Anda di halaman 1dari 10

Aliran Pemikiran Islam

Kontemporari

 
Pendahuluan                                                                             
 
Lama sebelum Samuel Huntington menulis “The Clash of Civilizations and The Remaking of
World Order,” masyarakat Islam telah pun menyedari bahawa Barat merupakan cabaran besar
yang menggugat pandangan hidup agama mereka.  Buktinya, sejak dua kurun yang lepas para
pemikir Islam telah pun bergelut dengan persoalan hubungan Islam dengan Peradaban Moden
Barat dalam penulisan-penulisan mereka. “Few subjects”, kata Prof. Nasr, “arouse more passion
and debate among the Muslims today than the encounter between Islam and modern thought”.
[2]  Walau dalam bentuk apapun wacana pertembungan ini diketengahkan – tradisi vs
kemodenan, islah dan tajdid, turath wa al-hadathah, al-asalah wa al-mu’asirah, Islam and
secularism – kesemuanya merujuk kepada satu inti perbahasan: bagaimana masyarakat Islam
dapat mempertahankan tradisi mereka dalam mendepani arus kemodenan yang datang bersama-
sama dengan peradaban Barat.  Malah sehingga sekarang, dalam keadaan Barat telahpun
bergerak ke zaman pasca moden, satu lagi babak dalam sejarah tamadun mereka, masyarakat
Islam, sama ada yang menerima atau menolak, masih lagi bergulir dengan persoalan
kemodenan.  Kertas kerja ini berusaha mendalami hakikat tersebut dengan menelusuri dan
menganalisa secara ringkas aliran pemikiran moden dan kontemporari.

Kemunculan Aliran Modenis Muslim

Dalam membahaskan mengenai kesesuaian Islam dengan kemodenan, para pemikir Islam secara
umumnya terbahagi dua.  Sementara sebahagian  mereka meragui keserasian Islam dengan
kemodenan justru mempertahankan keutuhan tradisi, sebahagian lain merasakan satu keperluan
bagi umat Islam merubah diri selari dengan arus modenisasi. Memandangkan tumpuan kita
dalam kertas ini adalah aliran moden, kita tidak akan menganalisa aliran tradisionalis yang juga
merupakan aliran penting dalam peta pemikiran Islam kontemporari.

Abad ke 19 dan 20 menyaksikan kemunculan gerakan modenis di kebanyakan Dunia Islam. 


Dengan tujuan untuk melakukan pembaharuan dalam pemikiran masyarakat Islam bagi
membolehkan mereka menyaingi  kemajuan yang dibawa oleh Barat Moden, mereka menyeru
ke arah pentafsiran semula sebahagian ajaran-ajaran Islam di atas nama tajdid dan Islah.  Dalam
sejarah, aliran ini biasanya dikaitkan dengan gerakan reformis yang didahului oleh Jamal al-Din
al-Afghani(1839-1897) Muhammad Abduh (1849-1905), Rifa’at Rafi’ al-Tahtawi (1801-
73),Farid Wajdi(1875-1954), Qasim Amin(1865-1908), Muhammad Ibn Ali al-Sanusi (1787-
1860) and Khairuddin al-Tunisi (1822-89). Bermula pada asasnya di Mesir dan timur tengah,
gerakan ini juga lahir di Dunia Islam yang lain seperti di India dengan kemunculan pemikir-
pemikir seperti Sayyid Ahmad Khan (1817-1898), Ameer Ali (1849-1928) and Abul Kalam
Azad (1888-1958).[3]  

Dua Sebab Asasi

Walaupun ada justifikasi agama terhadap kemunculan golongan modenis, penjelasan yang lebih
munasabah mengenai raison d’etre mereka kembali kepada dua perkara utama; penjajahan dan
kemunduran masyarakat Islam.  Yang pertama agak mudah difahami sementara yang kedua
dikaitkan lebih lanjut dengan beberapa aspek kehidupan masyarakat Islam seperti ilmu,
pendidikan, kefahaman agama, ekonomi dan politik.  Kedua-dua masalah ini juga tidaklah
terpisah kerana masalah kedua merupakan lanjutan dari masalah pertama.  Sementara usaha
untuk menyelesaikan masalah yang pertama berakhir apabila keseluruhan negara-negara Muslim
Islam merdeka dari belenggu penjajahan, perjuangan untuk mencapai matlamat kedua iaitu
membaiki keadaan masyarakat Islam yang lemah berterusan hingga ke hari ini.  Masalah
pertama walaupun secara fizikalnya telah hilang dari Masyarakat Islam, telah kembali dalam
bentuknya yang baru, penjajahan pemikiran iaitu penerapan nilai-nilai dan falsafah sekular Barat
dalam pelbagai institusi pendidikan dan sosial di Negara-negara Islam.

Dua Pendekatan Utama

Disebabkan reaksi kepada dua masalah tersebut datang dalam pelbagai bentuk, peta sejarah yang
jelas mengenai golongan modenis dan refomis agak sukar di kenalpasti.  Antara dua tokoh awal
sendiripun iaitu, Jamal al-Din al-Afghani (1839-1897) dan Muhammad Abduh (1849-1905)  
terdapat perbezaan dalam melancarkan agenda reformasi mereka.  Sementara penekanan Abduh
lebih kepada perubahan dalam sistem pendidikan, Afghani lebih berminat dengan pendekatan
politik dengan ide Pan-Islamismenya.  Pengikut Abduh sendiri terbahagi kepada dua, pertama
yang lebih cenderung untuk meneruskan pemikiran modenisnya seperti Ali Abd Raziq, Qasim
Amin, Taha Hussain, dan Hassan Hanafi, yang kedua lebih cenderung kepada pendekatan
aktivisme dan keagamaan seperti Rashid Ridha, Shakib Arsalan dan Hasan al-Banna.

Walaubagaimanapun, sekurang-kurangnya dua corak utama dapat dilihat dalam kepelbagaian


gerakan modenis.  Yang pertama lebih bersifat cenderung kepada Barat dan berusaha untuk
menghidupkan kembali pemikiran progresif di kalangan masyarakat Islam agar mereka dapat
menyesuaikan diri dan bersaing dengan dunia moden yang dipelopori oleh Barat.  Kadangkala
mereka menggunakan istilah liberalisasi dan emansipasi bagi menunjukkan bahawa masyarakat
Islam sedang terbelenggu dengan ikatan tradisi dan ortodoks.  Matlamat aliran ini ialah untuk
menjustifikasi pendekatan moden dengan ajaran Islam.  Aliran yang lebih bersifat intelektual ini
timbul di peringkat awal dengan kemunculan pelbagai penulisan dalam pelbagai bidang yang
fokusnya untuk mentafsir kembali ajaran-ajaran Islam tradisi seperti tulisan Afghani mengenai
peranan dan fungsi agama, tafsir moden Muhammad ‘Abduh, analisa Shibli Nu’mani dan Ameer
Ali menganai sejarah Islam, tulisan Qasim Amin mengenai pembebasan wanita dan kajian
semula Ali Abd Raziq mengenai teori politik Islam.  Secara umumnya pendekatan mereka
diwarnai dengan penerimaan Barat sebagai mercu ketamadunan dunia dan usaha untuk
pembentukan semula pemikiran dan metodologi Islam agar sesuai dengan piawai yang
ditentukan oleh Barat.[4]

Sementara bentuk yang kedua agak bertentangan dengan pendekatan pertama iaitu lebih
menunjukkan penolakan terhadap barat.  Penekanan mereka ialah untuk pembersihan semula
ajaran-ajaran Islam.  Reaksi ini timbul dengan premis bahawa umat Islam telah lari dari ajaran
yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan generasi awal.  Dengan tujuan
mengembalikan masyarakat Islam kepada Islam yang sebenar, mereka mengkritik tafsiran-
tafsiran ulama tradisi yang telah membawa umat kepada belenggu taqlid.  Dengan pendekatan
aktivis dan politikal, aliran ini menolak sistem yang dibawa oleh Barat dan berusaha ke arah
pembentukan model dan sistem hidup Islam yang tersendiri dengan membawa motto penting
‘Islam sebagai Cara Hidup’.  Kebangkitan aliran ini ditandai dengan kemunculan tokoh-tokoh
gerakan Islam seperti Hasan al-banna, Syed Qutb, al-Maududi, Mustafa Siba’i dan Abbas
Madani.  Berbanding dengan aliran modenis yang pertama, aliran yang selalunya digelar oleh
kebanyakan Orientalis sebagai fundamentalis atau revivalis[5], bermula dengan kelahiran
Ikhwan al-Muslimin pada 1928.  Matlamat utama aliran ini ialah untuk membina semula sistem
kehidupan Islam sebagai satu tentangan kepada sistem sekular Barat melalui insitusi sosial dan
politik. Pengaruh aliran ini begitu meluas dan dapat dilihat melalui penyebarannya diseluruh
dunia Islam termasuk Malaysia dan Indonesia dengan penubuhan pelbagai gerakan Islam dan
parti politik.

Kedua-dua aliran di atas walaupun dapat ditelusuri dari punca sejarah yang sama terutama sekali
semangat tajdid yang dibawa oleh Muhammad Abduh, akan tetapi mempunyai pendekatan yang
bertentangan dan kadangkala berseteru.  Yang pertama lebih cenderung kepada Barat sementara
yang kedua bersikap keras terhadap Barat.  Walaubagaimanapun mereka berkongsi pendekatan
yang sama dari segi bersikap kritis dan kadangkala keras terhadap tradisi tetapi dengan tujuan
yang berbeza.  Yang pertama bersikap kritis terhadap tradisi kerana bagi mereka tradisi Islam
menjadi penghalang kepada kemajuan dan kemodenan masyarakat Islam sementara yang aliran
kedua bersikap kritis terhadap tradisi kerana mereka merasakan banyak perkara yang perlu
dibersihkan terutama penambahan-penambahan yang dibuat dalam agama.

Isu utama dalam Aliran Moden

Antara isu utama dalam wacana golongan modenis ialah isu perubahan dalam agama yang juga
dikenali sebagai debat tradisi dan kemodenan (al-turath wa al-hadathah).  Apakah perkara-
perkara yang dianggap kekal dalam agama dan apakah perkara yang berubah dan anjal?  Apakah
peranan konteks sosial dan sejarah dalam menentukan dogma dan nilai-nilai agama?  Adakah
semua yang diwarisi oleh masyarakat Islam dari segi ibadah, akidah, nilai dan sistem pemikiran
bersifat kekal dan tidak boleh berubah?  Golongan modenis sudah pasti menganjurkan perlunya
perubahan dalam beberapa aspek doktrinal dan amalan dalam Islam.  Untuk itu ‘tradisi’ iaitu
tafsiran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisi telah menjadi kritikan utama golongan ini. 
Hujah utamanya ialah memandangkan Islam bersesuaian dengan setiap masa dan tempat, ia
perlu mampu menyesuaikan dirinya dengan ilmu-ilmu moden.  Kepada golongan modenis,
sekiranya ada pertentangan antara kemodenan dan Islam, bukan kita perlu menolak Islam akan
tetapi mentafsirkan ajaran Islam bersesuaian dengan kemodenan.

Modenis Muslim juga berpegang kepada premis bahawa ada perbezaan antara Islam yang
sebenar dengan Islam yang ditafsirkan oleh ulama-ulama tradisi.  Memandangkan sebahagaian
besar Shari’ah adalah berdasarkan pentafsiran ulama-ulama tradisi, ia tidak boleh dianggap tegar
dan tidak boleh berubah.  Oleh kerana itu Shari’ah perlu sentiasa dibuka kepada pentafsiran baru
bagi membolehkan ia sentiasa dinamik dan bersesuaian dengan keadaan semasa.  Dengan itu
juga pintu ijtihad perlu sentiasa dibuka.  Antara isu yang lebih khusus dibahaskan ialah:

i)    Fiqh dan hubungannya dengan ilmu-ilmu rasional


ii)   Hubungan antara Islam dan politik

iii)  Ide tamadun, ciri-ciri masyarakat barat dan hubungannya dengan konsep-konsep Islam
seperti Darul Islam and Darul Harb

iv)   Gender dan status wanita

v)    Penolakan taqlid dan keperluan ijtihad dan kebebasan berfikir

vi)   Rumusan semula doktrin Islam bersesuaian dengan pemikiran moden

vii)  Hak Asasi manusia dan hak beragama

viii) Pluralisme dalam kefahaman agama

 
ISLAM LIBERAL: Aliran Pemikiran Terkini

Wacana pemikiran Islam terkini telah melihat kemunculan aliran Islam Liberal yang lebih bebas
dan longgar dalam mentafsirkan sebahagian ajaran-ajaran agama.  Berlandaskan semangat
pembebasan yang kadangkala diistilahkan sebagai Islamic Protestantism, kelompok ini jelas
sedang mendapat tempat dalam wacana pemikiran Islam kontemporari dengan mencanangkan
misi pembebasan umat Islam dari belenggu fahaman ortodoks dan cengkaman dominasi tafsiran
golongan ulama. [6]

Charles Kurzman, seorang ahli sosiologi dari Universiti North Carolina dalam bukunya Liberal
Islam: A Source Book,[7] berpandangan bahawa idea Islam liberal ini bukan satu wacana baru. 
Ia sudah bermula dengan ide-ide reformis pemikir-pemikir awal timur tengah seperti Rif’at al-
Tahtawi, Ali Abd Raziq, kemudiannya diteruskan oleh beberapa pengkagum Barat seperti
alumni Sorbornne, Hasan Hanafi dan Muhammad Arkoun dan yang lain-lain seperti Faraj
Fawdah, Muhammad Said al-Asmawi, Nasr Abu Zayd dan Wahid Raf’at. Tulisan Kurzman ini
walaubagaimanapun wajar dipertikaikan apabila beliau juga memasukkan individu seperti Prof.
Yusuf al-Qardhawi sebagai liberalis Islam sedangkan al-Qardhawi banyak menghentam ide-ide
liberal pelopor kelompok ini seperti Ali Abd Raziq, Faraj Fawdah dan Abed al-Jabiri.[8]

Disebabkan wacananya yang agresif, tidak hairanlah aliran Islam Liberal ini begitu pantas
merebak hingga ke rantau Asia Tenggara.  Di Indonesia aliran ini sedang hebat berkembang di
atas nama Jaringan Islam Liberal (JIL) serta didokong oleh sebilangan golongan muda yang
begitu enthusiastic dengan website yang begitu produktif dan sudah berjaya menguasai pentas-
pentas dan wahana penyiaran radio, tv dan akhbar bagi menyebarkan pandangan-pandangan
mereka.  Kehadiran wacana Islam liberal ini ternyata menimbulkan polemik dan kontrversi yang
berterusan di Indonesia. Ini terbukti apabila pemimpin utama mereka, Ulil Absar Abdallah tidak
lama dahulu telah diisytihar murtad oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI). 

Premis awal pemikiran Islam Liberal ini nampaknya tidaklah bersifat negatif.  Seperti golongan
modenis, mereka juga menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad dan penyeruan ke arah
kefahaman Islam yang terbuka dan progresif.  Namun arah aliran fahaman Islam mereka
nampaknya berkecenderungan untuk melewati parameter keagamaan apabila mereka menuntut
tafsiran Islam yang pluralis dan subjektif, pemisahan politik dan agama, dan pembebasan dari
tafsiran ulama silam. [9]  Istilah-istilah yang digunakan dalam wacana mereka juga agak
membimbangkan seperti Islam warna-warni, Islam tanpa Shariah dan penegasan akar-akar
sekularisme dalam Islam.[10] Dengan mendakwa mereka mengembalikan semangat Mu’tazilah
dalam tradisi pemikiran Islam, ternyata kelompok Islam liberal telah pergi lebih jauh dari apa
yang dipegang oleh kaum Mu’tazilah sendiri.  Malah, mereka juga ingin membangkitkan
semangat pencerahan (enlightenment) dan kebangkitan semula (renaissance) sepertimana yang
berlaku dalam tradisi Barat.

Jika merujuk secara khusus kepada Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, mereka
menjelaskan bahawa istilah liberal yang digunakan bukan sekadar bermaksud kebebasan tetapi
juga mempunyai maksud yang lebih aktif dan agresif iaitu pembebasan (liberating).[11]  Oleh
yang demikian, mereka mempunyai misi untuk membebaskan masyarakat Islam dari belenggu
tafsiran agama yang dianggap sempit.  Liberal juga merupakan kata sifat yang diletakkan kepada
Islam bagi menggambarkan pandangan pluralis golongan ini dan penegasan bahawa Islam
adalah terbuka kepada pelbagai tafsiran dan kesemua tafsiran, termasuk Islam Liberal, adalah
sah.

Gagasan Penting Islam Liberal

Antara gagasan penting Islam Liberal ialah: i) keterbukaan pintu ijtihad dalam pelbagai bidang
termasuk teologi dan ibadah.  Perkara-perkara yang telah diijma’kan oleh ulama juga tidak lari
dari keperluan ijtihad mereka; ii) penekanan kepada semangat religio etik bukan kepada literal
sebuah teks; iii) kebenaran yang relatif, terbuka dan plural.  Ini berdasarkan premis bahawa
setiap pentafsiran agama dianggap sebagai ‘kegiatan manusiawi’ yang terkongkong pada
konteks sejarah dan keperluan semasa yang berubah-ubah, justru ia akan sentiasa terbuka kepada
kesilapan; iv) pemihakan kepada golongan minoriti dan yang tertindas. Maka, atas nama
keadilan, golongan minoriti harus dibela.  Golongan ini termasuk minoroti agama, etnik, ras,
budaya, jantina dll;   v) kebebasan beragama dan kepercayaan.  Persoalan agama adalah hak
peribadi yang harus dilindungi, maka tidak ada pemaksaan kepada sesuatu kepercayaan yang
dipilih oleh seseorang individu ; vi) pemisahan otoriti duniawi dan ukhrawi, agama dan politik. 
Agama tidak harus tidak dijadikan nilai yang dipaksa dalam bidang politik kerana ia adalah
milik perseorangan dan persendirian. [12]  Bidang politik, dengan kata lain, seharusnya bebas
agama.

Sementara misi utama kelompok ini ialah untuk; i) mengembangkan pentafsiran-pentafsiran


Islam yang liberal sesuai dengan prinsip yang dipegang di atas; ii) mengusahakan ruang-ruang
dialog yang terbuka dan bebas dari tekanan konservatisme; iii) mengupayakan terciptanya
struktur sosial dan politik yang adil dan manusiawi.[13]

Beberapa Pemerhatian Kritis

1.  Modenisme sebagai Satu Konsep Falsafah


Oxford Dictionary mentakrifkan modern sebagai ‘sesuatu yang bersifat semasa dan terkini, baru
dan sesuai dengan masa sekarang’ (of the present and recent time, new and up-to-date).[1]
Sekiranya berdasarkan makna ini kita mampu dengan selesa mengatakan bahawa Islam tidak
menolak kemodenan kerana sebagai agama yang bersifat sejagat Islam harus hadir dalam dan
sesuai dengan semua zaman dan tempat.  Akan tetapi kemodenan bukan sekadar istilah akan
tetapi ia merupakan yang membawa bersamanya satu pandangan hidup, falsafah dan sejarahnya
tersendiri yang jelas lebih tertutup dan tegar dari segi kandungan ideologinya berbanding makna
literal.  Dari segi falsafahnya modenisme datang bersama-samanya beberapa ciri penting seperti
rasionalisme, sekularisme, humanisme, perubahan sosial dan kemajuan. [14] Beberapa ciri-ciri
ini ternyata tidak sejalan dengan pandangan hidup Islam.  Ini ditambah dengan hakikat bahawa
ide ‘moden’ itu sendiri asalnya merupakan hasil dari tradisi Kristian Barat Eropah.[15] Oleh
yang demikian para reformis Islam seharusnya lebih berhati-hati dalam menggarap isu
modenisme.  Dalam keghairahan mengejar kemajuan, setiap fahaman harus diteliti agar ianya
dapat disaring dan akhir benar-benar dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Islam.

2. Modenisme dan Tradisi

Tujuan kita menelusuri pemikiran kontemporari Islam bermula dari gerakan modenis abad ke-19
sehingga kelahiran Islam Liberal kini adalah kerana disamping beberapa perbezaan, terdapat
jalur persamaan antara gerakan modenis terutama kelompok pertama dan kelompok Islam liberal
kontemporari terutama berkaitan sikap mereka terhadap tradisi.   Walaupun golongan modenis
awal tidak begitu radikal dalam mengkritik tradisi, akan tetapi mereka telah membuka ‘kotak
pandora’ untuk golongan liberal Islam kontemporari untuk terus menolak kewibawaan ulama
silam.  Oleh kerana itulah Kurzman misalnya mengaitkan Islam Liberal kepada tokoh-tokoh
modenis yang lebih awal.

Mungkin kerana antara kata kunci gerakan modenisme dan liberalisme ialah perubahan dan
kemajuan, maka tradisi yang lebih bersifat tetap dan ‘kaku’ tidak mendapat tempat dalam
wacana mereka.  Namun, persoalan yang harus ditanya ialah apakah perkara harus berubah
dalam konteks masyarakat Islam?  Kita bersetuju bahawa berbanding dengan Barat, umat Islam
banyak ketinggalan dalam pelbagai bidang kehidupan.  Oleh itu banyak perkara yang harus
diperbaiki berkenaan dengan keadaan umat Islam.  Kita juga tidak menafikan bahwa masyarakat
Islam memerlukan perubahan cara berfikir untuk mereka bersaing dengan kemajuan yang
dicapai oleh Barat.  Tetapi ini tidak bermakna mereka harus mengenepikan tradisi silam untuk
mereka mencapai matlamat tersebut.  Ini kerana bukanlah disebabkan kandungan pengajaran
yang telah diberikan oleh ulama silam yang bermasalah akan tetapi cara memahami tradisi yang
sebenarnya bermasalah. Sekiranya ada ulama-ulama sekarang yang silap dalam menyampaikan
isi kandungan tradisi Islam yang harus ditolak ialah cara pengajarannya dan bukan tradisi
Islamnya.

Persoalan yang lebih penting, sudahkah kita meletakkan usaha yang bersungguh dalam
mempelajari, mengkaji, dan menganalisa khazanah ilmu dalam tradisi kita yang lepas? 
Sekiranya premisnya adalah kerana pemikiran tradisi lapuk dan ketinggalan zaman,
persoalannya adakah semua persoalan kontemporari dan moden yang dihadapi oleh Masyarakat
Islam sekarang secara keseluruhannya adalah masalah yang baru sehinggakan kita tidak
perlukan panduan dari tradisi keilmuan Islam?  Adalah satu yang menarik sekiranya kita
mengetahui bahawa banyak persoalan-persoalan falsafah yang telah diserang oleh al-Ghazali
dalam karyanya Tahafut al-Falasifah hampir seribu tahun yang lalu telah menjelma kembali
dalam wacana pemikiran Barat sekarang terutama dalam bidang falsafah sains.  Misalnya teori
evolusi, dan Big Bang yang premis falsafahnya tidak banyak berbeza dengan teori Emanasi
Greek, atau perbahasan Quantum Fizik yang mempunyai banyak persamaan dengan teori atom
(jawhar dan ‘arad) dalam ilmu kalam abad ke-9 dan 10?  Dari segi ini tradisi ilmu silam
seharusnya menjadi peluang kepada masyarakat Islam Moden dan bukannya ancaman atau
bebanan sejarah.  Penguasaan terhadap tradisi merupakan nilai tambah yang memperkaya
khazanah intelektual dan bukannya sebagai satu kelemahan dan petanda kekolotan.

3. Perbezaan Nasib Sejarah

Memandangkan wacana modenis Muslim kelihatan agak bersifat reaktif terhadap apa yang
berlaku di Barat, adalah penting untuk diingatkan agar mereka tidak terjebak ke dalam
perangkap Barat, iaitu dengan terikut-ikut pengalaman mereka berhadapan dengan tradisi
keagamaan mereka.  Apa yang berlaku di barat terutamanya reaksi keras mereka terhadap
institusi keagamaan mereka tidak semestinya perlu berlaku juga kepada umat Islam untuk
mereka bergerak maju.  Ini kerana Islam mempunyai nasib sejarah yang berbeza dengan Kristian
Barat dan sebahagian besar sebab-sebab yang menjadikan Barat sepertinya sekarang sebenarnya
tidak wujud dalam konteks sejarah Islam.  Sebagai contoh, tradisi ulama Islam tidak sama
dengan Gereja Ortodoks Kristian yang mendominasi doktrin agama dan mendakwa sebagai
wibawa dan pemilik mutlak keselamatan di akhirat (salvation).  Para reformis Islam, oleh itu,
tidak perlu merasakan bahawa mereka adalah golongan Protestan Islam yang perlu bangun untuk
meruntuhkan kelompok ortodoks kerana tidak ada sebenarnya monopoli dogma dalam konteks
ulama tradisi Islam, juga tidak ada dakwaan mengenai pemilikan jaminan ke syurga.

Tradisi keagamaan Islam sejak dahulu berasaskan ilmu.  Para ulama silam telah membina
kerangka besar Ilmu Islam yang sentiasa perlu dipelajari, dikaji dan di nilai dengan wajar.  Oleh
itu, khazanah ilmu mereka seharusnya di dekati dengan penuh rendah diri dan hormat walaupun
dengan pendekatan yang kritis, bukan dengan mengenepikan atau meninggalkan mereka. 
Konsep ‘adab’ inilah yang menjadi antara ciri utama tradisi ilmu Islam yang tidak terdapat
dalam tradisi Barat.  Oleh yang demikian tugas para reformis Islam sebenarnya adalah lebih
berat dan memerlukan jihad intelektual yang besar.

4. Kekeliruan Islam Liberal

Kekeliruan yang telah dibawa oleh kelompok Islam Liberal bukan sahaja dari segi menisbikan
pentafsiran agama yang telah mantap dibina oleh ulama-ulama terdahulu, akan tetapi yang lebih
bahaya, mereka telah membuka ruang tanpa had untuk semua semua jenis pentafsiran  masuk
dan bertindak sebagai wibawa dalam pentafsiran agama. Atas premis tajdid dan pembebasan
bersuara, pandangan-pandangan terpencil yang dibangkitkan oleh firqah-firqah tertentu dalam
sejarah Islam yang telahpun dijawab dengan tuntas oleh ulama-ulama berwibawa Islam dan telah
mantap diijma’kan seperti isu penciptaan al-Qur’an (khalq al-Qur’an), isu aurat dan  murtad,
ingin dibangkitkan kembali dengan hujah yang mengelirukan.  Hasilnya ialah masyarakat Islam
telah dididik dengan asas-asas agama yang mantap dan meyakinkan kembali keliru dan goyah
akidahnya
 
Kita tidak nafikan bahawa Islam merupakan agama pembebasan.  Islam datang dengan misi
istiqlal dan hurriyyah untuk membebaskan manusia dari pengabdian jahiliyyah sesama manusia
kepada pengabdian yang tulus kepada Allah seperti yang di sebut olah al-Qur’an, “Tidak aku
jadikan manusia dan jinn semata-mata untuk beribadat kepadaku”.  Akan tetapi  kebebasan yang
dianjur oleh Islam bukan dengan cara merungkaikan apa yang telah disusun rapi olah agama
menerusi pentafsiran yang berwibawa oleh ulama-ulama silam. Tajdid dalam Islam mesti
bersifat islahi iaitu pembebasan dari keburukan kepada kebaikan.  Kita tidak mahu menjadi
seperti golongan yang diistilah oleh al-Qur’an sebagai yang membuat fasad akan tetapi
menyangka mereka membuat islah
 
“Apabila disebut kepada meraka ‘Jangan kamu membuat kerosakan di atas muka bumi. Lantas
mereka menjawab, sesungguhnya kami membuat kebaikan. Ingatlah sesungguhnya mereka
adalah orang yang membuat fasad akan tetapi mereka tidak menyedari. (al-Baqarah, 2:11,12
 
Dalam sejarah Islam juga, seperti yang telah disebut, tidak ada yang dinamakan kelompok
otoritarian agama atau clergy yang mendominasi secara sakral kewibawaan agama sebagaimana
yang terjadi terhadap masyarakat Kristian sehingga menjustifikasi gerakan pembebasan yg
dilakukan oleh kelompok reformis seperti Lutherian dan Calvinian.  Dalam Islam, asas utama
dalam pentafsiran agama ialah asas ilmu yang mendalam terutama dalam bidang agama dan
bidang-bidang yang berkaitan.  Dengan itu, ijtihad bukan monopoli totok kelompok agama dan
bukan juga hak semua individu.  Ia berkait rapat dengan kewibawaan ilmu mereka yang
melaksanakan ijtihad atau pentafsiran agama.  Demikianlah ulama dalam Islam dihormati kerana
kewibawaan ilmunya dan bukan kesakralan posisinya.
 
Oleh itu, saranan kita ialah kelompok Islam liberal tidak perlu terlalu ghairah dalam membawa
masuk isu-isu palsu (pseudo-problems) ke dalam wacana pemikiran Islam.  Mungkin apa yang
lebih wajar dilakukan ialah bersikap lebih tawadu’ terhadap ilmu dengan menuntut ilmu dan
mempertingkatkan kewibawaoan ilmiah.

Kesimpulan

Berdasarkan pandangan di atas, kita ingin menganjurkan bahawa tajdid atau islah dalam Islam
boleh datang dalam dua makna; pertama membawa pentafsiran yang segar dalam hal-hal
keagamaan.  Yang kedua, membawa kembali kefahaman umat Islam kepada pemikiran tradisi
ulama silam sebelum mempersembahkannya dengan pendekatan  yang baru.  Yang kedua
ternyata lebih berat dan memerlukan usaha yang lebih intensif dari para pemikir modenIslam. 
Ini juga bermakna usaha yang lebih serius perlu diambil oleh para ulama, intelektual dan
reformis Islam kini untuk menggali semula dan mengkaji kekayaan tradidi keilmuan Islam.

Apa Seterusnya? Pelan Tindakan

Adalah menjadi satu sumbangan yang lebih besar kepada agama dan masyarakat Islam secara
keseluruhannya sekiranya para ulama dan pemikir Islam kini dapat mencetuskan satu sistesis
antara usaha untuk membawa pembaharuan dalam masyarakat dan usaha untuk melakukan
kajian semula yang mendalam terhadap tradisi Islam.  Berikut adalah cadangan praktikal yang
mugkin dapat dilakukan oleh kelompok ulama atau intelektual moden bagi memastikan
matlamat tersebut tercapai:

i)                   Menerbitkan siri buletin berkala dan konsisten yang memperkenalkan idea-idea
besar ulama silam dan juga moden.

ii)                 Menganjurkan seminar dan diskusi ilmu yang serius dalam membahaskan isu-isu
penting berkaitan tradisi dan kemodenan tanpa mempertentangkan kedua-duanya.

iii)              Menganjurkan kursus-kursus membaca teks-teks penting dalam tradisi Islam di


pelbagai bidang keagamaan.

iv)               Mengedit serta menterjemah karya-karya agung sama ada dalam bahasa Inggeris
atau bahasa Melayu.

 
NOTA KAKI 
 

 
[1] Dibentang dalam ‘Seminar Islam dan Cabaran Semasa 2005’ anjuran Persatuan Ulama
Malaysia (PUM) pada 16 Julai 2005 di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson.

[2] Seyyed Hossein Nasr, Traditional Islam in the Modern World (Kuala Lumpur:Foundation of
Tradisional Studies, 1988), 97.

[3] Untuk penjelasan lanjut mengenai aliran modenisme Islam, lihat Fazlur Rahman, Islam, edisi
2 (Chicago:University of Chicago Press,1979), 212-34; Mazheruddin Siddiqi, Modern Reformist
Thought in the Muslim World (New Delhi: Adam Publishers and Distributors, 1993); Maryam
Jameelah, Islam and Modernism (Lahore:Muhammad Yusuf Khan,1977); Seyyed Hossein Nasr,
Tradional Islam in the Modern World(Kuala Lumpur:Foundation for Traditional
Studies,1987),75-115; Mansoor Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An
Anthology of Modernist and Fundamental Thought (London:MacMillan Press, 2000) Mansoor
Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An Anthology of Modernist and
Fundamental Thought (London:MacMillan Press, 2000).

[4] Mansoor Moaddel, Kamran Talattof, Contemporary Debates In Islam:An Anthology of


Modernist and Fundamental Thought (London:MacMillan Press, 2000),p.3-4.

[5] Contemporary Debates In Islam, 6; Rahman, Islam, 222.

[6] Lebih lanjut mengenai debat Liberal Islam, lihat Adnin Armas, Pengaruh Kristen-Orientalis
terhadap Islam Liberal:Dialog Interaktif dengan Jaringan Islam Liberal (Jakarta:Gema Insani
Press,2003).
[7] Buku Charles Kurzman, Liberal Islam: A Source Book (Oxford University Press,1998)
merupakan buku yang menjadi asas perbahasan Islam Liberal.

[8] Untuk pandangan Yusuf al-Qardhawi mengenai Kemodenan dan Tradisi , lihat karya beliau
al-Thaqafah al-‘Arabiyyah bayna al-Asalah wa al-Mu’asirah, terjemehan Ahmad Nuryadi
Asmawi di bawah tajuk Wawasan Islam:Antara Keaslian dan Kemodenan (Selangor:Thinker’s
Library,1996).

[9] Mohammad Nasih, Memahami Konsep Islam Liberal, Jaringan Islam Liberal, 
http://www.islamlib.com/id/page.php?page=article

[10] Lihat perbahasan mengenai asas-asas Islam Liberal di Indonesia dalam


hhtp://islamlib.com/REDAKSI/tentang.html

[11] Ibid.

[12] Ibid.

[13] Ibid.

[14] Mazheruddin Siddiqi, Modern Reformist Thought in the Muslim World (New Delhi: Adam
Publishers and Distributors, 1993), 1-2; Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and
Secularism (Kuala Lumpur:ISTAC,1993),33-7.  Lihat penjelasan lanjut Prof. al-Attas mengenai
sejarah sekularisasi di Barat dan hubungannya dengan modenisme dalam karya ini.

[15] Robert B.Pippin, Modernism as a Philosophical Problem (Oxford:Blackwell,1991), p.17

Anda mungkin juga menyukai