iaitu lebih menunjukkan penolakan
terhadap barat. Penekanan mereka ialah untuk pembersihan semula ajaran-ajaran Islam. Reaksi ini timbul dengan
premis bahawa umat Islam telah lari dari ajaran yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan generasi awal.
Dengan tujuan mengembalikan masyarakat Islam kepada Islam yang sebenar, mereka mengkritik tafsiran-tafsiran ulama
tradisi yang telah membawa umat kepada belenggu taqlid. Dengan pendekatan aktivis dan politikal, aliran ini menolak
sistem yang dibawa oleh Barat dan berusaha ke arah pembentukan model dan sistem hidup Islam yang tersendiri
dengan membawa motto penting ‘Islam sebagai Cara Hidup’. Kebangkitan aliran ini ditandai dengan
kemunculan tokoh-tokoh gerakan Islam seperti Hasan al-banna, Syed Qutb, al-Maududi, Mustafa Siba’i dan
Abbas Madani. Berbanding dengan aliran modenis yang pertama, aliran yang selalunya digelar oleh kebanyakan
Orientalis sebagai fundamentalis atau revivalis[5], bermula dengan kelahiran Ikhwan al-Muslimin pada 1928. Matlamat
utama aliran ini ialah untuk membina semula sistem kehidupan Islam sebagai satu tentangan kepada sistem sekular
Barat melalui insitusi sosial dan politik. Pengaruh aliran ini begitu meluas dan dapat dilihat melalui penyebarannya
diseluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan Indonesia dengan penubuhan pelbagai gerakan Islam dan parti politik.
Kedua-dua aliran di atas walaupun dapat ditelusuri dari punca sejarah yang sama terutama sekali semangat tajdid yang
dibawa oleh Muhammad Abduh, akan tetapi mempunyai pendekatan yang bertentangan dan kadangkala berseteru.
Yang pertama lebih cenderung kepada Barat sementara yang kedua bersikap keras terhadap Barat.
Walaubagaimanapun mereka berkongsi pendekatan yang sama dari segi bersikap kritis dan kadangkala keras terhadap
tradisi tetapi dengan tujuan yang berbeza. Yang pertama bersikap kritis terhadap tradisi kerana bagi mereka tradisi Islam
menjadi penghalang kepada kemajuan dan kemodenan masyarakat Islam sementara yang aliran kedua bersikap kritis
terhadap tradisi kerana mereka merasakan banyak perkara yang perlu dibersihkan terutama penambahan-penambahan
yang dibuat dalam agama.
Isu utama dalam Aliran Moden
Antara isu utama dalam wacana golongan modenis ialah isu perubahan dalam agama yang juga dikenali sebagai debat
tradisi dan kemodenan (al-turath wa al-hadathah). Apakah perkara-perkara yang dianggap kekal dalam agama dan
apakah perkara yang berubah dan anjal? Apakah peranan konteks sosial dan sejarah dalam menentukan dogma dan
nilai-nilai agama? Adakah semua yang diwarisi oleh masyarakat Islam dari segi ibadah, akidah, nilai dan sistem
pemikiran bersifat kekal dan tidak boleh berubah? Golongan modenis sudah pasti menganjurkan perlunya perubahan
dalam beberapa aspek doktrinal dan amalan dalam Islam. Untuk itu ‘tradisi’ iaitu tafsiran yang diberikan
oleh ulama-ulama tradisi telah menjadi kritikan utama golongan ini. Hujah utamanya ialah memandangkan Islam
bersesuaian dengan setiap masa dan tempat, ia perlu mampu menyesuaikan dirinya dengan ilmu-ilmu moden. Kepada
golongan modenis, sekiranya ada pertentangan antara kemodenan dan Islam, bukan kita perlu menolak Islam akan
tetapi mentafsirkan ajaran Islam bersesuaian dengan kemodenan.
Modenis Muslim juga berpegang kepada premis bahawa ada perbezaan antara Islam yang sebenar dengan Islam yang
ditafsirkan oleh ulama-ulama tradisi. Memandangkan sebahagaian besar Shari’ah adalah berdasarkan
pentafsiran ulama-ulama tradisi, ia tidak boleh dianggap tegar dan tidak boleh berubah. Oleh kerana itu Shari’ah
perlu sentiasa dibuka kepada pentafsiran baru bagi membolehkan ia sentiasa dinamik dan bersesuaian dengan keadaan
semasa. Dengan itu juga pintu ijtihad perlu sentiasa dibuka. Antara isu yang lebih khusus dibahaskan ialah:
i) Fiqh dan hubungannya dengan ilmu-ilmu rasional
ii) Hubungan antara Islam dan politik
iii) Ide tamadun, ciri-ciri masyarakat barat dan hubungannya dengan konsep-konsep Islam seperti Darul Islam and Darul
Harb
iv) Gender dan status wanita
v) Penolakan taqlid dan keperluan ijtihad dan kebebasan berfikir
vi) Rumusan semula doktrin Islam bersesuaian dengan pemikiran moden
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58
vii) Hak Asasi manusia dan hak beragama
viii) Pluralisme dalam kefahaman agama
ISLAM LIBERAL: Aliran Pemikiran Terkini
Wacana pemikiran Islam terkini telah melihat kemunculan aliran Islam Liberal yang lebih bebas dan longgar dalam
mentafsirkan sebahagian ajaran-ajaran agama. Berlandaskan semangat pembebasan yang kadangkala diistilahkan
sebagai Islamic Protestantism, kelompok ini jelas sedang mendapat tempat dalam wacana pemikiran Islam kontemporari
dengan mencanangkan misi pembebasan umat Islam dari belenggu fahaman ortodoks dan cengkaman dominasi
tafsiran golongan ulama. [6]
Charles Kurzman, seorang ahli sosiologi dari Universiti North Carolina dalam bukunya Liberal Islam: A Source Book,[7]
berpandangan bahawa idea Islam liberal ini bukan satu wacana baru. Ia sudah bermula dengan ide-ide reformis pemikir-
pemikir awal timur tengah seperti Rif’at al-Tahtawi, Ali Abd Raziq, kemudiannya diteruskan oleh beberapa
pengkagum Barat seperti alumni Sorbornne, Hasan Hanafi dan Muhammad Arkoun dan yang lain-lain seperti Faraj
Fawdah, Muhammad Said al-Asmawi, Nasr Abu Zayd dan Wahid Raf’at. Tulisan Kurzman ini
walaubagaimanapun wajar dipertikaikan apabila beliau juga memasukkan individu seperti Prof. Yusuf al-Qardhawi
sebagai liberalis Islam sedangkan al-Qardhawi banyak menghentam ide-ide liberal pelopor kelompok ini seperti Ali Abd
Raziq, Faraj Fawdah dan Abed al-Jabiri.[8]
Disebabkan wacananya yang agresif, tidak hairanlah aliran Islam Liberal ini begitu pantas merebak hingga ke rantau
Asia Tenggara. Di Indonesia aliran ini sedang hebat berkembang di atas nama Jaringan Islam Liberal (JIL) serta
didokong oleh sebilangan golongan muda yang begitu enthusiastic dengan website yang begitu produktif dan sudah
berjaya menguasai pentas-pentas dan wahana penyiaran radio, tv dan akhbar bagi menyebarkan pandangan-
pandangan mereka. Kehadiran wacana Islam liberal ini ternyata menimbulkan polemik dan kontrversi yang berterusan di
Indonesia. Ini terbukti apabila pemimpin utama mereka, Ulil Absar Abdallah tidak lama dahulu telah diisytihar murtad
oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI).
Premis awal pemikiran Islam Liberal ini nampaknya tidaklah bersifat negatif. Seperti golongan modenis, mereka juga
menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad dan penyeruan ke arah kefahaman Islam yang terbuka dan progresif. Namun
arah aliran fahaman Islam mereka nampaknya berkecenderungan untuk melewati parameter keagamaan apabila
mereka menuntut tafsiran Islam yang pluralis dan subjektif, pemisahan politik dan agama, dan pembebasan dari tafsiran
ulama silam. [9] Istilah-istilah yang digunakan dalam wacana mereka juga agak membimbangkan seperti Islam warna-
warni, Islam tanpa Shariah dan penegasan akar-akar sekularisme dalam Islam.[10] Dengan mendakwa mereka
mengembalikan semangat Mu’tazilah dalam tradisi pemikiran Islam, ternyata kelompok Islam liberal telah pergi
lebih jauh dari apa yang dipegang oleh kaum Mu’tazilah sendiri. Malah, mereka juga ingin membangkitkan
semangat pencerahan (enlightenment) dan kebangkitan semula (renaissance) sepertimana yang berlaku dalam tradisi
Barat.
Jika merujuk secara khusus kepada Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, mereka menjelaskan bahawa istilah liberal
yang digunakan bukan sekadar bermaksud kebebasan tetapi juga mempunyai maksud yang lebih aktif dan agresif iaitu
pembebasan (liberating).[11] Oleh yang demikian, mereka mempunyai misi untuk membebaskan masyarakat Islam dari
belenggu tafsiran agama yang dianggap sempit. Liberal juga merupakan kata sifat yang diletakkan kepada Islam bagi
menggambarkan pandangan pluralis golongan ini dan penegasan bahawa Islam adalah terbuka kepada pelbagai
tafsiran dan kesemua tafsiran, termasuk Islam Liberal, adalah sah.
Gagasan Penting Islam Liberal
Antara gagasan penting Islam Liberal ialah: i) keterbukaan pintu ijtihad dalam pelbagai bidang termasuk teologi dan
ibadah. Perkara-perkara yang telah diijma’kan oleh ulama juga tidak lari dari keperluan ijtihad mereka; ii)
penekanan kepada semangat religio etik bukan kepada literal sebuah teks; iii) kebenaran yang relatif, terbuka dan plural.
Ini berdasarkan premis bahawa setiap pentafsiran agama dianggap sebagai ‘kegiatan manusiawi’ yang
terkongkong pada konteks sejarah dan keperluan semasa yang berubah-ubah, justru ia akan sentiasa terbuka kepada
kesilapan; iv) pemihakan kepada golongan minoriti dan yang tertindas. Maka, atas nama keadilan, golongan minoriti
harus dibela. Golongan ini termasuk minoroti agama, etnik, ras, budaya, jantina dll; v) kebebasan beragama dan
kepercayaan. Persoalan agama adalah hak peribadi yang harus dilindungi, maka tidak ada pemaksaan kepada sesuatu
kepercayaan yang dipilih oleh seseorang individu ; vi) pemisahan otoriti duniawi dan ukhrawi, agama dan politik. Agama
tidak harus tidak dijadikan nilai yang dipaksa dalam bidang politik kerana ia adalah milik perseorangan dan persendirian.
[12] Bidang politik, dengan kata lain, seharusnya bebas agama.
Sementara misi utama kelompok ini ialah untuk; i) mengembangkan pentafsiran-pentafsiran Islam yang liberal sesuai
dengan prinsip yang dipegang di atas; ii) mengusahakan ruang-ruang dialog yang terbuka dan bebas dari tekanan
konservatisme; iii) mengupayakan terciptanya struktur sosial dan politik yang adil dan manusiawi.[13]
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58
Beberapa Pemerhatian Kritis
1. Modenisme sebagai Satu Konsep Falsafah
Oxford Dictionary mentakrifkan modern sebagai ‘sesuatu yang bersifat semasa dan terkini, baru dan sesuai
dengan masa sekarang’ (of the present and recent time, new and up-to-date).[1] Sekiranya berdasarkan makna
ini kita mampu dengan selesa mengatakan bahawa Islam tidak menolak kemodenan kerana sebagai agama yang
bersifat sejagat Islam harus hadir dalam dan sesuai dengan semua zaman dan tempat. Akan tetapi kemodenan bukan
sekadar istilah akan tetapi ia merupakan yang membawa bersamanya satu pandangan hidup, falsafah dan sejarahnya
tersendiri yang jelas lebih tertutup dan tegar dari segi kandungan ideologinya berbanding makna literal. Dari segi
falsafahnya modenisme datang bersama-samanya beberapa ciri penting seperti rasionalisme, sekularisme, humanisme,
perubahan sosial dan kemajuan. [14] Beberapa ciri-ciri ini ternyata tidak sejalan dengan pandangan hidup Islam. Ini
ditambah dengan hakikat bahawa ide ‘moden’ itu sendiri asalnya merupakan hasil dari tradisi Kristian
Barat Eropah.[15] Oleh yang demikian para reformis Islam seharusnya lebih berhati-hati dalam menggarap isu
modenisme. Dalam keghairahan mengejar kemajuan, setiap fahaman harus diteliti agar ianya dapat disaring dan akhir
benar-benar dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Islam.
2. Modenisme dan Tradisi
Tujuan kita menelusuri pemikiran kontemporari Islam bermula dari gerakan modenis abad ke-19 sehingga kelahiran
Islam Liberal kini adalah kerana disamping beberapa perbezaan, terdapat jalur persamaan antara gerakan modenis
terutama kelompok pertama dan kelompok Islam liberal kontemporari terutama berkaitan sikap mereka terhadap tradisi.
Walaupun golongan modenis awal tidak begitu radikal dalam mengkritik tradisi, akan tetapi mereka telah membuka
‘kotak pandora’ untuk golongan liberal Islam kontemporari untuk terus menolak kewibawaan ulama silam.
Oleh kerana itulah Kurzman misalnya mengaitkan Islam Liberal kepada tokoh-tokoh modenis yang lebih awal.
Mungkin kerana antara kata kunci gerakan modenisme dan liberalisme ialah perubahan dan kemajuan, maka tradisi
yang lebih bersifat tetap dan ‘kaku’ tidak mendapat tempat dalam wacana mereka. Namun, persoalan
yang harus ditanya ialah apakah perkara harus berubah dalam konteks masyarakat Islam? Kita bersetuju bahawa
berbanding dengan Barat, umat Islam banyak ketinggalan dalam pelbagai bidang kehidupan. Oleh itu banyak perkara
yang harus diperbaiki berkenaan dengan keadaan umat Islam. Kita juga tidak menafikan bahwa masyarakat Islam
memerlukan perubahan cara berfikir untuk mereka bersaing dengan kemajuan yang dicapai oleh Barat. Tetapi ini tidak
bermakna mereka harus mengenepikan tradisi silam untuk mereka mencapai matlamat tersebut. Ini kerana bukanlah
disebabkan kandungan pengajaran yang telah diberikan oleh ulama silam yang bermasalah akan tetapi cara memahami
tradisi yang sebenarnya bermasalah. Sekiranya ada ulama-ulama sekarang yang silap dalam menyampaikan isi
kandungan tradisi Islam yang harus ditolak ialah cara pengajarannya dan bukan tradisi Islamnya.
Persoalan yang lebih penting, sudahkah kita meletakkan usaha yang bersungguh dalam mempelajari, mengkaji, dan
menganalisa khazanah ilmu dalam tradisi kita yang lepas? Sekiranya premisnya adalah kerana pemikiran tradisi lapuk
dan ketinggalan zaman, persoalannya adakah semua persoalan kontemporari dan moden yang dihadapi oleh
Masyarakat Islam sekarang secara keseluruhannya adalah masalah yang baru sehinggakan kita tidak perlukan panduan
dari tradisi keilmuan Islam? Adalah satu yang menarik sekiranya kita mengetahui bahawa banyak persoalan-persoalan
falsafah yang telah diserang oleh al-Ghazali dalam karyanya Tahafut al-Falasifah hampir seribu tahun yang lalu telah
menjelma kembali dalam wacana pemikiran Barat sekarang terutama dalam bidang falsafah sains. Misalnya teori
evolusi, dan Big Bang yang premis falsafahnya tidak banyak berbeza dengan teori Emanasi Greek, atau perbahasan
Quantum Fizik yang mempunyai banyak persamaan dengan teori atom (jawhar dan ‘arad) dalam ilmu kalam abad
ke-9 dan 10? Dari segi ini tradisi ilmu silam seharusnya menjadi peluang kepada masyarakat Islam Moden dan
bukannya ancaman atau bebanan sejarah. Penguasaan terhadap tradisi merupakan nilai tambah yang memperkaya
khazanah intelektual dan bukannya sebagai satu kelemahan dan petanda kekolotan.
3. Perbezaan Nasib Sejarah
Memandangkan wacana modenis Muslim kelihatan agak bersifat reaktif terhadap apa yang berlaku di Barat, adalah
penting untuk diingatkan agar mereka tidak terjebak ke dalam perangkap Barat, iaitu dengan terikut-ikut pengalaman
mereka berhadapan dengan tradisi keagamaan mereka. Apa yang berlaku di barat terutamanya reaksi keras mereka
terhadap institusi keagamaan mereka tidak semestinya perlu berlaku juga kepada umat Islam untuk mereka bergerak
maju. Ini kerana Islam mempunyai nasib sejarah yang berbeza dengan Kristian Barat dan sebahagian besar sebab-
sebab yang menjadikan Barat sepertinya sekarang sebenarnya tidak wujud dalam konteks sejarah Islam. Sebagai
contoh, tradisi ulama Islam tidak sama dengan Gereja Ortodoks Kristian yang mendominasi doktrin agama dan
mendakwa sebagai wibawa dan pemilik mutlak keselamatan di akhirat (salvation). Para reformis Islam, oleh itu, tidak
perlu merasakan bahawa mereka adalah golongan Protestan Islam yang perlu bangun untuk meruntuhkan kelompok
ortodoks kerana tidak ada sebenarnya monopoli dogma dalam konteks ulama tradisi Islam, juga tidak ada dakwaan
mengenai pemilikan jaminan ke syurga.
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58
Tradisi keagamaan Islam sejak dahulu berasaskan ilmu. Para ulama silam telah membina kerangka besar Ilmu Islam
yang sentiasa perlu dipelajari, dikaji dan di nilai dengan wajar. Oleh itu, khazanah ilmu mereka seharusnya di dekati
dengan penuh rendah diri dan hormat walaupun dengan pendekatan yang kritis, bukan dengan mengenepikan atau
meninggalkan mereka. Konsep ‘adab’ inilah yang menjadi antara ciri utama tradisi ilmu Islam yang tidak
terdapat dalam tradisi Barat. Oleh yang demikian tugas para reformis Islam sebenarnya adalah lebih berat dan
memerlukan jihad intelektual yang besar.
4. Kekeliruan Islam Liberal
Kekeliruan yang telah dibawa oleh kelompok Islam Liberal bukan sahaja dari segi menisbikan pentafsiran agama yang
telah mantap dibina oleh ulama-ulama terdahulu, akan tetapi yang lebih bahaya, mereka telah membuka ruang tanpa
had untuk semua semua jenis pentafsiran masuk dan bertindak sebagai wibawa dalam pentafsiran agama. Atas premis
tajdid dan pembebasan bersuara, pandangan-pandangan terpencil yang dibangkitkan oleh firqah-firqah tertentu dalam
sejarah Islam yang telahpun dijawab dengan tuntas oleh ulama-ulama berwibawa Islam dan telah mantap
diijma’kan seperti isu penciptaan al-Qur’an (khalq al-Qur’an), isu aurat dan murtad, ingin
dibangkitkan kembali dengan hujah yang mengelirukan. Hasilnya ialah masyarakat Islam telah dididik dengan asas-asas
agama yang mantap dan meyakinkan kembali keliru dan goyah akidahnyaKita tidak nafikan bahawa Islam merupakan
agama pembebasan. Islam datang dengan misi istiqlal dan hurriyyah untuk membebaskan manusia dari pengabdian
jahiliyyah sesama manusia kepada pengabdian yang tulus kepada Allah seperti yang di sebut olah al-Qur’an,
“Tidak aku jadikan manusia dan jinn semata-mata untuk beribadat kepadaku”. Akan tetapi kebebasan
yang dianjur oleh Islam bukan dengan cara merungkaikan apa yang telah disusun rapi olah agama menerusi pentafsiran
yang berwibawa oleh ulama-ulama silam. Tajdid dalam Islam mesti bersifat islahi iaitu pembebasan dari keburukan
kepada kebaikan. Kita tidak mahu menjadi seperti golongan yang diistilah oleh al-Qur’an sebagai yang membuat
fasad akan tetapi menyangka mereka membuat islah“Apabila disebut kepada meraka ‘Jangan kamu
membuat kerosakan di atas muka bumi. Lantas mereka menjawab, sesungguhnya kami membuat kebaikan. Ingatlah
sesungguhnya mereka adalah orang yang membuat fasad akan tetapi mereka tidak menyedari. (al-Baqarah,
2:11,12Dalam sejarah Islam juga, seperti yang telah disebut, tidak ada yang dinamakan kelompok otoritarian agama
atau clergy yang mendominasi secara sakral kewibawaan agama sebagaimana yang terjadi terhadap masyarakat
Kristian sehingga menjustifikasi gerakan pembebasan yg dilakukan oleh kelompok reformis seperti Lutherian dan
Calvinian. Dalam Islam, asas utama dalam pentafsiran agama ialah asas ilmu yang mendalam terutama dalam bidang
agama dan bidang-bidang yang berkaitan. Dengan itu, ijtihad bukan monopoli totok kelompok agama dan bukan juga
hak semua individu. Ia berkait rapat dengan kewibawaan ilmu mereka yang melaksanakan ijtihad atau pentafsiran
agama. Demikianlah ulama dalam Islam dihormati kerana kewibawaan ilmunya dan bukan kesakralan posisinya.Oleh itu,
saranan kita ialah kelompok Islam liberal tidak perlu terlalu ghairah dalam membawa masuk isu-isu palsu (pseudo-
problems) ke dalam wacana pemikiran Islam. Mungkin apa yang lebih wajar dilakukan ialah bersikap lebih
tawadu’ terhadap ilmu dengan menuntut ilmu dan mempertingkatkan kewibawaoan ilmiah.
Kesimpulan
Berdasarkan pandangan di atas, kita ingin menganjurkan bahawa tajdid atau islah dalam Islam boleh datang dalam dua
makna; pertama membawa pentafsiran yang segar dalam hal-hal keagamaan. Yang kedua, membawa kembali
kefahaman umat Islam kepada pemikiran tradisi ulama silam sebelum mempersembahkannya dengan pendekatan yang
baru. Yang kedua ternyata lebih berat dan memerlukan usaha yang lebih intensif dari para pemikir modenIslam. Ini juga
bermakna usaha yang lebih serius perlu diambil oleh para ulama, intelektual dan reformis Islam kini untuk menggali
semula dan mengkaji kekayaan tradidi keilmuan Islam.
Apa Seterusnya? Pelan Tindakan
Adalah menjadi satu sumbangan yang lebih besar kepada agama dan masyarakat Islam secara keseluruhannya
sekiranya para ulama dan pemikir Islam kini dapat mencetuskan satu sistesis antara usaha untuk membawa
pembaharuan dalam masyarakat dan usaha untuk melakukan kajian semula yang mendalam terhadap tradisi Islam.
Berikut adalah cadangan praktikal yang mugkin dapat dilakukan oleh kelompok ulama atau intelektual moden bagi
memastikan matlamat tersebut tercapai:
i) Menerbitkan siri buletin berkala dan konsisten yang memperkenalkan idea-idea besar ulama silam dan juga moden.
ii) Menganjurkan seminar dan diskusi ilmu yang serius dalam membahaskan isu-isu penting berkaitan tradisi dan
kemodenan tanpa mempertentangkan kedua-duanya.
iii) Menganjurkan kursus-kursus membaca teks-teks penting dalam tradisi Islam di pelbagai bidang keagamaan.
iv) Mengedit serta menterjemah karya-karya agung sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.
NOTA KAKI[1] Dibentang dalam ‘Seminar Islam dan Cabaran Semasa 2005’ anjuran Persatuan Ulama
Malaysia (PUM) pada 16 Julai 2005 di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58
[2] Seyyed Hossein Nasr, Traditional Islam in the Modern World (Kuala Lumpur:Foundation of Tradisional Studies, 1988),
97.
[3] Untuk penjelasan lanjut mengenai aliran modenisme Islam, lihat Fazlur Rahman, Islam, edisi 2 (Chicago:University of
Chicago Press,1979), 212-34; Mazheruddin Siddiqi, Modern Reformist Thought in the Muslim World (New Delhi: Adam
Publishers and Distributors, 1993); Maryam Jameelah, Islam and Modernism (Lahore:Muhammad Yusuf Khan,1977);
Seyyed Hossein Nasr, Tradional Islam in the Modern World(Kuala Lumpur:Foundation for Traditional Studies,1987),75-
115; Mansoor Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An Anthology of Modernist and Fundamental
Thought (London:MacMillan Press, 2000) Mansoor Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An
Anthology of Modernist and Fundamental Thought (London:MacMillan Press, 2000).
[4] Mansoor Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An Anthology of Modernist and Fundamental
Thought (London:MacMillan Press, 2000),p.3-4.
[5] Contemporary Debates In Islam, 6; Rahman, Islam, 222.
[6] Lebih lanjut mengenai debat Liberal Islam, lihat Adnin Armas, Pengaruh Kristen-Orientalis terhadap Islam
Liberal:Dialog Interaktif dengan Jaringan Islam Liberal (Jakarta:Gema Insani Press,2003).
[7] Buku Charles Kurzman, Liberal Islam: A Source Book (Oxford University Press,1998) merupakan buku yang menjadi
asas perbahasan Islam Liberal.
[8] Untuk pandangan Yusuf al-Qardhawi mengenai Kemodenan dan Tradisi , lihat karya beliau al-Thaqafah al-
‘Arabiyyah bayna al-Asalah wa al-Mu’asirah, terjemehan Ahmad Nuryadi Asmawi di bawah tajuk Wawasan
Islam:Antara Keaslian dan Kemodenan (Selangor:Thinker’s Library,1996).
[9] Mohammad Nasih, Memahami Konsep Islam Liberal, Jaringan Islam Liberal,
http://www.islamlib.com/id/page.php?page=article
[10] Lihat perbahasan mengenai asas-asas Islam Liberal di Indonesia dalam hhtp://islamlib.com/REDAKSI/tentang.html
[11] Ibid.
[12] Ibid.
[13] Ibid.
[14] Mazheruddin Siddiqi, Modern Reformist Thought in the Muslim World (New Delhi: Adam Publishers and Distributors,
1993), 1-2; Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism (Kuala Lumpur:ISTAC,1993),33-7. Lihat penjelasan
lanjut Prof. al-Attas mengenai sejarah sekularisasi di Barat dan hubungannya dengan modenisme dalam karya ini.
[15] Robert B.Pippin, Modernism as a Philosophical Problem (Oxford:Blackwell,1991), p.17.
Minda Madani Online
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 3 April, 2010, 10:58

Anda mungkin juga menyukai