Anda di halaman 1dari 5

PANDUAN MENULIS ISI KARANGAN JENIS PENDAPAT

1. Isi karangan anda mesti mempunyai FAKTA atau buah fikiran utama. Biasanya ayat yang menunjukkan fakta ini
diletakkan pada ayat yang pertama.
2. Ayat yang mengandungi fakta itu perlu dihuraikan supaya karangan tersebut berkembang. Untuk menghuraikan
fakta tersebut anda mungkin perlu bertanya kepada diri sendiri soalan-soalan seperti mengapa, di mana, apakah
puncanya, bagaimana, dan sebagainya. Apabila anda menjawab soalan-soalan ini dalam ayat-ayat yang seterusnya,
anda dianggap sudah menghuraikan fakta tersebut.
3. Masukkan juga contoh-contoh yang sesuai. Contoh-contoh ini mungkin ditandai dengan perkataan seperti, misalnya,
seperti, contohnya, dan sebagainya.
4. Tulis beberapa pernyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana jabatan, kementerian, dan tokoh-tokoh penting
mengenai tajuk utama atau fakta yang telah dinyatakan itu.
5. Sekali sekala selitkan dengan simpulan bahasa yang sesuai dengan tajuk karangan anda.
6. Elakkan kesalahan bahasa yang serius dan sekiranya anda mampu, tulislah ayat yang pelbagai. Ini bermakna
karangan anda mengandungi beberapa ayat yang pendek dan beberapa ayat yang panjang dengan menggunakan kata
hubung yang sesuai.
7. Tulis dengan tulisan yang mudah dibaca oleh pemeriksa. Tidak berfaedah anda menulis karangan yang panjang
sekiranya tulisan anda tidak dapat dibaca.
8. Sekali sekala anda bolehlah mencantumkan dua isi pendek dalam satu perenggan tetapi biasakan menulis satu
perenggan satu isi.
9. Susunan isi tidak perlu ditulis dalam satu cara sahaja. Ini bermakna anda perlu menulisnya dengan pelbagai cara.
10. Pada ayat yang terakhir dalam perenggan isi, anda bolehlah menulis pendapat anda sendiri, atau huraian yang
berkaitan dengan ayat-ayat yang sebelumnya atau anda boleh memberikan bayangan bagi fakta anda yang seterusnya.

MENULIS ISI YANG BAIK.


Soalan : Kegiatan kokurikulum di sekolah didapati kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar. Kemukakan
pendapat anda mengenai punca dan cara mengatasinya.
ISI 1
Punca utama kegiatan kokurikulum kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar ialah sikap pelajar yang
menganggap kegiatan tersebut tidak mempunyai nilai bagi menentukan kejayaan mereka untuk memasuki institusi
pengajian tinggi. Tanggapan tersebut telah menyebabkan mereka mengambil sikap dingin terhadap kegiatan-kegiatan
yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan di sekolah. Malahan, terdapat juga pelajar yang tidak pernah datang untuk
latihan sukan yang diadakan di sekolah menjelang Hari Sukan Sekolah. Sikap ini timbul kerana mereka pernah melihat
pelajar-pelajar sebelum mereka yang tinggi pencapaiannya dari segi akademik sahaja yang diterima masuk ke
universiti- universiti. Anggapan seperti itu pada masa ini sudah tidak boleh diterima lagi. Hal ini demikian kerana
pihak Kementerian Pendidikan telah menetapkan bahawa kecemerlangan pelajar dalam kegiatan kokurikulum akan
diambil kira untuk memasuki institusi pengajian tinggi mulai tahun 2000 selain pencapaian dari segi akademik. Untuk
tujuan ini, pihak sekolah telah menyediakan buku rekod kedatangan pelajar dan buku penilaian kegiatan pelajar dalam
kegiatan kokurikulum di sekolah.
ISI 2
Kegiatan ini juga kurang mendapat sambutan kerana terdapat pelajar yang memenuhi masa mereka di luar sekolah
dengan kegiatan-kegiatan yang lain seperti menolong ibu bapa mereka berniaga atau menghadiri kelas-kelas tusyen.
Pelajar-pelajar yang terlibat berasa mereka akan menghabiskan masa mereka dengan sia-sia sekiranya mengikuti
kegiatan di sekolah memandangkan kegiatan itu tidak membantu menambah pendapatan ibu bapa mereka dan tidak
membantu meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran. Dalam hal ini Menteri Pendidikan pernah mengeluarkan
pernyataan bahawa negara Malaysia berhasrat untuk memiliki golongan pelajar yang bukan sahaja baik dari segi
akademik malah aktif dan mempunyai disiplin diri yang baik. Menurut beliau lagi, hasrat yang terkandung dalam
Falsafah Pendidikan ini hanya akan tercapai sekiranya pelajar bergiat aktif dalam kedua-dua bidang tersebut. Pada
hemat saya, seseorang pelajar itu perlu aktif dalam kedua-dua bidang tersebut demi memenuhi wawasan negara yang
ingin melihat rakyatnya seimbang dari segi mental, fizikal, dan rohani.
CONTOH KARANGAN YANG LEMAH DARI SEGI PENYAMPAIAN ISI
(Bagi soalan yang sama seperti di atas)
Contoh 1
Pelajar kebanyakannya malas datang ke sekolah pada waktu petang untuk bermain bola atau sebagainya. Mereka lebih
suka tinggal di rumah atau melepak di pusat-pusat membeli-belah dan pasar raya. Mereka juga selalu memberi alasan
tidak suka kokurikulum kerana tidak ada faedah kepada mereka. Selain itu, mereka juga mungkin tidak dapat datang

ke sekolah kerana rumah mereka terlalu jauh. Misalnya bagi pelajar yang tinggal di Kampung Jawa. Oleh itu saya
berseru kepada pelajar-pelajar yang berkenaan supaya datanglah ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum ini kerana
baik untuk kita jugak.
Penilaian: sangat lemah dari segi penguasaan bahasa dan tidak menampakkan kematangan fikiran.

Contoh 2
Salah satu punca yang menyebabkan pelajar kurang berminat untuk menyertai kegiatan kokurikulum ialah kerana
kegiatan tersebut diadakan pada waktu petang. Pelajar juga kurang berminat dengan kegiatan kokurikulum kerana
mereka tinggal jauh dari sekolah. Selain itu ibu bapa juga tidak memberi kerjasama kepada pihak sekolah kerana
mereka juga menganggap kegiatan itu sia-sia sahaja. Terdapat juga pelajar yang memberikan alasan bahawa mereka
sudah kehabisan tenaga untuk datang semula ke sekolah kerana sudah terlalu letih ketika belajar pada waktu pagi.
Pelajar juga tidak mahu datang pada hari Sabtu kerana mereka perlu ke pusat tusyen dan sebagainya. Pelajar yang
tingal jauh dari sekolah juga tidak mahu menunggu di sekolah sehingga waktu petang dengan alasan mereka berasa
terlalu letih dan lapar.
Penilaian : Penguasaan bahasa agak baik tetapi olahan isi adalah salah dari segi teknik kerana memasukkan lebih
daripada satu isi dalam satu perenggan. Calon ini juga tidak menghuraikan isi penting yang dinyatakannya. Besar
kemungkinan pelajar ini tidak dapat menulis dalam banyak perenggan kerana kehabisan idea. Mungkin juga pelajar
ini akan menulis beberapa perenggan lagi tetapi isinya berulang-ulang.
TIPS
Guru anda hanya dapat membantu anda dari segi kaedah dan teknik menulis karangan tetapi mereka tidak dapat
membantu anda mendapatkan pengetahuan tentang semua isu semasa. Oleh itu anda perlu membaca sendiri rencana
dan berita-berita semasa yang berkaitan dengan isu-isu penting seperti yang terdapat dalam tajuk-tajuk Ujian Lisan
Bahasa Melayu SPM. Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai tajuk yang dibincangkan itu,
karangan yang akan dihasilkan tidak menunjukkan anda seorang pelajar yang matang dan markah yang anda peroleh
juga akan mengecewakan anda. Misalnya, anda mungkin ingin menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan
teknologi maklumat atau internet tetapi sekiranya anda tidak tahu tentang telesidang, email, capaian (links), virus,
laman web, dan sebagainya, anda mungkin mempunyai masalah untuk mengarang tajuk tersebut. Begitu juga dengan
tajuk-tajuk yang lain misalnya mengenai sukan Komenwel, masalah jerebu, kejadian tanah runtuh, dan sebagainya.

LATIHAN
Tuliskan perenggan isi bagi soalan yang berikut.
Arus pemodenan sesebuah bandar bukan saja mendatangkan kemajuan kepada corak kehidupan masyarakat malah
mewujudkan gejala yang buruk seperti kawasan setinggan. Bincangkan masalah-masalah yang wujud di kawasan ini.
Selain itu, berikan pendapat anda untuk mengurangkan masalah ini.
Contoh jawapan:
Kehidupan di kawasan setinggan penuh dengan masalah. Yang paling utama ialah ketiadaan kemudahan asas
seperti bekalan air, elektrik, tandas, sistem perparitan atau longkang yang sempurna, tempat pembuangan sampah, dan
sebagainya. Sebagai akibatnya, mereka terpaksa berkongsi bekalan air paip yang terhad atau menggunakan air perigi
yang digali untuk urusan sehari-hari serta menggunakan generator atau lampu gasolin sebagai ganti elektrik. Keadaan
ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mudah terdedah kepada bahaya penyakit yang berjangkit. Ketiadaan
tempat pembuangan sampah yang sempurna menyebabkan kawasan setinggan ini terkenal sebagai suatu kawasan
perumahan yang kotor. Gejala ini merupakan salah satu punca tersebarnya penyakit yang berbahaya. Selain itu,
kedudukan rumah-rumah setinggan yang agak rapat di anrtara satu dengan yang lain itu bukan saja membahayakan
kesihatan para penghuninya malah memudahkan api merebak jika berlaku sesuatu kebakaran. Tidaklah keterlaluan
jika dikatakan bahawa keadaan di kawasan setinggan ini mengancam kesihatan dan nyawa penduduk-penduduknya.
Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak yang terlibat perlu mengambil tindakan untuk meningkatkan taraf
hidup masyarakat setinggan yang menghuni pinggir kota ini. Sebagai langkah permulaan, keadaan persekitaran
kawasan setinggan perlulah diperbaiki. Hal ini termasuklah memberikan bekalan air bersih, bekalan elektrik, tandas,
serta sistem perparitan yang lebih sempurna. Kemudahan-kemudahan lain yang perlu disediakan ialah seperti
kemudahan jalan dan jambatan, lampu jalan, dan pusat-pusat kesihatan. Perhatian yang serius perlu diberikan
terhadap pelajar yang tinggal di kawasan seperti ini. Kelas-kelas bimbingan agama dan kelas-kelas bimbingan
pelajaran harus ditubuhkan juga. Sementara itu, ibu bapa perlu diberi kesedaran tentang kepentingan pelajaran anakanak mereka. Untuk itu pihak kerajaan tempatan perlu menganjurkan ceramah-ceramah motivasi untuk mnyedarkan
masyarakat di kawasan ini agar berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka untuk kepentingan keluarga mereka
sendiri. Melalui tunjuk ajar dan nasihat ini, diharapkan agar masyarakat setinggan akan dapat hidup dengan lebih
sempurna.
(Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlulah membina lebih banyak rumah kos rendah bagi menampung
bilangan penduduk setinggan yang besar jumlahnya. Namun demikian, pihak kerajaan harus juga memastikan bahawa
rumah-rumah kos rendah yang dibina itu diuntukkan bagi masyarakat di kawasan tersebut dan bukan untuk individuindividu yang hanya mementingkan keuntungan. Rumah-rumah yang dibina itu mestilah juga sesuai dengan taraf
pendapatan mereka. Dengan itu, kehidupan masyarakat setinggan akan dapat ditingkatkan selaras dengan kemajuan
yang dinikmati oleh rakyat lain di negara ini.)

Golongan Remaja Mesti Mengisi Masa Lapang Dengan Perkara Yang Berfaedah
Pada zaman ini,segala kelengkapan telah dinaik taraf dan pembangunan serta ekonomi semakin maju setaraf
dengan negara luar.Kemudahan infrastruktur telah dipelbagaikan demi mencapai keselesaan rakyat Malaysia.Malaysia
turut memajukan sistem teknologinya yang mampu untuk berdaya saing dengan negara yang hebat seperti sistem
teknologi di Amerika Syarikat dan di Jepun.Namun,disebalik pembangunan negara yang semakin pesat ini,masih ada
lagi golongan remaja yang berfikiran sempit dang sering kali melakukan perkara yang tidak mendatangkan
manfaat.Masa lapang sepatutnya terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan masa amatlah penting bak kata pepatah
Masa Itu Emas.Masa tidak sepatutnya terbuang begitu sahaja kerana masa yang terbuang tidak mungkin boleh
diulang.
Pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengisi masa lapang antaranya
ialah dengan beriadah.Dengan beriadah,seseorang remaja itu dapat mengekalkan kekuatan dan kesihatan tubuh
badan.Sekiranya badan kuat dan sihat,golongan remaja dapat memberi bantuan dalam bentuk tenaga kerja seperti
membantu ibu bapa dan keluarga dalam menguruskan hal di rumah dan dapat meringankan beban yang ditanggung
oleh ibu bapa.Selain itu,sikap tanggungjawab dan bekerjasama dapat disemai dalam diri setiap remaja dan melahirkan
keluarga yang bahagia dan harmoni.
Seterusnya,golongan remaja boleh mengisi masa lapang dengan menimba ilmu yang merangkumi pelbagai
bidang tidak kira samada di sekolah,kelas tambahan,kolej mahupun hanya di rumah.Dengan cara ini,masa lapang
dapat digunakan dengan penuh manfaat.Remaja boleh mengisi masa lapang dengan membaca bahan bacaan yang
berkaitan dengan ilmiah dan bukan bahan bacaan yang mengandungi hiburan semata-mata.Sekiranya remaja rajin
menimba ilmu,nescaya banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh.Golongan remaja yang seperti ini akan
dihormati dan disenangi oleh ahli keluarga dan masyarakat.
Selain itu,remaja perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang sering kali dianjurkan
oleh pelbagai pihak terutamanya pihak yang mewakili kebajikan masyarakat.Hal ini dapat meningkatkan serta
mengukuhkan ikatan ukhwah sesama anggota masyarakat dan mengeratkan perpaduan dalam negara.Golongan
remaja boleh mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan yang membantu mereka yang susah terutamanya mangsa
bencana alam.Golongan remaja perlu menjadi pelapis bagi generasi yang prihatin akan kesusahan dan kesempitan
hidup orang lain.
Remaja juga boleh melibatkan diri dengan kerja-kerja sampingan dan mengambil upah bekerja bagi
menambah wang perbelanjaan.Remaja juga boleh menyimpan wang yang diperoleh di dalam akaun simpanan untuk
kegunaan masa hadapan.Dengan ini,beban yang ditanggung oleh ibu bapa dapat diringankan.Wang yang diperoleh
juga boleh digunakan untuk tujuan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang tertentu di samping dapat
merehatkan serta menenangkan fikiran.Selain itu,dengan aktiviti lawatan yang dijalankan remaja dapat menambah
ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman serta menyemai semangat patriotik dan cinta akan alam sekitar.
Konklusinya,setiap remaja mesti bijak membahagikan masa agar masa tidak terbuang begitu sahaja.Remaja yang tidak
menghargai masa akan merugukan diri sendiri dan mudah terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat.

Anda mungkin juga menyukai