Anda di halaman 1dari 6

Prinsip KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana masih sesuai
dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan
Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini.
KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know),
belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk
membentuk peribadi (learning to be).
Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
1. Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
2. Warganegara yang bertanggungjawab
3. Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
4. Pekerja berilmu


Fokus KSSR
KSSR memastikan selepas enam (6) tahun persekolahan murid mencapai standard pengetahuan, kemahiran dan
nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu kemahiran membaca, menulis,
mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan
menggunakan akal atau logik.
Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M. Penekanan diberikan untuk literasi
dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut. Penekanan juga diberikan kepada
kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.
Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping menguasai
kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan, dan perkembangan
sahsiah.

Bentuk Kurikulum
Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran
dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek
dan sosial.
Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan
insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut menggambarkan penstrukturan secara
eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan
bersepadu.


Tunjang Komunikasi
Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam bentuk lisan
dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa seperti mendengar dan
bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.
Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa menyediakan murid untuk
membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi sosial.
Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa
Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun dan
Bahasa Semai.

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan kesihatan
untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Disiplin ilmu yang
membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Kreativiti, bakat dan apresiasi
dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.

Tunjang Kemanusiaan
Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan
alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu
yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.

Tunjang Keterampilan Diri
Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti
kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari
di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum seperti
persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid meningkatkan potensi diri sebagai
pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.

Tunjang Sains dan Teknologi
Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
1. pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
2. pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
3. pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi
Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka Bentuk dan
Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus kepada
penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini merangkumi Pendidikan
Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.
Organisasi Kurikulum
KSSR diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan tertentu
yang dikenali sebagai modul. Mata pelajaran juga diorganisasikan secara modular iaitu kandungan mata pelajaran
disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap (self-contained). Setiap modul mengandungi pengetahuan,
kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai oleh murid.

Organisasi Tahap I
Pada Tahap I kurikulum diorganisasikan dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif. Komposisi
KSSR Tahap I adalah seperti jadual di bawah.

Modul Teras Asas
Modul Teras Asas merangkumi bidang pembelajaran asas yang terdiri daripada Modul Bahasa, Modul Matematik,
Modul Pendidikan Jasmani, dan Modul Pendidikan Kesihatan. Modul-modul ini mesti dipelajari oleh semua murid.
Modul Pendidikan Islam mesti dipelajari oleh murid beragama Islam, manakala Modul Pendidikan Moral dipelajari
oleh murid bukan beragama Islam.

Modul Teras Tema
Modul Teras Tema menggabungkan beberapa disiplin ilmu dalam satu modul. Terdapat dua modul Teras Tema iaitu
Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan Teknologi (DST). Dunia Kesenian terdiri daripada Dunia Seni Visual dan Dunia
Muzik. DST pula menggabungkan disiplin Sains, Reka Bentuk Teknologi (RBT) dan Teknologi Maklumat & Komunikasi
(TMK). Modul Teras Tema mesti dipelajari oleh semua murid.

Modul Elektif
Modul elektif merupakan pilihan disiplin bahasa yang ditawarkan kepada murid seperti Bahasa Arab, Bahasa Cina
Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun. Modul ini
ditawarkan untuk membolehkan murid berkemahiran dalam pelbagai bahasa.
Pihak sekolah perlu memilih untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut
kesediaan sekolah dalam aspek penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah.

Organisasi Tahap II
Pada Tahap II, kurikulum diorganisasikan secara modular dalam Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Elektif.
Kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul. Komposisi KSSR Tahap 2 adalah seperti jadual di bawah.


Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan
kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa
hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah seperti Bahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam
Sekitar, Nilai Murni dan Patriotisme.

KSSR Pendidikan Khas
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
berlandaskan prinsip-prinsip pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, peluang dan kualiti
pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup. KSSR Pendidikan Khas merangkumi
kurikulum bagi murid bermasalah pendengaran, bermasalah penglihatan dan bermasalah pembelajaran.
Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) secara umumnya
menggunakan kurikulum aliran perdana. Sungguh pun begitu, terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan
terhadap beberapa mata pelajaran aliran berkenaan (khususnya dari segi pendekatan pengajaran dan pembelajaran)
selaras dengan keperluan khas pembelajaran. Murid Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) dan murid Pendidikan
Khas (Masalah Penglihatan) masing-masing turut diwajibkan mempelajari mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa
Isyarat Komunikasi (BIK) dan Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan (KAIMaL).
Kurikulum Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) dibina berdasarkan tahap keupayaan dan keperluan murid.
Kurikulum bagi kumpulan murid ini lebih berfokus kepada penguasaan kemahiran bagi memenuhi keperluan individu,
dan tidak terlalu menekankan akademik. Di Tahap I, murid Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) disediakan mata
pelajaranAsas 3M, Pengurusan Kehidupan, Seni Kreatif, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani.
Sementara itu di Tahap II, disediakan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam,
Pendidikan Moral, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Sains, Sosial dan Alam Sekitar, Pendidikan Seni
Visual, Pendidikan Muzik, Kemahiran Hidup Asas, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan Pengurusan Kehidupan.

Program pengajaran dan pembelajaran bagi ketiga-tiga kategori ini juga dibentuk secara fleksibel selaras dengan
Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.

Anda mungkin juga menyukai